Tuesday, February 07, 2006

Raja SMS

(Harian Metro - 07/02/2006 - Edisi KL)
Oleh Manan Samad

KUALA LUMPUR: Kemenangan juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi (gambar) menerusi kategori persembahan terbaik Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL 20) malam kelmarin, melayakkannya bergelar ‘Raja SMS’ (khidmat pesanan ringkas).

Inilah kemenangan keenam penyanyi kelahiran Kulai, Johor itu dalam industri muzik tanah air menerusi undian SMS dalam tempoh enam bulan sejak bergelar artis Ogos lalu.

Bagi kategori persembahan terbaik AJL 20, sebanyak 50 peratus undian diperuntukkan menerusi SMS manakala bakinya, juri profesional.

Lima kemenangan lain sebelum ini ialah Anugerah Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan juara keseluruhan (AF3), Artis Pilihan SMS Digi (Anugerah Era 05) serta Lagu Paling Popular (final carta lagu popular Hits1).

Mawi sendiri mengakui kemenangannya menerusi persembahan terbaik AJL 20 dibantu pengaruh SMS peminatnya.

“Betul juga, saya akui kemenangan saya sedikit sebanyak dibantu SMS peminat...terima kasih kepada mereka. Kalau peratusan SMS saya rendah, belum tentu saya menang kerana saingan daripada (11) artis lain yang lebih berpengalaman hebat-hebat belaka.

“Tetapi ia bukan faktor penentu kerana baki 50 peratus adalah hak juri. Saya juga berlatih hampir seminggu untuk memperbaiki mutu persembahan terutama rentak tarian bagi menyanyikan lagu Aduh Saliha,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Selain mengungguli kategori persembahan terbaik dan melayakkannya meraih trofi dan wang tunai RM10,000, lagu Aduh Saliha ciptaan M Nasir dan Loloq memenangi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif sekali gus meraih trofi dan wang tunai RM12,000.

Bagaimanapun, sebagai artis baru yang masih mentah, Mawi mengakui dia mengamalkan selawat dan doa ringkas untuk menenangkan diri sebelum beraksi di pentas.

“Adalah selawat dan doa sikit-sikit sebelum menyanyi, selebihnya saya berserah. Saya sendiri sebenarnya tak menjangka untuk menang terutama dalam kategori persembahan terbaik, tetapi bersyukur dengan kemenangan itu.

“Kehadiran ayah, kakak dan adik selain peminat sedikit sebanyak memberi sokongan kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik. Secara peribadi, saya puas dan menganggap inilah persembahan terbaik saya sepanjang bergelar artis,” katanya.

Kata Mawi, tekanan beraksi di AJL 20 tidak dapat dielakkan, terutama daripada peminat yang meletakkan harapan menggunung.

“Ramai yang telefon, hantar SMS ucapkan ‘good luck’ sebelum saya bertanding. Tanggungjawab memang besar, tetapi saya hanya fikir untuk membuat percubaan bagus dan berlainan. Saya tak anggap berada dalam pertandingan, sebaliknya seperti ‘show’ biasa.

“Alhamdulillah, saya tak berasa gugup biarpun kali pertama bertanding di AJL. Malah, terus terang saya katakan, saya lebih tertekan ketika beraksi di final AF3, kerana ketika itu saya masih baru dalam dunia seni,” katanya.