Sunday, November 20, 2005

Tergamak mereka

(Harian Metro - 20/11/2005 - Dunia Mawi)

PERTAMA sekali saya ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat kerana lagu Aduh Saliha ciptaan komposer M Nasir layak ke peringkat akhir acara berprestij Anugerah Juara Lagu 20 (AJL20).

Syukur alhamdulillah. Sesungguhnya saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana 12 lagu yang dipertandingkan dalam kategori Irama Malaysia/Etnik Kreatif hebat-hebat belaka.

Sebagai penyanyi, saya cuba melakukan yang terbaik ketika pertandingan, soal menang atau kalah saya berserah kepada Ilahi. Saya anggap kejayaan ini sebagai rezeki.

Terima kasih saya rakamkan khas buat sifu M Nasir dan Loloq kerana mencipta lagu ini untuk saya. Tidak lupa setinggi-tinggi penghargaan buat barisan juri kerana sudi memilih Aduh Saliha mara ke peringkat seterusnya. Tidak ketinggalan peminat yang tidak pernah jemu menyokong saya selama ini.

Secara peribadi, saya kurang selesa apabila ada pihak berpendapat pemilihan Aduh Saliha adalah disebabkan saya, ingin saya tegaskan di sini, penentuan menang kalah dalam AJL bukan bersandarkan kepada nama atau populariti artis, sebaliknya kerana kekuatan lagu. Itu yang membezakan AJL daripada anugerah lain.

Hakikatnya, semua lagu yang dipertandingkan ada keistimewaan tersendiri, baik daripada segi lagu mahupun lirik, namun mungkin sudah rezeki Taat dendangan Rohana Jalil, Semalakama (Zehra Zambri) serta Ayuh Juragan (Noraniza Idris), Aduh Saliha mara ke peringkat akhir.

Sebagai pendatang baru, sudah tentu terpilih ke peringkat akhir AJL menjadi memori istimewa buat saya. Seperti saya katakan tadi, soal menang kalah bukan fokus utama kerana semuanya terletak pada rezeki.

Yang penting, saya berpeluang menyertai pertandingan ini dan bercampur dengan ramai artis senior. Peluang ini tidak akan saya lepaskan untuk meraih ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin daripada mereka yang lebih dulu mewarnai industri muzik tempatan. Sesungguhnya saya sangat mengagumi dan menghormati mereka.

Soal tidak hadir raptai AJL, sebenarnya malam itu saya terikat dengan satu lagi program anjuran Karyawan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Syarikat pengurusan mengarahkan saya menghadiri majlis itu dan tempat saya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral digantikan dengan pegawai perhubungan awam Maestro, Along.

Sebenarnya gosip mengatakan saya sudah besar kepala tidak benar sama sekali. Memang kalau diberi kesempatan saya ingin sama-sama berada di Sri Pentas 2 tapi apakan daya saya ada komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Baru-baru ini, berita peletakan jawatan sebahagian ahli jawatankuasa Kelab Sahabat Mawi (Mawi FC) mendapat liputan meluas media cetak.

Berikutan laporan itu, ramai ahli kelab keliru, malah ada yang menyangka Mawi FC akan dibubarkan.

Hakikatnya, MawiFC tidak akan dibubarkan. Ia akan terus wujud selagi mendapat sokongan orang ramai. Apa yang berlaku adalah peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa, termasuk presiden kelab.

Jauh di sudut hati, saya rasa kecewa dan sedih, apatah lagi sidang akhbar tergempar untuk memaklumkan peletakan jawatan itu dilakukan ketika pelancaran album saya. Tergamak mereka mengadakan sidang akhbar itu dalam diam-diam. Tindakan itu jelas menggambarkan mereka tidak menghormati majlis.


Sebelum itu, saya dan lebih kurang 20 AJK Mawi FC mengadakan pertemuan di pejabat Maestro bagi menjelaskan kekeruhan yang timbul di antara kami. Dalam pertemuan itu saya memberi ruang kepada semua yang hadir, khususnya ahli jawatankuasa kelab, untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

Segalanya berjalan lancar, malah kami sebulat suara untuk buang yang keruh dan ambil yang jernih. Saya tidak ketinggalan memohon maaf seandainya perlakuan atau tindak-tanduk saya mengguris hati mereka. Saya sangkakan semuanya berakhir di situ, rupa-rupanya masih ada yang tidak berpuas hati.

Saya tidak faham apa yang mereka (AJK yang meletak jawatan) mahukan daripada saya. Berulang kali mereka katakan kepada pihak media yang saya tidak jujur dan ikhlas terhadap kelab, tidak menunjukkan komitmen, malah tidak berubah walaupun banyak kali ditegur.

Persoalannya, apa yang mereka katakan itu terlalu samar. Apa maksud mereka sebenarnya? Selama ini saya tidak pernah meminggirkan program anjuran Mawi FC. Seandainya dijemput, saya pasti datang jika tiada halangan. Macam mana boleh timbul isu saya tidak ikut cakap mereka?

Saya kecewa. Tidak dinafikan, sebelum ini pernah timbul salah faham apabila saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka yang ada kalanya keterlaluan dengan alasan ingin menjaga imej saya.

Mereka tidak bersetuju dengan tindakan saya dan terus memaksa saya menurut kata mereka. Pun begitu, saya tidak pernah merungut atau mengeluh. Sebagai manusia, saya tidak boleh puaskan hati semua pihak.

Apa yang berlaku membuka mata saya. Mungkin insiden ini berpunca daripada masalah individu dan bukan kerana kelab. Saya reda dengan apa yang berlaku. Saya tidak boleh berbuat apa-apa, apatah lagi keputusan ini dilakukan mereka sendiri.

Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada AJK Mawi FC yang banyak menyokong saya selama ini. Saya menghargai pengorbanan mereka dan tidak akan melupakannya selagi bernyawa di bumi Allah ini.

Cuma satu harapan saya, jangan besar-besarkan isu ini. Cukuplah... Kepada peminat pula, jangan salah faham dengan apa yang berlaku. Semua itu berlaku di luar kawalan saya. Pelantikan AJK baru akan diadakan esok, jam 3 petang di pejabat Maestro.


Sebelum ini saya pernah memberi komen, tiada unsur sabotaj dalam Konsert Semurni Aidilfitri Bersama Mawi di Terengganu, 8 November lalu yang dihadiri kurang daripada 2,000 penonton. Pun begitu, dua hari lalu pihak penganjur konsert berkenaan, Zaizi memaklumkan kepada saya bahawa memang ada sabotaj dan bukan kerana kurang publisiti.

Pihak tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan sistem pesanan ringkas (SMS) untuk menyebarkan maklumat kononnya konsert berkenaan dibatalkan. Antaranya berbunyi: Konsert Semurni Aidilfitri Bersama Mawi dibatalkan atas sebab tertentu. Ramai berpatah balik selepas SMS itu tersebar.

Soal kurang promosi tidak harus timbul kerana pihak penganjur menyediakan 15,000 poster dan kain rentang serta mengedarkannya di seluruh negeri itu tetapi ada pihak tidak bertanggungjawab sengaja menanggalkan poster dan kain rentang berkenaan.

Hasil tindakan tidak bermoral itu, pihak penganjur mengalami kerugian lebih RM100,000.

Sehingga kini saya tidak tahu siapakah dalang sebenar dan apakah motif mereka. Harapnya perkara sebegini tidak berulang pada masa depan