Sunday, November 13, 2005

Usah suka fitnah orang

(Harian Metro -13/11/2005 - Dunia Mawi)

ASSALAMUALAIKUM. Bertemu lagi kita di ruangan ini. Macam-macam terpaksa saya tempuh dalam seminggu dua ini dan ada antaranya menjadi perbualan hangat di media dan kalangan peminat.

Justeru, di sini saya ingin mengambil kesempatan menjelaskan kedudukan sebenar supaya tidak ada lagi yang salah sangka terhadap saya.

Pertama sekali, isu saya menghalalkan album cetak rompak konsert di Kelantan. Saya sedar ada pihak kurang senang dengan kata-kata saya seperti yang tertera di beberapa akhbar tempatan baru-baru ini.

Ikhlas, sebagai anak seni, semestinya saya tidak menyokong cetak rompak kerana aktiviti itu tidak sihat dan memberi kesan buruk pada industri seni negara. Hakikatnya, saya sampaikan rasa kurang senang itu secara sinis. Siapa yang makan cili, dia akan terasa pedas dengan kata-kata saya.

Seharusnya mereka mencari duit dengan cara yang baik dan halal, bukan mengaut keuntungan di atas penat lelah orang lain.

Bayangkan, mereka menyediakan makan minum anak serta isteri dengan sumber pendapatan sebegitu... fikir-fikirkanlah.

Bermacam-macam cara dilakukan oleh anak seni tempatan, termasuk mengadakan kempen menentang cetak rompak, namun sehingga kini ini gejala itu masih berlarutan.

Ia bagaikan barah yang sukar disembuhkan dan jika dibiarkan, ia akan terus bermaharajalela.

Dalam soal ini, bukan saja artis, malah mereka yang di belakang tabir dan pihak berkuasa harus bergabung tenaga memerangi habis-habisan gejala ini daripada terus berleluasa. Tanpa komitmen semua pihak, ia pasti melumpuhkan industri seni tempatan.

Sememangnya jauh di sudut hati saya kecewa dengan isu cetak rompak album konsert saya di Kelantan, tetapi apa boleh buat, album itu sudah diedarkan. Tiada pihak berusaha menangani isu itu dan saya pula tiada kuasa untuk menghalang orang ramai daripada terus membeli album berkenaan.

Saya hanya boleh merayu mereka meminggirkan album cetak rompak, selebihnya terletak atas kesedaran dan keprihatinan sesebuah individu.

Orang ramai sering mengharapkan yang terbaik daripada artis kesayangan mereka, tetapi apa akan berlaku jika mereka tidak menyokong industri seni tempatan? Siapa harus disalahkan dalam soal ini? Tepuk dada, tanya selera.

Seterusnya, isu saya bermalam di rumah tunang saya, Diana. Saya berharap peminat tidak mudah melatah dengan isu ini. Memang saya ke rumah Diana sehari sebelum raya, tetapi saya tidak tidur di sana. Tidak dinafikan ramai tertanya-tanya kenapa saya pergi pada sebelah malam. Hakikatnya, itulah saja masa yang saya ada.

Pada sebelah siang, saya sibuk dengan urusan persiapan raya dan melayan orang ramai yang bertandang ke rumah, lebih-lebih lagi hari raya.

Mustahil saya sempat berkunjung ke rumah keluarga Diana kerana sebahagian besar masa saya dihabiskan dengan melayan tetamu dan orang ramai.

Sudah lama saya tidak menjenguk keluarga Diana dan sebagai tunangan Diana, saya rasa tidak menjadi kesalahan jika saya bertandang ke rumahnya.

Saya tidak mahu orang salah faham dengan kunjungan saya, lebih-lebih lagi apabila ada pihak sengaja mengada-adakan cerita yang tidak benar.

Ada yang kata saya menghilangkan diri beberapa hari daripada rumah dan bermalam di rumah Diana dan macam-macam lagi cerita yang tidak masuk akal. Semua itu fitnah dan dusta semata-mata.

Memandangkan sudah lama saya tidak menziarah keluarga Diana, kami berbual panjang hingga ke pagi. Selama beberapa jam itu, macam-macam yang saya dan keluarga Diana bualkan.

Selepas habis berbual, saya terus pulang ke rumah. Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya tidak tidur di sana seperti yang digembar-gemburkan.

Tolonglah jangan besar-besarkan cerita remeh ini. Cubalah fahami saya, letakkan diri anda di tempat saya. Renung perlahan-lahan... saya juga manusia biasa, perlukan sedikit ruang untuk kehidupan peribadi.

Bukan banyak yang saya pinta, cukup dengan memahami kedudukan saya dalam membahagikan masa antara kerjaya, kehidupan peribadi dan peminat.