Thursday, February 09, 2006

Kempen Belia Benci Dadah di IPTA, IPTS

(Berita Harian - 09/02/2006)

PUTRAJAYA: Kempen papan tanda Belia Benci Dadah akan digerakkan di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam usaha menyampaikan mesej lebih berkesan di kalangan kira-kira 500,000 mahasiswa di seluruh negara.

Kempen bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada Sabtu ini akan dilancarkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said dan dimeriahkan dengan kehadiran Mawi.

Pada sidang media di pejabatnya di sini semalam, Azalina berkata, kempen itu diadakan dengan kerjasama erat serta penajaan swasta dan badan korporat dalam usaha membantu menyampaikan mesej kerajaan menangani masalah dadah, terutama di kalangan belia.

“Saya harap kempen ini akan memberi kesan memandangkan pelajar dianggap contoh terbaik kepada masyarakat. Kita memilih belia yang bersikap positif sebagai jurucakap kempen seperti Mawi.

“Kita memerlukan orang muda untuk bercakap kepada orang muda dan cara ini lebih berkesan,” katanya ketika mengumumkan pelancaran kempen itu, di sini, semalam.

Kementerian melantik syarikat Iklanika Sdn Bhd (Iklanika) mendirikan papan tanda dan mengendalikan urusan penajaan.

Azalina mengucapkan terima kasih kepada Iklanika kerana terbabit dalam usaha murni itu dan berharap ia bukan saja membabitkan IPTA dan IPTS, malah rakyat secara menyeluruh termasuk di luar bandar.

Katanya, 1,500 papan tanda berukuran 1.8 meter x 2.7 meter akan dipasang di lokasi strategik di IPTA dan IPTS.

Pengarah Urusan Iklanika, Datin Noorlinda Abd Talib pula berkata, Gerbang Perdana adalah pihak swasta pertama menaja papan tanda dan dipasang di 30 lokasi sekitar kampus induk UiTM membabitkan perbelanjaan RM4,000 setiap satu setahun.

"Sebanyak 30 hingga 40 papan tanda akan dipasang di setiap kampus induk IPTA. Selain Gerbang Perdana, beberapa syarikat besar lain seperti Telekom Malaysia menunjukkan minat menaja kempen ini.

"Tanpa penaja, kita tidak boleh melaksanakan kempen papan tanda ini dan saya berharap lebih banyak syarikat swasta dan korporat tampil. Kita berusaha mendapat penajaan syarikat seperti Celcom dan DiGi memandangkan majoriti pelajar di universiti menggunakan telefon bimbit," katanya.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Suroya Selamat; Pengarah Urusan Iklanika, Datin Noorlinda Abd Talib dan Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn Bhd (Gerbang Perdana), Datuk Yahya A Jalil.