Sunday, October 02, 2005

Fantasi Mawi: Bukan fantasi lagi

(Harian Metro - 02/10/2005 - DUNIA MAWI)

ASSALAMUALAIKUM. Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Metro Ahad (MA) kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mengendalikan ruangan ini.

Sesungguhnya tidak pernah terlintas di fikiran, hari ini saya diundang sebagai penulis jemputan, apatah lagi ruangan ini biasanya dikelolakan barisan artis ternama tanah air.

Dalam usia yang masih hijau dalam industri ini, saya sungguh berbesar hati dengan peluang ini. Terima kasih sekali lagi saya rakamkan khas buat MA.

Dengan adanya ruangan ini, saya boleh berkongsi apa saja cerita dengan peminat, termasuk pengalaman meniti kehidupan kanak-kanak, remaja dan selepas bergelar artis, sejarah silam, pahit getir serta susah senang yang terpaksa saya harungi selama ini.

Pendek kata, jika ingin mengenali Asmawi Ani dengan lebih dekat, jangan ketinggalan mengikuti ruangan ini setiap minggu.

Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada sahabat dan peminat yang menyokong saya daripada konsert prelude sehinggalah sekarang.

Tanpa mereka, tidak mungkin saya ada di sini.

Sesungguhnya, apa yang saya lalui bagaikan mimpi indah. Seumur hidup tidak pernah terfikir akan bergelar artis.

Jangankan bermimpi, memasang angan-angan pun tidak berani, apatah lagi bagi saya yang jauh di Felda Taib Andak.

Mungkin ini yang dinamakan rezeki. Berkat restu keluarga dan peminat, saya akhirnya bertapak sebagai anak seni.

Ada kalanya saya mencubit paha sendiri untuk memastikan apa yang saya capai ini bukan mimpi.

Sakit! Justeru, rasa sakit itu meyakinkan saya bahawa apa yang di depan mata ini adalah realiti dan bukan fantasi.

Melayari kehidupan sebagai selebriti tidak semudah disangka. Ia memerlukan kesabaran tinggi, lebih-lebih lagi apa yang saya lakukan menjadi perhatian ramai.

Saya tidak lagi bebas seperti dulu, pergerakan saya terikat dengan jadual seni yang cukup ketat.

Pun begitu, rasa kesal tidak pernah bertandang di hati kerana jalan inilah yang saya pilih.

Malah, saya menganggapnya sebagai destinasi baru yang harus dicorakkan dengan sebaik mungkin.

Pesanan dan nasihat keluarga sentiasa menjadi azimat dalam apa juga yang saya lakukan. Saya tidak mahu hanyut dalam arus glamor. Mungkin ada perbezaan daripada aspek luaran, khususnya penampilan, tetapi ‘di dalam’ ia masih kekal seperti Asmawi yang dulu, anak muda yang tahu akar umbinya dan sentiasa bersyukur.

Cuma satu yang saya pinta, ‘jika saya terlupa tolonglah ingatkan saya, jika saya terjatuh tolonglah bangunkan saya, kalau saya tertidur tolonglah kejutkan saya dan kalau saya mati tolonglah kuburkan saya’.

Mungkin bagi sesetengah pihak bunyi pesanan ini keras, namun itulah yang akan membantu saya di kemudian hari.

Saya tidak mahu menjadi manusia yang mudah lupa diri dan kerana itu saya memerlukan teguran daripada orang ramai andainya satu hari nanti saya terleka.

Maklumlah, sebagai manusia kita tidak sempurna, dalam beringat ada kalanya kita tergelincir. Jadi... bantulah saya.

Bercerita jadual saya sepanjang minggu ini, nyata ia tidak jauh berbeza seperti minggu terdahulu.

Bersyukur

Padat, namun saya tidak pernah mengeluh, sebaliknya menadah tangan penuh syukur kerana dengan adanya tawaran mengadakan persembahan serta menghadiri sesi fotografi, bermakna kehadiran saya masih diperlukan dalam industri ini.

Sejurus pulang dari Brunei, Ahad lalu, saya bergegas ke Astro untuk memenuhi undangan rakaman Studio 1, di mana saya mendendangkan 11 lagu. Segala penat lelah yang masih berbaki terubat apabila melihat senyuman manis penyokong setia yang tidak melepaskan peluang menyaksikan persembahan saya. Program itu tamat jam 1 pagi.

Isnin lalu saya terbabit dengan rakaman Studio 1 bersama rakan AF3. Memang menyeronokkan, terasa seperti kami kembali ke pentas Akademi Fantasia.

Selasa lalu, saya menjayakan program rakaman Uniknya Ramadan Bersama Mawi di Astro Ria.

Keesokan harinya saya dijemput memberi ucapan motivasi Belia Benci Dadah di Universiti Putra Malaysia (UPM.)

Khamis lalu, saya di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral untuk program Muzik-muzik dan selepas itu bergerak ke Kelantan untuk menjayakan Konsert Amal Tautan Kasih 2005, anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dan Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam yang berlangsung pada kelmarin dan semalam.

Secara peribadi, saya terkejut apabila Kerajaan Kelantan menjemput saya ke negeri itu.

Tidak ramai artis diberi peluang mengadakan persembahan di sana, tentu saya gembira dan bersyukur yang teramat sangat.

Saya tidak pernah ke Kelantan, jadi peluang ini saya gunakan dengan sebaik-baiknya untuk menikmati keindahan negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Sepanjang di sana, saya diminta menyampaikan lagu ketuhanan dan berbentuk nasihat. Antaranya Intifada, Pergi Tak Kembali dan Aduh Saliha.

Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi pengalaman ketika menjayakan Konsert Live AF3 di Brunei, minggu lalu. Sama seperti Kelantan, inilah kali pertama saya menjejakkan kaki di Brunei. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir atau memasang angan-angan untuk ke luar negara.

Sedangkan Singapura yang terletak berhampiran dengan Johor pun saya tidak pernah pergi, inikan pula Brunei. Saya rasa bagaikan mimpi sebaik saja sampai di lapangan terbang Brunei.

Penduduk negara itu sporting dan ramah-ramah belaka. Seronok rasanya setiap kali di pentas, terutama apabila mendengar tepukan dan sorakan gemuruh penonton. Selain menghiburkan peminat di sana, saya dan rakan AF3 berpeluang menikmati makan malam bersama kerabat diraja Brunei tiga kali berturut-turut.

Pada mulanya saya rasa malu dan rendah diri. Maklumlah, siapalah saya, jurang kami terlalu jauh. Namun apabila melihat kemesraan dan keramahan mereka, perasaan malu hilang sedikit demi sedikit.

Saya banyak menerima hadiah sepanjang di sana. Paling menarik, ada peminat menghadiahkan saya potret wajah saya sebelum konsert bermula.

Terima kasih banyak-banyak, sokongan padu rakyat Brunei tidak mungkin saya lupakan.

Sampai di sini saja minggu ini. Jangan lupa ikuti catatan seterusnya minggu depan.