Sunday, October 23, 2005

Tidak sempat berzanji depan PM

(Harian Metro - 23/10/2005 - Dunia Mawi)

SALAM takziah saya ucapkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan keluarga di atas kepulangan ke rahmatullah Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood, Khamis lalu.

Marilah sama-sama kita sedekahkan doa dan bacaan al-Fatihah, semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat.

Sesungguhnya berita pemergian Allahyarham yang dihormati mengejutkan saya dan seluruh rakyat Malaysia.

Apatah lagi saya dijadualkan berbuka puasa dan menunaikan solat tarawih bersama Perdana Menteri di Masjid Kuala Sungai Muda dan Masjid Al-Badawi di Kepala Batas, Khamis lalu.

Saya diminta berzanji dan berqasidah di majlis itu. Memandangkan ini kali pertama saya berzanji sepanjang bulan puasa ini, saya melakukan persiapan selama beberapa hari demi memastikan semuanya berjalan lancar.

Sesibuk mana sekalipun, saya tetap memperuntukkan sedikit masa untuk latihan berzanji dan berqasidah.

Tidak sabar rasanya hendak berzanji dan bertemu Datuk Seri. Pun begitu, tiada siapa dapat melawan takdir, Allahyarhamah pergi menyahut seruan Ilahi pada bulan mulia ini.

Menghormati pemergian Allahyarham, majlis berkenaan dibatalkan.

Bercerita mengenai jadual sepanjang minggu, Selasa lalu saya berbuka puasa bersama anak yatim di Hotel Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan. Sayu hati apabila melihat wajah anak kecil ini.

Saya manfaatkan masa sebaik-baiknya untuk menggembirakan mereka. Pada kesempatan itu juga saya menyerahkan zakat kepada mereka yang sangat saya sayangi.

Sejurus selepas majlis tamat, saya bergegas ke Astro untuk menjayakan program siaran langsung Muzik@Ria yang dihadiri kira-kira 70 penonton.

Banyak juga perkara yang saya bualkan dengan hos rancangan, termasuk mengenai bulan puasa dan persiapan raya.

Bagi memeriahkan lagi suasana, saya mendendangkan lagu Ku Pohon Restu Ayah Bonda yang pernah dipopularkan bekas vokalis Exists, Mamat buat pertama kalinya. Untuk makluman semua, lagu itu dimuatkan dalam album raya AF3 yang kini di pasaran.

Album raya

Saya juga tidak ketinggalan mempromosikan album raya dan album Evo’05 (01) yang memuatkan single saya, Fuad, Amy, Elliza dan Reza. Kemudian, saya ke studio untuk merakam album solo.

Rabu lalu, saya ke kedutaan Pakistan di Jalan Ampang untuk menyerahkan sumbangan 100,000 paket mi segera Mamee kepada mangsa gempa bumi di Pakistan dan India. Selepas itu, saya ke Penjara Kajang untuk menghadiri majlis perjumpaan bersama banduan juvana.

Majlis anjuran Putera dan Pemuda Umno itu dirasmikan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar.

Secara peribadi, saya sangat berbesar hati dan teruja dengan jemputan itu, apatah lagi saya diberi kepercayaan untuk memberi ceramah dan kata-kata semangat kepada pesalah juvana.

Antara isi kandungan ceramah pada petang itu, saya memberi semangat kepada pesalah juvana supaya cekal dalam mengharungi kehidupan selepas keluar dari penjara.

Semoga mereka dapat menjadi rakyat yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

Saya tekankan apa yang berlaku adalah satu dugaan buat mereka. Ambillah iktibar daripada kesilapan lalu untuk membentuk kehidupan yang lebih sempurna.

Pertemuan singkat itu turut memberi pengalaman baru kepada saya, di mana saya dapat merasai kepedihan sebahagian besar banduan berpuasa dan berhari raya di penjara.

Seterusnya, saya berbuka puasa pada majlis sidang akhbar pengumuman separuh akhir Anugerah Juara Lagu di Hotel Istana.

Syukur Alhamdulillah, lagu Aduh Saliha terpilih untuk berentap di peringkat itu. Ketika lagu itu diumumkan, perasaan gembira dan terharu bercampur aduk. Meskipun baru, ia terpilih antara 30 lagu yang dipertaruhkan.

Buat pertama kalinya nama saya sebaris dengan artis lebih berpengalaman. Lebih menarik, lagu dendangan Zahid, Sahri dan Farah turut tercalon. Saya berbangga dengan pencapaian ini dan berharap peminat mendoakan kami berjaya dalam kategori masing-masing.

Jam 10 malam, saya ke studio Luncai Emas di Sungai Buloh untuk merakamkan lagu terakhir yang akan dimuatkan dalam album sulung berjudul Perempuan. Seperti Aduh Saliha, lagu ciptaan M Nasir ini tidak kurang hebatnya. Ia memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri, selari dengan kemasyhuran sifu berpengalaman luas itu.

Kelmarin, saya mengambil lesen memandu.

Pada petangnya, saya menghadiri majlis berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Semalam, saya menjayakan program Marhaban Astro di pusat beli-belah The Summit, Subang Jaya bermula jam 2 hingga 4 petang.

Wassalam... bertemu lagi minggu depan.