Sunday, December 04, 2005

Kena denda kerana ceper

(Harian Metro - 04/12/2005 - Dunia Mawi)

BERTEMU lagi kita minggu ini. Seperti dijanjikan, saya akan bercerita lebih lanjut memori indah pada zaman kanak-kanak dan remaja.

Selepas tamat sekolah tadika, saya dimasukkan ke Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Felda Taib Andak. Hati berdebar pada hari pertama, macam-macam bermain di fikiran. Perasaan gembira, takut, cemas dan teruja bercampur-baur.

Gembira kerana dapat baju, kasut dan beg baru. Takut sebab ada ramai senior, sedangkan kami paling ‘muda’ ketika itu.

Teruja pula kerana akan berdepan pelbagai pengalaman baru yang tidak pernah dilalui.

Soal berkawan tidak menjadi masalah kerana kebanyakan pelajar pernah belajar di tadika sama. Masing-masing berusaha menyesuaikan diri dengan suasana baru.

Seperti di tadika, saat paling menyeronokkan tentu waktu rehat. Berbeza dengan pelajar lain yang biasanya makan di meja disediakan di kantin, saya dan rakan lebih suka makan di satu kawasan tersorok di belakang kantin.

Selepas beli apa yang patut, kami bergegas ke tempat ‘rasmi’ itu. Di situ lebih ‘privacy’ dan nyaman kerana tidak perlu bersesak atau berebut dengan pelajar lebih tua.

Sepanjang menuntut di sekolah rendah, ayah bekalkan saya duit 50 sen setiap hari. Cukup untuk membeli makanan dan minuman. Biasanya kawan bawa bekal lempeng dan jemput-jemput, jadi kami berkongsi ramai-ramai.

Kenangan itu sungguh istimewa dan masih melekat sehingga kini. Sesekali rasa rindu untuk kembali ke zaman itu, tetapi apa boleh buat, ia tidak akan berulang lagi.

Kadangkala selepas makan, kami bermain tutup botol atau lebih dikenali sebagai ceper. Kami pernah didenda berdiri atas kerusi kerana terlalu asyik bermain sehingga lewat masuk ke kelas.

Bermula darjah tiga sehingga enam, saya dilantik sebagai ketua kelas. Kalau ikutkan, saya tidak mahu pikul tanggungjawab itu, tetapi apa boleh buat saya tidak boleh mengelak kerana undi majoriti. Suka atau tidak, saya terpaksa terima dengan hati terbuka.

Menurut rakan sekelas, saya berbeza daripada ketua kelas lain. Kata mereka, saya lebih selamba dan tidak suka mendesak. Kalau rakan sekelas lakukan kesilapan, saya tidak suka mencatat nama mereka.

Bagi saya tidak perlu terlalu serius, janji rock! Mungkin disebabkan itu rakan selesa saya jadi ketua kelas selama tiga tahun berturut-turut.

Ketika di tahun lima, saya aktif menyertai kumpulan nasyid dan tilawah al-Quran. Pembabitan saya mula mendapat perhatian guru sehingga mereka memberi kepercayaan kepada saya, khususnya dalam bacaan al-Quran, untuk mewakili sekolah dan daerah Kulai ke peringkat negeri sehingga tingkatan lima.

Saya meraih gelaran johan ketika tingkatan empat. Selebihnya tempat kedua, ketiga dan sagu hati.

Begitu juga dengan nasyid. Saya menjadi penyanyi solo dan pernah bertanding antara kelas, rumah sukan, mewakili sekolah dan seterusnya daerah. Dalam masa sama saya kerap menyertai pertandingan sajak dan syair.

Mungkin ramai pembaca tahu saya suka melukis. Memang sejak kecil saya suka melukis, tetapi tidak menyedari bakat itu sehingga berusia 15 tahun.

Kebetulan dalam kelas pendidikan seni, cikgu minta semua pelajar melukis pokok rendang yang ada daun berguguran. Saya cuba lukis seperti cikgu minta, tidak sangka hasil kerja saya mendapat pujian cikgu.

Sejak hari itu, saya mula mengasah bakat dan cuba berjinak-jinak melukis potret. Ramai juga rakan minta saya mengabadikan wajah mereka dalam lukisan. Lama kelamaan lukisan saya bertambah baik.

Dalam masa sama saya belajar tulisan khat daripada jaguh khat sekolah. Saya memang cenderung dengan kerja seni sebegini. Puas setiap kali dapat menghasilkan kerja seni, apatah lagi ia dihargai orang sekeliling.

Sukar untuk gambarkan kepuasan itu dengan kata-kata, tetapi ia boleh diibaratkan kemenangan peribadi. Cukup bermakna dan memberi ketenangan yang hanya dirasai orang yang menghasilkannya.

Cenderung dengan kerja seni tidak bermakna saya tidak aktif bersukan. Ketika berusia 12 tahun, saya mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan bagi permainan kriket.

Pertandingan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Johor diwakili tiga pasukan, kumpulan saya meraih tempat ketiga dan sebuah kumpulan lagi menjuarai pertandingan. Untuk sukan takraw pula, saya pernah mewakili sekolah sehingga peringkat daerah.

Ingin tahu subjek kegemaran saya? Jawapannya adalah Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sains dan Pendidikan Jasmani.

Selepas menyertai AF3, ramai berkata saya bertuah dan murah rezeki. Sebenarnya perkara sebegini bukan baru dalam hidup saya. Sejak zaman kanak-kanak lagi rezeki saya murah, tetapi mungkin situasinya berbeza. Namun saya tidak pernah bercerita atau berbincang dengan orang lain kerana bimbang menjadi pertikaian dan menimbulkan salah faham.

Hakikatnya, saya tertanya-tanya dan masih belum bertemu jawapan hingga ke hari ini.

Kemuncak, saya meraih gelaran juara AF3 dan rezeki datang bersilih ganti selepas itu. Saya masih ingat, ketika kecil saya mesti dapat duit raya lebih daripada rakan lain setiap kali beraya di rumah jiran tetangga. Jika kawan dapat seringgit, saya mesti dapat RM5. Kalau mereka dapat RM5 saya mesti RM10. Pada mulanya saya diamkan diri, bila ada yang bertanya baru saya buka mulut. Ada juga rakan tidak berpuas hati dan musykil dengan apa yang berlaku.

Sewaktu di sekolah menengah pula, saya pernah ditahan guru disiplin gara-gara datang lewat. Ketika itu ramai lagi pelajar ditahan dan kebanyakannya rakan saya. Namun yang hairannya, ketika marah, matanya langsung tidak memandang ke arah saya.

Bertambah pelik apabila dia tidak ambil tindakan, sebaliknya melepaskan kami tanpa denda. Menurut kawan, mereka selamat bila ada saya. Jika saya tidak ada bersama, pasti mereka didenda.

Perkara itu bukan berlaku sekali dua, sebaliknya banyak kali dan kerana itu saya selalu fikir mungkin cikgu sayangkan saya. Mungkin ini yang dikatakan tuah. Agaknya... apa lagi yang boleh saya fikir jika perkara sama asyik diperkatakan rakan.

Apapun, saya sentiasa beringat. Kehidupan ini ibarat roda. Ada ketikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Mungkin sebelum ini saya bertuah, tetapi esok lusa siapa tahu.

Sebagai hamba, saya tidak putus memanjatkan doa kepada Ilahi supaya terus memberkati hidup saya dan melindungi saya daripada bencana atau perkara tidak baik.

Sesungguhnya segala yang baik datang daripada Yang Maha Esa dan yang tidak baik datang daripada kelemahan manusia.

Saya berterima kasih dengan sokongan orang ramai selama ini dan berharap ia berterusan selagi saya bertapak dalam industri ini. Sesungguhnya tanpa anda semua, siapalah Asmawi Ani.

Kalian menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berusaha gigih dan melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang diceburi. Terima kasih yang tidak terhingga, sokongan anda semua sangat saya hargai.

Kita bersambung lagi pada minggu depan dengan cerita lebih menarik. Wassalam.