Sunday, February 12, 2006

Belajar terima kenyataan

(Harian Metro - 12/02/2006 - Dunia Mawi)

KEMENANGAN saya dalam Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL) bagi kategori Persembahan Terbaik serta Irama Malaysia dan Etnik Kreatif tidak diduga. Saat nama saya diumumkan, perasaan terkejut dan terharu mengatasi perasaan gembira.

Secara peribadi, saya terkejut apabila trofi persembahan terbaik berpihak kepada saya. Apa tidaknya, persaingan malam itu cukup sengit, boleh dikatakan semua calon mempamerkan corak persembahan menarik.

Terus terang hati saya berdebar kencang sebelum persembahan bermula, apatah lagi berlaku kesilapan teknikal ketika raptai penuh yang menyebabkan saya gagal menyampaikan persembahan dengan baik.

Biarpun ‘soundcheck’ dilakukan beberapa kali sebelum persembahan bermula, perasaan bimbang insiden itu akan berulang tetap ada. Maklumlah, pertandingan ini bukan calang-calang. Sudah tentu saya mengharapkan semuanya berjalan lancar.

Namun keresahan itu berjaya diredakan apabila saya menganggap AJL sebagai satu program persembahan yang bertujuan menghiburkan penonton dan bukan satu pertandingan.

Saya percaya sesebuah lagu dapat disampaikan dengan baik jika fikiran tenang dan kerana itu kita perlu mengelak tekanan yang boleh menyebabkan kita panik serta hilang tumpuan.

Dan, hasilnya memang tidak menghampakan. Saya berpuas hati dengan persembahan saya. Sebaik saja turun dari pentas, saya minta pandangan M Nasir dan dia memaklumkan persembahan saya melepasi jangkaan, malah berpotensi untuk meraih trofi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif.

Pun begitu, saya tidak meletakkan apa-apa harapan. Sebagai penyanyi, saya cuba memberikan yang terbaik dengan harapan penonton terhibur.

Selebihnya, saya serahkan kepada barisan juri dan penonton (yang mengundi melalui khidmat pesanan ringkas — SMS) untuk menilai sejauh mana keberkesanan persembahan saya.

Pada kesempatan ini saya ingin merakam terima kasih tidak terhingga kepada peminat yang mengundi saya. Saya benar-benar terharu dengan sokongan kalian yang tidak pernah putus sejak awal pembabitan saya hingga ke hari ini. Terima kasih sekali lagi.

Lanjutan kejayaan meraih dua lagi trofi dalam AJL baru-baru ini, ada pihak menggelar saya Raja SMS.

Tidak kira baik atau buruk persepsi diberikan di sebalik gelaran itu, saya terima seadanya, malah tidak pernah ambil hati jika ada yang memandang rendah keupayaan saya.

Orang ramai boleh berkata apa saja. Terserah... Saya percaya ia jadi satu doa. Cuma satu yang ingin saya tekankan di sini, bagi mereka yang tidak berpuas hati, belajarlah menerima kenyataan kerana itu adalah format pertandingan.

Harus diingat, pertandingan membabitkan undian melalui SMS menjadi ikutan masa kini. Jangan pandang rendah kerana ia juga ada harga, apatah lagi membabitkan keputusan peminat.

Usah dipertikai keputusannya kerana ia berkait rapat dengan rezeki seseorang. Mungkin hari ini rezeki saya, esok lusa siapa tahu, mungkin milik orang lain pula.

Oh ya, bercerita mengenai jadual sepanjang minggu ini, saya dan pelajar AF3 berpeluang menjejakkan kaki ke Kelantan dan Kuantan menerusi program AF Tour.

Selasa lalu, kami sepatutnya menghiburkan peminat di Kelantan, tetapi menghampakan apabila persembahan itu terpaksa dibatalkan dan digantikan dengan acara berbalas pantun dengan penyampai radio Kelantan fm.

Lebih mengecewakan apabila ramai penonton salah faham dengan promosi yang dihebahkan menerusi radio. Sepatutnya, mereka berjumpa kami di Billion Mall jam 12 tengah hari tetapi dek kerana salah hebahan, ramai peminat berkumpul di KB Mall.

Saya mewakili rakan AF3 yang lain memohon maaf di atas kesulitan itu. Insya-Allah, kita akan bertemu lagi pada masa depan.

Sehari selepas konsert di Kelantan, saya dan rakan menghiburkan peminat di Kuantan pula. Peminat di sana memang ‘sporting’ dan ‘happening’.

Masih terbayang senyuman manis dan sorakan mereka yang sanggup menunggu beberapa jam lebih awal sebelum persembahan bermula.

Semalam saya diundang memberi ceramah untuk program Kempen Belia Benci Dadah anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Saya terharu dengan sokongan yang diberikan pelajar IPT terkenal itu.

Sama seperti ceramah sebelum ini, saya berkongsi macam-macam cerita dengan mereka, termasuk pengalaman berdepan penagih dadah. Harapnya ia dapat menjadi teladan, sekali gus menyedarkan pelajar supaya menjauhi ‘najis’ yang boleh membawa maut itu.

Cukup sampai di sini saja, nantikan perkembangan terbaru saya di ruangan berikutnya. Jumpa lagi minggu depan. Wassalam.