Tuesday, February 14, 2006

MAWI terkejut,kecewa

(Harian Metro - 14/02/2006 - Edisi KL)
Oleh Ramlah Zainal

SHAH ALAM: “Saya terkejut dan kecewa apabila mengetahui album studio saya, Mawi... Yang Tercinta tidak layak untuk pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 2006 (AIM06).

“Biarpun album saya hanya mengandungi lapan lagu, ia adalah album penuh dan bukan sekadar album mini.

“Tempoh penerbitan album saya juga hanya kurang tiga hingga empat minit dari tempoh 40 minit seperti yang ditetapkan AIM,” kata Juara Akademi Fantasia 3, (AF3), Mawi ketika diminta mengulas album sulungnya yang ditolak pencalonannya dalam AIM06 seperti yang dilaporkan akhbar ini, kelmarin.

Selain Mawi, album studio seorang lagi bintang AF, Farah Diana Anuar berjudul Antara Dua turut menerima nasib yang sama.

Kedua-dua album itu ditolak daripada pencalonan AIM06 kerana gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu tidak cukup 10 lagu atau tempoh masa penerbitan selama 40 minit.

Mawi yang ternyata sukar menerima keputusan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) itu turut menegaskan, lapan lagu yang terkandung dalam album sulungnya itu juga berkualiti.

“Antara lagu yang bagus ialah Aduh Saliha, Kian, Cinta Hakiki dan Lagu Jiwa Lagu Cinta. Lagu ini banyak diputarkan stesen radio tempatan, termasuk menduduki carta nombor satu.

“Album ini juga mendapat sambutan dan sudah dijual melebihi 120,000 unit sejak menjengah pasaran.

“Selain itu, barisan komposer yang bekerjasama untuk pembikinan album ini juga hebat belaka seperti M Nasir, Fauzi Marzuki dan Yasin Sulaiman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Artis, Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Aman Ali, berkata pihaknya hanya menerbitkan lapan lagu untuk album Mawi kerana ia memenuhi cita rasa peminat tempatan.

“Kami juga berbuat demikian bagi mengurangkan kos dalam penerbitan albumnya. Sebagai contoh, kos penerbitan satu lagu secara puratanya RM5,000.

“Jika kami terbitkan lapan lagu, ia membabitkan kos purata RM40,000. Tambahan dua lagi lagu akan meningkatkan lagi jumlah kos penerbitan album artis RM60,000 hingga RM70,000.

“Sebenarnya, jumlah tambahan RM10,000 itu boleh kami gunakan untuk penerbitan sebuah muzik video pula,” katanya ketika ditemui sempena sidang akhbar Malam Amal Perdana Bersama Mawi di Hotel Quality, di sini, semalam.

Aman yang mewakili Mawi pada petang itu berkata, sudah sampai masanya AIM membuat perubahan dari segi kriteria pencalonan lagu yang ditetapkan selaras dengan perkembangan muzik semasa.

“PAIMM perlu menerima hakikat album Mawi sudah dijual melebihi 120,000 unit. Mereka perlu menerima album bakat baru seperti Mawi dan Farah dalam usaha kita terus memartabatkan industri muzik tanah air.

“Pengurusan Maestro sudah menghantar surat rayuan kepada PAIMM minggu lalu supaya mempertimbangkan semula keputusan mereka menolak album Mawi itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aman berkata, program realiti TV, Resume Untuk Mawi akan menemui penonton saluran Astro Ria pada 27 Februari ini. Penerbit program itu ialah Ahmad Budiman Sidik.

“Daripada 100 peserta yang hadir untuk uji bakat menjayakan program mencari pembantu peribadi untuk Mawi itu, hanya 16 peserta disenarai pendek.

“Pemilihan peserta dinilai dari segi personaliti, disiplin, ketelitian dan kemahiran mereka sebagai pegawai perhubungan awam,” katanya.