Thursday, February 16, 2006

Misi mencari finalis AF musim baru

(Berita Harian - 16/02/2006)
Oleh Farihad Shalla Mahmud

SELEPAS Vince, Zahid dan Mawi, Astro kini meneruskan misi mereka untuk mencari siapakah yang paling layak bergelar Juara Akademi Fantasia musim keempat (AF4). Pencarian itu bakal bermula Sabtu ini hingga 2 April ini apabila sesi uji bakat akan diadakan bagi memilih pelajar yang layak menyertai akademi itu.

Astro menerusi kenyataannya berkata, hanya mereka yang menepati syarat kelayakan untuk menghadiri sesi uji bakat akan dihubungi Astro. Mereka yang berminat mestilah warga Malaysia berusia antara 18 hingga 27 tahun pada 1 Januari 2006.

Untuk sesi uji bakat kali ini, peserta dikehendaki menyampaikan lagu yang boleh dipilih dari senarai berikut. Untuk peserta lelaki, lagu yang disenaraikan adalah Aduh Saliha (Mawi), Pupus (Dewa), Warkah Berlagu Pilu (Felix), This Love (Maroon 5) dan Kata (Hazami).

Peserta wanita pula boleh memilih antara lagu berikut - Nazam Berkasih (Syura), Awan Yang Terpilu (Ning Baizura), Antara Dua (Farah), Pilihlah Aku (Kris Dayanti) dan If I Aint Got You (Alicia Keys).

Sementara itu, orang ramai turut berpeluang untuk memilih lagu yang bakal didendangkan pelajar AF4.

Mereka boleh berbuat demikian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) mulai 10 Februari lalu. Apa yang perlu mereka lakukan ialah taipkan AFLAGU tajuk lagu penyanyi asal (nama penyanyi asal adalah pilihan).

Contohnya AFLAGU Aduh Saliha Mawi atau AFLAGU Aduh Saliha dan hantarkan ke 32999. Undian dibuka mulai 12 tengah malam hingga 11.59 malam, 31 Mac 2006 dan terbuka kepada semua pengguna telefon bimbit di Malaysia. Kadar premium AFLAGU ialah 50 sen tidak termasuk kadar SMS biasa yang dikenakan pembekal telekomunikasi mudah alih.

INFO: Sesi uji bakat AF4

  • Pusat Penyiaran Asia (Astro), Kuala Lumpur (18-19 Februari)
  • Hotel Merdeka Palace, Kuching (25 - 26 Februari)
  • Hotel Grand Continental, Johor Bahru (4-5 Mac)
  • Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu (9-12 Mac)
  • Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu (25-26 Mac)
  • Hotel Sunway, Seberang Jaya (25-26 Mac)
  • Pusat Penyiaran Asia (Astro), Kuala Lumpur (1-2 April)