Sunday, November 06, 2005

‘Gosip saya ke disko fitnah’

(Harian Metro - 06/11/2005 - Dunia Mawi)

MASIH tidak terlambat rasanya saya melayangkan ucapan Selamat Hari Raya kepada semua muslimin muslimat, khususnya pembaca ruangan ini.

Biarpun sudah empat hari kita meraikan Aidilfitri, kehangatannya masih terasa hingga ke hari ini, malah akan berlarutan sebulan.

Hari ini saya kembali ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerja seperti biasa. Insya-Allah jika tiada aral, esok saya akan menjayakan persembahan di Terengganu.

Selasa pula, saya dijadual menghadiri jamuan raya anjuran kelab peminat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sepanjang di kampung, saya sibuk melayan tetamu yang bertandang ke rumah dan di rumah terbuka.

Dalam pada sibuk itu, saya masih berpeluang berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai. Pun begitu, tidaklah semua, maklumlah masa terhad.

Banyak juga perkara yang ingin saya lakukan tidak dapat dilaksanakan.

Sebelum pulang ke kampung, terbayang-bayang di fikiran saya dapat bermain sepak takraw, badminton dan menunggang motosikal yang sememangnya menjadi rutin sejak kecil.

Namun apa boleh buat, saya hanya berpeluang menunggang motosikal, hasrat bermain sepak takraw dan badminton bersama rakan tidak kesampaian.

Baru-baru ini, timbul gosip kakitangan Maestro membawa seorang pelajar AF3 ke disko.

Daripada gambaran gosip itu, ramai menyangkakan pelajar itu adalah saya. Ramai bertanya dan tidak kurang juga mengirimkan SMS kepada saya. Kecoh betul sampaikan keluarga pun bertanya.

Terus-terang, saya tidak tahu menahu mengenai gosip itu dan terkejut apabila ramai orang menuding jari ke arah saya.

Saya kecewa dan sedih dengan desas-desus itu. Saya tidak pernah ke pusat hiburan dan hairan macam mana gosip itu timbul.

Biarpun menceburi dunia glamor, saya tidak pernah berubah. Saya tetap Asmawi Ani yang dulu.

Nasihat saya kepada peminat dan orang ramai yang masih berteka-teki di luar sana, jangan mudah percaya dan terpengaruh dengan gosip sebegini.

Kaji terlebih dulu sebelum menerimanya bulat-bulat.

Mungkin ini yang dikatakan cabaran anak seni. Biarpun tidak bersalah, orang tetap menabur fitnah.

Sebelum mengundur diri, saya ingin menjemput pembaca ruangan ini, khususnya peminat saya, mendaftar sebagai ahli My Konco. My Konco adalah satu sayap kepada My Friend Corner. Idea menubuhkan My Konco datang daripada penyampai radio popular, Isma Halil Hamzah.

Matlamat utama penubuhan My Konco ialah menyatupadukan orang Jawa dan Melayu seluruh negara.

My Konco akan menganjurkan pelbagai program menarik, termasuk motivasi untuk remaja.

Baru-baru ini, ahli My Konco berkesempatan mengacau dodol di My Friend Corner.

Saya rasa sangat berbesar hati kerana diberi penghormatan mendaftar sebagai ahli pertama dengan nombor 0001.

Sebagai ahli, saya akan terus menyokong My Konco dan membabitkan diri dengan program yang bakal dianjurkan nanti.