Sunday, December 11, 2005

Diarah keluar dari pesawat

(Harian Metro - 11/12/2005 - Dunia Mawi)

ASSALAMUALAIKUM! Hampir seminggu saya di Jakarta untuk menjayakan program kerjasama RTM dan TVRI, Ekspresi Gemilang. Hari ini saya bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur, namun catatan ini dibuat ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Selasa lalu.

Mungkin saya akan ceritakan pengalaman di sana dalam catatan akan datang. Namun saya teringat kejadian di KLIA hari itu. Dua kali saya dan Ketua Pengurusan Artis Maestro, Aman Ali diarah keluar dari pesawat.

Penerbangan pesawat kami ditangguh kerana masalah teknikal. Mulanya risau juga sebab macam dalam TV, ‘real’ tetapi selepas melihat penumpang lain OK saja, saya mula tak kisah. Ini pengalaman pertama saya berdepan situasi begini.

Biasanya naik kapal terbang dan terus terbang, tetapi kali ini dua kali masuk dua kali kena keluar. Nasib baik kali ketiga semuanya OK.

Cuma saya sedikit terkilan sebab sepatutnya saya tiba di sebuah konti radio di sana lebih awal. Mengikut jadual, pesawat kami berlepas jam 1.35 petang tetapi kena tunggu hingga jam 3.45 petang.

Itu yang membuatkan saya risau. Maklumlah orang baru seperti saya, tidak mahu pihak media membuat tafsiran lain pula. Namun alhamdulillah, semuanya diselesaikan oleh Aman terlebih dulu yang menjelaskan kedudukan kami ‘tersadai’ di KLIA.

Sebenarnya, pemergian kami dilakukan sehari lebih awal untuk memudahkan urusan lain. Raptai untuk Ekspresi Gemilang bermula Rabu, tetapi kami cepatkan kerana Maestro mempunyai perancangan terhadap artis naungannya.

Saya difahamkan, selain album saya Yang Tercinta, Maestro kini berunding untuk memasarkan produk lain ke republik itu.

Siapa tidak gembira mendengar usaha mereka yang cuba meletakkan saya dan rakan AF lain ke satu tahap yang sebaik mungkin. Ini pembuka jalan untuk kami.

Aman turut menceritakan kepada saya mengenai usaha itu. Tiga empat label ditemui untuk rundingan. Insya-Allah kalau ada rezeki, tidak ke mana.

Saya percaya ia akan membuahkan hasil kalau dilakukan dengan baik.

Kalau berjaya, ia bukan untuk saya atau penyanyi lain saja, tetapi nama artis dan industri muzik Malaysia juga. Tidak mustahil untuk kita melihat perkembangan positif itu sebagaimana kita melihat kejayaan artis Indonesia di bumi kita.

Mulanya saya bimbang dengan penerimaan peminat di sana. Namun pada masa sama, Aduh Saliha diputarkan di beberapa stesen radio, itu perkembangan menarik.

Lagipun saya dimaklumkan, segelintir peminat muzik di sana mendapat akses menonton program AF. Jadi rasanya tiada masalah sangat kerana mereka juga mengenali kami. Bukan mahu mendabik dada atau meninggi diri, tetapi saya bangga apabila ramai wakil media Indonesia menunggu ketibaan kami di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Selasa lalu.

Peluang di Jakarta juga digunakan Maestro untuk membuat penggambaran video muzik dua lagu saya, termasuk Aduh Saliha. Orang kata, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jadi Maestro mengambil kesempatan ini untuk merakam keindahan Indonesia di dalam video muzik berkenaan.

Bab pemilihan lagu, saya serahkan kepada Maestro yang lebih arif, namun saya difahamkan ia dibuat berdasarkan lagu yang ada nuansa antarabangsa. Mungkin Aduh Saliha yang berirama muzik sejagat lebih tepat.

Saya cuma diberitahu, muzik video itu akan turut disiarkan di MTV Boom Indonesia. Tidak semua video muzik boleh melepasi tayangannya kalau tidak menepati piawaian ditetapkan. Hanya artis besar, termasuk dari Malaysia seperti Siti Nurhaliza.

Harapnya ia menjadi kenyataan. Semua itu masih dalam perancangan. Kita tunggu saja, kalau ada perkembangan menarik, akan saya khabarkan kepada peminat semua.

Sebelum saya mengundur buat kali ini, ingin saya nyatakan bangganya penyanyi baru seperti saya dapat peluang menyanyi di TVRI. Tiga lagu saya sampaikan — Aduh Saliha, Gadis Melayu dan Perempuan — semuanya bergema di udara negara itu.

Bukan saya seorang, Siti, Fazley, Bob AF2, Vince AF1 dan Azharina juga menjulang nama Malaysia di sana.