Sunday, January 01, 2006

Sedia lebar sayap ke layar perak

(Harian Metro - 01/01/2006 - Dunia Mawi)

SELAMAT Tahun Baru! Selamat tahun baru diucapkan kepada rakyat Malaysia.

Pantas betul masa berlalu, tibalah masanya kita mengucapkan selamat tinggal 2005 dan mengucapkan salam pertemuan 2006. Sudah menjadi kelaziman, setiap kali tahun baru menjelang pasti azam menjadi topik paling hangat. Sana-sini orang asyik bertanya dan bercerita mengenainya. Saya juga tidak terkecuali apatah lagi ramai rakan media yang bertanya. Jenuh jugalah menjawab maklum sebelum ini tidak ada yang bertanya kecuali di zaman persekolahan yang sekian lama saya tinggalkan. Ingin tahu azam saya?

Okaylah, sebenarnya saya ada banyak azam. Pertama sekali ingin membawa kedua-dua orang tua mengerjakan umrah di Makkah. Rasanya ramai sudah sedia maklum mengenainya kerana sebelum ini sudah beberapa kali saya utarakan namun hajat itu tidak kesampaian berikutan terlalu sibuk memenuhi undangan persembahan. Insya-Allah saya akan usahakan agar ia dapat direalisasikan tahun ini.

Kedua, saya ingin mengekalkan status dalam industri dan memperbaiki diri daripada pelbagai aspek termasuklah keperibadian, penampilan, vokal dan persembahan selaras dengan harapan peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini. Saya tidak mahu menghampakan depan mereka, justeru haruslah melakukan yang terbaik.

Seterusnya, saya ingin menceburi dunia perniagaan. Pengkhususan belum lagi saya fikir, apa yang boleh saya katakan, mungkin ia berkaitan dengan bidang hiburan dan diri saya sendiri. Semua itu untuk persediaan masa hadapan. Sebagai artis, saya sedar tidak selamanya dapat bertahan dan diminati ramai. Bukankah kehidupan kita seperti sebuah roda, begitu juga dengan dunia artis. Mungkin hari ini saya masih diminati tetapi esok lusa, siapa yang tahu? Oleh sebab itu saya harus melakukan persediaan lebih awal. Setidak-tidaknya saya menyediakan payung sebelum hujan. Saya bersyukur dikelilingi mereka yang sentiasa menyokong saya khususnya pihak pengurusan Maestro. Mereka memberikan saya banyak tips dan pandangan bagaimana mahu memulakan perniagaan. Sebagai orang baru, saya jadikan semua nasihat serta idea bernas mereka sebagai panduan dan pedoman. Begitu juga dengan beberapa orang teman yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Insya-Allah, kita akan bercerita lebih lanjut mengenai perkara ini apabila saya benar-benar bersedia.

Selain itu, saya ingin melebarkan sayap ke layar perak. Sebelum ini saya ada menerima lebih daripada enam tawaran daripada pelbagai syarikat perfileman namun terpaksa menolak secara baik kerana kesuntukan masa. Jadual saya terlalu padat, bimbang tidak dapat memberikan sepenuh komitmen. Kesannya akan terpalit kepada produksi dan akhirnya saya juga yang dipersalahkan. Lagipun terlampau awal untuk berkecimpung sebagai pelakon walhal saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan anak seni. Dan, kini saya sudah bersedia. Isya-Allah, jika jadual tidak terlalu padat dan diberi watak yang bersesuaian dengan imej saya akan menerima tawaran dari mana-mana pihak yang berminat. Tidak salah jika saya mencuba dan jika peminat merestuinya saya anggap itu sebagai rezeki.

Dengan menjelangnya 2006, bermakna saya harus bekerja lebih keras. Dalam waktu terdekat ini saya harus mempersiapkan diri dengan cabaran Anugerah Juara Lagu. Seperti yang saya katakan minggu lalu, persiapan kali ini dilakukan dengan lebih teliti termasuklah berlatih dengan sifu M Nasir yang menghasilkan lagu Aduh Saleha bersama Loloq.

Bulan ini juga saya akan mempromosikan album sulung saya di seluruh pelosok negara. Tidak sabar rasanya menunggu aktiviti ini. Saya berpeluang bertemu dan berbual dengan peminat. Antara soalan yang akan saya ajukan pada mereka adalah lagu manakah yang paling mereka gemari. Dari situ saya akan mengetahui kecenderungan pendengar seterusnya menjadikannya sebagai panduan dalam penghasilan album akan datang.

Sampai di sini saja, bertemu lagi kita di minggu hadapan. Selamat Tahun Baru... Bersesuaian dengan kehadiran tahun baru, marilah sama-sama kita muhasabah diri. Belajar perbaiki kelemahan diri dan jadilah insan yang lebih baik dari sebelum.