Monday, February 13, 2006

Mawi bina banglo

(Harian Metro - 13/02/2006 - Edisi Nasional)
Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

Hadiah kepada ibu bapa
Bernilai ratusan ribu ringgit
Dua tingkat 6 bilik

KULAI: “Sebagai anak, apa yang saya lakukan kini semuanya untuk ibu bapa saya. Niat saya hanyalah mahu menggembirakan mereka.” Begitulah reaksi pertama Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Mawi mengenai pembinaan banglo dua tingkat untuk keluarganya bermula bulan depan.

Banglo bernilai ratusan ribu ringgit yang mempunyai enam bilik itu akan dibina di atas tapak asal rumah keluarganya di Felda Taib Andak, dekat sini, dan dijangka siap pertengahan tahun ini.

Difahamkan, Mawi menghadiahkan banglo itu kepada ibu bapanya sebagai memenuhi janjinya selepas menjuarai AF3.

Walaupun reka bentuk banglo itu masih dalam peringkat awal perbincangan, bahagian bawahnya dikatakan akan menempatkan dua bilik khusus untuk kegunaan ibu bapa Mawi sebagai tempat beristirehat serta beribadat.

Pembinaan banglo itu akan dilakukan tukang rumah, Ahmad Misidek atau lebih dikenali `Ahmad Kacang’, seorang peneroka Felda Taib Andak yang juga kenalan keluarga Mawi.

Sejak bergelar penyanyi selepas menjuarai AF3 tahun lalu, Mawi kerap meluahkan hasratnya mahu menggembirakan ibu bapanya dan melupakan segala kenangan pahit yang dilalui keluarganya.

Mawi berkata, walaupun ibu bapanya tidak pernah menyuarakan perasaan sepanjang dirinya bergelar penyanyi, dia yakin mereka berpuas hati dengan pencapaiannya.

“Kami sekeluarga memang tidak pernah membincangkan mengenai perasaan masing-masing tetapi daripada raut wajah apabila berjumpa atau berhubung, saya merasakan mereka gembira dengan pencapaian saya.

“Saya tetap anak mereka dan langsung tidak berubah walaupun sudah menceburi dunia hiburan,” katanya, dihubungi semalam.

Bapa Mawi, Ani Ahmad, 65, ketika ditemui, berkata, dia tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan daripada Mawi dan sentiasa bersyukur dengan kejayaannya meniti perjalanan sebagai seorang penyanyi.

Menurutnya, segala yang dilakukan Mawi sama ada mahu membina rumah baru atau menghantar mereka mengerjakan umrah adalah hajat Mawi sendiri.

“Saya tidak kisah...tidur atas kerusi panjang di dapur ini pun sudah cukup selesa dan mewah bagi saya.

“Mawi yang berhajat benar membina rumah lebih selesa untuk kami sekeluarga,” katanya sambil berbincang bersama beberapa kenalan dan tukang rumah yang sedang membincangkan projek pembinaan banglo itu.

Difahamkan Mawi sudah beberapa kali menghubungi keluarganya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai projek pembinaan rumah baru keluarganya itu.

Ani berkata, Mawi memang ada memaklumkan mahu menunaikan hajat menghantarnya dan isteri mengerjakan umrah serta membina rumah baru untuk mereka.

“Saya tidak mahu tergesa-gesa kerana bimbang disalah anggap tetapi Mawi maklumkan tidak salah dia mahu membina rumah baru untuk keluarga kerana ada rezeki,” katanya.

Sejak bergelar juara program realiti hiburan terbitan Astro pada 6 Ogos lalu, rezeki Mawi melimpah ruah.

Selain mendapat royalti melalui jualan album yang laris, Mawi memperolehi bayaran kontrak sebagai duta lima syarikat, bayaran persembahan dan ganjaran RM321,854 yang diterimanya ketika bergelar juara AF3.

Secara keseluruhan, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu dipercayai sudah memperolehi pendapatan lebih RM1 juta dalam tempoh beberapa bulan selepas bergelar juara AF3.

Sementara itu, mengulas hubungannya dengan Mawi, Ani mengakui sejak bergelar artis, dia dan isteri sukar berjumpa anaknya.

Bagaimanapun, sebagai bapa, dia tidak pernah berkecil hati dan faham dengan tanggungjawab anaknya itu.

Malah, katanya, dia sentiasa berpesan kepada Mawi supaya menghormati dan tidak mengecilkan hati peminat yang selama ini banyak membantu kejayaannya sebagai penyanyi.

“Jika ada kesempatan atau sudah lama tidak berjumpa, saya akan ikut Mawi ke lokasi persembahannya kerana kadang-kala bimbang juga keadaannya yang berjauhan daripada keluarga,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di rumah keluarga penyanyi itu mendapati rumah berkenaan sudah berubah apabila pintu dan tingkap cermin berwarna hitam dan jeriji dipasang serta dicat baru, termasuk beberapa tambahan dilakukan di bahagian dapur dengan dilengkapi perabot baru.