Sunday, December 18, 2005

Tak sempat buat klip video

(Harian Metro - 18/12/2005 - Dunia Mawi)

BERTEMU lagi kita di ruang ini dan terima kasih kerana masih sudi meneliti catatan mingguan saya.

Sebelum jari ini terus menari di atas ‘keyboard’, terima kasih kepada peminat yang terus menyokong. Dalam keadaan pasaran album yang tidak menentukan, anda semua membuktikan sokongan itu.

Alhamdulillah, saya dimaklumkan, Mawi...Yang Tercinta kini jualannya mencecah 110,000 unit. Saya terkejut dan hairan, tetapi percaya dengan rezeki serta ketentuan Allah.

Biasanya jualan paling banyak pun sekitar 10,000 hingga 15,000, tetapi nampaknya album saya membuka cerita baru.

Biarpun beberapa kontroversi tercetus baru-baru ini, peminat masih menghargai saya. Seperti yang sering saya katakan, sokongan ini membuatkan saya semakin kuat dengan janji untuk memperbaiki diri sebagai individu dan penyanyi disegani.

Seperti dijanjikan minggu lalu, hari ini saya ingin kongsi pengalaman ketika di Jakarta. Itulah pengalaman pertama saya di bumi seberang.

Pengalaman ini sukar dilupakan, terutama apabila berkongsi pentas dengan bintang besar dua negara seperti Siti Nurhaliza dan Krisdayanti. Malah, gabungan pemuzik dua negara di dalam satu orkestra membuka minda saya terhadap muzik.

Memang benar muzik bahasa sejagat. Tiada sempadan yang memisahkan bahasa ini. Saya cukup bertuah, selaku orang baru dipilih membawa nama Malaysia di sana. Tidak semua orang diberi peluang begini dan inilah yang membuat saya menghargainya.

Sepanjang tiga hari di sana, saya dapat rehat sikit. Tidak terkejar-kejar, jadi tumpuan untuk menyanyi lebih banyak. Bagaimanapun, rasa gementar tetap menyelubungi kerana Ekspresi Gemilang RTM-TVRI adalah persembahan penting. Saya memikul nama negara ketika itu.

Bagaimanapun, sebenarnya saya lega di Jakarta sebab tidak ramai kenal. Bukan menolak tuah atau peminat Malaysia, tetapi baru dapat saya rasa apabila fokus utama tertumpu kepada Siti dan KD. Masih ada yang mengenali diri ini, tetapi taklah seramai di bumi sendiri.

Di sana juga, saya dibawa oleh pihak Maestro (diwakili Ketua Pengurusan Artis, Aman Ali) bertemu beberapa label di sana. Mereka ada tunjuk minat, tetapi perbincangan lanjut harus dijalankan dan sekarang Maestro mengatur perancangan lebih jitu.

Minggu lalu juga saya ceritakan mengenai video muzik. Namun dek kerana penerbangan tertangguh, banyak juga yang tidak sempat kami penuhi, termasuk pertemuan dengan sebuah stesen radio di sana. Tak mengapa, mungkin belum rezeki lagi.

Malah, kami sempat meninjau beberapa lokasi sesuai untuk penggambaran video muzik itu. Lapangan terbang mereka juga cantik dan sempat kami ke Blok M, Anchol, Taman Puring, Senayan dan beberapa kawasan sekitar Jakarta.

Itupun kami terpaksa mencuri-curi masa untuk ke sana sebab kami kena hormat dengan masa yang ditetapkan RTM. Untuk membuat rakaman video muzik itu, sememangnya kesuntukan masa jadi kami rasa ia akan dilakukan pada lain waktu.

Memang kawasannya cantik sekali, tetapi nak buat macam mana. Tidak saya kesalkan kerana mesti ada cerita di sebalik yang ditentukan-Nya.

Dalam pada itu, saya dan Bob AF2 dijemput ke makan malam anjuran kedutaan Malaysia di Indonesia.

Malah, ketika di Jakarta juga, saya bebas ketika membeli-belah. Tidak perlu lagi ada orang mengiringi saya, terasa seperti Mawi dulu yang belum anda kenali. Kadangkala rindu juga waktu-waktu dulu.

Namun, tiada perasaan kesal bergelar anak seni. Inilah antara harga yang harus saya bayar untuk ada di sini hari ini. Wassalam, moga bertemu lagi minggu depan.