Sunday, October 16, 2005

10 jam rakam Aduh Saliha

(Harian Metro - 16/10/2005 - Dunia Mawi)

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan tragedi gempa bumi yang melanda Pakistan, Afghanistan dan India. Kawasan paling teruk mengalami kerosakan ialah sekitar Kota Muzaffarabad, bandar utama Kashmir yang ditadbir Pakistan. Lebih menyedihkan, puluhan ribu menjadi mangsa korban tragedi itu.

Sementara itu, nasib 10,000 lagi penduduk di kawasan pedalaman di sepanjang sempadan India-Pakistan belum diketahui. Takziah saya ucapkan kepada mangsa tragedi menyayat hati itu.

Pada kesempatan ini, saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia menghulurkan derma ikhlas kepada mangsa. Sesungguhnya bantuan anda dapat membantu meringankan beban mereka.

Saya difahamkan, Maestro turut merancang menganjurkan beberapa program bagi mengumpul dana yang akan disalurkan kepada tabung bantuan gempa bumi Asia Selatan.

Insya-Allah, saya juga akan memainkan fungsi bagi membantu menjayakan rancangan Maestro.

Selasa lalu, saya berpeluang bertemu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di kediamannya.

Sepanjang pertemuan yang memakan masa satu jam itu, kami tidak ketinggalan membicarakan cara terbaik mengumpul dana untuk tabung berkenaan.

Sesungguhnya saya berbesar hati kerana berpeluang bertemu dan berbual dengan beliau. Tidak pernah terfikir sebelum ini, saya mendapat kesempatan yang sungguh berharga ini.

Okay, beralih kita pada cerita minggu ini.

Pertama sekali, saya ingin merakam ucapan ribuan terima kasih kepada syarikat yang sudi menaja majlis berbuka puasa bersama saya sepanjang Ramadan.

Syukur alhamdulillah, rezeki saya sepanjang Ramadan tidak pernah putus. Tawaran datang bersilih ganti.

Ramai juga bertanya tidakkah saya penat dengan jadual kerja yang terlalu padat. Jujur saya katakan, penat memang penat, tetapi itu menjadi asam garam kehidupan anak seni.

Inilah jalan yang saya pilih, jadi saya harus menerimanya dengan hati terbuka dan pada masa sama menganggap ia sebagai dugaan.

Saya selalu mengingatkan diri, banyak lagi dugaan besar pada masa depan. Kalau dugaan sekecil ini pun saya tidak tahan, macam mana saya boleh harungi dugaan lebih besar?

Memandangkan tawaran persembahan semakin bertambah, Maestro semakin prihatin dengan kesihatan saya.

Demi memastikan saya sentiasa bertenaga untuk melunaskan tanggungjawab yang ditetapkan, mereka mewajibkan saya mendapat tidur yang cukup; tujuh jam sehari.

Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada Maestro kerana memahami dan prihatin dengan keadaan saya.

Jadual saya padat sehingga 27 Oktober ini. Selain menjayakan sesi fotografi, iklan komersial, majlis berbuka puasa dan Marhaban Bersama Astro, saya akan terbabit dengan dua program besar.

Program pertama ialah Qasidah di Masjid Albadawi di Kepala Batas pada 20 Oktober ini.

Pada 21 Oktober pula, saya menerima undangan berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Selepas 27 Oktober ini, saya akan bercuti dan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Saya difahamkan, Maestro memberi pelepasan 10 hari dan jika ada perubahan, mungkin seminggu. Semuanya terpulang pada Maestro kerana mereka bertanggungjawab menyusun jadual saya.

Sempena lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi, ramai peminat dan media bertanya mengenai rumah terbuka.

Insya-Allah, saya akan mengadakan rumah terbuka, tetapi perkara itu masih dalam perbincangan dengan Maestro.

Kemungkinan besar ia dilaksanakan pada hari raya ketiga di Dewan Felda Taib Andak yang baru siap.

Rakaman

Kita tutup cerita raya dan beralih pada album solo yang akan di pasaran penghujung bulan ini.

Boleh dikatakan sepanjang minggu ini masa saya banyak dihabiskan di studio selain memenuhi undangan fotografi, iklan (Eon dan Astro) dan majlis berbuka puasa. Kebanyakan proses rakaman dilakukan pada sebelah malam.

Pengalaman pertama merakam lagu di studio tidak semudah disangka.

Saya berkampung di studio Luncai Emas bersama M Nasir untuk merakamkan lagu Aduh Saliha. M Nasir cukup teliti dalam setiap kerjanya.

Jika ada yang tidak kena, dia akan minta saya melakukannya berulang kali hingga dia berpuas hati.

Proses rakaman mengambil masa 10 jam, paling lama berbanding lagu lain. Namun tidak mengapa, saya seronok bekerja dengan M Nasir.

Banyak perkara baru saya belajar daripadanya sepanjang rakaman itu, termasuk bagaimana mahu menjiwai lagu serta mengawal suara.

Selain Aduh Saliha, lagu ciptaan Ajai, Kurnia Dunia yang mengetengahkan elemen pop rock dan world muzik mengambil masa lapan jam untuk disiapkan. Proses rakaman bermula 11 malam dan berakhir 7 pagi.

Proses rakaman dua lagu lagi, Yang Hakiki ciptaan Fauzi Marzuki dan Kian (Yasin) mengambil masa dua hingga tiga jam untuk disiapkan.

Pengalaman yang saya raih di studio bersama M Nasir dan Ajai banyak membantu saya ketika menjalani rakaman lagu Fauzi Marzuki dan Yasin.

Secara peribadi, saya berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan empat komposer tersohor ini. Masing-masing memiliki kehebatan dan gaya tersendiri.

Saya mengagumi mereka dan berharap dapat mendendangkan lagi karya mereka pada masa depan.

Sampai di sini coretan saya kali ini. Minggu depan kita akan berkongsi lebih banyak cerita menarik dan terkini.