Sunday, November 27, 2005

Ajak kawan berkubang dalam paya

(Harian Metro - 27/11/2005 - Dunia Mawi)

MEMANDANGKAN ramai bertanya bagaimana Asmawi Ani dibesarkan, saya ingin berkongsi pengalaman menarik itu dalam ruangan ini.

Sejak kecil saya jenis pendiam. Tidak banyak bercakap, kecuali bertemu rakan sekepala. Bila berkumpul, mulalah timbul macam-macam idea yang ada kalanya tidak masuk akal. Alah... zaman kanak-kanak, mana boleh duduk diam.

Antara permainan kegemaran saya dan rakan ialah sembunyi ibu, badminton dan sepak takraw.

Biasanya saya keluar bermain selepas jam 5 petang dan balik rumah sebelum Maghrib.

Kalau nak tahu, saya kuat merayau. Pantang ada peluang, saya mesti singgah di rumah kawan.

Selalu juga emak marah-marah. Apa tidaknya, kadangkala sampai ke petang saya masih melepak di rumah kawan.

Pernah beberapa kali emak mencari saya dari rumah ke rumah. Bila sudah jumpa, emak pasti paksa saya pulang bersamanya.

Satu lagi kenangan yang masih melekat di ingatan sehingga kini, saya dan rakan suka berkubang dalam paya.

Kami bergotong-royong membuat empangan menggunakan plastik baja. Bila air naik, kami akan mandi beramai-ramai.

Habis badan penuh dengan lumpur. Bila balik rumah emak, abah mesti marah. Namun apa boleh buat, kanak-kanak... hari ini kena marah, esok buat lagi. Mana pernah serik.

Paling tidak boleh dilupakan ialah peristiwa dikejar anjing di kawasan kolam ikan toman milik seorang tauke Cina. Saya dan rakan teringin sangat melihat ikan dari dekat.

Kami berpakat ke sana. Apabila melintasi pagar, kami dikejutkan dengan salakan seekor anjing.

Tanpa diduga, anjing itu meluru ke arah kami. Apa lagi, kami lari lintang pukang untuk menyelamatkan diri.

Nasib baik tiada perkara buruk berlaku. Itulah kali pertama dan terakhir kami ke kolam itu.

Untuk pengetahuan peminat, saya dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan agama.

Emak tegas orangnya. Jika saya buat kesalahan, dia tidak teragak-agak menegur atau memukul saya.

Abah pula jenis yang tenang. Dia banyak menasihati saya, kalau marah pun sekadar memberi teguran dan tidak lebih daripada itu.

Biarpun rapat dengan kedua-duanya, saya lebih banyak mengadu dengan abah. Kami banyak menghabiskan masa bersama. Selalu juga abah bawa saya ke kebun dan makan di warung.

Hari pertama masuk tadika, saya dihantui rasa bimbang dan takut. Maklumlah pengalaman pertama. Saya minta abah menemani saya.

Selepas dua jam menunggu, dia pulang ke rumah tanpa saya sedari.

Ramai juga kawan terbuang air di dalam seluar, kemudian menangis disebabkan malu dan takut dimarahi cikgu.

Selepas beberapa hari, saya dapat membiasakan diri.

Masih jelas di ingatan, ketika itu rambut saya panjang hingga mencecah bahu.

Tadika itu menyediakan tiga guru yang bertanggungjawab mendidik kami. Paling tidak dapat saya lupakan, Cikgu Rohana dan Cikgu Nordah.

Cikgu Rohana garang orangnya, manakala Cikgu Nordah penyayang dan lemah lembut.

Dalam ramai-ramai, saya lebih rapat dengan Cikgu Nordah sebab dia sentiasa mengambil berat dan prihatin dengan keadaan anak muridnya.

Antara daya tarikan utama membuatkan saya tidak sabar ke tadika setiap hari ialah makanan yang disediakan ketika rehat.

Memang sedap, apatah lagi apabila makan beramai-ramai. Boleh dikatakan itulah saat paling menggembirakan saya.

Saya suka menyakat kawan. Sekejap tarik seluar dan macam-macam lagi.

Kenangan paling istimewa, saya dan rakan menari pom-pom sempena sambutan merdeka.

Bangga betul apabila persembahan berwarna-warni itu disaksikan ibu bapa.

Cukuplah sampai di sini. Minggu depan kita bersambung dengan pengalaman saya di sekolah rendah dan menengah.