Sunday, January 08, 2006

Sibuk berlatih untuk AJL

(Harian Metro - 08/01/2006 - Dunia Mawi)

TATKALA menulis artikel ini (Selasa lalu), saya berada di Muar, Johor. Seperti biasa, melunaskan tanggungjawab sebagai penyanyi dengan memenuhi undangan persembahan di sana.

Selesai tugas di Muar, saya bersama beberapa kakitangan Maestro bergegas pula ke Ipoh untuk penggambaran klip video single terbaru iaitu Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Perjalanan merentasi lebuh raya Utara-Selatan yang memakan masa kira-kira tujuh jam sedikitpun tidak memberi tekanan kepada saya.

Memang agak meletihkan namun saya tidak pernah mengeluh kerana menganggap ia sebahagian daripada rutin sebagai penyanyi. Kalau dulu kehidupan saya agak statik namun kini pelbagai pengalaman dan suasana baru dapat saya kecapi.

Satu impian

Antaranya, berpeluang berkunjung ke kota besar, pekan kecil dan kawasan pedalaman seluruh pelosok negara yang mana dulu hanya menjadi salah satu impian saya.

Berbalik kepada proses rakaman klip video di Ipoh, ia memang menyeronokkan apatah lagi dilakukan jauh daripada kesesakan kota raya Kuala Lumpur. Semua krew memberikan sepenuh tumpuan pada kerja malah saya berpeluang meluaskan pengetahuan kerja-kerja di belakang tabir khususnya pembikinan klip video.

Semua itu saya kutip sebagai pengalaman yang boleh membantu saya di masa hadapan. Manalah tahu satu hari nanti saya ingin beralih angin meneroka dunia penggambaran, setidak-tidaknya saya boleh jadikan pengalaman ini sebagai panduan.

Sepanjang bulan ini, tumpuan saya lebih kepada Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung pada 5 Februari depan. Sebagai orang baru, saya tidak ada pengalaman dan harus melakukan persiapan rapi.

Soal menang atau kalah bukanlah fokus utama kerana ia terpulang pada rezeki. Apa yang lebih penting adalah persembahan yang baik dan meninggalkan kesan kepada penonton.

Kali ini saya bertanding bukan atas tiket ‘Mawi’ sebaliknya kerana keunikan lagu ciptaan M Nasir dan Loloq. Saya tidak mahu hasil kerja mereka diperlekeh atau dipersenda kerana kesilapan saya.

Justeru, saya harus melakukan yang terbaik selaras dengan kepercayaan yang diberikan orang ramai khususnya barisan juri yang sebulat suara memilih lagu ini untuk dipertandingkan ke peringkat akhir.

Sebelum beraksi di atas pentas pertandingan, saya akan menjalani latihan secara intensif di bawah bimbingan M Nasir. Apa yang ditekankan kali ini adalah vokal dan cara nyanyian. Corak persembahan masih dalam perbincangan namun saya difahamkan kemungkinan besar akan diserikan dengan 20 penari.

Bunyinya memang ramai tetapi ia bersesuaian dengan melodi lagu Aduh Saleha. Lebih ramai penari, lebih berseri dan meriah persembahan saya nanti. Pun begitu, ia bukanlah daya tarikan utama kerana apa yang lebih penting nanti adalah vokal.

Kepada peminat di luar sana, jangan lupa doakan kejayaan saya. Sesungguhnya sokongan kalian menjadi pemangkin semangat saya.

Cukup sampai di sini saja, kita bertemu lagi di minggu hadapan dengan cerita baru yang lebih menarik.

Wassalam...