Wednesday, January 25, 2006

Suara jantan Mawi bantu promosi Persona Non Grata

(Utusan Malaysia - 25/01/2006)
Oleh: MOHD. ARIF NIZAM ABDULLAH

Lagu-LAGU tema filem kini dijadikan para penerbit filem Malaysia sebagai unsur penting dalam promosi filem-filem baru.

Populariti lagu tema bakal menyumbang kepada minat pendengar untuk datang ke pawagam menonton sesebuah filem.

Lagu tema filem boleh diibaratkan sebagai cerita pendek untuk menyampaikan maksud yang jelas tapi ringkas sebagai pembuka halwa telinga pendengar.

Menggunakan pendekatan baru yang bijak itu, syarikat penerbit filem Nizarman (M) Sdn. Bhd. tampil melancarkan lagu tema filem terbaru mereka, Persona Non Grata.

Lagu berjudul Hanya Untukmu itu dinyanyikan oleh Mawi.

Majlis pelancaran lagu tema Persona Non Grata itu diadakan di Hotel Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini yang turut dihadiri oleh penerbitnya, Ruhani Abdul Rahman, pengarah filem Syed Azidi Syed Abdul Aziz dan barisan pelakon utama filem itu, antaranya Erra Fazira, Hans Isaac dan Syanie.

Turut hadir memberi sokongan ialah Rosyam Noor, Panshah, Rubiah Suparman dan Habsah Hassan.

Bagaimanapun, pada majlis itu Mawi, juara Akademi Fantasia 3 (AF3), tidak dapat hadir kerana terikat dengan sesi penggambaran sebagai duta produk di sekitar ibu kota.

Wajah Ruhani sedikit pun tidak terlukis rasa terkilan dengan ketiadaan Mawi, malah beliau sentiasa tersenyum.

Kata Ruhani, beliau amat memahami jadual Mawi yang begitu padat.

Bagi pihaknya, komitmen tinggi yang diberikan oleh Mawi sepanjang proses rakaman lagu tema itu sudah cukup berbaloi.

“Mawi betul-betul menghayati lirik lagu Hanya Untukmu. Walaupun dia nampak letih, saya puji sikap Mawi. Saya tahu Mawi memang sibuk ketika ini.

“Mawi mengambil masa dua hari untuk menyiapkan lagu ini. Pada hari pertama rakaman, Mawi tidak puas hati dengan hasilnya. Keesokannya Mawi merakamkan semula lagu ini,” kata Ruhani selepas majlis pelancaran lagu tema filem Persona Non Grata itu.

Apabila ditanya tentang kualiti yang ada pada Mawi sehingga dipilih menyanyikan lagu tema filem itu, Ruhani berkata, Mawi mempunyai ‘suara jantan’ yang dicari-cari.

Beliau percaya suara jantan Mawi dapat menggambarkan luahan hati Hans dalam filem itu.

“Suara Mawi ada power. Ia penting supaya mesej lagu ini sampai kepada penonton,” jelas Ruhani.

Ruhani pada mulanya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan Mawi.

“Akhirnya saya tetapkan satu tarikh akhir kepada Mawi. Kalau tidak boleh, Nizarman akan cari pengganti yang lain. Sudah ditakdirkan jodoh Mawi ada dengan Nizarman,” kata Ruhani yang pernah membayangkan penyanyi Jamal Abdillah sebagai pengganti Mawi.

Kekuatan

Lagu Hanya Untukmu, kata Ruhani, akan dimainkan di Radio Era mulai minggu depan. Selain itu, Nizarman juga sudah menyiapkan tiga versi The Making of Persona Non Grata untuk tiga buah stesen televisyen.

“Persona Non Grata akan ditayangkan kepada media pada pertengahan Februari depan. Selepas itu akan bermulalah promosi filem ini sepenuhnya,” jelasnya.

Ruhani menafikan beliau mengambil kesempatan daripada populariti Mawi yang memuncak ketika ini. Dengan jujur beliau mengakui sebagai penerbit filem beliau memerlukan sebanyak mungkin publisiti untuk filem terbarunya itu.

Ruhani menjelaskan kelainan jalan cerita Persona Non Grata yang tidak terlalu stereotaip adalah visi syarikat itu dalam menonjolkan kekuatan setiap filem terbaru keluaran Nizarman.

“Kekuatan Persona Non Grata terletak pada jalan cerita. Ia mengisahkan filem percintaan yang lebih dewasa dan bukannya filem cinta remaja. Ini kerana heroinnya (Erra) bercinta dengan hero yang jahat (Hans). Kebiasaannya filem-filem Melayu mengisahkan percintaan hero dan heroin yang baik sahaja.

Bagi penonton yang tidak suka tengok filem remaja, inilah peluang mereka untuk menonton percintaan dewasa.

“Pasaran penonton filem Melayu perlu dikembangkan supaya ada pelbagai pilihan. Ini kerana ada penonton meminati filem komedi, cinta remaja dan aksi,” tutur Ruhani ramah sambil berharap permulaan yang baik bagi filem Melayu pada 2006 ini akan berterusan sepanjang tahun.

“Saya harap peminat filem Melayu datang memberi sokongan kepada filem Melayu sendiri. Kalau orang Melayu tidak bagi sokongan, siapa lagi yang hendak bantu,” katanya menggesa orang Melayu mencontohi sikap penonton filem di Filipina yang memperuntukkan waktu menonton filem tagalog setiap minggu di pawagam.

Melabur

Sementara itu, penerbit bersama Perona Non Grata, Hans Isaac yang turut melabur dalam pembikinan filem itu melalui syarikatnya, Toll Order Production Sdn. Bhd., berkata:

“Saya ingin bekerjasama dengan Ruhani yang saya anggap sebagai ibu angkat kerana saya yakin dengan jalan cerita filem ini yang menarik dan berbeza.”

“Bagi saya, Persona Non Grata adalah filem untuk semua golongan sama ada untuk remaja atau dewasa,” jelas Hans yang memegang watak sebagai hero jahat dalam filem itu.

Persona Non Grata siap sepenuhnya Jun lalu dan telah menjalani penggambaran selama 45 hari yang diadakan dua minggu di Kuala Lumpur dan empat minggu di Bangkok, Thailand.

Persona Non Grata adalah istilah Latin yang bermaksud seseorang yang tidak akan kembali.

Filem ini mengisahkan percintaan seorang wanita yang ingin mengingati kembali masa silamnya dan seorang lelaki yang ingin melupakan kisah lalu.

Hey (Erra) membawa diri ke Bangkok untuk bertemu dengan seorang rakan lama. Hey, bagaimanapun, ditimpa kemalangan dan hilang ingatan setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya. Lelaki yang bertanggungjawab melanggarnya ialah Ben (Hans). Ben berusaha memulihkan Hey dan mereka kemudian jatuh cinta.

Ketika perhubungan mereka semakin intim, Hey keliru sama ada dia memilih Ben atau menyisihkan lelaki itu daripada hidupnya.

Friday, January 20, 2006

Misi Suara Hati catat kutipan RM122,445.46

(Berita Harian - 16/01/2006)
Oleh Hanisah Selamat


JIKA musim terdahulu lebih menjurus kepada bantuan individu, kali ini lapan penuntut universiti bergabung tenaga menjayakan projek bagi membantu Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Sungai Choh, Rawang yang dihuni anak istimewa. Kesudahannya RM122,445.46 dikumpulkan.

Kemuncak projek yang dimulakan pada 30 November lalu ialah Konsert Malam Gala MSH berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dengan menggabungkan ramai penyanyi popular.

Konsert yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria itu membariskan Dayang Nurfaizah, Ella, Flop Poppy, Elyana, Akma, Too Phat, Yasin dan Brothers, manakala Nazril Idrus serta Maznah Zulkifli menjadi pengacara.

Sebagai pembuka acara, Sahri, memilih lagu Namunku Punya Hati diikuti kemunculan Dayang Nurfaizah yang mengenakan baju kurung lace bersama Sri Bulan dan tidak ketinggalan lagu Warisan. Persembahannya nyata memikat hadirin yang memberikan tepukan gemuruh.

Bagi peminat Ella, pasti hati berbunga riang mengikuti dendangannya yang dipetik daripada filem Gol & Gincu, Teruja disusuli lagu Kasih. Seorang lagi bakat Akademi Fantasia, Bob turut menyerikan malam amal itu dengan Mana Bumi.

Antara penyanyi lain yang menyumbangkan suara adalah Flop Poppy yang mengalunkan Ya Kamu serta Mimpi Sedih selain Zarina AF (Bagaikan Puteri), Idayu (Kasih Yang Terpisah) dan Akma (Joget Kasih Tak Sudah).

Artis remaja, Elyana pula mengalunkan Penantian dan Tak Tercapai Akalmu.

Begitu pun, pemilihan pakaian dilihat kurang bersesuaian untuk majlis amal apabila mengenakan gaun labuh jarang bertali halus tambahan pula penonton di kalangan penuntut universiti, anak istimewa dan tetamu kehormat.

Apatah lagi, pada malam itu berulang kali pengacara majlis menekankan tema Batik kepada hadirin dan penonton malah penyanyi lain juga dilihat begitu menghormati acara dengan memilih persalinan bermotifkan batik yang cukup sopan.

Sementara itu, paling menghangatkan pentas adalah penampilan duo Too Phat yang turut mengundang Yasin bersama Brothers menyampaikan lagu Alhamdulillah. Aura dendangan penuh bererti itu sudah cukup menghiburkan penonton.

Sambil berhibur, sebuah sajak dideklamasikan Bob dengan dilatari tayangan video isteri Perdana Menteri, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, yang juga Penaung Yayasan Budi Penyayang Malaysia di atas usaha kemasyarakatan.

Suasana bertukar hening tambahan pula menyaksikan sendiri kegigihan wanita pertama itu merealisasikan masyarakat Malaysia yang bersatu padu dalam harmoni, di samping meninggikan martabat khazanah seni negara menerusi Batik Malaysia. Bukan sekadar dendangan solo, repertoire persembahan merangkumi paduan suara termasuk gandingan Akma dan Zarina (Joget Kasih Tak Sudah) serta nyanyian beramai-ramai lagu tema Misi Suara Hati, termasuk penampilan Mawi.

Sementara itu, lapan pelajar pilihan ialah Nor Faiz Mohd Nor, 22 (Johor), Muhd Asyraf Che Mat, 22 (Kelantan), Sharifah Sheffa Mashuri Syed Tahir,24 (Kuala Lumpur), Ali Adam Hamzah, 21 (Sabah), Abdul Aziz Salimuddin, 25 (Pulau Pinang), Nor Farina Jamaluddin, 21 (Sabah), Farah Elwani Abdul Rani, 24 (Selangor) dan Nazatul Sofia Abdul Rahim, 21 (Johor).

Selama 27 hari sehingga 24 Disember, mereka melakukan pelbagai aktiviti ke arah merealisasikan misi berkenaan termasuk mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat korporat menjual meja majlis makan malam yang diadakan di Hotel Legend.

Sumbangan pihak lain juga mampu meringankan beban apabila pembekal makanan memperuntukkan tajaan kepada peserta dan penghuni rumah berkenaan malah mereka turut mendapatkan komputer untuk kegunaan di pusat komuniti.

Monday, January 16, 2006

Saya masih Mawi yang dulu

(Harian Metro - 16/01/2006)
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

“SAYA belum jadi jutawan lagi”. Itulah jawapan ringkas Asmawi Ani atau Mawi berhubung pendapatannya sebagai penyanyi dan juga duta pelbagai produk yang mengikut congak, dia sudah layak bergelar jutawan muda.


BINTANG AF...Felix, Akma dan Mawi akan menjayakan Konsert Malam Seroja Bersama Mawi. — Gambar FATHIL ASRI

“Saya masih lagi Mawi yang dulu. Tidak berubah dan belum lagi layak bergelar jutawan. Bagaimanapun, saya menyambut kejayaan ini dengan penuh kesyukuran.

“Pada Aidiladha lalu, saya menyempurnakan ibadah korban untuk kami sekeluarga dengan menumbangkan seekor lembu yang kemudian diagihkan kepada orang kampung.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat ini saya juga akan menghantar emak dan ayah mengerjakan umrah. Ada rezeki saya juga akan buat umrah tetapi bukan bersama mereka kerana belum ada masa terluang.

“Paling mustahak saya kena tunaikan dulu hajat saya untuk menghantar emak dan ayah ke Makkah. Tanpa doa dan restu mereka tak mungkin saya akan berjaya seperti hari ini,” katanya yang ditemui pada sidang akhbar Konsert Malam Seroja Bersama Mawi di Malaysian Petroleum Club, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Konsert anjuran Kuzie Production & Entertainment itu akan berlangsung dua malam, 21 dan 22 Januari di Kompleks Belia, Seksyen 7, Shah Alam. Penganjur turut mengundang Akma dan Felix. Di samping itu penampilan Raja Azura dan Azlee Senario menceriakan lagi konsert itu.


BINCANG...(dari kiri) Akma, Freddie, Raja Roslay, Mawi dan Felix bertemu bagi merancang bentuk persembahan pada malam konsert itu yang akan dihadiri ramai VIP.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Pengarah Urusan Kuzie Production, Raja Roslay Raja Mazlan dan Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Entertainment, Freddie Fernandez.

Berbalik kepada gelaran jutawan, sejak bergelar Juara AF3, ada pihak meramalkan Mawi bakal meraih pendapatan sebanyak RM1.3 juta hasil persembahan dan juga menjadi duta kepada tujuh produk. Terbaru dia menjadi duta produk kesihatan keluaran Felda Herbal Corporation Sdn Bhd di bawah jenama Biofeld.

Lalu dengan jumlah yang begitu besar timbul spekulasi mengenai pengurusan kewangan pemuda kelahiran Felda Taib Andak, Kulai ini sehingga mencetuskan kebimbangan kebarangkalian hasil pendapatan Mawi tidak diuruskan sewajarnya.

Terdengar juga khabar angin kononnya ada sesetengah pihak yang cuba mengaut keuntungan hasil daripada popularitinya itu.

Pada pertemuan itu, Mawi menjelaskan yang pihaknya sudah pun menubuhkan Mawi World Sdn Bhd (Mawi World) dan setiap pendapatannya dibayar atas nama syarikat.

“Ini juga berkaitan pembayaran cukai pendapatan saya. Sekiranya wang itu dibayar terus kepada saya secara individu, jumlah yang saya kena bayar agak tinggi dan jika melalui syarikat, jumlah taksirannya kurang sedikit.

“Bagaimanapun, setakat ini Mawi World hanya menguruskan pendapatan saya. Manakala urusan kerjaya masih dikendalikan Maestro. Buat masa sekarang, saya belum tahu lagi bentuk perniagaan yang akan diterokai.

“Tambahan sekarang saya begitu sibuk dengan persembahan dan menjadi duta produk. Biarlah saya sempurnakan kedua-dua tugasan itu terlebih dulu sebelum serius dalam perniagaan,” katanya.

Mawi World yang ditubuhkan pada September 2005 diuruskan Mawi sendiri dan beberapa lagi profesional berkaitan pengurusan kewangan dan perundangan.

Perkara lain yang sering dikaitkan dengan juara AF dan juga bekas pelajar lain ialah kemunculan Akademi Fantasia musim baru yang dikhuatiri akan menggugat kedudukan mereka seterusnya mengurangkan perhatian pihak pengurusan kerana perlu menguruskan kedatangan bintang baru pula.

Berkongsi perasaan dengan Mawi, katanya dia tidak gentar mendengar persiapan untuk AF4 sedang rancak dibuat.

“Saya terimanya dengan tenang dan hati terbuka serta serahkan semuanya kepada rezeki dan juga ketentuan Allah. Kita tunggulah saja kedatangan AF4.

“Selain itu saya tidak memikirkannya sangat kerana sepanjang tahun ini saya sibuk mempromosikan produk yang saya wakili di seluruh negara. Sehingga April ini, jadual saya sudah penuh,” katanya.

'Saya sendiri tak berani nak cakap'

(Berita Harian - 16/01/2006)
Oleh Zul Husni Abdul Hamid


TRIO KONSERT: Felix (kiri), Akma dan Mawi

Ramai akur kehebatan aura bintang ciptaan program realiti Akademi Fantasia 3 ini belum pudar

LALU apabila banyak pihak termasuk artis meramalkan gelaran Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 menjadi miliknya, dia terkedu.

Mawi, bintang terhangat di pasaran ketika ini hanya tersenyum. Dengan penuh merendah diri anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor yang diberi nama Asmawi Ani, berkata dia menyerahkan semuanya kepada peminat.

“Itu kata orang... Saya sendiri tidak berani nak cakap peluang saya.

Semua itu terserah kepada peminat kerana mereka yang mengundi,” katanya yang ditemui selepas sidang media Konsert Malam Amal Seroja Bersama Mawi, Felix dan Akma, baru-baru ini.

Dua pencalonan iaitu bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular, kata Mawi, sudah cukup membuat dia rasa bertuah.

“Terperanjat, rasa bertuah kerana saya masih baru tapi terus tersenarai dalam barisan finalis. Entahlah... Saya tidak mahu meletak harapan tinggi.

Saya serahkan kepada peminat,” ulang Mawi lagi.

Selain ABPBH 2005 yang akan berlangsung 26 Februari ini di Arena Of Stars, Genting Highlands, Mawi juga bakal beraksi di final Anugerah Juara Lagu Ke-19, 5 Februari depan mempertaruhkan lagu ciptaan M Nasir, Aduh Saliha.

“Menyertai beberapa anugerah besar dalam waktu terdekat cukup memberikan saya debaran,” katanya.

Dalam kesibukan membuat persediaan, jadual Mawi pada 2006 terus dipadatkan pelbagai tawaran persembahan.

Awal tahun diraikan di Brunei, manakala 21 dan 22 Januari ini dia beraksi dalam konsert amal di Dewan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam.

Malah, kesibukan Mawi akan berlarutan hingga akhir tahun termasuk kesibukannya dengan komitmen sebagai duta produk. Bagaimana Mawi menikmati kehidupannya yang berubah sekelip mata?

“Saya tanamkan dalam diri supaya sentiasa bersyukur. Penat memang penat, tetapi saya sentiasa ingatkan diri supaya berusaha keras dan memberikan yang terbaik kepada peminat. Mereka meletakkan saya di sini, justeru, saya perlu memberikan sesuatu yang dapat membuat peminat berpuas hati,” katanya.

Sudah boleh digelar jutawan?

“Saya belum jadi jutawan lagi. ‘Ribu-ribuan’ tu adalah. Moga ia menjadi doa kepada saya,” katanya.

Antara perancangannya tahun ini menghantar ibu bapanya mengerjakan umrah, selain memantapkan pengurusan syarikat yang baru ditubuhkan Mawi World Sdn Bhd, September lalu.

“Dalam syarikat ini ada penasihat kewangan dan peguam yang akan mengawasi perjalanan segala yang berkaitan dengan urusan karier seni saya. Bagaimanapun, belum ada perancangan lain memandangkan ketika ini saya terlalu sibuk,” katanya yang turut memaklumkan pendaftaran Kelab Sahabat Mawi (Mawi FC) sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Konsert Malam Amal Seroja Bersama Mawi, Felix dan Akma SELAMA dua malam pada 21 dan 22 Januari di Dewan Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam, Mawi bersama dua lagi bintang AF3 iaitu Felix dan Akma akan menjayakan Konsert Amal Seroja.

Bakal diserikan dengan kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo, sumbangan konsert anjuran Kuzie Productions & Entertainment itu akan disalurkan kepada Yayasan Harapan dan Badan Amal Balkis.

“Hingga kini, sudah 70 peratus tempahan diterima, manakala 30 peratus lagi dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, kami belum menetapkan jumlah tertentu yang akan disalurkan nanti,” kata Pengarah Urusan Kuzie Production & Entertainment, Raja Roslay Raja Mazlan.

Mawi akan menghiburkan tetamu dengan lagu daripada album sulungnya, Yang Tercinta. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Kian, Perempuan, Cinta Hakiki dan Aduh Saliha serta berduet dengan Felix lagu popularnya, Lagu Jiwa Lagu Cinta.

Sementara itu, Felix dan Akma akan mendendangkan beberapa lagu solo dan duet seperti Nazam Berkasih, Warkah Berlagu Pilu dan Lagu Rindu.

Info:
  • Harga meja: Berlian - RM5,000; Zamrud - RM4,000; Nilam - RM3,000; Delima - RM2,000

  • Tiket individu dijual pada harga RM500, RM400, RM300 dan RM200.

  • 20 pemanggil bertuah yang menyanyikan lagu Seroja dengan baik akan mendapat tiket percuma.

  • Untuk pertanyaan, hubungi Kuzie Production & Entertainment di 03-55116700, 019-3532277, 012-2805071 dan 019-2353531.
  • Sunday, January 15, 2006

    Penangan baru 'MAWIE'

    (Berita Harian - 15/01/2006 - Bintang Popular)
    Oleh Zubir Mohd Yunus


    SIAPA kata dunia hiburan hanya milik wanita semata-mata? Lihat saja penangan Mawi dan kejayaan filem tanpa pelakon wanita cantik atau popular - Baik Punya Cilok (BPC) yang dibintangi Awie & The Gang. Khas untuk anda, Bintang Popular berjaya mempertemukan Mawi & Awie. Dan nama baru mereka .... Mawie!

    ORANG selalu berkata, tiada yang lama, tiadalah yang baru. Justeru, tiada siapa dapat menolak hakikat bahawa sebelum munculnya Mawi, sudah ada artis lelaki yang lebih dulu meniti jambatan populariti. Nama pun seakan-akan sama, dialah bintang filem komedi Baik Punya Cilok (BPC), Awie.

    Malah bercakap mengenai Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Awie lebih dulu meraih kejayaan demi kejayaan. Kali pertama Awie menggenggam trofi ABPBH ialah menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular 1994.

    Ini diikuti ABPBH 1995, juga menerusi kategori yang sama selain Penghibur TV Lelaki Popular. Seterusnya, Awie memonopoli kategori Penyanyi Lelaki Popular serta Pelakon Filem Lelaki Popular pada ABPBH 1996. Kali terakhir dia dijulang sebagai Penyanyi Lelaki Popular adalah menerusi ABPBH 1997 dan selepas itu Awie mula low-profile.

    Namun kini, Awie bangkit semula bersama album terbarunya, Santai, selain filem BPC. Sekali gus ia membuktikan taring Awie masih tajam tetapi dia tetap cool apabila berdepan ramai bintang realiti TV, termasuklah Mawi.

    Awie menjelaskan, sebenarnya istilah come back tiada dalam karier seninya kerana dia tidak pernah berhenti menyanyi mahupun berlakon.

    Cuma selama ini dia cuba berlari seketika daripada publisiti.

    “Saya bersyukur kerana Tuhan terus memberi saya kekuatan dan peminat pula masih menerima diri saya. Sebenarnya saya masih membuat show, kadang-kadang bersama Wings. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, saya tak ada album baru. Jadi, tidak ada banyak benda baru yang hendak diceritakan.

    “Tapi apabila sudah ada album Santai dan filem BPC, adalah benda baru untuk dikongsi peminat,” kata Awie.

    Apakah resipi Awie untuk mempertahankan namanya?

    “Setiap artis perlu ada karektor tersendiri.

    Paling penting, karisma. Kepada artis baru, saya cuma minta mereka luaskan minda dan janganlah jadi anak seni yang kosong pemikirannya,” pesan Awie.

    Yang jelas, laluan Mawi lebih pantas untuk mencapai populariti dan menjadi jutawan sementara Awie terpaksa menempuh banyak jalan berliku. Komen Awie?

    “Setiap zaman berbeza. Dulu mana ada SMS, sebaliknya zaman kami hanya ada surat khabar.

    Contohnya, macam undian ABPBH. Program realiti TV memang lebih mendekatkan lagi peminat dengan bintang pujaan mereka, sebaliknya artis zaman dulu hanya muncul di TV apabila diperlukan pihak TV saja.

    “Nasihat saya untuk Mawi. Untuk bertahan, dia kena kerja keras. Kalau album solo pertamanya mampu capai 120,000 unit, janganlah fikir itu satu keselesaan kerana album kedua adalah ujian seterusnya.

    “Ingat, apabila kita dipuja, kita 'tidak boleh' melakukan sedikit kesilapan pun. Apabila ada silap, kita akan mula dikeji dan terus 'mati'. Jadi, saya harap Mawi bertahan dengan karektornya itu dan jangan tersilap langkah. Tersilap sekali, ia akan membawa 'binasa'. Orang akan lebih ingat keburukan artis berbanding kebaikan kita,” kata Awie.

    Bagi Mawi pula, tuah terus dikecapinya apabila tercalon dalam dua kategori - Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular - dalam ABPBH 05.

    “Semuanya rezeki. Apa yang saya kecapi hari ini datangnya daripada sokongan peminat juga dan saya amat bersyukur dan menghargai semua itu.

    “Menang atau kalah dalam ABPBH 05, saya hanya berserah. Setiap artis yang bertanding ada peminat masing-masing. Jadi, keputusan terletak di tangan mereka,” ujar Mawi.

    Bagaimanana dengan pendapatan Mawi yang macam durian runtuh? Sudahkah dia bersedia membayar cukai?

    “Saya sendiri tak pernah buat kira-kira mengenai pendapatan saya. Tapi, saya tak akan lupa tanggungjawab, kalau ada cukai yang perlu diselesaikan.

    Saya serahkan tugas itu kepada pihak Maestro Talent untuk membantu,” jelas Mawi.

    Apa pula komen Mawi mengenai Awie?

    “Saya sendiri peminat Awie dan Wings. Lagu seperti Hukum Karma dan Sejati terus segar dalam ingatan saya sampai hari ini. Bukan senang untuk Awie bertahan hingga hari ini. Segala pesan Awie itu akan saya ingat sampai bila-bila.

    Secara peribadi, Awie kelakar dan sporting. Walaupun dia superstar, dia tidak sombong,” akui Mawi.


    Info Mawi

  • Album sulung Mawi, Yang Tercinta yang berada di pasaran sejak 7 November lalu, kini terjual melebihi 120,000 unit. Menurut laporan Harian Metro terbitan 31 Disember lalu, Siti Nurhaliza mengambil masa beberapa tahun untuk bergelar jutawan, sebaliknya Mawi hanya perlu lima bulan saja mulai Ogos lalu.

  • Selain nyanyian, Mawi turut diburu badan pengiklan. Mawi kini bergelar duta kepada Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, M Mobile Sdn Bhd, Mamee-Double Decker (M) Bhd, Edaran Otomobil Nasional Bhd (EON) dan Felda Herbal. EON juga menghadiahkan Mawi sebuah Proton Savvy yang menjadi miliknya jika syarikat itu berpuas hati dengan prestasi penyanyi berkenaan sepanjang tempoh perkhidmatannya.

  • Terbaru, Mawi sudah menyiapkan klip video Lagu Jiwa, Lagu Cinta duetnya bersama M Nasir di Ipoh, Perak yang arahan Mamat Khalid. Lagu berkenaan begitu diminati sehingga menduduki tangga pertama di carta radio Era dan red 104.9 untuk beberapa minggu dan terus berada pada carta 10 lagu popular di hampir kesemua stesen radio.



  • Info Awie

  • Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, dilahirkan pada 28 November 1968. Dia berasal dari Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Mendirikan perkahwinan dengan penyanyi Arni Nazira Anuar pada 10 Disember 1998, mereka dikurniakan dua puteri comel, Putri Aleeya Antasha, 5, dan Putri Aleefa Antasha, 3.

  • Awie mula menempa nama apabila album Belenggu Irama bersama Wings muncul pada 1987 dan terus meletup. Album lain bersama Wings termasuklah Hukum Karma, Teori Domino dan Bazooka Penaka. Manakala album solonya adalah Awie, O-Tak, Awie Live Unplugged, Rentap dan terbaru, Santai keluaran Awie Entertainment Sdn Bhd, edaran EMI Malaysia. Lagu yang dijangka hit ialah Iris (ai-ris), Narapidana dan Layang Layang Terputus Tali.

  • Awie juga masih gah di layar perak. Antara filem lakonannya, Pemburu Bayang, Sembilu, Sembilu 2, Nafas Cinta, Bayangan Maut, Merah, Getaran, Iskandar dan terbaru, Baik Punya Cilok (BPC), lakonannya bersama Hans Isaac, AC Mizal dan Afdlin Shauki. Difahamkan, kutipan BPC kini mencecah lebih RM2 juta.

  • Selepas BPC, Awie kini sedang menanti tayangan filem Diva Popular dan Zombie Kampung Pisang. Pada masa sama, Awie sedang giat menjalani latihan sukan sumo kerana dia bakal menjayakan penggambaran filem Sumo arahan Afdlin Shauki yang dijadualkan menjalani penggambaran di Jepun tidak lama lagi.
  • Saturday, January 14, 2006

    Tanaman herba kegiatan sampingan utama Felda

    (Berita Harian 14/01/2006)
    Oleh Suffian A Bakar


    SASAR TAMBAH AHLI: Mohd Yusof (kiri) menyampaikan replika kad ahli biofeld kepada Asmawi (kanan) sebagai Duta Produk Felda Herba Corporation sambil diperhatikan Hairuddin (dua dari kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent, Freddie Fernandez, di Kuala Lumpur, semalam.

    PENANAMAN herba dan pengeluaran produk berasaskan bahan itu bakal menjadi kegiatan sampingan terpenting Felda, selepas sawit berikutan permintaannya kian meningkat di pasaran dunia.

    Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor, berkata Felda akan melabur kira-kira RM100 juta tahun ini bagi kegiatan itu yang membabitkan penanaman, pemprosesan dan pemasaran produk yang dihasilkan.

    “Selain menjadikan herba sebagai tanaman sampingan kepada peneroka Felda, kami sedang berbincang dengan sebuah kerajaan negeri bagi mendapatkan kawasan sesuai bagi penanaman herba,” katanya sambil menambah industri herba negara ketika ini dianggarkan bernilai RM4 bilion setahun.

    Beliau berkata demikian pada majlis melantik juara AF3, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi sebagai Duta Produk keluaran Felda Herbal Corporation Sdn Bhd (FHC) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif FHC, Hairuddin Md Bakri.

    Mawi akan dipertanggungjawabkan mempromosikan produk keluaran FHC di bawah jenama Biofeld ke seluruh negara.

    Produk Cuka Madu Asli (Wild Honey Vinegar) dipilih sebagai produk pertama akan dipromosikan Mawi disusuli produk FHC lain.

    Mohd Yusof berkata, langkah menyegerakan penanaman herba adalah sebagai langkah awal menampung kemungkinan kejatuhan harga sawit berikutan pembabitan beberapa negara ketiga seperti Papua New Guinea yang sudah mula menanam komoditi itu.

    Sementara itu, Hairuddin berkata, sasaran menanam, memproses dan memasarkan produk herba oleh Felda adalah strategi perniagaan bagi memastikan mutu dan kuantiti produk yang dihasilkan mudah dikawal.

    FHC bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D), katanya.

    Untuk menerajui perniagaan herba, Felda menubuhkan FHC pada 29 April 2004.

    Felda menguasai 80 peratus kepentingan FHC, manakala bakinya Felda Agricultural Services Sdn Bhd.

    Thursday, January 12, 2006

    MAWI cetus ilham RAJA ROSLEY

    (Harian Metro - 11/01/2006)
    Oleh Hartati Hassan Basri

    SEPULUH tahun menceburi perniagaan penyediaan makanan memberi pelbagai cabaran dan pengalaman kepadanya mengenai ragam manusia hingga tidak pernah terlintas untuk beralih kepada perniagaan berkaitan dunia hiburan.

    Bagaimanapun, permintaan pelanggan serta kehadiran bintang Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) yang digilai ramai, Mawi, membuka lembaran baru kepada Raja Rosley Raja Mazlan untuk menganjurkan projek pertamanya, Konsert Seroja Bersama Mawi pada 21 dan 22 Januari ini.

    Katanya, perasaannya kini berdebar-debar bercampur bimbang kerana ini pengalaman pertama dan dia belum tahu cabaran dan masalah yang perlu dilalui.

    “Segalanya bermula dua bulan lalu. Sebelum ini saya tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan yang mahu saya menyediakan artis.

    “Apabila saya lihat pelbagai pihak menganjurkan persembahan artis sambil menjamu selera sama ada di hotel atau dewan, saya tertarik untuk mencuba. Tambahan pula sekarang ramai peminat Mawi yang menanti persembahannya.

    “Kelebihan saya ialah saya penganjur dan juga menyediakan makanan melalui katering saya, Kuzie Catering. Saya hanya perlu sewa dewan, segala peralatan seperti sistem suara, lampu serta mendapatkan artis.

    “Alhamdulillah, saya tiada masalah mendapatkan artis lebih-lebih lagi Mawi yang memang tengah laris sekarang.

    “Kalau projek sulung ini berjaya, saya akan teruskan dengan konsert lain pada masa akan datang. Mungkin untuk Minggu Setiausaha, Hari Ibu dan Hari Bapa. Insya-Allah, Kuzie Production & Entertainment juga berkembang jadi penganjur persembahan berjaya seterusnya menceburi bidang lain seperti drama dan filem,” katanya.

    Untuk Konsert Seroja Bersama Mawi, Raja Rosley yang dikenali di kalangan pelanggannya sebagai Pak Engku mengadakan persembahan selama dua hari di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam.

    Katanya, selain Mawi sebagai penyanyi utama, pihaknya juga mengundang Felix dan Akma untuk memeriahkan lagi persembahan pada malam itu.

    “Tidak cukup dengan itu, saya mengundang Raja Azura dan Azlee Senario sebagai pengacara. Selain dihiburkan Mawi, Felix dan Akma serta celoteh Raja Azura dan Azlee, penonton dihidangkan makanan enak dari Kuzie Catering.

    “Saya menyediakan juadah istimewa iaitu Nasi Beriani Mawi, Dalca Aduh Saliha, Daging Dendeng Beautiful Maria, Ayam Merah Seroja, Ikan Goreng Nazam Berkasih dan Pajeri Warkah Berlagu Pilu.

    “Mawi berjanji memberi persembahan istimewa untuk peminatnya nanti. Saya difahamkan, Mawi akan menyanyikan lagu Aduh Saliha, Nour el-Ain, Oh Fatimah, Gadis Melayu dan Perempuan. Mawi juga akan tampil bersama Felix melalui Lagu Cinta Lagu Jiwa,” katanya.

    Raja Rosley menafikan populariti Mawi menurun kerana tempahan tiket untuk konsert itu cukup menggalakkan. Katanya 70 peratus tiket sudah ditempah.

    “Apa yang membanggakan ialah meja paling mahal iaitu RM5,000 dan RM4,000 menjadi pilihan syarikat korporat. Saya harap peminat Mawi, Felix dan Akma mengambil peluang ini kerana masih ada tiket yang ditawarkan terutama yang berharga RM3,000 dan RM2,000.

    “Peminat individu juga boleh membeli tiket berharga RM500, RM400, RM300, RM200 dan RM150. Untuk tempahan, hubungi kami di 03-55116700, 019-3532277 atau 012-2805071,” katanya.

    Cenderamata eksklusif ABPBH 2005

    (Berita Harian - 12/01/2006)
    Oleh Zul Husni Abdul Hamid

    Baju-T, topi, tali penyandang boleh diperoleh di Jabatan Pemasaran NSTP, Balai berita, Kuala Lumpur

    EKSKLUSIF menjelang detik gemilang Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 yang akan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands, 26 Februari ini, peminat kini berpeluang memiliki pelbagai produk cenderamata menarik sempena acara itu.

    Pertama kali dikeluarkan, produk merangkumi baju T berkolar, baju T kolar bulat, topi dan tali penyandang (lanyard) boleh diperoleh dalam dua warna menarik, hitam dan merah.

    Eksekutif Kanan Pengurusan Jenama dan Pembangunan Projek New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Shamsaini Salim, berkata produk itu dijual pada harga menarik sebagai tarikan menyemarakkan ABPBH 2005.

    “Mereka yang mahu mendapatkan produk premium ABPBH 2005 boleh mendapatkannya di Jabatan Pemasaran NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur atau di lokasi terpilih termasuk ketika road tour acara ini nanti,” katanya.

    Sebagai permulaan, pembaca boleh mendapatkan produk ABPBH 2005 itu di New Wing, I Utama pada 14 dan 15 Januari ini sempena sambutan ulang tahun kedua stesen 8TV dari jam 10 pagi hingga 8 malam.

    Namun, peminat yang berada di luar ibu kota juga berpeluang mendapatkan cenderahati eksklusif yang digayakan beberapa finalis ABPBH 2005 termasuk Mawi. Produk itu akan dijual ketika siri road tour ABPBH 2005 di empat lokasi terpilih - Kompleks Plaza Angsana, Johor Bahru (28 Januari), Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang (5 Februari), Pantai Batu Buruk, Terengganu (11 Februari) dan Plaza Alam Sentral, Shah Alam (19 Februari).

    “Setiap pembelian lebih RM50, peminat menerima satu set barangan ABPBH 2005 terpilih,” katanya.

    Baju T berkolar dijual pada harga RM30 setiap satu, baju T kolar bulat (RM20), topi (RM13) dan tali penyandang (RM7). Untuk pertanyaan, hubungi Mat Rashid Selat atau Mohd Farid di talian 03-22823131 sambungan 5110.

    ABPBH 2005 mempertandingkan 16 kategori menawarkan hadiah menarik bagi kategori pembaca iaitu sebuah kereta Kia Optima 2.0 bernilai RM115,000 tajaan Naza Kia Sdn Bhd. Pemenang kedua kategori pembaca pula bakal membawa set mutiara bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre manakala hadiah ketiga - LCD TV 32’ tajaan JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd.

    Bagi kategori artis pula, pemenang Bintang Paling Popular akan memandu pulang sebuah kereta Optima 2.0 Edisi Terhad bernilai RM125,000, barangan kemas mutiara bernilai RM150,000 dan pakej penginapan mewah tiga hari dua malam di Head of State Suite, Hotel Palace of Golden Horses.

    World Habis Aduh Tsumawi

    (Berita Harian - 12/01/2006 - Zon Muzik)
    Oleh Zul Husni Abdul Hamid

    ALBUM: World Habis Aduh Tsumawi
    ARTIS: Variasi
    GENRE: Variasi


    WALAUPUN menampilkan wajah Mawi pada kulit album, harus diingatkan ini bukan album kompilasi penyanyi popular itu. Sebaliknya, ia adalah album kompilasi yang diilhamkan oleh EMI Music daripada fenomena yang dicetuskan bintang program realiti itu.

    Dalam kompilasi ini, Amuk tampil dalam lagu yang ditulis Andi Rahman dan Loloq menghasilkan Aduh Tsumawi yang menguasai carta stesen radio ketika ini.

    Album itu juga memuatkan 21 lagu asal yang pernah Mawi nyanyikan sepanjang bergelar pelajar Akademi Fantasia 3. Antaranya Intifada (Rabbani), Dari Kekasih Kepada Kekasih (Hattan), Seroja, Nour El Ain (Datuk Sharifah Aini), Oh Fatimah (A Ramlie) dan banyak lagi.
    Sebagai pelengkap, album ini turut menyelitkan irama kerohanian dan hadis pilihan sebagai perlambangan terhadap imej Mawi yang sinonim dengan lelaki Melayu yang punya asas keagamaan.

    KATA HIP:
    ‘WORLD’ atau tidak kompilasi ini, anda yang tentukan. Namun, dengan himpunan pelbagai lagu malar segar bakal mengembalikan ingatan peminat kepada perjuangan Mawi di AF3 dulu. Apakah kejayaan Mawi turut memberi inspirasi kepada anda? Tepuk dada tanya selera.

    Monday, January 09, 2006

    Anugerah Bintang Popular: Saingan sengit artis muda, berpengalaman

    (Harian Metro - 09/01/2005)
    Oleh Ellyna Ali
    elly@hmetro.com.my

    ADA peningkatan terhadap undian pembaca akhbar Berita Harian dan pertandingan peringkat awal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 yang berlangsung selama lima minggu berturut-turut bermula 21 November hingga 27 Disember lalu.

    Semua ini membawa maksud penyertaan pembaca kepada pertandingan ini semakin bertambah serta cukup menggalakkan sekali berbanding tahun sebelumnya.

    Perkembangan ini harus dilihat sebagai satu berita yang menggembirakan buat industri hiburan tanah air.

    Setidak-tidaknya, ia membuktikan masyarakat semakin menyokong bakat serta hasil kerja seni golongan artis kita.

    Lebih-lebih lagi apabila undian yang dibuat itu berbentuk penghantaran borang seperti ABPBH2005.

    Tidak mudah melakukannya berbanding undian menggunakan SMS kerana ia menuntut sedikit masa serta kesabaran kerana borang undian yang sudah ditanda perlu digunting, dilipat serta diposkan.

    Namun, hasil yang diterima selepas itu lebih memuaskan daripada undian SMS. Dari situ, barulah si artis akan tahu betapa dalamnya kecintaan seseorang peminat kepada mereka.

    Apatah lagi, bila ada di kalangan peminat mereka ini sanggup menghantar berpuluh atau beratus borang undian kepada pihak penganjur.

    Apapun, banyak perubahan yang dapat dilihat dalam senarai pendek, lima finalis bagi setiap 16 kategori yang dipertandingkan dalam ABPBH2005 ini.

    Kali ini ia bukan saja lebih banyak mengetengahkan calon yang baru tetapi juga bakat artis yang lebih muda serta sensasi.

    Malah, ada di antara senarai pendek lima finalis dalam beberapa kategori pertandingan ini yang menunjukkan dominasi bintang daripada program hiburan berbentuk realiti.

    Dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular misalnya, Jamal Abdillah adalah satu-satunya penyanyi senior yang terpaksa menerima cabaran daripada empat bintang yang dilahirkan daripada program Akademi Fantasia (AF)iaitu Adam, Mawi, Vince dan Zahid.

    Tarikan daripada kategori ini tentunya diberikan kepada Mawi yang ketika ini menjadi kegilaan masyarakat Malaysia.

    Malah, sudah ada suara-suara yang mengatakan Mawi mempunyai harapan besar
    untuk memenangi kategori ini, berdasarkan kepada sokongan peminat yang cukup besar buatnya.


    Bagi kategori Penyanyi Wanita Popular pula, Siti Nurhaliza bukan saja terpaksa menerima saingan daripada penyanyi senior seperti Ella, Dayang Nurfaizah dan Waheeda tetapi juga Farah AF2.

    Namun ramai yang menganggap Siti mempunyai laluan yang mudah untuk bergelar Penyanyi Wanita Popular untuk kesekian kalinya kerana dalam apa jua keadaan, terbukti peminat masih menyokongnya.

    Kategori Pelakon Filem Lelaki Popular pula, calon kegemaran Rosyam Nor sekali lagi terpaksa berhadapan dengan saingan daripada Afdlin Shauki, Farid Kamil, Saiful Apek dan Yusry sebagaimana tahun sebelumnya.

    Apakah Rosyam yang menyengat dengan Castello akan sekali lagi memenangi kategori ini atau ia akan berpindah milik ke tangan pelakon lain? Kita tunggu dan lihat.

    Bagi kategori Pelakon Filem Wanita Popular pula, Erra Fazira sekali lagi tersangkut sebagai seorang finalis.

    Jelas, masalah rumah tangga bukan penghalang untuk terus mendapat sokongan daripada pemiant. Begitu juga dengan Yusry.

    Namun, bagi kategori ini, Erra bukan saja terpaksa menerima saingan daripada rakan seperjuangannya, Nasha Aziz tetapi juga bintang yang lebih muda seperti Maya Karin, Fasha Sandha serta Sharifah Amani.

    Keputusan senarai pendek lima finalis ini diumumkan dalam sidang media kedua ABPBH2005 yang diadakan di Hotel Palace Of Golden Horses, Sri Kembangan pada petang Jumaat lalu.

    Sebaik saja senarai itu diumumkan, lima finalis bagi setiap 16 kategori yang dipertandingkan dalam ABPBH2005 ini akan menempuh pula undian fasa kedua selama lima minggu berturut-turut bermula 9 Januari hingga 14 Februari ini dalam akhbar Berita Harian/Berita Minggu.

    Menerusi borang pencalonan akhir itu, pembaca akhbar bukan saja berpeluang
    memilih seorang pemenang untuk setiap kategori yang dipertandingkan tetapi juga menentukan siapakah Bintang Paling Popular ABPBH2005.

    Pengarang Hiburan Berita Harian Merangkap Pengerusi Jawatankuasa
    Pengelola ABPBH2005, Hanizam Abdullah berkata, seperti tahun sebelumnya, pihaknya masih mengekalkan format undian sama.

    "Kuasa pemilihan turut diberikan secara total kepada pembaca. Begitu juga dengan ketelusan pertandingan ini.

    "Malah, bagi memastikan ketelusannya juga, proses pengiraan undi yang dilakukan sewaktu pengundian berlangsung sentiasa dikawal ketat.

    "Bukan setakat itu saja, pengiraan undian yang dilakukan juga sentiasa mendapat kawalan dari semasa ke semasa oleh juri audit," katanya.

    Hanizam bagaimanapun berkata, pihaknya belum memutuskan mengenai konsep atau corak persembahan yang akan dilakukan ABPBH2005 nanti.

    "Masih terlalu awal untuk menyatakan itu semua. Lagipun, ia masih dalam peringkat perbincangan bersama beberapa pihak," katanya.

    ABPBH2005 yang dianjurkan akhbar Berita Harian dengan kerjasama Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) bakal berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, 26 Februari ini.

    Pemenang Bintang Paling Popular akan membawa pulang sebuah kereta Kia Optima edisi Terhad bernilai RM125,000.00, manakala pembaca bertuah pula akan menerima kereta Kia Optima 2.0 berharga RM115,000.00.

    Majlis sidang media itu turut dihadiri, Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Hishamuddin Aun, Timbalan Pengarang BHSB, Datuk Manja Ismail dan Penasihat 1 ABPBH2006, Mustapha Omar.

    Bintang baru menaruh harapan

    (Berita Harian - 09/01/2006)

    Wajah lama tak pernah dilupa tetapi wajah baru dan segar semakin menunjukkan taring mereka.

    MEREKA ‘sedang laku’ - panas dan semakin popular. Tidak hairanlah wajah dan bakat mereka semakin melekat di minda peminat dunia hiburan tanah air, lalu nama mereka turut tersenarai dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 dan semakin dilihat memberi cabaran kepada artis yang lebih senior. Apa kata mereka yang buat pertama kali terbabit dalam misi mencari Bintang Paling Popular tahun ini.

    FARAH

    “PENCALONAN ini sebagai hadiah bermakna sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-21, 25 Januari depan. Sebagai bakat baru, Farah rasa terharu kerana peminat tidak pernah lupa walaupun banyak artis lain hadir.

    “Alhamdulillah, pencalonan ini memberi keyakinan kepada Farah untuk terus berusaha dan bekerja keras. Dicalonkan bersama nama popular sebenarnya membuka mata Farah untuk mencari apa kelebihan mereka dan mencipta formula untuk terus bertahan seperti artis senior yang lain.”

    MAWI

    “SAYA amat berterima kasih kepada peminat yang menyokong saya hingga dicalonkan dalam dua kategori iaitu Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular. Saya sendiri tidak menyangka dapat memasuki dua kategori itu kerana saya seorang artis yang cukup baru. Saya amat bersyukur dengan pencalonan ini dan saya sememangnya menyerahkan kepada peminat untuk menentukan keputusannya. Kalah atau menang, adalah menjadi rezeki masing-masing. Kita berserah saja kepada ketentuan Tuhan.”


    SHARIFAH AMANI

    “SUDAH tentu saya berasa amat seronok dan terkejut apabila mengetahui nama saya turut dicalonkan dalam Top 5 kategori Artis Baru Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular. Lebih menyeronokkan kerana ABPBH ialah peraduan yang menggunakan undian peminat. Jadi, saya tahulah, ada juga pembaca yang meminati saya. Saya juga tidak sangka kejayaan Sepet turut memberikan tempias kepada saya. Begitupun, saya berasa amat teruja apabila mengetahui, diri saya diterima orang ramai. Saya juga tidak sabar untuk menghadiri acara ini di Genting Highlands. Sebagai peminat, saya juga ingin bergembira dan pastinya happening apabila dapat berjumpa dengan bintang terkenal seperti Rosyam Nor dan Erra Fazira.”

    ABPBH2005 bintang realiti TV bertapak

    (Berita Harian - 09/01/2006)
    Oleh Zul Husni Abdul Hamid dan Nurulhisham Abdul Latiff

    Fasa kedua pencarian Bintang Paling Popular serta pemenang 16 kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Bintang Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 bermula dengan tersiarnya borang pencalonan akhir, hari ini.

    SELAMA lima minggu bermula 9 Januari, pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu sekali lagi diberi penghormatan menentukan siapa artis pilihan untuk setiap kategori, termasuk Bintang Paling Popular sebelum pengundian ditutup 14 Februari ini.

    Lima artis bagi setiap kategori akan menempuh fasa kedua pengundian, di mana hanya satu nama bagi setiap kategori akan diumumkan sebagai pemenang pada malam kemuncak ABPBH 2005 di Arena Of Stars, Genting Highlands, 26 Februari depan.

    Apa yang dapat dirumuskan, momentum undian besar yang diberikan kepada seseorang artis atau selebriti ke peringkat akhir adalah kalangan mereka yang sedia popular tahun lalu. Bagaimanapun, ABPBH 2005 juga menyaksikan kehadiran muka baru yang menunjukkan daya populariti konsisten serta membawa imej bersih dan tidak dihimpit kontroversi murahan.

    Artis dan personaliti yang dipilih ke peringkat akhir anugerah ini bukan saja menyaksikan kebangkitan kelompok artis muda dan bakat baru, sebaliknya turut disertai muka lama dan bintang sedia ada yang berjaya mengekalkan populariti mereka.

    ABPBH 2005 menyaksikan kebangkitan bintang program realiti, Akademi Fantasia (AF) iaitu Asmawi Ani atau Mawi dan Farah Diana Anuar (Farah) serta pelakon baru yang mencipta nama menerusi filem Sepet, Sharifah Amani, masing-masing unggul dengan dua pencalonan.

    Juara AF3, Mawi dicalonkan dalam kategori Artis Baru Lelaki Popular di samping dua seniornya Zahid dan Bob, selain Shazzy dan Que Haidar. Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai Johor itu juga bersaing dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular.

    Untuk kategori itu, Mawi yang muncul dengan album pertama, Yang Tercinta menerima tentangan Raja Pop, Jamal Abdillah serta sekali lagi saingan tiga seniornya iaitu Adam, Zahid dan Vince.

    Kecemerlangan Mawi turut dikongsi bersama seniornya daripada AF2, Farah yang menerima pencalonan dalam kategori Artis Baru Wanita Popular dan Penyanyi Wanita Popular. Dua kategori yang cukup memeranjatkan penyanyi muda itu.


    Untuk Artis Baru Wanita Popular, Farah berdepan dengan Pija, Sharifah Zarina, Nora Danish dan Sharifah Amani. Namun, untuk kategori Penyanyi Wanita Popular, saingan Farah bukan sembarangan.

    Semua finalis berpotensi besar, apatah lagi Farah terpaksa berdepan dengan pemenang kategori itu lapan kali berturut-turut iaitu Siti Nurhaliza, selain Dayang Nurfaizah, Ella dan Waheeda.

    Apakah kemunculan berkesan Sharifah Amani sebagai Orkid dalam Sepet yang menghadiahkan gadis comel itu trofi Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia Ke-18, tahun lalu bakal diulangi dalam ABPBH 2005?

    Selain bersaing dalam kategori Artis Wanita Baru Popular, Amani atau Nani turut memberi tentangan kepada nama popular terutama pemenang kategori itu untuk lima tahun berturut-turut Erra Fazira selain Maya Karin, Nasha Aziz dan Fasha Sandha.

    Turut menerima dua pencalonan, bintang komedi Senario yang kini semakin menyerlah sebagai pengacara Melodi, Wahid. Pelakon itu menerima pencalonan dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular.

    Tidak dilupakan pelakon yang semakin menyerlah, Fasha Sandha yang akan memberi saingan untuk dua kategori iaitu Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular. Fasha terpaksa bersaing hebat dengan pemenang tahun lalu, Eja yang sekali lagi dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.

    Namun, jangan dipandang ringan keupayaan Rita Rudaini yang semakin meningkat populariti selepas membintangi slot Samarinda, Biarku Sentuh Cintamu serta Abby Abadi yang juga pernah mengungguli kategori itu.

    Hampir setiap kategori menyaksikan nama baru muncul dalam senarai finalis seperti Jimmy Shanley yang bersaing dengan Ally Iskandar, Aznil Nawawi, Azwan Ali dan Wahid dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular.

    Tahun lalu, kategori Penyampai Radio Wanita Popular didominasi sepenuhnya oleh penyampai Era. Bagaimanapun tembok penguasaan mereka berjaya diruntuhkan dengan kehadiran Julia (XFresh) dan Riena Jamal (Best 104).

    Kedua-dua penyampai itu mampu memecahkan undian yang akan diterima Linda Onn, Nana dan Nila Kurnia. Turut mara sebagai finalis kumpulan rock, Jinbara yang memberi kejutan apabila tersenarai bersama KRU, Ruffedge, Too Phat dan VE dalam kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular.

    Hadiah lumayan nanti pembaca BH

    ABPBH 2005 menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pembaca akhbar Berita Harian/Berita Minggu yang membuat pemilihan tepat dalam borang pencalonan akhir ABPBH 2005. Hadiah utama bagi kategori pembaca adalah sebuah kereta Kia Optima 2.0 bernilai RM115,000 tajaan Naza Kia Sdn Bhd.

    Pemenang kedua pula bakal membawa pulang set rantai mutiara bernilai RM10,000 tajaan Rafflesia The Pearl Centre manakala hadiah ketiga pula sebuah LCD TV 32’ tajaan JVC Sales & Services (M) Sdn Bhd.

    Hadiah lain adalah 40 utas rantai mutiara bernilai RM3,500 setiap satu tajaan Rafflesia The Pearl Centres dan barang elektrik tajaan JVC Sales & Services Sdn Bhd iaitu perakam DVD, cakera emas camcorder, sistem teater DVD, kamera digital, enam pemain audio digital dan 30 speaker MP3.

    Bagi kategori artis pula, pemenang Bintang Paling Popular akan memandu pulang sebuah kereta Optima 2.0 Edisi Terhad bernilai RM125,000, barangan kemas mutiara bernilai RM150,000 dan pakej penginapan mewah tiga hari dua malam di Head Of State Suite, Hotel Palace Of Golden Horses.

    Sunday, January 08, 2006

    Sibuk berlatih untuk AJL

    (Harian Metro - 08/01/2006 - Dunia Mawi)

    TATKALA menulis artikel ini (Selasa lalu), saya berada di Muar, Johor. Seperti biasa, melunaskan tanggungjawab sebagai penyanyi dengan memenuhi undangan persembahan di sana.

    Selesai tugas di Muar, saya bersama beberapa kakitangan Maestro bergegas pula ke Ipoh untuk penggambaran klip video single terbaru iaitu Lagu Jiwa Lagu Cinta.

    Perjalanan merentasi lebuh raya Utara-Selatan yang memakan masa kira-kira tujuh jam sedikitpun tidak memberi tekanan kepada saya.

    Memang agak meletihkan namun saya tidak pernah mengeluh kerana menganggap ia sebahagian daripada rutin sebagai penyanyi. Kalau dulu kehidupan saya agak statik namun kini pelbagai pengalaman dan suasana baru dapat saya kecapi.

    Satu impian

    Antaranya, berpeluang berkunjung ke kota besar, pekan kecil dan kawasan pedalaman seluruh pelosok negara yang mana dulu hanya menjadi salah satu impian saya.

    Berbalik kepada proses rakaman klip video di Ipoh, ia memang menyeronokkan apatah lagi dilakukan jauh daripada kesesakan kota raya Kuala Lumpur. Semua krew memberikan sepenuh tumpuan pada kerja malah saya berpeluang meluaskan pengetahuan kerja-kerja di belakang tabir khususnya pembikinan klip video.

    Semua itu saya kutip sebagai pengalaman yang boleh membantu saya di masa hadapan. Manalah tahu satu hari nanti saya ingin beralih angin meneroka dunia penggambaran, setidak-tidaknya saya boleh jadikan pengalaman ini sebagai panduan.

    Sepanjang bulan ini, tumpuan saya lebih kepada Anugerah Juara Lagu (AJL) yang akan berlangsung pada 5 Februari depan. Sebagai orang baru, saya tidak ada pengalaman dan harus melakukan persiapan rapi.

    Soal menang atau kalah bukanlah fokus utama kerana ia terpulang pada rezeki. Apa yang lebih penting adalah persembahan yang baik dan meninggalkan kesan kepada penonton.

    Kali ini saya bertanding bukan atas tiket ‘Mawi’ sebaliknya kerana keunikan lagu ciptaan M Nasir dan Loloq. Saya tidak mahu hasil kerja mereka diperlekeh atau dipersenda kerana kesilapan saya.

    Justeru, saya harus melakukan yang terbaik selaras dengan kepercayaan yang diberikan orang ramai khususnya barisan juri yang sebulat suara memilih lagu ini untuk dipertandingkan ke peringkat akhir.

    Sebelum beraksi di atas pentas pertandingan, saya akan menjalani latihan secara intensif di bawah bimbingan M Nasir. Apa yang ditekankan kali ini adalah vokal dan cara nyanyian. Corak persembahan masih dalam perbincangan namun saya difahamkan kemungkinan besar akan diserikan dengan 20 penari.

    Bunyinya memang ramai tetapi ia bersesuaian dengan melodi lagu Aduh Saleha. Lebih ramai penari, lebih berseri dan meriah persembahan saya nanti. Pun begitu, ia bukanlah daya tarikan utama kerana apa yang lebih penting nanti adalah vokal.

    Kepada peminat di luar sana, jangan lupa doakan kejayaan saya. Sesungguhnya sokongan kalian menjadi pemangkin semangat saya.

    Cukup sampai di sini saja, kita bertemu lagi di minggu hadapan dengan cerita baru yang lebih menarik.

    Wassalam...

    Mawi dah jadi satu fenomena

    (Berita Harian - 08/01/2006)
    Oleh Zubir Mohd Yunus

    SELEPAS perbincangan bersama semua pihak, akhirnya kami bersepakat untuk ubah suai lagu Biru Mata Hitamku supaya bersesuaian dengan mesej yang ingin kami sampaikan.

    Kami tanya Andi Rahman, dia setuju, ditambah penulis liriknya adalah Loloq sendiri.

    Sebelum ini ramai orang bertanya, kenapa Bandi pilih Mawi AF3 sebagai subjek. Bagi Bandi, Mawi ketika ini dah jadi satu fenomena. Mana-mana kita pergi pun orang bercerita pasal Mawi, minyak urut Mawi, baju Mawi, kuih Mawi dan sebagainya.

    Dalam mesej yang disampaikan menerusi Aduh TsuMawi, Bandi tidak memuji mahupun mengeji Mawi, sebaliknya lagu ini adalah lagu peringatan. Tak secara langsung, bukan semata-mata untuk Mawi saja, tapi untuk semua anak-anak Felda lain.

    Liriknya pula ada menyebut, Biar Masyhur Felda Kampungku.

    Ramai yang beranggapan, anak-anak Felda ni sering terjebak dengan benda-benda negatif. Sebaliknya Mawi adalah salah satu contoh, tak semua budak Felda terjebak dengan gejala tidak sihat.

    Loloq ada bertanya dengan Mawi. Setakat ini, Mawi suka sangat dengan lagu ni (Aduh TsuMawi). Mawi bangga, Amuk menyanyikan lagu untuk dirinya. Tapi, biasalah, pasti ada suara-suara yang mendakwa, Bandi menumpang populariti Mawi.

    Bagi Bandi, itu tak menjadi soal. Sebelum Mawi jadi artis, jadi bintang, Amuk lebih dulu dikenali. Mana-mana kami pergi, semua orang Yeeyeh! Bandi dari generasi lama dan dah lebih 20 tahun Bandi bergelumang dalam industri ini. Jadi, tak ada benda yang kata, Bandi tumpang populariti Mawi.

    Sebelum ini pun ada artis yang menyanyikan lagu Tan Sri P Ramlee, Siti Nurhaliza, Sheila Majid dan ramai lagi. Tapi, kenapa tidak dipertikaikan mereka juga menumpang populariti artis berkenaan?

    Kenapa, tiba giliran Bandi, Bandi dikatakan menumpang populariti Mawi?

    Itulah yang Bandi katakan tadi, perkara ini satu fenomena. Benda yang jadi fenomena ni, lazimnya orang akan mempertikaikannya.

    Mungkin apa yang dirancang oleh syarikat rakaman, EMI Malaysia, salah satu strategi pemasaran album.

    Bersama populariti Mawi, kita harap album Interpretasi + + akan turut diminati, itu hakikat yang tak dapat kita nafikan. Tapi, nak kata Bandi Amuk tumpang populariti Mawi, tak perlulah kita cakap pasal benda tu, kami lebih dulu mengenali dunia artis ni.

    Satu lagi contoh yang lebih ketara, boleh dikatakan kesemua album Amuk sebelum ini seperti Akar & Bumi, Tanpa Prejudis dan Dikir Timur Hakikat, penjualannya melepasi anugerah emas. Tapi, terpulanglah kepada persepsi masing-masing, namun bagi Bandi, menumpang populariti ni, bukan isu.

    Seperkara lagi, Aduh TsuMawi tak secara langsung mengetengahkan seseorang yang dulunya tidak dikenali, orang tengok pun sebelah mata saja. Tapi, sekarang orang dah sedar, budak Felda pun boleh berjaya dengan cemerlang.

    Selain itu, kami sama-sama orang Johor, orang Jawa. Jadi, apa salahnya Bandi menyanyikan lagu untuk Mawi? Tapi, sekali lagi terpulang kepada persepsi masing-masing untuk menilai.

    Bandi harap kepada peminat Amuk di luar sana, fahamilah, perjalanan Biru Mata Hitamku dengan Aduh TsuMawi tetap sama, cuma mungkin ada yang berasa kecewa kerana lagu ini berentak metal dan ada kena mengena dengan Mawi pula.

    Mawi sekarang ni jadi ikon. Jadi liriknya mengingatkan dia supaya jangan jadi kalut. Lagipun, Bandi sendiri dengan Mawi tak pernah berjumpa. Dalam liriknya ada menyebut, 'Mana Dia (Mawi), Ingin Juga Ku Bersalam'. Memang satu kebenaran, kami tak pernah bertemu dan bersalam.

    Bagi Bandi, Mawi adalah salah seorang insan yang beruntung dalam berjuta. Dalam masa singkat, dia jadi begitu popular. Dia memiliki satu keajaiban, bak kata M Nasir, Mawi satu misteri. Bandi sendiri berjuang bertahun-tahun untuk berdiri seperti hari ini. Bandi tumpang gembira kerana industri ini jadi meriah dengan adanya artis seperti Mawi. Sejak sekian lama industri semakin suram, penjualan album tidak memberangsangkan.

    Tapi, apabila album Mawi memasuki pasaran, dalam masa sebulan, ratusan ribu unit albumnya berjaya dijual.

    Tapi, Bandi bersyukur kerana album Amuk masih menunjukkan peningkatan dalam penjualannya.

    Cuma apa yang Bandi harapkan daripada Mawi, apa saja yang dilakukannya, dia perlu berhati-hati. Kalau tak tahu, bertanyalah. “


    Info Interpretasi

  • Interpretasi + + turut menampilkan Aduh TsuMawi, asalnya lagu dari Wings, Biru Mata Hitamku, ciptaan Andi Rahman dan lirik Aduh TsuMawi ditulis semula oleh Loloq.

  • Aduh TsuMawi dirakam dalam versi Metal Jawa, turut menampilkan tiupan seruling Mohar dari kumpulan Mohram.

  • Empat lagu baru lain yang dimuatkan dalam album Interpretasi + + ialah Tak Relevan, Taming Sari, Fikirkan Boleh dan Lenggang.

  • Album yang berada di pasaran 20 Disember lalu turut menyajikan lagu hit Amuk yang dipetik dari album sebelum ini, Interpretasi iaitu Jangan Tinggal Daku, Ekspres Rakyat, Tiada Lagi Kidungmu, Lancang Kuning dan Fikirkan Boleh.
  • Friday, January 06, 2006

    Populariti Mawi menurun?

    (Harian Metro - 06/04/2006 - Soseh-soseh)

    SS rasa kegilaan yang dibawa juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Mawi tidak perlu dijelaskan lagi kerana semua tahu penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu melakar kejayaan yang cukup manis sebaik saja bergelar juara.

    Undangan menyanyi untuknya cukup banyak hingga Mawi tidak menang tangan menjayakannya. Tapi, apa yang SS dengar baru-baru ini agak mengejutkan. SS difahamkan, persembahan yang bakal dijayakan Mawi bersama dua lagi bintang AF3 pada 21 Januari ini dikatakan mendapat sambutan dingin.

    Kata rakan SS, penganjur cukup bimbang hingga meminta jasa baik media untuk menguar-uarkan berita itu kerana tarikh berlangsungnya persembahan itu sudah hampir tetapi jualan tiket kurang memuaskan.

    SS tidak tahu di mana silapnya. Apakah kurang publisiti atau minat orang sudah berkurangan terhadap Mawi. Timbul juga tanda tanya, apa sudah jadi dengan Mawi yang turut mendapat jolokan yang agak menggerunkan iaitu tsumawi?

    Ia jauh berbeza ketika Mawi baru menjuarai AF3 dulu. Sana sini orang berminat mengundang Mawi termasuk konsert amal. Sambutannya cukup hebat walaupun harga tiket agak mahal.

    Malah Mawi cukup bertuah kerana digandingkan dengan nama besar dalam industri seperti Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Anuar Zain dan Dayang Nurfaizah.

    Sebenarnya antara banyak-banyak soalan yang sering ditanya orang kepada SS ialah sampai bila agaknya zaman kegemilangan Mawi ini. Adakah Mawi mampu bertahan lama atau sebaliknya.

    Tapi SS tidak berani meramalkannya tetapi apa yang membanggakan SS ialah kejayaan Mawi memang hebat dan luar biasa. Sampai bila, wallahualam.

    Tuesday, January 03, 2006

    Harapan karyawan

    (Harian Metro - 03/01/2006)
    Oleh Ellyna Ali

    SETIAP kali kedatangan tahun baru, azam pasti menjadi agenda utama sebilangan masyarakat Malaysia yang sentiasa mengharapkan sesuatu perubahan yang lebih baik berlaku dalam diri mereka.

    Hal sama berlaku terhadap beberapa karyawan filem dan muzik kita dalam memastikan bahawa industri hiburan tempatan terus berkembang dengan lebih baik lagi. Apa kata mereka?

    Presiden Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ruhani Abd Rahman mengharapkan supaya kehadiran 2006 ini mampu membawa sinar baru dalam industri perfileman tempatan.

    Malah penerbit Nizarman Productions ini turut berazam untuk menyatukan semua pembikin filem sama ada di dalam aliran arus perdana mahupun bebas.

    “Demi membangun, menggerak serta memartabatkan lagi industri seni filem kita, penyatuan ini sangat diperlukan.

    “Bila ada penyatuan, barulah kedua-dua kumpulan pembikin filem ini mampu bersatu serta menjalinkan kerjasama.

    “Bukan setakat itu saja, dengan ada penyatuan ini juga, kita boleh mengadakan perbincangan untuk mencari penyelesaian untuk menangani beberapa masalah atau kemelut yang berlaku dalam industri,” katanya.

    Kata Ruhani lagi, seandainya setiap pembikin filem bersatu hati, tidak mustahil industri perfileman tempatan akan mampu menjadi kuat serta kukuh.

    “Lebih-lebih lagi, kita sekarang ini berada di bawah naungan Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan yang banyak membantu membangunkan industri seni tanah air.

    “Inilah masanya untuk kita menggunakan peluang bagi membantu untuk menjana pergerakan industri.

    “Janganlah disebabkan perbalahan yang sia-sia, kita akan kehilangan semua peluang yang diberikan ini pula,” katanya.

    Pengarah Bade Azmi pula mengharapkan supaya beberapa masalah atau kemelut yang sekian lama berlaku dalam industri filem dapat diatasi segera demi kebaikan semua pihak.

    Dia juga menyarankan supaya semua pihak mengutamakan filem yang dihasilkan pembikin filem tempatan.

    “Kalau kita lihat perkembangan industri sejak akhir-akhir ini, memang banyak sekali filem tempatan yang dihasilkan. Tapi, mengapakah kita masih hendak utamakan filem dari luar.

    “Contohnya yang berlaku kepada filem Baik Punya Cilok baru-baru ini. Apabila Castello memasuki pawagam untuk tayangan lewat malam, pihak panggung menghentikan Baik Punya Cilok sedangkan sambutan yang diterima daripada penonton cukup bagus.

    “Sebaliknya, filem luar seperti Narnia dan King Kong pula dikekalkan. Saya harap masalah ini akan dapat diberi perhatian sewajarnya.

    “Dulu ketika filem luar ini diberikan keutamaan, alasan yang diberikan mereka ialah kerana kita kekurangan filem tempatan,” katanya yang berazam untuk menghasilkan dua filem pada tahun ini.

    Kata Bade lagi, sekarang ini filem tempatan sudah semakin banyak.

    “Lebih-lebih lagi, ia bukan saja dihasilkan pembikin filem aliran arus perdana tetapi juga bebas,” katanya.

    Artis & Repertoire EMI Music Malaysia, Tarmizi Mokhtar atau Miji pula mengharapkan industri muzik tempatan akan terus berkembang tahun ini.

    “Melihat kepada kemunculan Mawi yang disifatkan sebagai satu fenomena serta jualan album luar biasa yang dicetuskan anak muda dari Johor itu, harapan untuk melihat industri berkembang sememangnya ada.

    “Walaupun macam-macam orang cakap mengenai juara bintang AF3 itu, tapi hakikatnya kehadiran Mawi sebenarnya mula mencetuskan suatu keseronokan dalam industri, selepas lama ia senyap dan suram.

    “Mawi sama ada secara nampak atau sebaliknya menjadi pembuka ruang untuk industri bernafas semula.


    “Manakala, sebagai pemuzik pula, saya secara peribadi mengharapkan supaya rock akan kembali bertakhta dalam industri tahun ini,” katanya.

    Komposer Ajai pula mahu bekerja keras dan memberikan tumpuan untuk mengembangkan lagi perniagaannya menerusi syarikat produksinya, Wake The Baby.

    “Selepas Shazzy, saya bercadang untuk mengeluarkan lebih banyak lagi artis di bawah naungan syarikat ini.

    “Malah, saya juga akan memberikan fokus kepada album baru saya bersama Nurul yang akan berada di pasaran pada 14 Februari ini.

    “Juga tumpuan untuk anak saya yang baru berusia 12 hari dilahirkan menerusi tabung uji. Namanya Mohd Fairul Ehsan,” katanya.

    Apapun AJai turut mengharapkan supaya perkembangan industri muzik akan lebih meningkat lagi pada tahun ini.

    “Yang penting, kita harus banyak mengeluarkan bakat baru yang baik di dalam industri,” katanya.

    Aduh TsuMawi bukan mengeji Mawi

    (Berita Harian - 03/01/2006)
    Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

    SEJAK akhir-akhir ini, lagu terbaru nyanyian Bandi dari kumpulan Amuk, Aduh TsuMawi, saban hari dimainkan di corong radio. Lagu yang pernah dinyanyikan Mus bersama kumpulan Wings, Biru Mata Hitamku, nyata senang mendapat tempat di hati pendengar.

    Namun, dalam kemasyhuran lagu itu, ada juga suara yang tidak berpuas hati dengan Amuk dan penulis liriknya, Loloq, yang seakan mengambil kesempatan atas populariti juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3), Mawi.

    Aduh TsuMawi ialah sebuah daripada lima lagu lama dendangan semula Bandi yang dimuat tambah dalam Interpretasi ++ Amuk. Album berkenaan pernah dipasarkan dengan judul Interpretasi, yang sebelum ini mengandungi 11 lagu saja.

    Dalam satu majlis pertemuan dengan media di ibu kota baru-baru ini, Lolog menjelaskan, dia tidak berniat untuk mengeji penyanyi baru dengan penghasilan semula lirik terbabit. Bahkan, dia juga bukan memuji anak muda kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, itu.

    “Saya menulis lirik lagu Aduh TsuMawi dengan matlamat mempopularkan lagi Felda. Saya sedar, rancangan kerajaan untuk menjayakan orang kita menerusi Felda masih tidak dipandang tinggi oleh banyak pihak. Ia bagai dilepas pandang. Jadi, biarlah dengan lirik ini, sekurang-kurangnya membantu memperkenalkan lagi Felda kepada orang ramai,” katanya.

    Dia juga berasakan pemilihan lagu itu untuk dimuatkan dalam Interpretasi ++ adalah sungguh tepat. Katanya, lagu ciptaan Andi Rahman itu ialah sebuah lagu yang hebat dan pernah disukai ramai suatu ketika dulu. Namun ia belum cukup meletup.

    Jadi, dia berharap dengan rakaman semula oleh Amuk, lagu itu akan kembali diminati berikutan keupayaan Bandi sendiri yang sudah terbukti. Dia seterusnya menganggap, kedua-dua kumpulan dan penyanyi yang menyanyikan lagu itu adalah ‘gergasi’ dalam dunia seni.

    “Sebenarnya, Mawi pun suka lagu ini. Saya sudah bertemunya baru-baru ini dan dia sendiri mengaku menggemari Aduh TsuMawi,” akui Loloq yang turut terbabit sebagai penulis lirik dalam album Mawi Yang Tercinta.

    Ditanya, kepada siapakah lirik itu sebenarnya ditulis, Loloq berkata, dia membuatnya untuk pendengar. Pada masa yang sama, dia turut menulisnya untuk Mawi, supaya artis baru berusia 24 tahun itu tidak mudah lupa diri.

    Andi sendiri tidak melihat penukaran lirik itu sesuatu yang berbentuk negatif, malah yakin bakat Bandi diuji sebaiknya menerusi rakaman semula berkenaan.

    Manakala Bandi yang buat kali pertama bertentang mata dengan Andi, berasakan dirinya cukup bertuah dapat merakam semula lagu komposer berkenaan biarpun dengan lirik yang berbeza.

    “Saya menyanyikan lagu ini kerana Mawi ialah suatu fenomena. Lagu ini bukan mengutuk atau menguji, sebaliknya penghargaan kepada fenomena itu sendiri. Saya sendiri tidak pernah berjumpa dan bersalam dengan Mawi. Tetapi, saya tetap berharap untuk bertemu dengannya dan merasai auranya.

    “Jika ada orang mengatakan saya memfitnah Mawi, ia adalah satu fitnah. Kami berniat baik, untuk menaikkan semula nama Felda. Lagipun apa salahnya saya menyanyikan lagu yang menyebut nama Mawi, lagi pun kami sama-sama orang Johor,” ujar Bandi.

    Penyanyi metal itu juga tidak keberatan untuk berduet dengan juara AF3 itu sekiranya mereka diberikan peluang berbuat demikian pada masa akan datang.

    Fakta:
  • Aduh TsuMawi dirakam dalam bentuk Metal Jawa

  • Ia turut menampilkan tiupan seruling Mohar dari kumpulan Mohram

  • Empat lagu baru lain yang turut dimuatkan dalam album Interpretasi ++ ialah Tak Relevan, Taming Sari, Fikirkan Boleh dan Lenggang.

  • Interpretasi ++ berada di pasaran pada 20 Disember 2005.
  • Monday, January 02, 2006

    Aspirasi 2006

    (Berita Harian - 02/01/2006)
    Sebahagian dari artikel bertajuk 'Aspirasi 2006'

    Suria tahun baru menampakkan sinar meninggalkan segala kenangan suka duka yang masih tersimpul di ingatan

    SETIAP kali kemunculan tahun baru, perkara yang sering diperkatakan adalah azam. Sama ada berjaya dipenuhi atau sebaliknya, ia bergantung kepada iltizam dan semangat seseorang individu. Seperti insan lain, selebriti juga tidak ketinggalan memasang azam. Hip sempat bertanya kepada beberapa artis popular dan pemimpin persatuan hiburan mengenai aspirasi mereka sepanjang tahun 2006.

    MAWI

    “Populariti yang saya kecapi terlalu mendadak, saya tidak akan berdiri di sini jika bukan kerana peminat. Azam saya untuk tahun 2006 adalah untuk memperbaiki apa yang masih kurang dalam diri, saya akan cuba perbaiki sama ada dari segi persembahan mahupun komunikasi.

    “Saya juga mahu lebih dekat lagi dengan peminat yang bukan datang daripada kelab peminat, saya tahu di luar sana banyak peminat yang tidak berdaftar dengan kelab saya sama ada di kalangan makcik mahupun anak kecil. Tahun depan juga kami akan sibuk mempromosikan album solo saya.

    “Peluang itu akan saya gunakan untuk bertemu dengan lebih dekat lagi dengan peminat, dengan cara ini saya harap hubungan antara saya dan peminat akan lebih rapat,” katanya.

    Sunday, January 01, 2006

    Sedia lebar sayap ke layar perak

    (Harian Metro - 01/01/2006 - Dunia Mawi)

    SELAMAT Tahun Baru! Selamat tahun baru diucapkan kepada rakyat Malaysia.

    Pantas betul masa berlalu, tibalah masanya kita mengucapkan selamat tinggal 2005 dan mengucapkan salam pertemuan 2006. Sudah menjadi kelaziman, setiap kali tahun baru menjelang pasti azam menjadi topik paling hangat. Sana-sini orang asyik bertanya dan bercerita mengenainya. Saya juga tidak terkecuali apatah lagi ramai rakan media yang bertanya. Jenuh jugalah menjawab maklum sebelum ini tidak ada yang bertanya kecuali di zaman persekolahan yang sekian lama saya tinggalkan. Ingin tahu azam saya?

    Okaylah, sebenarnya saya ada banyak azam. Pertama sekali ingin membawa kedua-dua orang tua mengerjakan umrah di Makkah. Rasanya ramai sudah sedia maklum mengenainya kerana sebelum ini sudah beberapa kali saya utarakan namun hajat itu tidak kesampaian berikutan terlalu sibuk memenuhi undangan persembahan. Insya-Allah saya akan usahakan agar ia dapat direalisasikan tahun ini.

    Kedua, saya ingin mengekalkan status dalam industri dan memperbaiki diri daripada pelbagai aspek termasuklah keperibadian, penampilan, vokal dan persembahan selaras dengan harapan peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini. Saya tidak mahu menghampakan depan mereka, justeru haruslah melakukan yang terbaik.

    Seterusnya, saya ingin menceburi dunia perniagaan. Pengkhususan belum lagi saya fikir, apa yang boleh saya katakan, mungkin ia berkaitan dengan bidang hiburan dan diri saya sendiri. Semua itu untuk persediaan masa hadapan. Sebagai artis, saya sedar tidak selamanya dapat bertahan dan diminati ramai. Bukankah kehidupan kita seperti sebuah roda, begitu juga dengan dunia artis. Mungkin hari ini saya masih diminati tetapi esok lusa, siapa yang tahu? Oleh sebab itu saya harus melakukan persediaan lebih awal. Setidak-tidaknya saya menyediakan payung sebelum hujan. Saya bersyukur dikelilingi mereka yang sentiasa menyokong saya khususnya pihak pengurusan Maestro. Mereka memberikan saya banyak tips dan pandangan bagaimana mahu memulakan perniagaan. Sebagai orang baru, saya jadikan semua nasihat serta idea bernas mereka sebagai panduan dan pedoman. Begitu juga dengan beberapa orang teman yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman. Insya-Allah, kita akan bercerita lebih lanjut mengenai perkara ini apabila saya benar-benar bersedia.

    Selain itu, saya ingin melebarkan sayap ke layar perak. Sebelum ini saya ada menerima lebih daripada enam tawaran daripada pelbagai syarikat perfileman namun terpaksa menolak secara baik kerana kesuntukan masa. Jadual saya terlalu padat, bimbang tidak dapat memberikan sepenuh komitmen. Kesannya akan terpalit kepada produksi dan akhirnya saya juga yang dipersalahkan. Lagipun terlampau awal untuk berkecimpung sebagai pelakon walhal saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan kehidupan anak seni. Dan, kini saya sudah bersedia. Isya-Allah, jika jadual tidak terlalu padat dan diberi watak yang bersesuaian dengan imej saya akan menerima tawaran dari mana-mana pihak yang berminat. Tidak salah jika saya mencuba dan jika peminat merestuinya saya anggap itu sebagai rezeki.

    Dengan menjelangnya 2006, bermakna saya harus bekerja lebih keras. Dalam waktu terdekat ini saya harus mempersiapkan diri dengan cabaran Anugerah Juara Lagu. Seperti yang saya katakan minggu lalu, persiapan kali ini dilakukan dengan lebih teliti termasuklah berlatih dengan sifu M Nasir yang menghasilkan lagu Aduh Saleha bersama Loloq.

    Bulan ini juga saya akan mempromosikan album sulung saya di seluruh pelosok negara. Tidak sabar rasanya menunggu aktiviti ini. Saya berpeluang bertemu dan berbual dengan peminat. Antara soalan yang akan saya ajukan pada mereka adalah lagu manakah yang paling mereka gemari. Dari situ saya akan mengetahui kecenderungan pendengar seterusnya menjadikannya sebagai panduan dalam penghasilan album akan datang.

    Sampai di sini saja, bertemu lagi kita di minggu hadapan. Selamat Tahun Baru... Bersesuaian dengan kehadiran tahun baru, marilah sama-sama kita muhasabah diri. Belajar perbaiki kelemahan diri dan jadilah insan yang lebih baik dari sebelum.