Monday, February 13, 2006

Mawi nafi Amuk tumpang populariti

(Berita Harian - 13/02/2006)
Oleh Farihad Shalla Mahmud


PENGHORMATAN: Mawi bangga dengan penghasilan album World Habis.

JIKA dilihat sekali imbas kulit album World Habis yang menampilkan gambar Mawi di depannya, pasti ramai yang menyangka album itu adalah produk terbaru juara Akademi Fantasia 3 itu.

Namun setelah diamati, album keluaran syarikat rakaman EMI Music Malaysia itu hanyalah album kompilasi yang memuatkan lagu yang pernah dinyanyikan anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu.

Sekali lagi nama Mawi digunakan sebagai umpan untuk peminat memiliki album yang sudah diterbitkan syarikat rakaman itu sebelum ini. Kalau ada pun perubahan, hanyalah kulit album serta lagu yang dimuatkan.

“Saya akui album ini bukan album nyanyian Mawi tetapi ia lebih kepada satu bentuk penghargaan buat Mawi yang pernah menyanyikan lagu yang terkandung di dalam album ini sepanjang penglibatannya di dalam Akademi Fantasia 3”, kata Ketua Operasi domestik EMI Music Malaysia, Mohd Arzmy Mohmad pada sidang media majlis pelancaran album itu baru-baru ini.

Hadir sama, Mawi dan juga pengurus artis Maestro Talent & Management, Aman Ali.

Arzmy turut diasak pertanyaan apakah kerana populariti Mawi menyebabkan EMI sanggup mengeluarkan produk yang boleh mengelirukan pembeli khususnya peminat si pelantun Aduh Saliha itu.

“Jangan silap faham, album ini bukannya mengambil kesempatan atas diri Mawi. Ia adalah hasil kerjasama kami dengan Maestro. Mawi turut mendapat royalti untuk album ini”, tegas Arzmy sambil mempertahankan tindakan mereka itu mendapat restu dari syarikat pengurusan Mawi.

Katanya, pembeli album itu juga akan mendapat sebuah lagu bonus, Aduh Tsumawi yang dinyanyikan oleh Amuk.

“Walaupun lagu Aduh Tsumawi turut dimuatkan dalam album terbaru Amuk namun genre muzik mereka berbeza. Peminat dari dua kelompok muzik ini boleh memilih dari album mana yang ingin mereka dengar lagu ini,” katanya.

Bagi tuan empunya diri, penghasilan album ini ibarat satu penghormatan buat dirinya kerana sebagai artis baru, jarang sekali terjadi situasi begitu.

“Saya melihatnya dari sudut yang positif. Ada antara lagu yang pernah saya nyanyikan semasa di Akademi Fantasia dulu dimuatkan dalam album ini. Ia ibarat satu nostalgia buat saya”, komen Mawi apabila diminta mengulas penghasilan album World Habis.

Walaupun tidak diberitahu awal mengenai projek usaha sama itu dan mengetahui perkara itu selepas album itu berada di pasaran oleh rakannya, Mawi tetap menyokongnya kerana ia turut membantunya dari segi promosi.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan perkara ini oleh sahabat saya. Waktu itu saya saya ada persembahan di Jitra. Bila saya melihat album itu, saya jadi tak kisah kerana yang penting, royaltinya ada,” jelasnya sambil disambut dengan gelak ketawa tetamu yang hadir.

Malah, bagi membuktikan sokongan padunya terhadap penghasilan album itu, Mawi juga tidak keberatan untuk mempromosikannya pada setiap persembahan yang akan dijayakannya.

Mengenai dakwaan Amuk cuba menumpang popularitinya apabila menyanyikan lagu Aduh Tsumawi, Mawi pantas menafikan perkara itu.

Sebaliknya, jejaka bersuara garau ini bangga kerana lagu nukilan Andi Rahman dan lirik oleh Loloq itu secara tidak langsung mengangkat martabat anak Felda secara umumnya. Album ini memuatkan 21 lagu hit dendangan asal penyanyinya dan antara lagu yang pernah dinyanyikan Mawi yang terkandung dalam album ini adalah Intifada (Rabbani), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Hattan), Seroja (Datuk Sharifah Aini), Gadis Melayu (Othman Hamzah), Nourel Ain (Datuk Sharifah Aini), Kekasih Awal dan Akhir (Jamal Abdillah) dan Oh Fatimah (A.Ramlie). Ia sudah berada di pasaran sejak November lalu.