Saturday, December 31, 2005

Gosip selebriti terus panaskan dunia hiburan

(Berita Harian - 31/12/2005)
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

KATA seorang artis lelaki kepada Hip, dia kecewa dengan industri hiburan tempatan yang lebih banyak dikaburi berita sensasi dan cerita gosip. Akibatnya, berita mengenai pencapaian dan pembangunan dalam dunia hiburan itu bagai berada pada kelas kedua.

Seperti ada benarnya keluhan artis berkenaan. Namun, sensasi dan gosip sememangnya sudah sebati dengan dunia selebriti itu sendiri. Cerita artis popular dikatakan bercinta dan mendirikan rumah tangga, artis ditangkap khalwat dan artis ditahan kerana dadah menjadi bahan berita yang ‘disukai’ ramai.

Tidak percaya? Belek saja akhbar tempatan. Cerita sensasi membabitkan artis popular boleh menjadi pelaris jualan. Jika sudah namanya ‘milik masyarakat’, maka segala gerak laku, tindak tanduk dan perkembangan selebriti berkenaan menjadi perhatian.

Erra Fazira dan Yusry mungkin berada di takhta teratas senarai cerita panas sepanjang tahun ini. Kisah hangat membabitkan rumah tangga berbulan-bulan dicanang media tempatan. Begitupun, cerita panas itu dinafikan selebriti berkenaan.

Kerana tidak mahu cerita kononnya mahligai yang dibina mulai retak itu berpanjangan, lalu kedua-duanya tampil membuat pengakuan pada 7 Disember, mengakui wujudnya masalah antara mereka. Biarpun tidak lagi hidup sebumbung, Erra dan Yusry dikatakan masih ingin menyelamatkan sebuah perkahwinan.

Mawi atau Asmawi Ani tidak kurang sensasinya. Kehadiran pemuda dari Kulai ini mencipta fenomena tersendiri, yang dikenali sebagai ‘tsuMawi’ di kalangan peminat. Daripada kanak-kanak berusia dua tahun sehingga pak cik yang sudah bongkok jalannya, semua mengenali siapa dia juara Akademi Fantasia musim ketiga ini.

Dia bukan saja menjuarai kebanyakan pertandingan atau kategori yang membabitkan undian peminat, bahkan dua albumnya - The Best of Mawi World dan Mawi Yang Tercinta - turut terjual melebihi 100,000 unit, hanya dalam masa beberapa bulan. Kini, sudah ada cakap-cakap, Mawi akan menggenggam trofi Bintang Paling Popular Berita Harian 2005 pada Februari depan.


Siti Nurhaliza pula masih bertakhta di hati peminat, biarpun sudah sedekad menghiasi dunia seni. Ratu seni suara ini bukan calang penyanyi. Dia mengesahkan kedudukan sebagai artis nombor satu sepanjang dekad itu.

Tahun 2005 Siti tetap meriah dengan publisiti. Selain mengadakan persembahan di Royal Albert Hall London, 1 April lalu, Siti turut dilanda gosip percintaan dengan seorang usahawan, Datuk K. Angin bertiup kencang mengatakan kedua-duanya bakal mengikat tali pertunangan.

Sementara biduanita Datuk Sharifah Aini juga sering kali menghiasi muka depan akhbar harian dengan kes mahkamahnya. Perbicaraan pertama bermula 20 Disember, selepas mahkamah menolak rayuannya untuk menolak kes e-mel fitnah membabitkan dirinya.

Bercerita mengenai mahkamah, pada 22 Mac tahun ini, Shereen atau nama sebenarnya Nor Shereen Mohamad Hadzim bersama teman lelakinya, serta seorang rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan memiliki ganja. Mereka mengaku tidak bersalah. Shereen dan rakannya ditahan dalam serbuan ke sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, 15 Mac lalu.

Pada 9 Mei pula, Pelakon Harapan Festival Filem Malaysia Ke-17, Nur Fazura Sharifuddin, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan mencederakan seorang wanita, Geraldine Mariana Wong, di sebuah kelab malam, pada 19 Disember tahun lalu.

Bekas penyanyi kumpulan Res2, Baby Erin dan pelakon Samzy Fuzette Abdul Samad pula didakwa pada 20 April kerana mengambil methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu. Baby Erin atau nama sebenarnya Lily Zarina Khalil didenda RM2,500 dan dua tahun pengawasan polis selepas mengaku mengambil dadah berkenaan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang, 11 April lalu.

Samzy bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan 16 Januari depan. Sementara abangnya, bekas penyanyi A to Z, Ahmad Al Jaffery atau Jeff, dibebaskan daripada tuduhan mengambil syabu pada 23 Ogos lalu.

Masih mengenai mahkamah dan syabu, pada 23 Oktober lalu, bekas vokalis Spring, Ameng, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jertih atas tuduhan mengambil dadah berkenaan. Dia dituduh melakukan kesalahan itu di restoran miliknya.

Sementara bekas anggota Senario, Yassin Yahya, bebas daripada tuduhan memiliki dadah jenis sama pada 28 Oktober. Dia dituduh memiliki syabu di sebuah kondominium di ibu kota pada 21 Disember 2001.

Mahkamah bukan saja dikunjungi selebriti tempatan atas kesalahan atau perbicaraan berkaitan dadah, bahkan kes khalwat juga tidak kurang sensasinya.

Pada 24 Oktober lalu, misalnya, pengulas sukan Sherkawi Jirim didenda RM2,000 atau tujuh bulan penjara selepas mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat. Teman wanitanya yang berusia 29 tahun lebih muda, turut didenda RM1,900 atau lima bulan penjara.

Anak gadis penyanyi rock terkenal, Amy Search, Nabila Huda, juga ditahan kerana berkhalwat di Pulau Pinang, 26 September lalu. Pada 22 November, dia dan teman lelakinya mengaku bersalah dan didenda RM2,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang.

Awal Disember lalu, seorang personaliti wanita popular TV3 berusia awal 40-an ditahan di sebuah bilik di apartmen milik pasangan lelakinya kira-kira pada jam 11.30 malam. Pasangan berkenaan ditahan di Sungai Buloh dan perbicaraan dijadualkan berlangsung pada 20 Disember.

Awie juga masih hangat, bukan saja dengan kemunculan album dan filem baru, bahkan lelaki sasa ini baru saja bebas daripada tuduhan bergaduh di tempat awam pada 28 November lalu oleh Mahkamah Majistret Ampang.

Jeslina Hashim pula menjadi topik sensasi pada awal tahun ini apabila sebuah serbuan oleh Jabatan Agama Islam menyaksikan dirinya antara mereka yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan, Januari lalu. Kes mereka dibawa ke tengah dan menjadi topik hangat apabila ada pihak mempersoalkan kewibawaan pihak jabatan agama. Kes ke atas mereka bagaimanapun dibatalkan.

Dunia selebriti tempatan bukan saja hangat dengan kes penahanan membabitkan dadah dan khalwat, malah kes berkaitan status diri juga tidak kurang meriah. Contohnya, Sharifah Zarina akhirnya mengaku sudah bernikah dan mempunyai seorang anak selepas albumnya berada di pasaran. Sebelum itu, banyak pihak mempersoalkan status diri artis dari Sarawak ini sehingga dia tampil membuat pengakuan. Tetapi masih ada seorang artis wanita yang belum popular sangat, yang masih belum mengaku sudah bernikah dan mempunyai anak. Agaknya bila pula dia nak buat pengakuan?

Manakala Juliana Banos (Jun) baru saja menamatkan zaman solo bersama seorang ahli perniagaan, Mokhtar Ahmad. Selepas menafikan pelbagai gosip cinta, wanita jelita ini akhirnya tertawan dengan Mokhtar dan memilih jejaka itu sebagai teman hidup. Perkahwinan mereka mendapat liputan meluas media massa.

Menyentuh bab perkahwinan sensasi, ia tentunya milik seorang lagi bekas personaliti TV3, Azrinaz Mazhar Hakim yang menjadi pilihan lelaki terkaya di dunia, Sultan Hassanal Bolkiah. Namun, perkahwinan bekas personaliti TV3, Normala Samsudin (kini Datin Seri) dengan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid, antara yang turut mendapat perhatian media tempatan.

Tatkala Jun, Azrinaz dan Normala mendirikan rumah tangga, penggiat irama etnik tempatan, Noraniza Idris dan suami, Fareez atau Mohd Fauzi Mohd Tajuddin, sudah tidak tinggal sebumbung dan kini, mereka menanti saat perbicaraan di mahkamah bagi mengesahkan lafaz cerai.

Pengesahan lafaz cerai itu dibuat berikutan penyanyi itu mendakwa menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Fareez yang didakwanya membawa maksud menjatuhkan talak. Kes mereka akan dibicarakan pada 28 Februari depan.

Sensasi dan selebriti tempatan pasti berterusan pada 2006. Cuma, siapa dan bagaimana mereka mencipta cerita panas, hanya masa yang menentukan.

Thursday, December 29, 2005

Amuk tepis salah anggapan Aduh Tsumawi

(Harian Metro - 29/12/2005)

PELBAGAI persoalan wujud apabila Amuk muncul dengan lagu berjudul Aduh Tsumawi dalam album terbarunya Interpretasi ++ yang sudah pun berada di pasaran sejak 20 Disember lalu.

Apakah tujuan sebenar Amuk memuatkan lagu itu dalam Interpretasi ++ yang juga kesinambungan daripada album terdahulunya, Interpretasi? Adakah tujuannya kerana mahu menumpang populariti Mawi yang sememangnya kini menjadi fenomena di kalangan masyarakat kita? Dalam sidang media yang diadakan di kelab Bangkok Jazz baru-baru ini, Amuk atau Bandi menjelaskan, dia sedar banyak pihak yang akan membuat tanggapan sebegitu sebaik saja dia muncul dengan lagu Aduh Tsumawi itu.

"Tapi percayalah, memang tiada niat langsung untuk saya menumpang populariti Mawi. Malah, tiada sebab untuk saya berbuat demikian kerana saya sendiri sudah lama bertapak di dalam bidang ini, hampir 20 tahun.

"Namun, sebagai orang lama, saya sangat menghargai apa yang ada pada Mawi. Di antara ramai-ramai, hanya dia seorang saja yang berjaya memperoleh populariti luar biasa daripada masyarakat kita.

"Fenomena yang ada padanya itu yang menimbulkan idea kepada saya dan juga syarikat rakaman untuk merakamkan lagu Aduh Tsumawi ini," katanya.

Keinginan untuk menghasilkan lagu itu juga didorong perasaan kagumnya terhadap Mawi apabila berjaya menaikkan nama Felda.

"Siapa sangka disebabkan Mawi, nama Felda tiba-tiba saja jadi naik. Akhirnya semua orang beri tumpuan kepada Felda kebelakangan ini. "Sebagai seorang anak Felda, sudah tentu saya bangga sekali dengan segala perubahan yang dilakukan Mawi terhadap penempatan yang dikhususkan untuk golongan peneroka.

"Jadi tidak salah rasanya jika saya hasilkan lagu ini untuknya (Mawi). Lagipun selain sama-sama anak Felda, saya juga anak Jawa dan anak Johor sepertinya," katanya.

Jelas Bandi lagi, selama Mawi dikenali serta digilai masyarakat Malaysia, dia tidak pernah sekalipun berpeluang bertemu dengan juara bintang AF3 itu.

"Sungguh benar saya tidak pernah bertentang mata, apatah lagi bersalaman dengannya. Siapa tahu selepas ini, peluang itu akan muncul.

"Apapun, saya tabik dengan Mawi kerana menjadi pembuka ruang untuk anak Felda untuk berjaya di dalam bidang seni," katanya.

Aduh Tsumawi yang diangkat daripada lagu Biru Mata Hitamku ciptaan Andi Rahman dan lirik oleh Loloq bagaimanapun diberikan suntikan muzik baru menerusi elemen kejawaan hasil tiupan seruling bambu Mohar daripada kumpulan Mohram.

Suntikan muzik baru itu dilakukan itu sebagai satu cara untuk Bandi tampil dengan interpretasi sendiri terhadap lagu popular dendangan Wings yang selama ini digemarinya.

Namun menukarkan susunan muzik bagi sesebuah karya lagu yang sudah sedia hebat pada era kegemilangannya bukanlah suatu perkara yang mudah serta boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

Komposernya, Andi Rahman sewaktu memperkatakan mengenai sejarah penciptaan lagu itu memberitahu, Biru Mata Hitamku sememangnya dihasilkan khusus untuk Wings.

"Sewaktu itu, berlaku perpecahan di dalam Wings apabila Awie menarik diri daripada kumpulan itu.

"Maka saya diminta untuk mengkaji muzik Wings dan menghasilkan lagu yang mampu menaikkan kembali martabat mereka di dalam industri.

"Dalam masa yang sama saya cuba mencari kekuatan yang ada pada Mus (May) untuk mencipta lagu itu.

"Apabila syarikat rakaman EMI memilih untuk memuatkan lagu itu di dalam album Bandi ini, saya terima.

"Sebab lagu yang sudah ditukar liriknya kepada Aduh Tsumawi itu tidak memuji mahu pun mengutuk sesiapa. Malah, ia berjaya mengembangkan lagi bakat seni Bandi," katanya.

Penulis liriknya, Loloq turut mengakui lirik lagu Aduh Tsumawi yang ditulisnya bukanlah dihasilkan untuk memuji atau pun mengutuk bintang AF3 yang menjadi idola ramai itu.

"Sebaliknya lagu ini lebih menceritakan mengenai keadaan Mawi itu sendiri yang menjadi satu fenomena kepada masyarakat kita. "Apa yang berlaku terhadap Mawi ketika ini memang satu keajaiban zaman dan tiada siapa yang mampu meraih populariti yang secepat ini kecuali Mawi.

"Kebetulan saya sangat mengenali Mawi dan faham karekter Mawi serta fenomena Tsumawi yang melanda masyarakat kita, jadi saya tidak mengalami masalah untuk menghasilkan lirik lagu Aduh Tsumawi ini," katanya.

Kata Loloq lagi, secara peribadi, dia menyukai tema perjuangan yang terdapat dalam lagu asalnya, Biru Mata Hitamku itu.

"Ia sebuah karya yang hebat dan dahsyat pernah dihasilkan pada eranya. Saya sendiri tidak faham mengapa lagu ini tidak masuk ke final Juara Lagu.
"Apapun, menyedari kehebatannya, saya cuba sedaya upaya untuk tidak merosakkan lirik lagunya.

"Saya juga sudah bertanya Mawi sendiri, apakah dia menyukai lagu itu atau sebaliknya. Dia mengatakan ok. Bila dia sudah kata ok, maka saya rasa lagu itu oklah " katanya.

Selain Aduh Tsumawi, Amuk turut menambah empat lagu lagu baru di dalam Interpretasi ++ selain 11 lagu yang sudah sedia ada di dalam album terdahulu. Lagu baru yang dimuatkan ialah Tak Relevan, Taming Sari, Fikirkan Boleh serta Leggang.

Wednesday, December 28, 2005

Sutera hanya minta CD Mawi

(Harian Metro - 28/12/2005)
Oleh Mohd Nasif Badruddin

“SAYA hanya minta CD Mawi sahaja, tetapi tak sangka pula Mawi sendiri yang datang menghantarnya,” demikian luahan penulis lirik, Azizah Abdul Hamid, 50, yang lebih dikenali dengan nama Sutera.

Sutera menerima kunjungan juara AF3, Mawi yang melawatnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras baru-baru ini.

Meskipun Sutera sudah dimaklumkan mengenai kehadiran Mawi, namun kebanyakan pesakit tidak mengetahui kehadirannya lantas membuatkan keadaan menjadi gempar seketika.

Sebenarnya, Sutera sudah dua kali menjalani pembedahan akibat masalah usus bengkak yang dideritainya sejak setahun lalu.

Kali pertama Sutera dibedah ialah sebelum bulan puasa lalu bagi mengeluarkan ususnya.

Manakala, pembedahan kali kedua pula pada 16 Disember untuk memasukkan kembali ususnya.

Dia mula dimasukkan ke HUKM pada 12 Disember dan dibenarkan keluar pada 22 Disember lalu.

Mengulas lanjut mengenai kesihatannya, Sutera berkata, hampir dua minggu dia terlantar di hospital untuk menjalani pembedahan kali kedua itu.

“Alhamdulillah, kesihatan saya semakin beransur pulih sekarang ini. Namun doktor menasihatkan saya untuk banyak berehat dan mendapatkan rawatan susulan.

“Mengenai kehadiran Mawi pula, memang saya tidak menyangka kerana sebelum ini saya ada memberitahu Freddie untuk mendapatkan CD Mawi saja. Tapi Freddie kata, janganlah risau kerana dia akan meminta Mawi sendiri untuk bertemu saya,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia sendiri peminat setia Mawi, Sutera berkata, pada mulanya dia hanya sekadar mengambil tahu kisah Mawi sebagai artis biasa sahaja.

Namun, lama-kelamaan, minatnya kepada Mawi semakin mendalam tatkala melihat perwatakan Mawi yang biasa dan menjadi tarikan ramai.

“Malah, kemampuannya mendendangkan lagu Seroja dengan penuh penghayatan membuatkan saya berasa sayu dan terbuka untuk meminatinya,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata iaitu Siti Naqiah, 16, dan Mohd Alif, 14, hasil perkongsian hidup bersama Mohd Sani Atan, 45.

Selain itu, Sutera juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) terutama kepada Presidennya, Freddie Fernandez dan ahli jawatankuasa yang banyak membantunya.

Mengimbas latarnya, Sutera mula berjinak dalam penulisan lirik sejak 1990-an dengan menghasilkan beberapa lagu popular untuk artis berkumpulan dan penyanyi solo.

Antara lagu yang pernah menaikkan namanya ialah Hanya Segenggam Setia (Rahmat Ekamatra), Sendu Di Hatimu Rindu Di Jiwaku (Arrow), Namamu Jadi Sebutan (EYE) dan Sebening Cintamu (Haslinda) yang menjadi lagu tema drama bersiri Cinderella.

Manakala Mawi pula berkata, meskipun baru pertama kali berjumpa dengan Sutera, namun dia sudah lama mendengar alunan merdu lagu yang dicipta Sutera seperti Namamu Jadi Sebutan dan Hanya Segenggam Setia.

“Alunan lagu yang diciptanya memang menarik sehingga menusuk kalbu.

“Malah, saya tidak menyangka dapat bertemu dengannya. Seakan tanggungjawab saya untuk menyempurnakan hajat orang terutama menziarahi orang sakit sepertinya.

“Malah, memang saya sendiri tergerak hati untuk menyampaikan album ini kepada Sutera selepas diberitahu Freddie.

“Bagi saya, selagi ada kemampuan kita mestilah sentiasa beringat agar apabila kita tiada nanti orang tidak akan melupakan kita,” katanya yang turut membacakan doa selamat ketika melawat Sutera.

Selain itu, Mawi juga berharap rakan artis sentiasa bersyukur dengan nikmat yang ada dan menghargai segala sokongan serta kerjasama yang diberikan peminat.

Malah dia sendiri mengakui hakikat hidup sebagai artis banyak cabaran dan dugaannya.

Turut serta dalam lawatan ini ialah Timbalan Presiden Karyawan, Nash, pelakon veteran Aziz Sattar dan Yang Jamil sebagai wakil daripada Karyawan.

Sementara itu, rezeki Mawi sebagai juara AF3 semakin mencurah-curah apabila dia bakal mengadakan dua persembahan khas di Brunei akhir tahun ini bersama rakan AF3 lain.

Mawi akan berada di Brunei sejak 26 Disember hingga 2 Januari ini.

Sunday, December 25, 2005

Sambut 2006 di Brunei

(Harian Metro - 25/12/2005 - Dunia Mawi)

TINGGAL beberapa hari saja lagi 2005 akan melabuhkan tirai kerana memberi laluan pada 2006 yang bakal melakar 1,001 peristiwa dan kenangan dalam lipatan sejarah setiap insan.

Tahun 2005 cukup bermakna, malah tidak keterlaluan rasanya jika saya katakan ia tahun paling bersejarah buat saya. Selepas dinobatkan sebagai juara AF3, kehidupan saya berubah secara drastik.

Sesungguhnya ia di luar dugaan, tetapi saya percaya dengan rezeki dan akan menggandakan usaha supaya karier saya terus berkembang. Tiada istilah noktah selagi direstui-Nya, keluarga dan peminat.

Impian saya untuk merakam album sulung sejak dalam AF3 sudah dilunaskan, malah lebih menggembirakan penjualan album itu mencecah lebih 110,000 unit. Syukur alhamdulillah atas rahmat dan rezeki yang dikurniakan Ilahi.

Namun, niat menghantar orang tua mengerjakan umrah belum tercapai dan terpaksa saya tunda ke tahun depan. Ia akan jadi sebahagian daripada azam saya untuk 2006.

Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan selamat tahun baru kepada penaja yang menjadikan saya jurucakap produk mereka. Terima kasih kerana menghargai bakat serta memberi sepenuh kepercayaan kepada saya.

Dalam pada teruja menyambut kehadiran 2006, hati saya tersentuh dengan musibah yang menimpa sebahagian penduduk di Utara dan Pantai Timur tanah air yang menjadi mangsa banjir yang diklasifikasikan sebagai paling buruk dalam tempoh 30 tahun.

Lebih menyedihkan, tragedi tidak diundang itu menyebabkan ribuan mangsa banjir kehilangan harta benda dan tempat berteduh. Saya berharap mereka yang terbabit dengan malapetaka ini banyak-banyak bersabar.

Bertawakal dan anggap semua ini ujian daripada Dia Yang Maha Berkuasa. Sesungguhnya setiap apa yang berlaku pasti ada cerita di sebaliknya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Justeru, saya akan menyokong apa saja bentuk usaha yang bertujuan membantu mangsa banjir.

Jika ada undangan mengadakan persembahan konsert, saya tidak akan menolak kerana itu sebahagian tanggungjawab saya sebagai penyanyi. Selain wang, ini antara cara yang dapat disumbangkan oleh anak seni bagi meringankan beban mangsa bencana.

Sebaik pulang dari Jakarta, saya sibuk memenuhi undangan persembahan sekitar Kuala Lumpur. Dalam pada itu, saya melakukan persiapan untuk berentap di peringkat separuh akhir Anugerah Juara Lagu di TV3.

Selain berusaha memantapkan suara, saya turut menitikberatkan gaya persembahan yang menjadi elemen penting dalam pertandingan berprestij ini.

Insya-Allah jika ada kesempatan, saya ingin berlatih bersama sifu M Nasir di studionya, Luncai Emas sebelum beraksi di pentas.

Esok, saya dan rombongan Maestro akan bertolak ke Brunei kerana terbabit dengan dua persembahan sambutan tahun baru. Difahamkan, kami akan berkampung di sana sehingga 2 Januari. Sebelum konsert menyambut kehadiran 2006, saya akan menghiburkan tetamu dalam satu majlis korporat. Selain saya, Felix dan pelajar wanita AF3 turut serta dalam rombongan ini.

Dengan kunjungan ini, bermakna saya akan menyambut tahun baru di negara orang buat pertama kalinya. Pasti ia meninggalkan kenangan istimewa kerana menjadi kelaziman, pengalaman pertama terus dikenang dan tersimpul utuh dalam ingatan.

Saturday, December 24, 2005

Cerita Nikki tentang lawatan Mawi

(Harian Metro - 24/12/2005)
Sebahagian dari artikel bertajuk 'Nikki puas selepas bebas'
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

..Mereka yang hadir seperti, Mawi, Nasha Aziz, Afdlin Shauki, Zahid AF2, Farah AF2, Linda Onn, Jaclyn Victor, Hazami, Linda Jasmine serta empat pembaca bertuah akhbar terbitan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) iaitu New Straits Times, Berita Harian, The Malay Mail dan Harian Metro.

"Hanya orang tertentu saja dibenarkan mengunjungi saya selebihnya yang tidak berkenaan mereka boleh melihat dari luar saja. Jadi bila ada artis tempatan popular yang hadir dan makan tengah hari bersama saya sudah tentu rasa sangat gembira dan bersyukur.

"Pengalaman paling tak boleh dilupakan sewaktu Mawi melawat saya pada hari kedua. Sedang asyik berbual-bual tiba-tiba ada sekumpulan manusia yang ramai berpusu-pusu mengelilingi rumah kaca ini untuk melihat Mawi dan saya.

"Dalam suasana sebegitu saya sempat bertanyakan bagaimana dia berhadapan dengan kerenah peminat fanatik yang terlalu tergila-gilakannya. Nak tahu apa jawab Mawi?, Katanya, dia sudah biasa dan hanya mampu melemparkan senyuman.

"Kata Mawi ada sekali tu peminatnya menangis selepas melihat dia dan bila Mawi senyum lagi teruk peminat wanita itu menangis. Memang kelakar, terkejut dan terharu pada mulanya sampaikan dia sendiri rasa macam tidak percaya namun lama-kelamaan dia cuba menerima hakikat dan membiasakan diri.

"Sepanjang berbual saya yang banyak bertanyakan soalan kerana Mawi seorang yang pendiam. Ada kalanya kita rasa dia seperti tidak mendengar apa yang cuba kita bualkan tapi pada hakikatnya dia mendengar. Pada saya dalam diam-diam Mawi, dia sebenarnya pandai bergurau," katanya...

Industri muzik negara belum mahu 'kiamat'

(Berita Harian - 24/12/2005)
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

Imbasan Industri Muzik 2005

AWAL 2000 seperti menghantar isyarat ‘kiamat’ akan berlaku kepada industri rakaman sekiranya jenayah cetak rompak tidak dibendung dengan serius. Sejak kegawatan ekonomi pada 1997, penjualan album jatuh menjunam namun petunjuk positif memberi sedikit keyakinan kepada industri untuk terus bergerak.

Lima tahun sudah berlalu, kiamat tidak berlaku seperti yang dijangkakan. Bagaimanapun, masalah cetak rompak masih terus menjadi bebanan kepada penggiat industri. Entah di mana silapnya, industri rakaman makin terkulai.

Layu dibelenggu segala macam permasalahan yang menyukarkannya untuk bernafas selesa seperti yang pernah dikecapi ketika dekad 90-an lalu. Jika ditanya kepada semua anak seni, mereka masih bersemangat untuk menghidupkan survival seni yang terus mekar subur.

Biarpun berdepan cabaran sukar, masih ada usaha daripada syarikat rakaman untuk menerbitkan album rakaman baru. Jumlahnya semakin mengecil hingga membangkitkan persoalan, apakah kita akan berpuas hati dengan kuantiti yang tidak melambangkan kepesatan industri rakaman?

Sampai bila syarikat rakaman mahu terus bernafas dengan bersandarkan harapan kepada produksi album kompilasi, tetapi di luar peminat muzik menginginkan sentuhan lagu baru?

Penurunan mendadak ini, kata Presiden Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Sandy Monteiro pada majlis berbuka puasa anjuran persatuan itu, Oktober lalu bertitik tolak daripada kesan cetak rompak.

Isu yang sudah terlalu lapuk untuk diperkatakan namun hingga ini, masih belum ada titik penyelesaiannya. Kesan negatif cetak rompak terus mencengkam, menyumbang kepada penguncupan industri rakaman.

Kemuncak industri rakaman di negara ini adalah pada 1996 apabila mencatat nilai melebihi RM300 juta setahun. Pada tahun itu juga lahir kumpulan nasyid, Raihan bersama album Puji-Pujian yang mencatat jualan 600,000 unit. Jumlah tertinggi dalam industri hiburan yang terus bertahan hingga hari ini.

Penguncupan itu makin membimbangkan apabila tahun lalu, nilai pendapatan merudum kepada RM110 juta. Jumlah kerugian yang cukup besar kepada industri dalam tempoh 10 tahun dengan kemerosotan pendapatan hampir RM200 juta.

Situasi itu menyebabkan sebahagian besar syarikat rakaman, terutama syarikat antarabangsa, tidak lagi berminat untuk menerbitkan album baru. Kebimbangan besar mereka adalah berhadapan dengan kerugian yang tidak tertampung dengan bajet yang dikeluarkan.

Dalam keadaan industri yang masih menggigil, penggiatnya terus ditekan dengan asakan supaya harga produk itu diturunkan lagi. Beberapa syarikat rakaman menyahut cabaran itu, antaranya Maestro Records yang menjual produk mereka pada harga RM21.90 untuk cakera padat.

Namun, keberkesanannya masih belum jelas meskipun mereka mampu berbangga dengan penjualan album Mawi yang dijual melebihi 160,000 unit.

Ia didorong populariti anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu yang mencipta fenomena luar biasa ketika menduduki banglo Akademi Fantasia (AF) 3. Tanyakan pula bagaimana nasib 13 rakannya yang lain?

Paling mengejutkan apabila RIM meramalkan barangkali kurang daripada lima album rakaman baru artis solo atau berkumpulan yang mampu mencecah tahap penjualan platinum, berbanding tahun lalu di mana lapan album berjaya meraih angka itu.

Penjualan album tertinggi dipegang kumpulan popular Indonesia, Peterpan iaitu 150,000 unit, selain Aksara daripada Misha Omar yang turut mencapai tahap penjualan platinum. Angka yang menyedihkan, berakar umbi daripada kesan cetak rompak yang menimbulkan rasa ketidakyakinan syarikat rakaman untuk mengeluarkan peruntukan besar.


  • survival syarikat rakaman

  • MENERUSKAN survival mereka dalam industri, syarikat rakaman terpaksa bergantung pendapatan kepada penerbitan album kompilasi. Atau cara mudah lain untuk menampung kos operasi adalah membawa masuk produk luar.

    Peruntukan untuk membawa produk luar tidak terlalu tinggi memandangkan mereka tidak perlu menanggung kos penerbitan, kecuali kos pemasaran.

    Penurunan harga juga jelas Sandy, tidak memberi sumbangan yang jelas dalam pemulihan industri rakaman kerana hingga ini album tempatan masih lagi terkial-kial untuk memenangi hati pendengar.

    Penurunan harga, katanya, tidak salah tetapi perlu ada keseimbangan untuk mempertahankan jangka hayat industri.

    “Dulu album dijual pada harga RM36, sekarang jatuh RM29.90. Harga barangan lain semua meningkat, peliknya harga cakera padat semakin menurun. Habis bagaimana mahu industri kita disegani?,” katanya.


  • Import album artis Indonesia

  • AKHIR 1990-an dan awal 2000 menyaksikan ledakan artis tempatan yang mencipta nama di Indonesia. Search, Ukay’s, Slam dan Exists adalah antara kumpulan muzik yang berjaya memecah dominasi muzik di negara itu.

    Jutaan unit album kumpulan ini berjaya dijual. Namun situasi itu sudah beralih. Kita pula yang terpaksa mengimport album artis Indonesia untuk menjayakan industri.

    Tangan kita terbuka menerima kehadiran Peterpan, Kris Dayanti, Dewa, Glenn dan Sheila On 7 - antara sebahagian artis Indonesia yang semakin memperkemaskan kedudukan mereka di sini. Lagu mereka menjadi siulan, menduduki tangga teratas carta lagu malah album Peterpan, Bintang Di Syurga meraih penjualan album tertinggi iaitu 150,000 unit.

    Tahun ini, kita menerima kembali kedatangan Rossa yang membuktikan percubaan keduanya membuahkan hasil yang membanggakan. Menerusi Kembali, Rossa yang pernah mencipta nama dengan Tegar terus meledak bersama lagu popularnya, Pudar.

    Awal November lalu, peminat seni menyambut pula kehadiran Radja. Kumpulan yang popular dengan lagu Takkan Melupakanmu seperti menyambung langkah yang sudah disusun rakan artis senegaranya.

    Mungkin kedatangan artis Indonesia bukan fenomena asing kepada peminat seni tempatan. Keterbukaan dalam menerima kehadiran artis Indonesia atas nama bahasa dan budaya serumpun, tanpa disedari memberi sedikit kesan kepada pasaran muzik tempatan.

    Bukan menentang kehadiran mereka yang secara tidak langsung mewujudkan persaingan sihat dalam industri. Namun, mampukah ia menjadikan industri muzik kita disegani? Ini antara persoalan yang masih belum terjawab.

    Era 70-an pernah menyaksikan kehadiran seperti Emilia Contessa, Broery Marantika, Grace Simon, Hetty Koes Endang, manakala Endang S Taurina, Tommy J Pisa, Ruth Sahanaya mewakili era 80-an.

    Dekad 90-an, kita menerima kehadiran Dessy Ratnasari, Farid Harja, Nicky Astria, Nike Ardilla dan Poppy Mercury. Laluan sudah terhampar dan mereka menyahut cabaran itu. Namun, apa pula usaha artis kita? Cukupkah hanya menjadi jaguh kampung?

    Kalaupun ada penyanyi tempatan yang masih menyinar namanya di Indonesia, tiada artis lain kecuali Siti Nurhaliza. Beberapa penyanyi tempatan lain yang pernah bertandang selepas kedatangan Siti, dilihat masih lagi tergapai-gapai mencari ruang. Di mana silapnya?

    Baru-baru ini, bintang AF1, Vince mencuba nasib untuk melebarkan sayapnya di sana. Antara fantasi atau realiti, hanya masa menentukan. Namun keberanian Vince ketika industri muzik Indonesia juga bergelut dengan masalah sendiri wajar dipuji.


  • Siti Nurhaliza: Sinar dalam kelam

  • DALAM suram warna industri rakaman, Malaysia berbangga apabila penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin muncul sebagai artis pertama mengadakan persembahan secara solo di Royal Albert Hall, London.

    Detik 1 April yang tidak mungkin dapat dilupakan gadis kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu selepas melalui pelbagai laluan yang menyukarkan, sebelum dapat bertahan selama sedekad dalam industri hiburan.

    Pemergian ke kota Inggeris itu bukan sekadar merealisasikan impian besarnya, sebaliknya turut memenuhi harapan rakyat Malaysia untuk melihat seorang lagi anak tempatan `menakluk' dewan berprestij itu.

    Namun sebelum kakinya berjaya memijak dewan yang pernah memahat nama Allahyarham Sudirman Haji Arshad, penganjur, Putrade Property Management Sdn Bhd (Putrade) dan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd (SNP) terpaksa menempuh laluan berliku.

    Hingga ke saat akhir pemergiannya, mereka masih bekerja keras mencari sumbangan penaja yang sudi meringankan kos pemergian rombongan penyanyi itu ke sana. Begitupun, masalah berkaitan soal penajaan langsung tidak menjejaskan persediaan.

    Apatah lagi menggoyahkan semangatnya untuk memberikan hasil terbaik di konsert yang menjadi tumpuan masyarakat luar negara itu. Nama Siti kini termaktub dalam kalendar seni 2005 dewan itu, malah turut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Artis Malaysia Pertama yang mengadakan persembahan secara solo di Royal Albert Hall London.

    Penghargaan itu menjadikan koleksi anugerah Siti bertambah menjadi 129.


  • Mawi: Kemunculan yang dinanti

  • KETIKA penyanyi senior berhempas pulas mengadakan promosi memastikan album mereka mendapat perhatian peminat, anak jati Johor ini pula mencetus fenomena luar biasa menerusi program realiti, AF3.

    Setahun lalu, tiada siapa mempedulikan pemuda bernama Asmawi Ani. Tetapi, situasi itu sudah berubah. Langkahnya kini ditemani dan Mawi, itu nama panggilannya, daripada hanya anak seorang peneroka kini lahir sebagai ‘wira’ industri muzik.

    Popularitinya cukup luar biasa, apa saja yang menggunakan nama Mawi pasti akan menjadi perhatian. Lalu, bukan mengejutkan apabila album kompilasi memuatkan lagu yang dinyanyikannya sepanjang AF3 mencatat kejayaan di luar dugaan.

    Pedulikan kesalahan yang dilakukannya, album kompilasi itu tetap menjadi rebutan. Mawi tidak perlu menunggu lama untuk mencipta sebuah lagi sejarah dalam industri muzik. Kompilasi itu mencecah jualan 160,000 unit dan jumlah itu kian meningkat.

    Lantaran popularitinya yang masih belum suram, Maestro menghadirkan album penuh memuatkan lapan lagu dalam Yang Tercinta. Barangkali tidak sehebat album kompilasi, penjualan album itu juga tidak menghampakan.

    Walaupun belum sempat menjayakan promosi menyeluruh, album penuh Mawi sudah mencapai jualan melebihi 60,000 unit. Justeru, bukan kesalahan jika dikatakan Mawi ialah bintang yang menyinar dalam kesuraman warna industri hiburan.

    Awas- Mawi Palsu

    (mSTAR Online - 24/12/2005)
    Oleh Zieman


    Mungkinkah ini 'adik' kepada Mawi yang telah menipu peminat-peminat Mawi?

    Semakin popular Mawi, semakin banyak kerenah yang terpaksa dihadapi oleh penyanyi kesayangan ramai ini. Yang terbaru ialah kemunculan Mawi Palsu di tengah-tengah kesibukkan bandar Johor Baharu baru-baru ini.

    Mawi melahirkan rasa terkejutnya dengan perkembangan terbaru ini apabila diberitahu oleh peminat-peminatnya.

    Ada peminat Mawi hampir terpedaya dan pergi sendiri berjumpa dengan Mawi Palsu ini dengan harapan dapat berjumpa tetapi hampa. Bila sampai, bayangpun tak ada.

    "Saya sendiri menjadi hairan macam mana benda ni boleh berlaku. Saya diberitahu oleh kawan-kawan saya ada Mawi Palsu kat Johor Baharu tapi biasalah pada mulanya saya tak ambil pusing. Tapi lama-lama bila keluarga saya pula beritahu saya, barulah saya ambil serius perkara ini," terang Mawi ketika dihubungi semalam.

    Menurut Mawi lagi, modus operandi yang dijalankan oleh Mawi Palsu ialah menghubungi peminat Mawi, ajak berbual dalam talipon dan ajak berjumpa.

    Bila tiba ketika pertemuan, Mawi Palsu tidak kelihatan. Memang bunyinya macam ada orang sengaja nak mendajalkan Mawi.

    "Bila saya dengar cerita ni, saya urut dada. banyak bersabar dan beristighafar. Ye lah siapa sangka ada orang yang macam ni. Semua ini adalah perkara baru dalam hidup saya. Lucu juga bila fikirkan," ujar Mawi.

    Walaupun belum ada lagi perkara yang tidak diingini

    "Malah saya rasa ia boleh membahayakan saya. Kalau dia buat yang bukan-bukan nanti saya pula yang akan dituduh," ujar Mawi lagi.

    Salah seorang staf dari pihak pengurusan Maestro Records pernah menghubungi Mawi Palsu dan berpura-pura menyamar sebagai peminat Mawi. Apabila ditanya dimana Mawi berada sekarang, Mawi Palsu telah memberitahu alamat yang tepat di mana Mawi berada.

    "Mawi Palsu tu berkata saya berada di Shah Alam dan kebetulan ketika itu saya memang berada di Shah Alam. Panik juga saya ketika itu. Yang peliknya tu dia tahu saja di mana saya berada dan apa yang akan saya lakukan. Bila fikir-fikir balik macam tak masuk akal tapi itulah hakikatnya," ujar Mawi.

    Pada satu ketika, Mawi sedang di dalam perjalanan balik ke kampung dia di Felda Taib Andak. Hanya beberapa orang yang hampir dengan Mawi saja yang tahu dia akan pulang ke kampung ketika itu.

    "Alangkah terkejutnya saya apabila saya sampai, ramai peminat saya berada di perkarangan rumah. Apabila keluarga saya tanya adakah saya yang bagi tahu, saya jawab tidak. Pelik juga macam mana mereka boleh tahu," terang Mawi dengan peramahnya.

    Tetapi setiap kemusykilan Mawi kini terjawab apabila munculnya Mawi Palsu ini.

    "Sayapun tak tahu macam mana rupa dia. Iras-iras saya ke? Wallahualam. Tapi saya minta peminat-peminat saya janganlah terpedaya dengan helah Mawi Palsu ni. Dan pada Mawi Palsu ni, berhentilah menyamar jadi saya, tak baik buat kerja-kerja macam ni, Tuhan marah," kata Mawi lagi.

    Thursday, December 22, 2005

    "Seroja" buka pintu hati Sutera pada Mawi

    (mSTAR Online - 22/12/2005)
    Oleh Zieman

    Walaupun sibuk terkejar ke sana kemari untuk menunaikan temu janji dengan ramai orang, penyanyi kesayangan ramai Mawi tetap meluangkan masa untuk menziarahi penulis lirik Sutera yang terlantar sakit di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras pada tengah hari tadi.

    Dan seperti biasa di mana jua Mawi berada, "kesibukan lalu-lintas" tidak dapat dikawal walaupun di hospital.

    Sebaik mendengar kehadiran Mawi di hospital, Mawi telah di jemput untuk membuat kunjungan hormat ke pejabat Ketua Pengarah HUKM Professor Dato Dr Mohamad bin Abdul Razak di pejabatnya.


    Mawi sedang berbual dengan penulis lirik Sutera ketika menziarah beliau di HUKM tengah hari tadi. Turut serta ialah ahli-ahli karyawan Aziz Sattar, Nash Lefthanded, Zalee dan Chef Yang Jamil (Foto: The Star)

    Jadual waktu yang begitu ketat terpaksa dilepasi juga apabila Mawi membahagikan masa sebaik mungkin untuk bersama peminat-peminatnya di hospital tersebut.

    Bukan sedikit peminat Mawi yang datang berduyun-duyun mengekorinya dari kumpulan jururawat, pegawai keselamatan dan petugas-petugas lain. Itu tidak termasuk pesakit-pesakit dan pengunjung-pengunjung di hospital tersebut.

    Disebabkan terlalu banyak "check-point" yang terpaksa dilalui oleh Mawi, penyanyi yang sentiasa mengukir senyum itu hanya dapat bertemu dengan Sutera tidak masa 15 minit.

    Walau singkat pertemuan itu, Mawi sempat juga berpesan kepada Sutera untuk tabah menghadapi segala kesukaran yang diharungi.

    "Rajin-rajin makan ubat dan selalu ingat Allah. Semua ni datang darinya kita kena tabahkan hati," begitu pesan Mawi.

    Sutera atau nama sebenarnya Azizah Abdul Hamid yang baru sahaja menjalani pembedahan memasukkan semula ususnya yang tersumbat kelihatan begitu ceria berbual dengan Mawi.


    Mawi sedang membaca doa untuk penulis lirik Sutera ketika menziarah beliau di HUKM tengah hari tadi (Foto: The Star)

    "Dulu aku tak berapa minat dengan kau tapi sejak kau nyanyi lagu Seroja, entah macam mana hati aku sayu terus menangis. Sebak betul bila dengar kau nyanyi lagu tu. Semenjak itu aku peminat kau nombor satu dan sentiasa mengikuti perkembangan," ujar Sutera yang berusia 55 tahun itu.

    Mawi telah menandatangi poster, CD dan menghadiahkan sekeping CDnya yang terbaru kepada Sutera. Ramai juga peminatnya yang hampa tidak dapat bergambar dengan Mawi kerana jadual waktu yang terlalu padat.

    Sutera yang setia ditemani suaminya Mohd Sani Atan, 45 dan dua orang anaknya Siti Naquiah, 17 dan Mohd Arif, 15 telah menderita penyakit kencing manis kronik semenjak 17 tahun yang lalu.

    Keadaannya semakin hari semakin teruk sehinggalah disahkan menghidap usus rosak dan tersumbat. Disebabkan penyakit itu, pundi kencingnya berada di luar selama beberapa tahun sehinggalah beliau menjalani pembedahan pertama untuk memasukkan kembali ususnya pada bulan puasa baru ini.

    Sutera telah menjalani pembedahan yang kedua pada hari Jumaat yang lalu dan keadaannya diberitakan bertambah baik dari hari ke hari. Tutur menziarah Sutera di HUKM adalah ahli-ahli Persatuan Karyawan Malaysia yang terdiri dari Nash Lefthanded yang juga Naib Pengerusi Karyawan, Aziz Sattar, penyanyi Zalee Redang dan isterinya Shidah, dan juga pelakun, penyanyi dan selebriti chef terkenal Chef Yang Jamil.

    Sebelum Mawi minta diri untuk ke temu janji seterusnya, beliau telah membaca doa untuk Sutera yang mana turut diaminkan oleh ramai peminat-peminatnya di hospital.

    Begitu ramai peminat Mawi sehinggakan perjalanan lima minit ke lif memakan masa 20 minit kerana dikepung oleh peminat-peminatnya.

    Bila ditanya apakah senario ini sudah menjadi senario biasa buat Mawi: "Mula-mula dulu terkejut jugak tapi sekarang dah ok. Biasalah orang nak mintak autograf, bergambar dan bertanya khabar. Takpelah kalau orang tak suka lagi haru," jawab Mawi.

    Displin kriteria penting anak seni

    (Harian Metro - 22/12/2005 - Soseh-soseh)

    NAK jadi anak seni, tidak semudah yang disangka. Selain bakat dan penampilan diri, disiplin serta kesungguhan dalam setiap perkara yang dilakukan, haruslah diberikan keutamaan setara.

    Jika ada kriteria ini, barulah seseorang itu mampu bertahan serta jadi profesional dalam bidang seni yang diceburinya.

    Sayangnya, SS lihat tidak ramai anak seni yang nampaknya menitik beratkan sangat hal ini terutama mereka yang masih setahun jagung berada dalam industri ini.

    Malah, seorang teman baru-baru ini meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir bintang muda yang dilahirkan dalam program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3)

    Teman itu memberitahu, kebanyakan mereka yang segelintir ini bukan saja malas untuk belajar menjadi seorang artis yang berjaya tetapi juga tidak menitik beratkan seni yang diceburinya itu.

    Sudahlah datang ke show dalam keadaan terpinga-pinga, persiapan untuk buat show pun tidak pernah dibuat. Semuanya hendak harap orang saja yang sediakan.

    Sampai bila? Sedangkan zaman mereka berada di dalam akademi sudah berakhir. Mereka bukan lagi berada di dalam fantasi tetapi dunia realiti.

    Kemudian, bila suruh nyanyi, balik-balik hendak nyanyi lagu yang dia tahu dan dia selesa nyanyikan saja. Kalau sudah jadi macam ini, bagaimana hendak jadi penyanyi serba boleh?

    Satu-satunya bintang AF3 yang dipuji teman tadi ialah Amylea kerana sentiasa menepati masa dalam setiap show yang dibuat serta sentiasa membuat persiapan rapi untuk show yang dijayakan.

    Malah, Amylea juga sentiasa bersedia dengan baju tajaan serta mekap artisnya sendiri dan sikap itu membuatkan orang senang berurusan dengannya.

    Mawi juga turut berada di dalam senarai pujian kerana anak Felda ini sentiasa mahu belajar untuk memperbaiki kelemahan dirinya.

    Bukan saja dia semakin komited dalam kerjaya seninya tetapi vokalnya juga semakin menunjukkan peningkatan yang baik.

    Wednesday, December 21, 2005

    Mawi paling menyerlah

    (Berita Harian - 21/12/2005)
    Sebahagian dari artikel bertajuk 'Sorotan 2005: Dunia seni, industri hiburan terus menyerlah'
    Oleh Akmal Abdullah

    ...Namun, paling menyerlah ialah juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi yang mencipta fenomena luar biasa. Sokongan terhadapnya dilihat melimpah dan ‘berlebih-lebihan’ sehingga terheret kepada kisah tunang dan bapanya. Album kompilasi menerusi konsert AF3 dijual dengan jumlah di luar jangkaan melebihi 160,000 unit dan album cakera padat video konsertnya lebih 100,000 unit.

    Album studio solo pertamanya yang terjual lebih 120,000 unit mencatat sejarah dalam dunia muzik tanah air. Mawi juga menjadi rebutan banyak pihak yang mengundangnya mengadakan persembahan selain dipilih menjadi duta produk...

    INFO
    Fenomena Mawi sehingga mencatat jualan rekod ratusan ribu unit.

    Mawi @ Nikki's Glass House pada 17/12/05

    (MawiFC.com - 21/12/2005)
    Posted by minaq_jinggo














    Mawi di pelancaran restoran ke-2 Linda Onn

    (Utusan Malaysia - 21/12/2005)
    Gambar dari artikel bertajuk 'Linda Onn belum terfikir untuk bersara mengacara'
    Oleh ABD. AZIZ ITAR


    Linda Onn (tengah) diapit oleh para artis popular (dari kiri) Misha, Farah, Nana, Tiara, Erra dan Mawi sewaktu pelancaran restoran keduanya itu.

    Mawi menjenguk Nikki

    (Berita Harian - 21/12/2005)
    Sebahagian dari artikel betajuk 'Nikki rasa macam patung Barbie'
    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

    ...Antara artis yang datang menjenguk sepanjang tiga hari cabaran itu adalah Kaer, Zahid, Jaclyn Victor, Farah, Nasha Aziz, Afdlin Shauki dan bintang sensasi masa kini Mawi.

    Kehadiran Mawi nyata mengundang perhatian ramai. Ujar Nikki, sepanjang bersama bintang Akademi Fantasia 3 kira-kira satu jam itu dia banyak mendapatkan nasihat juara AF3 itu mengenai cara melayan peminat.

    “Mawi tidak banyak cakap dan sepanjang perbualan kami dia seolah-olah tidak memberikan perhatian. Tetapi nampak saja begitu kerana dia sebenarnya mendengar cuma dia kurang bercakap. Kami sama-sama bintang baru, jadi Nikki mendapatkan tipnya melayan peminat.

    “Antara tip yang Mawi berikan hanyalah ukirkan senyuman. Ada peminat Mawi yang menangis dan pengsan setelah melihatnya. Tapi katanya, senyum saja pada mereka kerana seronok apabila melihat peminat terus menangis. Rupanya Mawi pandai berlawak,” katanya.

    Tuesday, December 20, 2005

    Akademi Fantasia 4 pasti mendebarkan

    (Utusan Malaysia - 20/12/2005 - Propa)

    HA, kepada sesiapa yang mengidam nak jadi macam Mawi, nampaknya kenalah bersiap sedia dari sekarang. Bukannya apa, sebab peluang menyertai Akademi Fantasia musim keempat (AF4) akan tiba tidak lama lagi.

    Dengar cerita, musim keempat program realiti paling popular di Malaysia itu akan bermula pada Februari depan. Uji bakatnya dibuat lebih awal supaya program dapat ditayangkan kepada umum sebelum bermulanya kejohanan bola sepak Piala Dunia di Jerman, musim panas tahun depan.

    Yang menariknya, tentulah orang ramai ingin melihat, bagaimana pula bentuk juara AF terbaru selepas Vince, Zahid dan Mawi? Belum ada juara perempuan dilahirkan program berkenaan. Hmmm, 2006 ini, adakah akan lahir jaguh perempuan pula?

    Paling penting, mampukah juara AF4 nanti mengatasi kemasyhuran yang diraih juara tahun ini, Mawi? Dengan dua album yang sudah pun mengatasi angka seratus ribu dalam masa beberapa bulan, tentunya hakikat itu membuatkan banyak perut terasa terjerut. Alah, jangan panik, sebab nasib dan tuah seseorang tiada siapa yang tahu.

    Monday, December 19, 2005

    Saya tak salahkan Mawi atau Maestro

    (Berita Harian - 19/12/2005)
    Oleh Zubir Mohd Yunus

    BERGELAR anak seni, penyanyi tidaklah seindah yang saya sangka selama ini. Hakikatnya, bergelar artis, bergantung juga kepada nasib. Contohnya macam Mawi AF3. Sekali Tuhan bagi rezeki, betul-betul untuk dia. Walau bagaimanapun, saya dan rakan seperjuangan lain yang berada pada tahap sekarang, kita tak boleh nak salahkan Mawi atau Maestro.

    Kadang-kadang orang luar tak faham, sering menuding jari kepada Maestro, tapi saya yang melaluinya setiap hari, tahu bahawasanya Mawi dan Maestro tidak harus dipersalahkan. Semuanya atas permintaan orang ramai, peminat yang mahukan Mawi, promoter mahukan Mawi, pengiklan mahukan Mawi dan bukannya kami, saya sedar keadaan itu.

    Orang yang minta Mawi, takkan kita nak menjaja diri. Justeru, untuk terus bertahan dalam industri ini, kita perlu mencari inisiatif sendiri.

    Kalau kita sudah tahu tahap kita, kedudukan kita di mana, sedar di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, kita perlu berusaha supaya nama kita tidak tenggelam.

    Kita tak boleh semata-mata terus mengharapkan Maestro. Maestro ada ramai artis yang terdiri daripada kawan-kawan saya juga. Kami tak boleh pentingkan diri sendiri. Kita sama-sama cari rezeki dalam bidang ini, cuma rezeki yang kita nikmati berbeza-beza antara satu sama lain. Itu semuanya kerja Tuhan.

    Justeru, kalau ada peluang cari peluang sendiri, kita akan rebut, selepas itu beritahu kepada Maestro. Saya sentiasa beringat, saya masih artis Maestro, tanpa Astro dan Maestro, tak mungkin saya berada pada tahap seperti hari ini. Kita tak boleh membelakangkan mereka, anything must go back to them.

    Kalau kita dah sedar kita ni tak ada show, tak ada income, jangan hanya berharap, berhenti berharap dan hanya menunggu. Rezeki tak datang bergolek kalau kita tak berusaha mencarinya.

    Wake up, keluar cari show dan buktikan kepada orang tua kita, jalan yang kita pilih ini sebenarnya mampu memberi pulangan kalau kita rajin berusaha.

    Boleh dikatakan, anggaran sebulan show yang saya dapat, lima. Bagi saya, itu sudah memadai.

    Itu baru lima untuk saya, sedangkan Maestro perlu mencari show lain untuk kawan-kawan saya lagi. Kita bukannya setaraf Mawi, jadi kalau dapat dua atau tiga show dalam sebulan, alhamdulillah, itu dah kira OK.

    Tapi, duit yang kita dapat tu, kenalah jimat-jimat, tak bolehlah berbelanja macam artis top lain. Artis atau sesiapa saja, perlu ada simpanan, kalau tak ada susahlah...

    Nak kata sengsara hidup sebagai artis, tak sampai lagilah ke tahap itu. Tapi perbezaan kehidupan dulu dan sekarang, memang ketara.

    Dulu, kita ada gaji setiap bulan walaupun tak banyak. Sekarang ni kita kena fikir, ada show, ada duit, tak ada show, tak adalah duit... Sebab tu saya katakan tadi, saya perlu lebih beringat.


    Yang penting, jangan iri hati

    Saya akui, sambutan peminat terhadap saya tidaklah sehebat Mawi. Untuk meneruskan perjuangan, saya perlu menguatkan semangat. Sekalipun Mawi memiliki populariti yang luar biasa, kita tak boleh patah semangat. Saya yakin, dalam gua, masih ada cahaya di hujung terowong.

    Yang penting, jangan iri hati pada Mawi atau kawan-kawan yang lain. Apabila perasaan hasad dan dengki ada dalam diri kita, maka bermulalah era kejatuhan seseorang artis itu. Tapi, perasaan sedih tak boleh buanglah, hari ini saya macam ni, tapi lima atau 10 tahun lagi, saya tak tahu macam mana nasib saya dalam bidang hiburan.

    Dalam apa jua keadaan, kita jangan malu melobi diri sendiri, tapi biarlah kena dengan caranya, jangan sampai orang cakap, artis AF terdesak, terpaksa meminta-minta sebab nak hidup, ingat kita masih ada maruah yang perlu dipelihara.

    Rezeki ada di mana-mana, Tuhan dah beri kita kudrat mencari rezeki yang halal, jadi jangan mensia-siakan bakat dan kebolehan yang Tuhan kurniakan kepada kita.

    Kita perlu membuktikan kepada orang ramai, promoter dan penerbit bahawa artis AF boleh buat kerja, jangan sekadar popular di media massa saja, tapi bakat entah ke mana. Namun, saya yakin semua rakan AF, tak kiralah dari musim pertama hingga ketiga, semuanya berbakat besar, kalau tak ada bakat, mereka tak terpilih masuk AF, cuma yang membezakan kami adalah rezeki.

    Saya akui, saya masih terkapai-kapai dalam usaha menempa nama. Kita perlu fokus dalam apa saja yang kita usahakan. Kalau kita sedar kita orang baru, buat betul-betul, jangan main-main.

    Saya sentiasa tanamkan dalam diri, walaupun sambutan tidak seberapa, saya mampu memberi saingan.

    Seandainya kita berdepan dengan masalah, bawa-bawalah berbincang dengan pihak pengurusan.

    Jangan memberontak kerana ia akan memakan diri sendiri.

    Kalau ada perasaan kecil hati, benda itu kadang-kadang kita tak boleh nak elak kerana rezeki kita berbeza-beza, jangan ikutkan sangat perasaan itu. Kita perlu reda kerana rezeki kita hari ini, setakat ini saja. Mungkin esok, bertambah lagi. Ukurlah baju di badan sendiri.

    Sementara itu, saya juga ada terdengar orang bercerita yang saya dah bertunang. Baiklah, saya berterus-terang. Sebenarnya saya belum bertunang lagi. Masih solo. Saya baru 21 tahun. Yang ada sekarang ni hanyalah kawan rapat.

    Perancangan bila kami nak bertunang ke, kahwin, belum ada apa-apa lagi. Kawan rapat saya tu bekerja sambil belajar. Cita-cita saya pula belum tercapai sepenuhnya. Justeru, biarlah kami mengecapi kejayaan peribadi dulu, sebelum memikirkan sebarang ikatan. Ada jodoh, ikatan ini akan berakhir di jinjang pelamin, tapi sampai hari ini saya masih tak tahu siapa jodoh saya yang sebenarnya.”

    Sunday, December 18, 2005

    Tak sempat buat klip video

    (Harian Metro - 18/12/2005 - Dunia Mawi)

    BERTEMU lagi kita di ruang ini dan terima kasih kerana masih sudi meneliti catatan mingguan saya.

    Sebelum jari ini terus menari di atas ‘keyboard’, terima kasih kepada peminat yang terus menyokong. Dalam keadaan pasaran album yang tidak menentukan, anda semua membuktikan sokongan itu.

    Alhamdulillah, saya dimaklumkan, Mawi...Yang Tercinta kini jualannya mencecah 110,000 unit. Saya terkejut dan hairan, tetapi percaya dengan rezeki serta ketentuan Allah.

    Biasanya jualan paling banyak pun sekitar 10,000 hingga 15,000, tetapi nampaknya album saya membuka cerita baru.

    Biarpun beberapa kontroversi tercetus baru-baru ini, peminat masih menghargai saya. Seperti yang sering saya katakan, sokongan ini membuatkan saya semakin kuat dengan janji untuk memperbaiki diri sebagai individu dan penyanyi disegani.

    Seperti dijanjikan minggu lalu, hari ini saya ingin kongsi pengalaman ketika di Jakarta. Itulah pengalaman pertama saya di bumi seberang.

    Pengalaman ini sukar dilupakan, terutama apabila berkongsi pentas dengan bintang besar dua negara seperti Siti Nurhaliza dan Krisdayanti. Malah, gabungan pemuzik dua negara di dalam satu orkestra membuka minda saya terhadap muzik.

    Memang benar muzik bahasa sejagat. Tiada sempadan yang memisahkan bahasa ini. Saya cukup bertuah, selaku orang baru dipilih membawa nama Malaysia di sana. Tidak semua orang diberi peluang begini dan inilah yang membuat saya menghargainya.

    Sepanjang tiga hari di sana, saya dapat rehat sikit. Tidak terkejar-kejar, jadi tumpuan untuk menyanyi lebih banyak. Bagaimanapun, rasa gementar tetap menyelubungi kerana Ekspresi Gemilang RTM-TVRI adalah persembahan penting. Saya memikul nama negara ketika itu.

    Bagaimanapun, sebenarnya saya lega di Jakarta sebab tidak ramai kenal. Bukan menolak tuah atau peminat Malaysia, tetapi baru dapat saya rasa apabila fokus utama tertumpu kepada Siti dan KD. Masih ada yang mengenali diri ini, tetapi taklah seramai di bumi sendiri.

    Di sana juga, saya dibawa oleh pihak Maestro (diwakili Ketua Pengurusan Artis, Aman Ali) bertemu beberapa label di sana. Mereka ada tunjuk minat, tetapi perbincangan lanjut harus dijalankan dan sekarang Maestro mengatur perancangan lebih jitu.

    Minggu lalu juga saya ceritakan mengenai video muzik. Namun dek kerana penerbangan tertangguh, banyak juga yang tidak sempat kami penuhi, termasuk pertemuan dengan sebuah stesen radio di sana. Tak mengapa, mungkin belum rezeki lagi.

    Malah, kami sempat meninjau beberapa lokasi sesuai untuk penggambaran video muzik itu. Lapangan terbang mereka juga cantik dan sempat kami ke Blok M, Anchol, Taman Puring, Senayan dan beberapa kawasan sekitar Jakarta.

    Itupun kami terpaksa mencuri-curi masa untuk ke sana sebab kami kena hormat dengan masa yang ditetapkan RTM. Untuk membuat rakaman video muzik itu, sememangnya kesuntukan masa jadi kami rasa ia akan dilakukan pada lain waktu.

    Memang kawasannya cantik sekali, tetapi nak buat macam mana. Tidak saya kesalkan kerana mesti ada cerita di sebalik yang ditentukan-Nya.

    Dalam pada itu, saya dan Bob AF2 dijemput ke makan malam anjuran kedutaan Malaysia di Indonesia.

    Malah, ketika di Jakarta juga, saya bebas ketika membeli-belah. Tidak perlu lagi ada orang mengiringi saya, terasa seperti Mawi dulu yang belum anda kenali. Kadangkala rindu juga waktu-waktu dulu.

    Namun, tiada perasaan kesal bergelar anak seni. Inilah antara harga yang harus saya bayar untuk ada di sini hari ini. Wassalam, moga bertemu lagi minggu depan.

    Mawi atau kari?

    (Harian Metro - 18/11/2005 - CAK)

    KEHEBATAN penangan Mawi dalam industri hiburan bukan perkara pelik lagi. Sebab itu, ke mana saja pergi dia akan dikerumuni.

    Bukan CAK nak promosi jenama mi segera Mawi, tetapi sebaik juara Akademi Fantasia 3 itu dilantik selaku jurucakap Mamee, CAK difahamkan jualannya terus meningkat. Sebagaimana kita tahu, selain Mawi, Amylea dan Felix turut berkempen jenama itu.

    Memang permintaannya semakin tinggi. Biarpun ada perisa lain, perisa kari diletakkan wajah Mawi juga paling diminati. Entahlah, mereka suka kari atau Mawi.

    Baik di kedai kecil mahupun pasar raya, Mamee kari Mawi pasti menjadi pilihan ramai. Laris sungguh!

    Terbaru, rakan CAK ingin membeli mi segera itu di sebuah pasar raya besar tetapi hampa apabila produk itu habis, sedangkan yang lain..

    Monday, December 12, 2005

    Artis AF lupa lirik

    (Utusan Malaysia - 12/12/2005)
    Oleh KHADIJAH IBRAHIM

    LANGKAH mengeluarkan wang beribu ringgit untuk membeli meja bagi menyaksikan persembahan artis mungkin akan rasa berbaloi kalau persembahan itu memberi kepuasan kepada penontonnya.

    Tapi persembahan Mawi, Amylea, Marsha, Kefli, Adam dan Farah pada Konsert Aidilfitri Mawi dan Bintang-Bintang AF di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, baru-baru ini dianggap kurang memuaskan.

    Penggunaan minus one tidak akan menjadi penyebab untuk membuatkan penonton bosan kalau penyanyi mampu menampilkan vokal yang memberangsangkan. Malangnya, penyanyi yang mengadakan persembahan pada malam itu belum mampu mencapai tahap membuatkan penonton terpegun mendengar suara mereka. Apalagi bila ada di kalangan artis-artis tersebut menyanyi secara miming.

    Hampir satu jam setengah di dewan yang dingin itu, hati penonton hanya teruja melihat gelagat pengacaranya, Ogy, yang mencuit hati.

    Mawi masih mempersembahkan lagu-lagu yang sama. Cuma kali ini Mawi turut mendendangkan lagu popularnya, Lagu Jiwa Lagu Cinta, sebagai penutup tirai persembahan bersama bintang-bintang AF yang lain. Tapi mata hampir setiap penyanyi itu asyik tertumpu di lantai melihat lirik. Malah ada di antara mereka tidak menyanyi langsung, mungkin kerana tidak hafal lirik.

    Pujian perlu diberi kepada Kefli kerana pada malam itu dia telah menunjukkan kebolehan mendendangkan pelbagai rentak lagu seperti Berhenti Mengharap dan Hati Emas. Cuma sewaktu bersama Adam mempersembahkan lagu Tak Tahu, Kefli terlupa lirik. Tapi Adam cuba menyelamatkan keadaan dengan selamba menyanyikan lirik spontan ciptaannya, 'ah..ah tak tahu Kefli lupa lirik'. Kefli bila mendengar Adam berkata begitu terus melompat ke arah rakannya itu. Gelagat mereka amat menghiburkan.

    Begitu juga dengan Amylea yang cuba menghiburkan penonton dengan gayanya tersendiri. Amylea mendendangkan lagu Sweet Child O'Mine, Ku Berserah dan Bersama Di Hari Raya berduet bersama Marsha dan Farah. Dari segi vokal, Amylea tidak perlu dipertikaikan.

    Sementara itu, Marsha yang dilabelkan sebagai penyanyi penggoda di pentas menghiburkan penonton dengan lagu Manusia dan Untuk Terakhir Kali. Farah pula mendendangkan lagu Milikmu Sepenuhnya, Antara Dua dan Jika Kau Tiada duet dengan Adam.

    Sunday, December 11, 2005

    Diarah keluar dari pesawat

    (Harian Metro - 11/12/2005 - Dunia Mawi)

    ASSALAMUALAIKUM! Hampir seminggu saya di Jakarta untuk menjayakan program kerjasama RTM dan TVRI, Ekspresi Gemilang. Hari ini saya bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur, namun catatan ini dibuat ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Selasa lalu.

    Mungkin saya akan ceritakan pengalaman di sana dalam catatan akan datang. Namun saya teringat kejadian di KLIA hari itu. Dua kali saya dan Ketua Pengurusan Artis Maestro, Aman Ali diarah keluar dari pesawat.

    Penerbangan pesawat kami ditangguh kerana masalah teknikal. Mulanya risau juga sebab macam dalam TV, ‘real’ tetapi selepas melihat penumpang lain OK saja, saya mula tak kisah. Ini pengalaman pertama saya berdepan situasi begini.

    Biasanya naik kapal terbang dan terus terbang, tetapi kali ini dua kali masuk dua kali kena keluar. Nasib baik kali ketiga semuanya OK.

    Cuma saya sedikit terkilan sebab sepatutnya saya tiba di sebuah konti radio di sana lebih awal. Mengikut jadual, pesawat kami berlepas jam 1.35 petang tetapi kena tunggu hingga jam 3.45 petang.

    Itu yang membuatkan saya risau. Maklumlah orang baru seperti saya, tidak mahu pihak media membuat tafsiran lain pula. Namun alhamdulillah, semuanya diselesaikan oleh Aman terlebih dulu yang menjelaskan kedudukan kami ‘tersadai’ di KLIA.

    Sebenarnya, pemergian kami dilakukan sehari lebih awal untuk memudahkan urusan lain. Raptai untuk Ekspresi Gemilang bermula Rabu, tetapi kami cepatkan kerana Maestro mempunyai perancangan terhadap artis naungannya.

    Saya difahamkan, selain album saya Yang Tercinta, Maestro kini berunding untuk memasarkan produk lain ke republik itu.

    Siapa tidak gembira mendengar usaha mereka yang cuba meletakkan saya dan rakan AF lain ke satu tahap yang sebaik mungkin. Ini pembuka jalan untuk kami.

    Aman turut menceritakan kepada saya mengenai usaha itu. Tiga empat label ditemui untuk rundingan. Insya-Allah kalau ada rezeki, tidak ke mana.

    Saya percaya ia akan membuahkan hasil kalau dilakukan dengan baik.

    Kalau berjaya, ia bukan untuk saya atau penyanyi lain saja, tetapi nama artis dan industri muzik Malaysia juga. Tidak mustahil untuk kita melihat perkembangan positif itu sebagaimana kita melihat kejayaan artis Indonesia di bumi kita.

    Mulanya saya bimbang dengan penerimaan peminat di sana. Namun pada masa sama, Aduh Saliha diputarkan di beberapa stesen radio, itu perkembangan menarik.

    Lagipun saya dimaklumkan, segelintir peminat muzik di sana mendapat akses menonton program AF. Jadi rasanya tiada masalah sangat kerana mereka juga mengenali kami. Bukan mahu mendabik dada atau meninggi diri, tetapi saya bangga apabila ramai wakil media Indonesia menunggu ketibaan kami di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Selasa lalu.

    Peluang di Jakarta juga digunakan Maestro untuk membuat penggambaran video muzik dua lagu saya, termasuk Aduh Saliha. Orang kata, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Jadi Maestro mengambil kesempatan ini untuk merakam keindahan Indonesia di dalam video muzik berkenaan.

    Bab pemilihan lagu, saya serahkan kepada Maestro yang lebih arif, namun saya difahamkan ia dibuat berdasarkan lagu yang ada nuansa antarabangsa. Mungkin Aduh Saliha yang berirama muzik sejagat lebih tepat.

    Saya cuma diberitahu, muzik video itu akan turut disiarkan di MTV Boom Indonesia. Tidak semua video muzik boleh melepasi tayangannya kalau tidak menepati piawaian ditetapkan. Hanya artis besar, termasuk dari Malaysia seperti Siti Nurhaliza.

    Harapnya ia menjadi kenyataan. Semua itu masih dalam perancangan. Kita tunggu saja, kalau ada perkembangan menarik, akan saya khabarkan kepada peminat semua.

    Sebelum saya mengundur buat kali ini, ingin saya nyatakan bangganya penyanyi baru seperti saya dapat peluang menyanyi di TVRI. Tiga lagu saya sampaikan — Aduh Saliha, Gadis Melayu dan Perempuan — semuanya bergema di udara negara itu.

    Bukan saya seorang, Siti, Fazley, Bob AF2, Vince AF1 dan Azharina juga menjulang nama Malaysia di sana.

    Lembap tetapi panas

    (Utusan Malaysia - 11/12/2005)
    Oleh: ROSLI MANAH

    MERIAH, bermanfaat dan bermaklumat. Itulah gambaran rangkuman aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari berlangsungnya Karnival Utusan Karya... Jom Fiesta 2005 pada 3 dan 4 Disember lalu.

    Memang itulah hasrat penganjur untuk membuka ruang interaksi dengan pembaca setia majalah-majalah yang diterbitkan. Bukan menyediakan hiburan sahaja, sebaliknya turut menyalurkan informasi.

    Karnival yang dilangsungkan dalam suasana lembap dek hujan renyai-renyai yang turun pada awal pagi 3 Disember itu tidak menyejukkan acara yang diatur di Taman Tasik Permaisuri, Kuala Lumpur.

    Orang ramai yang singgah tidak menganggapnya sebagai satu masalah. Mereka meredah sedikit becak di ruang berjalan di sekitar gerai karnival julung kali anjuran syarikat penerbitan majalah anak syarikat Kumpulan Utusan itu.

    Malah ada tetamu yang berasa tidak puas dan ingin ia diteruskan lagi. Ada yang meluahkan ucapan terima kasih kepada penganjur yang mengadakan karnival serupa.

    ``Saya juga dapat banyak maklumat daripada aktiviti yang dijalankan,'' kata salah seorang pengunjung gerai URTV yang menyediakan platform untuk bakat baru yang ingin berlakon.

    Ada juga yang bertanya... mengapa karnival sedemikian tidak dijalankan selama lima hari misalnya. Nampaknya mereka seronok apabila ada aktiviti yang dapat dilakukan pada hujung minggu.

    Pengunjung tetap taman tasik yang menyediakan trek joging itu juga singgah meninjau gerai dan menyertai acara yang disediakan. Kehadiran lebih 30,000 pengunjung membuktikan karnival tersebut boleh dianggap berjaya.

    ``Saya sangat berpuas hati kerana karnival ini telah berjaya. Terima kasih kepada semua pihak termasuk penaja yang bekerjasama,'' kata Ketua Pengarang Majalah, Ahmad Abdul Hamid.

    Gerai Mangga dibanjiri artis untuk sesi beramah mesra, bergambar dan mendapatkan tandatangan. Gerai HAI pula menyediakan platform bakat baru bidang nyanyian menerusi pertandingan karaoke.

    Sebanyak 1,000 peserta menunjukkan bakat dalam pusingan awal. Banyak lagi yang ingin mendaftar, namun kesuntukan masa membuatkan mereka mengehadkan penyertaan.

    ``Pada masa akan datang majalah HAI akan mengadakan pertandingan karaoke kerana kami sedar banyak yang minat menyanyi,'' kata Pengarang HAI, Huzzaini A.R. Kamaluddin (Huzz).

    Huzz dan krew majalah HAI melupakan kepenatan sehari suntuk memilih peserta yang layak ke pusingan akhir. Juaranya menerima wang tunai RM2,000.

    Di gerai URTV pula, pengarah Erma Fatima dan pelakon Umie Aida menceriakan uji bakat berlakon. Erma sendiri terkejut dengan bakat yang ditunjukkan oleh peserta.

    ``Saya tak sangka banyak bakat baru yang ada di luar sana. Saya akan mengundang mereka berlakon dalam drama arahan saya nanti,'' janji Erma yang nyata berpuas hati dengan peserta.

    Dalam uji bakat tersebut peserta tidak diberikan skrip sebaliknya disuruh berlakon watak tertentu berdasarkan situasi yang digambarkan oleh Erma dan Umie.

    Aktiviti bermain dart dan wall climbing yang disediakan oleh majalah Umph juga tidak kurang hebatnya. Seribu penyertaan sehari diterima untuk membaling dart dan memenangi hadiah yang ditawarkan.

    Banyak lagi acara yang dijalankan dan mendapat respons baik pengunjung seperti aktiviti-aktiviti kekeluargaan di gerai Saji, Harmoni dan Wanita.

    Peminat setia majalah-majalah terbitan Utusan Karya juga boleh membawa pulang wajah mereka yang dijadikan penghias wajah (muka depan) di gerai Penghias Wajah. Jurugambar terbaik unit majalah Utusan dan unit reka bentuk menyediakan khidmat mereka.

    Majalah URTV dan Wanita menjadi tarikan utama. Tidak kurang juga sambutan untuk majalah HAI, Harmoni, Umph dan lain-lain.


    * Konsert artis popular

    Kalau sebut karnival, tidak sah kalau tidak ada konsert artis popular. Dua konsert berasingan dijalankan. Pada sebelah malam 3 Disember, Mawi menjadi tarikan utama lebih 15,000 penonton Konsert URTV, HAI dan Mangga.

    Kehadian Mawi setengah jam sebelum konsert berakhir mencuri perhatian penonton yang menonton di bahagian belakang pentas. Mawi terpaksa dikawal oleh pasukan Rela yang turut memberikan kerjasama.

    Mawi yang muncul pada akhir konsert memaku kaki penonton untuk menonton sehingga konsert selesai.
    Kemunculan penyanyi lain juga tidak mengecewakan dan masing-masing memberikan persembahan terbaik.

    Misha Omar, Sarah, Azharina, Uji Rashid, Fauziah Latiff, Farawahida, Rahmat Mega, Jeffrydin, Nabil, Faradhiya, Linda dan Diana Rafar, Mail (XPDC), Zamani, Elyana, Jinbara, Kristal, Nash dan beberapa lagi antara yang menghangatkan konsert.

    Sebuah lagi konsert diadakan pada pukul 5 petang 4 Disember. Konsert Sepetang Bersama Bintang itu menampilkan Ella, Nita, Farah (Malaysian Idol), Saleem, Shazzy, Flop Poppy, Achik, Siti Nordiana, Waheeda, U.N.I.C, Pija dan beberapa lagi.


    * Siti Nurhaliza singgah sekejap

    Sebelum Konsert Sepetang Bersama Bintang bermula, Siti Nurhaliza singgah sekejap di pentas utama karnival. Siti yang ada komitmen lain di luar Kuala Lumpur pada hari itu tidak menghampakan peminat.

    Siti singgah dalam perjalanan ke Seremban, Negeri Sembilan untuk mengadakan persembahan di sebuah hotel di sana.

    Kemunculan istimewa Siti hanya untuk bermesra dengan peminat dan mencabut cabutan bertuah. Siti juga mengadakan aktiviti ringkas bersama pelanggan Hotlink.

    Hotlink adalah penaja utama karnival. Gerai Hotlink di bahagian hadapan juga tidak lekang dengan kunjungan pelanggan. Pelbagai hadiah disediakan kepada pelanggan di tapak karnival.

    Pelanggan bertuah berpeluang naik ke pentas dan mengadakan games ringkas bersama Siti sambil memenangi hadiah yang disediakan. Mereka juga berpeluang mendapatkan tandatangan Siti pada akhir segmen.

    Panas terik hari itu tidak menjadi masalah. Peminat sanggup menunggu kehadiran Siti.

    Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir merasmikan karnival pada 3 Disember.

    Selain Hotlink selaku penaja utama, karnival juga mendapat tajaan Pan Global Rocks dengan kerjasama Julie's, Positive Mind Resources dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

    Rakan media karnival pula terdiri daripada Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, KOSMO!, RTM dan radio KL fm.

    Pak cik dan polis tunggu Mawi

    (Utusan Malaysia - 11/12/2005)

    CAKAP fasal Mawi juara Akademi Fantasia 2005, semua orang tahu, dia sekarang macamlah akhbar mingguan No.1 di Malaysia iaitu Mingguan Malaysia.

    Mawi sentiasa panas dan laku dengan undangan menyanyi. Tak putus-putus, jadual padat sentiasa!

    Minggu lalu pada 3 Disember semasa hari pertama Karnival UKSB Jom Fiesta! Di Taman Tasik Permaisuri, Bandar Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur berlangsung, Mawi bersama-sama artis popular lain seperti Fauziah Latiff, Waheeda, Nash, Jefrydin, Yabang Jinbara, Kumpulan Kristal, Elyana, Azharina, Uji Rashid, Khairil Khamis, Misha Omar dan ramai lagi... telah menghimpunkan 30,000 penonton menonton konsert majalah popular tanah air HAI, URTV dan Mangga malam itu.

    Sebelum Mawi sampai, Huzz diberitahu dia kena jayakan beberapa show hari itu di tempat lain. Malam itu, Huzz dan rakan wartawan lain di tepi jalan raya dekat beberapa kilometer dari pentas, melihat ramai jugalah peminat yang bersama-sama kami di tepi jalan menantikan rombongan Mawi. Bukan si kecil 4 tahun saja sebut nama Mawi, pak cik yang berlebai dan berkain pelekat pun tunggu Mawi. Ada pak cik yang tak jemu tanyakan... Mawi datang tak malam itu. Polis trafik dan Rela ramai di situ mengawal kenderaan yang sesak kerana orang berpusu-pusu nak ke tapak karnival. Atas kerjasama abang polis trafik, salah seorang daripada mereka menolong Huzz untuk pergi ke Stadium Bola Sepak Cheras yang dekat dengan kawasan karnival itu untuk menunjukkan jalan pada rombongan Mawi yang tiba. Apa yang mengejutkan, agak lama juga abang polis tu pergi nak tunjukkan jalan. Tertanya-tanya juga Huzz apa dah jadi? Rupa-rupanya kata Aman pengurus Mawi, polis itu meminta Mawi tandatangan autograph dulu, bukan kena saman, tapi abang polis peminat Mawi.

    Bila kereta Naza World yang dinaiki Mawi diiring abang polis masuk ke kawasan belakang pentas, terus kereta itu dikerumuni peminat. Mawi tetap tersenyum, melambai, bersalaman dengan peminat.

    Dalam khemah pun sama, Mawi tak habis kena serbu kakitangan karnival dan keluarga mereka untuk bergambar.

    Apa yang pasti karnival dua hari itu cukup sesak dengan manusia selain acara-acaranya yang meriah! Hari kedua Cik Siti kita pula datang. Pun sama juga penuh peminat menantikannya!

    HUZZ: Takziah buat sahabat Huzz, peguam Raja Badrol Hazman kerana isterinya meninggal dunia kerana sakit paru-paru pada minggu lalu. Al- Fatihah.

    Thursday, December 08, 2005

    ‘Album Mawi mudah dihasilkan’

    Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

    Demikian pengakuan sifu muzik, M Nasir terhadap pembikinan album studio pertama Mawi berjudul Yang Tercinta

    BERIKUTAN aliran yang hampir serupa, M Nasir mengaku, amat mudah untuknya mencurahkan idea dalam menghasilkan album untuk juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi.

    Katanya, album Mawi senang dihasilkan berikutan wujudnya persamaan antara mereka berdua dari segi kecenderungan dan aliran muzik - nusantara dan world music.

    Begitupun, konsep yang dihidangkan kepada pendengar menerusi album studio sulung penyanyi baru itu bukanlah ideanya seorang, sebaliknya M Nasir terlebih dulu duduk berbincang bersama pihak Maestro Records.

    “Kita sedar Mawi memiliki keupayaan menyanyikan pelbagai irama lain tetapi hasil perbincangan, konsep yang ditampilkan inilah dirasakan terbaik buatnya,” kata M Nasir yang bertanggungjawab terhadap konsep album artis berusia 24 tahun itu.

    Sifu muzik itu sendiri menyumbang lima lagu untuk album berjudul Mawi - Yang Tercinta. Selain Aduh Saliha, beliau menghadiahkan Mawi dengan lagu Lagu Jiwa Lagu Cinta (duet M Nasir & Mawi), Di Pintumu, Perempuan dan Yang Tercinta.

    M Nasir, pada pelancaran album terbabit di Kuala Lumpur, baru-baru ini, turut memberikan kredit kepada Mawi kerana berjaya merakam album itu dengan baik sekali.

    Dia akui, sebagai penyanyi baru, Mawi memiliki kekuatan tersendiri, manakala produser yang bekerja bersamanya adalah pemuzik amat berpengalaman. Justeru, penghasilan album itu berjalan lancar dan mengambil masa singkat.

    Begitupun, Yang Tercinta dan Lagu Jiwa Lagu Cinta terpaksa dirakam semula apabila komposer itu tidak berpuas hati dengan hasil rakaman pertama. Menurutnya, perkara itu biasa berlaku ketika proses rakaman dijalankan - bagi mendapatkan vokal serta mood terbaik daripada seseorang artis.

    “Album saya sendiri mengambil masa empat tahun untuk disiapkan,” kata M Nasir yang memberitahu, banyak lagu diterima daripada komposer tanah air untuk pembikinan album itu, namun hanya lapan lagu terbaik dipilih untuk dimuatkan.

    Selain dirinya, Yang Tercinta turut menyenaraikan tiga komposer lain sebagai pencipta dan penerbit untuk lagu mereka. Pencipta berkenaan ialah Fauzi Marzuki menerusi lagunya, Kian; Ajai (Kurnia Tuhan) dan Yasin Sulaiman (Cinta Hakiki).

    Kata Ajai, dia berbangga dan seronok kerana diberikan peluang bekerjasama dengan juara AF3 itu yang dianggap dapat menyanyikan lagunya dengan sempurna. Namun, sebelum mencurahkan idea mencipta lagu berkenaan, terlebih dulu dia mendapatkan pandangan M Nasir supaya arah muziknya tidak lari daripada konsep yang diinginkan.

    Manakala Fauzi pula menegaskan, sememangnya dia pernah berkata untuk bersara daripada berkarya. Namun, komposer ini sedia menyumbangkan lagunya apabila dia mengetahui hal pembikinan album anak muda dari Kulai itu.

    Sementara itu, Mawi berharap peminat dapat menerima album Yang Tercinta sebagaimana mereka menyambut baik album The Best of Mawi World yang sudah pun terjual kira-kira 170,000 unit sejak dipasarkan pada 22 Ogos lalu.

    Album studio ini juga nampaknya bakal mencipta kejayaan selepas 60,000 unit berjaya dijual sebaik saja Yang Tercinta menjengah pasaran.

    LAGU CINTA LAGU JIWA

    Menyanyi kerana gembira
    Menyanyi kerana sedih
    Menyanyi kerana rindu
    Aduh siapa dapat membaca hatiku saat ini

    Menari kerana melayan
    Menari kerana sunyi
    Menari kerana kasih
    Ada di depan masih juga tak mengerti

    Gerangan apa buat ku kemari
    Dalam temasy ku memencil diri
    Darilah jauh asyik memandangnya
    Sekalipun dia masih tak perasan
    Ku disini
    Oh…..

    Lagu jiwa
    Bukan lagu mengadu nasibku
    Lagu cinta
    Bukan lagu meratap hidupku

    Hanya nak menyatakan
    Tuah dan untung badan
    Di uji hebat cinta sehebat begini
    Hebat begini

    Vokal: Mawi/M Nasir
    Lagu/Lirik: M Nasir/Loloq

    Mawi gugat populariti Siti?

    (Utusan Malaysia - 08/12/2005)
    Sebahagian dari artikel bertajuk 'Orang Maran hargai Siti Nurhaliza'
    Oleh: ALI MAHMOOD

    ...Banyak pemerhati menganggap kemunculan juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi mengugat populariti Siti Nurhaliza.

    Namun, kata Siti, dia menerima kehadiran bintang AF3 itu dengan hati terbuka dan menganggapnya sebagai satu persaingan sihat bagi merancakkan lagi perkembangan dunia seni tanah air.

    Kemunculan Mawi tidak dilihat sebagai satu halangan yang boleh menutup 'periuk nasinya' setelah 10 tahun mengungguli pentas hiburan tanah air.

    "Siti akui Mawi seorang penyanyi baru yang hebat, mempunyai 'aura' yang tersendiri dan memiliki bakat semula jadi dalam bidang seni. Bagi Siti kehadiran Mawi kena pada masanya.

    "Ini kerana peminat seni tanah air dahagakan kehadiran seorang penyanyi lelaki yang berwibawa dan berbakat selepas era M. Nasir dan Jamal Abdillah,'' kata Siti Nurhaliza semasa ditemui selepas menerima Anugerah Srikandi Seni daripada UMNO Bahagian Maran.

    Tambahnya, "Kemunculan Mawi sangat dinanti-nantikan dan tepat pada masanya. Bagi Siti, Mawi mampu memeriahkan lagi perkembangan hiburan tanah air.''

    Sebelum ini tercetus kontroversi apabila Siti Nurhaliza bergambar dengan Mawi. Ada pihak menuduh Siti yang sebelum ini enggan bergambar dengan artis-artis lelaki cuba menumpang populariti Mawi.

    Menjawab tuduhan itu, kata Siti, dia tidak pernah mengubah pendiriannya itu semata-mata untuk menumpang populariti.

    "Mungkin ramai yang terkeliru. Mengelak bergambar dengan artis lelaki itu maksud Siti dalam sesi fotografi yang diatur untuk hiasan muka depan atau kulit majalah hiburan dan juga poster.

    "Tapi dengan Mawi, Siti bergambar semasa kami bertemu pada satu pertunjukan pentas ketika kami sama-sama diundang menyanyi. Itu bukan sesi fotografi yang telah diatur,'' kata Siti menjawab kekeliruan peminat mengenai pendiriannya itu.

    Wednesday, December 07, 2005

    MAWI ... YANG TERCINTA

    (New Straits Time - 07/12/2005)
    By Hafidah Samat

    Mawi (Maestro Records)

    YEP, Mawi's back with his first studio album and barely a week after it was released, the album hit double-platinum!

    With Akademi Fantasia 3 former principal-composer-producer-singer M. Nasir at the helm, the album offers quite a number of strong materials.

    Mawi ... Yang Tercinta sees Mawi collaborating with some of the country's powerhouse producers such as Fauzi Marzuki, Ajai and Yasin. Overall, the eight-track album strikes a nice balance between pop and contemporary nasyid sounds.

    The more outstanding tracks are Nasir’s Lagu Cinta Lagu Jiwa and Fauzi’s Kian.

    The album’s first single Aduh Saliha is the catchy Middle-Eastern tune which has been steadily scaling the local music charts. The tune, fully composed by Nasir, will also compete in TV3’s Anugerah Juara Lagu 2004 on Jan 15.

    Nasir also sang a couple of duets with Mawi — Perempuan and Lagu Jiwa Lagu Cinta.

    Cinta Hakiki, composed by Yasin, is a subtle drum ‘n bass-influenced track enhanced by the sound of the horn and makes a great addition to the album.

    Perhaps the only shortcoming is the poor sound quality. If only more attention had been given to that, listening would be a more enjoyable experience.

    Nevertheless, you’ll likely to find your own favourite tune here. The album is quite a treat because you don’t hear local music this good nowadays.

    Selected Tracks: Lagu Cinta Lagu Jiwa, Kian and Aduh Saliha
    Performance: ***½

    Tuesday, December 06, 2005

    Mawi nyanyi lagu tema filem baru Nizarman

    (Berita Harian - 06/12/2005 - Propa!)

    ANTARA filem yang mungkin paling dinantikan peminat pada tahun depan, tentunya Pesona Non Gratia (judul sementara) terbitan Nizarman. Kalau tiada aral melintang, filem lakonan Erra Fazira dan Hans Isaac ini akan ditayangkan Mac 2006.

    Tapi, sebelum itu filem ini menjalani proses adunan terakhir di Bangkok, bermula Ahad lalu. Ha, selepas proses berkenaan tamat, maka, pratonton filem ini pun bolehlah diadakan. CK pun tidak sabar nak tengok lakonan terbaru Erra.

    Untuk menjadikannya lebih menarik, filem ini bakal menggunakan lagu tema yang didendangkan oleh juara Akademi Fantasia 3, Mawi. Amboi...mentang-mentanglah Mawi kita ni tengah meletup, Nizarman juga tak ingin melepaskan peluang.

    Selain Mawi, turut menyanyi untuk filem ini ialah Syanie, orang kuat Nizarman sendiri. Hmm.... macam mana pula bunyi Syanie nanti? Isy, lagi tak sabar rasanya nak tengok filem yang buat penggambaran kat negara gajah putih tu.

    Sunday, December 04, 2005

    Kena denda kerana ceper

    (Harian Metro - 04/12/2005 - Dunia Mawi)

    BERTEMU lagi kita minggu ini. Seperti dijanjikan, saya akan bercerita lebih lanjut memori indah pada zaman kanak-kanak dan remaja.

    Selepas tamat sekolah tadika, saya dimasukkan ke Sekolah Kebangsaan Sinar Bahagia, Felda Taib Andak. Hati berdebar pada hari pertama, macam-macam bermain di fikiran. Perasaan gembira, takut, cemas dan teruja bercampur-baur.

    Gembira kerana dapat baju, kasut dan beg baru. Takut sebab ada ramai senior, sedangkan kami paling ‘muda’ ketika itu.

    Teruja pula kerana akan berdepan pelbagai pengalaman baru yang tidak pernah dilalui.

    Soal berkawan tidak menjadi masalah kerana kebanyakan pelajar pernah belajar di tadika sama. Masing-masing berusaha menyesuaikan diri dengan suasana baru.

    Seperti di tadika, saat paling menyeronokkan tentu waktu rehat. Berbeza dengan pelajar lain yang biasanya makan di meja disediakan di kantin, saya dan rakan lebih suka makan di satu kawasan tersorok di belakang kantin.

    Selepas beli apa yang patut, kami bergegas ke tempat ‘rasmi’ itu. Di situ lebih ‘privacy’ dan nyaman kerana tidak perlu bersesak atau berebut dengan pelajar lebih tua.

    Sepanjang menuntut di sekolah rendah, ayah bekalkan saya duit 50 sen setiap hari. Cukup untuk membeli makanan dan minuman. Biasanya kawan bawa bekal lempeng dan jemput-jemput, jadi kami berkongsi ramai-ramai.

    Kenangan itu sungguh istimewa dan masih melekat sehingga kini. Sesekali rasa rindu untuk kembali ke zaman itu, tetapi apa boleh buat, ia tidak akan berulang lagi.

    Kadangkala selepas makan, kami bermain tutup botol atau lebih dikenali sebagai ceper. Kami pernah didenda berdiri atas kerusi kerana terlalu asyik bermain sehingga lewat masuk ke kelas.

    Bermula darjah tiga sehingga enam, saya dilantik sebagai ketua kelas. Kalau ikutkan, saya tidak mahu pikul tanggungjawab itu, tetapi apa boleh buat saya tidak boleh mengelak kerana undi majoriti. Suka atau tidak, saya terpaksa terima dengan hati terbuka.

    Menurut rakan sekelas, saya berbeza daripada ketua kelas lain. Kata mereka, saya lebih selamba dan tidak suka mendesak. Kalau rakan sekelas lakukan kesilapan, saya tidak suka mencatat nama mereka.

    Bagi saya tidak perlu terlalu serius, janji rock! Mungkin disebabkan itu rakan selesa saya jadi ketua kelas selama tiga tahun berturut-turut.

    Ketika di tahun lima, saya aktif menyertai kumpulan nasyid dan tilawah al-Quran. Pembabitan saya mula mendapat perhatian guru sehingga mereka memberi kepercayaan kepada saya, khususnya dalam bacaan al-Quran, untuk mewakili sekolah dan daerah Kulai ke peringkat negeri sehingga tingkatan lima.

    Saya meraih gelaran johan ketika tingkatan empat. Selebihnya tempat kedua, ketiga dan sagu hati.

    Begitu juga dengan nasyid. Saya menjadi penyanyi solo dan pernah bertanding antara kelas, rumah sukan, mewakili sekolah dan seterusnya daerah. Dalam masa sama saya kerap menyertai pertandingan sajak dan syair.

    Mungkin ramai pembaca tahu saya suka melukis. Memang sejak kecil saya suka melukis, tetapi tidak menyedari bakat itu sehingga berusia 15 tahun.

    Kebetulan dalam kelas pendidikan seni, cikgu minta semua pelajar melukis pokok rendang yang ada daun berguguran. Saya cuba lukis seperti cikgu minta, tidak sangka hasil kerja saya mendapat pujian cikgu.

    Sejak hari itu, saya mula mengasah bakat dan cuba berjinak-jinak melukis potret. Ramai juga rakan minta saya mengabadikan wajah mereka dalam lukisan. Lama kelamaan lukisan saya bertambah baik.

    Dalam masa sama saya belajar tulisan khat daripada jaguh khat sekolah. Saya memang cenderung dengan kerja seni sebegini. Puas setiap kali dapat menghasilkan kerja seni, apatah lagi ia dihargai orang sekeliling.

    Sukar untuk gambarkan kepuasan itu dengan kata-kata, tetapi ia boleh diibaratkan kemenangan peribadi. Cukup bermakna dan memberi ketenangan yang hanya dirasai orang yang menghasilkannya.

    Cenderung dengan kerja seni tidak bermakna saya tidak aktif bersukan. Ketika berusia 12 tahun, saya mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan bagi permainan kriket.

    Pertandingan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Johor diwakili tiga pasukan, kumpulan saya meraih tempat ketiga dan sebuah kumpulan lagi menjuarai pertandingan. Untuk sukan takraw pula, saya pernah mewakili sekolah sehingga peringkat daerah.

    Ingin tahu subjek kegemaran saya? Jawapannya adalah Bahasa Melayu, Pendidikan Islam, Sains dan Pendidikan Jasmani.

    Selepas menyertai AF3, ramai berkata saya bertuah dan murah rezeki. Sebenarnya perkara sebegini bukan baru dalam hidup saya. Sejak zaman kanak-kanak lagi rezeki saya murah, tetapi mungkin situasinya berbeza. Namun saya tidak pernah bercerita atau berbincang dengan orang lain kerana bimbang menjadi pertikaian dan menimbulkan salah faham.

    Hakikatnya, saya tertanya-tanya dan masih belum bertemu jawapan hingga ke hari ini.

    Kemuncak, saya meraih gelaran juara AF3 dan rezeki datang bersilih ganti selepas itu. Saya masih ingat, ketika kecil saya mesti dapat duit raya lebih daripada rakan lain setiap kali beraya di rumah jiran tetangga. Jika kawan dapat seringgit, saya mesti dapat RM5. Kalau mereka dapat RM5 saya mesti RM10. Pada mulanya saya diamkan diri, bila ada yang bertanya baru saya buka mulut. Ada juga rakan tidak berpuas hati dan musykil dengan apa yang berlaku.

    Sewaktu di sekolah menengah pula, saya pernah ditahan guru disiplin gara-gara datang lewat. Ketika itu ramai lagi pelajar ditahan dan kebanyakannya rakan saya. Namun yang hairannya, ketika marah, matanya langsung tidak memandang ke arah saya.

    Bertambah pelik apabila dia tidak ambil tindakan, sebaliknya melepaskan kami tanpa denda. Menurut kawan, mereka selamat bila ada saya. Jika saya tidak ada bersama, pasti mereka didenda.

    Perkara itu bukan berlaku sekali dua, sebaliknya banyak kali dan kerana itu saya selalu fikir mungkin cikgu sayangkan saya. Mungkin ini yang dikatakan tuah. Agaknya... apa lagi yang boleh saya fikir jika perkara sama asyik diperkatakan rakan.

    Apapun, saya sentiasa beringat. Kehidupan ini ibarat roda. Ada ketikanya kita di atas dan ada masanya kita di bawah. Mungkin sebelum ini saya bertuah, tetapi esok lusa siapa tahu.

    Sebagai hamba, saya tidak putus memanjatkan doa kepada Ilahi supaya terus memberkati hidup saya dan melindungi saya daripada bencana atau perkara tidak baik.

    Sesungguhnya segala yang baik datang daripada Yang Maha Esa dan yang tidak baik datang daripada kelemahan manusia.

    Saya berterima kasih dengan sokongan orang ramai selama ini dan berharap ia berterusan selagi saya bertapak dalam industri ini. Sesungguhnya tanpa anda semua, siapalah Asmawi Ani.

    Kalian menjadi pemangkin semangat saya untuk terus berusaha gigih dan melakukan yang terbaik dalam apa juga bidang diceburi. Terima kasih yang tidak terhingga, sokongan anda semua sangat saya hargai.

    Kita bersambung lagi pada minggu depan dengan cerita lebih menarik. Wassalam.

    Mawi jadi anak emas Maestro

    (Harian Metro - 04/12/2005)
    Oleh ABIE ABDULLAH

    KALAU perkataan ‘World’ boleh dikira royalti, tentu Ketua Pengurusan Artis Maestro, Abdul Rahman Ali atau Aman (AA) kaya.

    Mana tidak, kerana ideanya itulah, ‘world’ melekat kepada bintang AF3, Asmawi Ani (Mawi) hingga ke hari ini.

    World memang menjadi, tetapi pelbagai kekecohan akhir-akhir ini melengkapkan populariti Mawi sebagai artis.

    Malah, ia mencetuskan kontroversi yang sentiasa bersambung.

    Tidak dinafikan, tempias populariti Mawi turut terpercik kepada Aman dengan pelbagai cerita tidak sedap dan tidak terkecuali dituduh diskriminasi, ‘makan duit’ serta tidak menjaga kebajikan artis jagaan.

    Metro Ahad (MA) berdepan beliau dan meneliti persoalan yang bertiup di dalam industri kebelakangan ini.

    Seperti dikenali, Aman tenang menerima persepsi masyarakat terhadapnya. Ikuti lebih lanjut hal ini di bawah.

    MA: Apakah pandangan saudara mengenai kekecohan kelab sahabat Mawi (Mawi FC) baru-baru ini?

    AA: Hanya beberapa individu yang tidak tahu tempat mereka kerana hujung harinya, kelab itu masih kekal. Kami ada kerja dan objektif sendiri, yang penting ialah memastikan artis kami ada kesinambungan dalam usaha menjadi artis yang baik untuk jangka masa lama di dalam industri.

    Kalau artis itu perlu masuk kelas vokal, grooming, bertemu media atau apa-apa keperluan, kami akan hantar.

    Semuanya kita boleh buat sendiri. Lagipun, setiap artis Maestro ada komitmen masing-masing dan keperluan mereka berbeza.

    Dalam hal ini, kami tidak pernah tidak hantar Mawi menyertai aktiviti kelab. Empat lima jam kami biarkan Mawi bersama mereka dan setakat ini empat aktiviti besar seperti pelancaran Mawi FC, majlis buka puasa, hari raya dan pelancaran album.

    Sebenarnya, hanya beberapa individu yang meletak jawatan dan bagi saya, ia tiada apa-apa kesan kerana masih ramai kekal sebagai ahli. Malah, peminat Mawi yang tidak berdaftar lebih ramai di luar sana.

    Saya bukan mendabik dada, malah berterima kasih kepada usaha Mawi FC selama ini. Dan bukan saja Mawi FC, kami juga tetap menyokong kelab peminat artis Maestro lain.


    MA: Selaku Ketua Pengurusan Artis, sejauh mana kesukaran untuk mengendalikan semua artis di Maestro?

    AA: Kami mempunyai jadual utama (master schedule) yang kami sediakan sebulan atau enam bulan lebih awal. Segala aktiviti yang masuk kemudian, kami akan selitkan. Perancangan perlu dalam hal ini kerana Maestro bukan seperti label lain kerana kami ada ramai artis.

    Bukan saja mengawal jadual, tugas saya menguruskan penajaan, persembahan, projek khas dan artis itu sendiri.

    Itu tugas asas kerana masih banyak lagi kerja lain seperti bertemu pelanggan, promoter dan menghadiri majlis seperti anugerah atau pelancaran.

    Apa berlaku baru-baru ini (kekecohan Mawi FC), tidak mengganggu tugas saya kerana diuruskan oleh ‘pasukan lain’. Mujur saya ada pasukan yang sungguh dedikasi dan bersedia dengan segala kemungkinan.

    Selain pengurusan artis, Maestro kini dikembangkan lagi dengan penubuhan Maestro Records. Pastinya banyak lagi kerja harus diberi tumpuan.


    MA: Anda nampak tenang biarpun berdepan pelbagai kerja dan masalah.

    AA: Pengalaman menjaga Too Phat sebelum ini banyak membantu. Lima tahun saya berdepan jadual padat. Biarpun hanya mereka berdua, tawaran untuk mereka sampai 70 persembahan setahun. Itu belum dikira sesi bertemu media dan menghadiri majlis itu ini.

    Saya biasa dengan jadual padat. Cuma kali ini saya lebih baik kerana ada pasukan kuat. Saya tenang kerana saya percaya kerja pasukan saya. Saya sentiasa bersedia dengan setiap apa yang berlaku, perlu sentiasa ‘up-dated’ dengan perkembangan semasa.

    Macam kes Mawi, ramai cuba menuduh saya. Saya tidak boleh melenting kerana saya tahu hujung harinya, kebenaran pasti menjelma.


    MA: Mawi menjadi fenomena tetapi dalam masa sama, terdengar juga rungutan daripada artis lain yang kononnya hilang perhatian Maestro. Bagaimana saudara melihat hal ini?

    AA: Sebelum mereka menyertai AF3, saya beritahu mereka supaya belajar sebaik mungkin kerana selepas keluar, mereka akan diletakkan di bawah saya. Saya cuba beri gambaran kepada mereka apa biasanya berlaku selepas AF tamat.

    Cuma saya minta disiplin kerja daripada mereka, selebihnya itu rezeki masing-masing. Bila Mawi meletup begini, saya tahu perasaan mereka. Biarpun tawaran tidak sebanyak Mawi, mereka masih ada tawaran berbanding artis sedia ada.

    Menjadi tugas saya untuk sebaik mungkin mencari mereka kerja. Dunia artis pun ada ‘low season’ dan ‘peak season’. Jadi kami akan susun jadual supaya kerjaya mereka berterusan. Selain itu, kehadiran penaja banyak membantu.

    Kami cuba pastikan mereka ada kerja. Memang sesetengah pihak kata pada saya, AF3 akan berkubur sekitar Februari atau Mac tetapi hingga hari ini, alhamdulillah mereka masih bertahan. Lihat saja AF2 seperti Zahid, Farah, Bob dan Adam masih ‘hidup’ di dalam industri.


    MA: Mungkin ada yang iri hati pada Mawi, tetapi itu sudah rezekinya. Betulkah Mawi sekarang menjadi anak emas Maestro sehingga tumpuan besar hanya kepadanya?

    AA: Kami tiada pilihan kerana Mawi adalah berita setiap hari, sudah menjadi jenama. Imej Mawi bukan lagi sekadar penyanyi, malah lebih daripada itu. Dia menjadi ikon remaja, duta belia antidadah, kempen kerajaan, daya tarikan projek amal dan sebagainya.

    Apabila keluar berdepan khalayak, dia juga akan berdepan media. Jadi menjadi tugas kami untuk pastikan dia bersedia dengan maklumat untuk dicakapkan. Malah, dia menarik perhatian orang politik.

    Dalam masa tiga bulan ini, saya macam tidak percaya orang baru sepertinya melalui semua ini. Saya tidak pasti tarikan di mana, mungkin personalitinya atau popularitinya, tetapi saya tahu dia jujur.

    Saya juga terkejut kerana pihak media banyak beri tumpuan kepadanya. Buat pertama kali dalam industri apabila album kompilasi dijual 170,000 unit. Jadi tidak salah kalau orang melihat kami menjaganya seperti anak emas kerana dalam soal bisnes, ia membawa keuntungan kepada Maestro.

    Namun, saya tidak menolak artis lain seperti Zahid, Farah, Adam atau Bob yang mencipta populariti tetapi tidak sebesar Mawi.


    MA: Saudara rapat dengan Mawi. Susah sangatkah menjaga orang popular sepertinya?

    AA: Paling senang! Dia sangat disiplin, kalau kami mahu jam 9, dia akan sampai jam 9. Dia tahu apa yang nak dilakukannya dalam setiap tugasan, dia akan tanya kami dulu apa perlu dicakap. Ini yang bagus mengenai Mawi, dia mahu bersedia dengan keadaan.

    Soal makan minum lagi mudah kerana dia suka makan nasi dengan apa saja masak kicap. Tidak memilih langsung kerana dia suka makan di warung. Bukan nak memujinya, tetapi realitinya begitu.

    Malah soal pakaian, dia lebih relaks. Dia cepat belajar apa perlu dipakai untuk pentas. Macam pilihan lagu, kami bincang bergantung kepada majlis. Seronoknya, dia tidak kisah kerana sentiasa bersedia.

    Cuma yang bimbangnya ialah ketika berdepan orang ramai. Kadangkala di sesetengah tempat, peminat sukar dikawal, tidak ikut protokol, tidak kira ada menteri ke, VVIP ke.

    Saya faham sebab mereka minat tetapi dalam masa sama, saya bimbang Mawi dianggap tidak hormat kenamaan di situ.

    Mawi tidak kisah untuk bergambar dengan peminat, tetapi majlis harus dihormati. Di sinilah fungsi orang Maestro untuk memastikan perkara tidak diingini tidak terjadi.


    MA: Betulkah Mawi besar kepala sekarang?

    AA: Saya kenal dia sebelum popular lagi. Dua tiga minggu selepas Konsert Prelude lagi, dia tidak banyak bercakap, tetapi sekarang lebih baik. Dia ‘membesar’ sebagai artis dan manusia lebih baik.

    Besar kepala pada saya ialah orang yang demanding, minta bukan-bukan. Mawi minta nasi, bukan minta steak atau smoke salmon! Malah dia tidak kisah tidur di mana, hotel dua bintang ke lima bintang ke, tiada beza baginya.


    MA: Bagaimana pula komen pihak tertentu apabila Mawi terkecuali daripada raptai penuh Separuh Akhir Muzik Muzik baru-baru ini?

    AA: Mawi hadir untuk latihan sebelum itu, kecuali raptai penuh (full dress rehearsal). Kami maklumkan kepada TV3 yang Mawi ada komitmen dengan Karyawan bagi membantu mengisi dana persatuan itu. TV3 lepaskan kerana kami ada alasan, bukan main cabut begitu saja.