Monday, February 13, 2006

Mawi bina rumah dua tingkat untuk keluarga

(Berita Harian - 13/02/2006)

JOHOR BAHRU: Juara Akademi Fantasi 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, bercadang menggunakan sebahagian wang hasil pendapatannya itu untuk membina rumah dua tingkat menggantikan rumah sedia ada di Felda Taib Andak, Kulai dekat sini.

Difahamkan, rumah baru Mawi itu yang dikenali `Teratak Mawi' mempunyai enam bilik iaitu empat bilik di tingkat atas, manakala dua lagi di bahagian bawah rumah untuk kegunaan ibu bapanya, Ani Ahmad dan Ramlah Sarlan.

Rumah baru itu dijangka membabitkan kos ratusan ribu ringgit akan mula dibina di tapak asal rumah keluarga penyanyi popular itu, bulan depan dan dijangka siap pertengahan tahun ini.

Bapa Mawi, Ani Ahmad, 65, berkata ketika ini, dia sedang berbincang termasuk menentukan pelan dan reka bentuk pembinaan Teratak Mawi dan akan menggunakan perkhidmatan tukang rumah, Ahmad Misidek atau lebih dikenali `Ahmad Kacang' yang juga peneroka di situ dan kenalannya.

"Mawi sebenarnya berhajat benar membina rumah baru lebih selesa untuk kami sekeluarga. Saya tidak kisah, rumah sekarang ini pun sudah cukup selesa," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Difahamkan, Mawi sudah beberapa kali menghubungi keluarganya terutama bapanya untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai projek pembinaan rumah baru itu.

Malah, Ani dan keluarganya sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diperolehi Mawi sebagai penyanyi termasuk kejayaannya dalam pertandingan Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini.

Selain itu, beliau berkata, hubungan Mawi dengan keluarga masih rapat walaupun beliau jarang pulang ke kampung kerana kesibukannya tetapi kebiasaannya Mawi tetap menghubunginya bagi memberitahu atau bertanyakan perkara yang penting.

"Mawi memang ada maklumkan mahu menunaikan hajatnya menghantar saya dan isteri mengerjakan umrah dan membina rumah baru kerana mahu memberi keselesaan kepada kami.

"Saya tidak mahu tergesa-gesa kerana bimbang disalah anggap tetapi Mawi maklumkan tidak salah dia mahu membina rumah baru untuk keluarga kerana ada rezeki," katanya.

Malah, rumah keluarga Mawi kerap dikunjungi peminatnya turut mendatangkan sumber pendapatan kepada keluarganya apabila jualan baju-T, topi dan beg dibeli peminat.

“Walaupun sekarang sukar untuk berjumpanya tetapi sebagai bapa saya tidak pernah berkecil hati dan faham dengan tanggungjawabnya.

"Jika ada kesempatan atau sudah lama tidak berjumpa saya ikut Mawi pergi persembahan kerana kadangkala bimbang juga keadaannya yang tinggal jauh daripada keluarga," katanya.

Sejak bergelar penyanyi selepas menjuarai AF3 pada Oktober tahun lalu, Mawi kerap meluahkan perasaan mahu menggembirakan kedua ibu bapa dan melupakan segala kenangan pahit yang dilalui keluarganya.

Selain itu, tinjauan Berita Harian mendapati rumah keluarga Mawi sekarang menunjukkan banyak perubahan termasuk pintu dan tingkap cerminnya dipasang jeriji besi serta dicat baru.

Ada juga tambahan dilakukan di bahagian dapur rumah serta bahagian dalam rumah turut dilengkapi perabot baru.