Sunday, October 09, 2005

Tidak tinggal solat tarawih

(Harian Metro - 09/10/2005 - Dunia Mawi)

SELAMAT menyambut Ramadan Al-Mubarak saya ucapkan kepada semua umat Islam. Sempena bulan baik ini, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan dan menjauhi kemungkaran.

Ramadan bulan yang suci, yang menguji sejauh mana kesabaran kita menahan lapar, dahaga dan nafsu daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa.

Bercerita mengenai Ramadan, teringat kenangan manis pada zaman kanak-kanak. Saya belajar berpuasa ketika berusia enam tahun. Ada juga sesekali saya curi-curi minum air paip tanpa pengetahuan orang tua. Maklumlah mereka tegas dalam soal agama, jadi terpaksalah saya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan mereka. Setiap kali peristiwa itu terbayang di ruang mata, saya pasti tersenyum sendiri. Zaman kanak-kanak...

Kalau tidak silap, saya mula berpuasa penuh apabila usia mencecah lapan tahun. Bangga betul bila dapat berpuasa penuh buat pertama kali. Sejak itu, saya tidak pernah gagal melaksanakan rukun Islam yang satu itu.

Ketika di kampung dulu, saya akan menunaikan solat tarawih dan bertadarus bersama rakan di masjid selepas berbuka puasa. Kini, sudah seminggu saya berpuasa di Kuala Lumpur, rindu pula suasana di Felda Taib Andak.

Insya-Allah saya akan memperuntukkan beberapa hari untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Tidak lengkap rasanya jika tidak merasai kemeriahan berpuasa di kampung.

Tahun ini saya berpuasa sebagai artis buat pertama kali. Biarpun jadual padat, ia tidak menjadi alasan untuk mengetepikan solat tarawih dan amal ibadat lain. Saya sentiasa mencari ruang menunaikan solat tarawih yang sebati dengan diri. Kalau tidak berjemaah di masjid, saya akan bersembahyang di rumah. Rugi rasanya jika tidak memanfaatkan Ramadan kerana ia hanya datang sekali dalam setahun.

Soal juadah berbuka puasa, saya bukan jenis cerewet. Sejak dulu lagi, saya makan apa yang orang sediakan. Lebih-lebih lagi jika air tangan ibu, masaklah apa saja, pasti sedap. Sikap itu terbawa-bawa hingga ke hari ini. Tidak perlu memilih, sebaliknya kita harus bersyukur kerana masih berpeluang menikmati hidangan lazat. Sesungguhnya puasa mengingatkan kita kepada insan yang menderita kelaparan di luar sana. Mereka terpaksa berhempas pulas mencari sesuap makanan demi meneruskan kehidupan.

Bercerita mengenai jadual seni, Isnin lalu saya, abang Aznil dan 13 lagi pelajar AF3 berangkat ke Langkawi untuk menjayakan penggambaran program raya Astro yang akan disiarkan menerusi saluran empat Astro pada Aidilfitri. Lima hari empat malam kami menginap di Kampung Tok Senik.

Tidak dapat saya gambarkan betapa gembira apabila menjejakkan kaki di Pulau Legenda itu. Lebih menarik, saya dapat berkumpul dengan rakan. Bukan senang kami bertemu kalau tidak ada aktiviti sebegini. Maklumlah masing-masing ada agenda tersendiri, saya pun sebelum ini banyak bergerak secara solo.

Memandangkan sudah lama tidak bertemu, macam-macam perkara yang kami bualkan. Pantang ada masa lapang, pasti ada yang buka cerita, buat lawak dan mengusik sesama sendiri.

Penggambaran program raya itu mengambil masa lama untuk disiapkan. Siang malam kami bekerja keras hinggalah semua pihak berpuas hati. Selain lagu, program ini menyelitkan sketsa menarik. Ada babak balik kampung, di mana kami terpaksa berdepan pelbagai cabaran, termasuk kereta rosak hingga terpaksa menyewa teksi. Untuk menceriakan lagi suasana raya, ada babak persiapan hari raya, termasuk mengacau dodol, menganyam ketupat, bakar lemang dan mengemas rumah.

Suasananya cukup meriah, sekilas pandang betul-betul macam hari raya. Inilah pengalaman pertama saya berlakon, jadi tidak hairan mengapa ia cukup berharga buat saya. Mula-mula kekok juga, maklumlah tidak pernah beraksi di depan lensa kamera. Apatah lagi ramai peminat berkumpul sekitar lokasi penggambaran. Segan juga bila ramai melihat saya berlakon, tetapi lama kelamaan saya dapat membiasakan diri.

Penggambaran ini membabitkan banyak lokasi, antaranya Pantai Chenang, Bandar Kuah dan Kampung Tok Senik. Banyak juga destinasi menarik sempat saya dan rakan kunjungi sepanjang di Langkawi. Biarpun atas dasar kerja, tetapi memadailah untuk saya melihat tempat orang.

Selain sibuk di lokasi penggambaran, saya berpeluang bersiar-siar di Sandy Beach Resort sejurus selepas solat tarawih. Keindahan pantai dan kedinginan hembusan bayu laut memberi ketenangan kepada saya. Secara tidak langsung, itulah masa paling sesuai untuk saya menghafal dan menjiwai lagu baru yang akan dirakam sebaik tiba di Kuala Lumpur.

Dalam pada sibuk di lokasi penggambaran, saya berkesempatan berkunjung ke rumah saudara jauh yang bermastautin di Pantai Chenang. Walaupun terkejar-kejar, saya puas kerana dapat bertemu dan beramah mesra dengan saudara mara.

Secara peribadi, saya suka dengan sikap peminat Langkawi. Mereka profesional dan menghormati tenaga produksi yang menjayakan penggambaran. Tidak sekalipun mereka mengganggu kami ketika penggambaran, mereka hanya memandang dari jauh dan akan bertegur sapa dengan kami selepas semua kerja selesai.

Sebelum meninggalkan pulau yang popular dengan legenda Mahsuri itu, kami diberi masa enam jam untuk membeli-belah di Bandar Kuah dan bersiar-siar di beberapa destinasi pelancongan menarik, termasuk Padang Mat Sirat.

Bermula semalam hingga esok, sebahagian besar masa saya dihabiskan di studio untuk menyiapkan rakaman album sulung yang akan menemui peminat tidak lama lagi. Itulah saja cerita saya minggu ini. Jangan lupa ikuti sambungannya minggu depan.

Ingat... world world juga, puasa jangan lupa. Wassalam.