Monday, October 31, 2005

MAJLIS MAKAN MALAM AMAL BERSAMA MAWI

(Diterima dari Yahoo!Groups Mawi_AF - 31/10/2005)
Kiriman - "mies" (dj_mies@yahoo.com)

SATU MAJLIS MAKAN MALAM AMAL BERSAMA MAWI AKAN DIADAKAN PADA 22HB NOV 2005 BERTEMPAT DI PAN PAC KLIA, SEPANG JAM 8.00 MALAM, KEPADA SESIAPA YG BERMINAT BOLEH MENEMPAH KERUSI / MEJA BERHARGA RM50/100/150/200 SILA HUBUNGI EN. ZAINUDDIN HARUN, PENGURUS JUALAN PAN PAC KLIA DI TALIAN 012-9332546 ATAU EN. JALIL 019-3757014,EN. BOHAIRI 019-3401100, PADA MALAM TERSEBUT MAWI AKAN MENYANYIKAN 12 BUAH LAGU TERMASUK YG TERBARU, SILA BOOKING AWAL UNTUK MENDAPATKAN TEMPAT ANDA....

Pesanan MAWI !!!

(Diterima dari Yahoo!Groups Mawi_AF - 31/10/2005)
Kiriman - "rozitas1965" (rozitas1965@yahoo.com)

Assalamualaikum Sahabat-sahabat MawiFC

Saya baru balik dari Felda Taib Andak kerana telah diamanahkan oleh keluarga Mawi untuk mengendalikan Majlis Rumah Terbuka Mawi. Saya dan beberapa orang kawan seperti Ibu Datin Paduka Hjh Mezrah , Kak June,Zie, Ween, Shidah, Efa serta suami2/anak-anak masing2 telah bergotong royong untuk menjayakan Majlis Rumah Terbuka Mawi. Kami juga telah mengadakan mesyuarat dengan orang-orang kampung FTA yang diketuai oleh Tok Ketua Kampung. Hari Isnin ini, Mr Freddie dan Datuk Razak (dari EON) akan meninjau keadaan di FTA. Kami juga berkesempatan menolong keluarga Mawi mengemas rumah, menukar langsir, mengecat dan lain-lain aktiviti.

Kami juga berpeluang berbuka puasa bersama ahli-ahli keluarga Mawi & Mawi sendiri pada malam Ahad. Niat Mawi untuk memasang pelita di seluruh kampung juga telah terlaksana. Memang suasana hariraya tu dapat kami rasakan, lebih2 lagi saya yang tidak pernah rasa beraya di kampung sebab keluarga saya duduk di Bandar. Pada jam 10 malam, Mawi dan kanak2 kampung bersama-sama main bunga api. Seronok betul ! Semua berkumpul di laman rumah Mawi dan menyaksikan permainan bunga api. Kami dan anak-anak kami sangat teruja melihatkan suasana begitu. Mawi kelihatan begitu gembira dapat bersama-sama keluarga beliau, lebih2 lagi melayan kerenah anak2 buah beliau dan anak2 jiran yang datang bertandang.

Mawi juga ada menyatakan yang beliau dah membaca posting di dalam laman web www.mawifc.com & www.mawifc.net dan blog Juandanza. Beliau tak sangka banyak isu2 hangat diperkatakan. Mawi cakap lagi sebagai insan biasa , beliau tak lari dari membuat kesilapan walaupun kesilapan tak disengajakan/tak dapat dielakkan. Posting yang berunsur teguran/kritikan membina Mawi akan jadikan panduan, insya Allah. Beliau akan sentiasa membuat muhasabah dirinya.

Mawi teruja bercerita tentang album baru beliau. Baru beliau tahu betapa susahnya membuat recording album. Terpaksa `bertapa' berjam-jam di dalam studio. Bagaimana telitinya komposer2 semuanya inginkan yang terbaik. Beliau mengorbankan hampir setiap malam beliau dengan recording/ulang recording sehingga komposer2 berpuas hati. Mawi sempat berkata "baru tau kenapa artis menangis orang cetak rompak album ".

Mawi sempat bagi tau saya, tolong sampaikan Salam Aidilfitri Serta Maaf Zahir Batin (dan berhati-hati di jalan raya - iklan EON) kepada semua sahabat-sahabat MawiFC. Jemput datang rumah ya pada hari raya ke 3 ! Kata Mawi lagi. Mawi juga sempat mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada semua sahabat-sahabat Mawi FC yang tak jemu2 memberi sokongan kepada beliau. Beliau kata dia memang terharu sangat
dengan sokongan, teguran, kritikan supaya beliau terus maju di dalam karier beliau. Beliau juga sempat memberi pesanan, belilah album baru saya ya .. kalau tak ori tak world !

Salam Aidilfitri ………………..

Gambar Mawi dari New Straits times - 31/10/2005

(New Straits Times - 31/10/2005)
Gambar Mawi dari artikel bertajuk 'Savvy Mawi'

Ada Ria, Ada Raya Astro bangkitkan 'mood' Syawal

(Berita Harian 31/10/2005)
Oleh Zul Husni Abdul Hamid

BERTEMAKAN Ada Ria Ada Raya, Astro Ria menghidangkan rangkuman pelbagai telemovie istimewa, rakaman konsert artis terkenal dan tayangan filem box-office.

Kemeriahan Syawal dimulakan dengan Takbir Raya yang disiarkan pada malam raya, jam 9 malam dan ulangan pada jam 5 pagi dan 7.30 pagi, hari raya pertama.

Takbir ini menampilkan juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi, pelajar AF yang lain serta kemunculan kumpulan nasyid, Rabbani dan barisan artis ternama.

Berikut adalah antara slot yang akan menemani penonton sepanjang seminggu Syawal di saluran 4, Astro Ria.

Slot Telemovie

  • TIKAR BURUK

  • BERSIARAN pada jam 9.30 malam, ia dibintangi Datin Rosnani Jamil, Nasir Bilan Khan dan Nur Fazura. Berkisarkan kepayahan seorang wanita tua yang dituduh mengamalkan sihir oleh penduduk kampung. Selepas kematian suaminya, dia berkahwin dengan lelaki yang lebih muda. Penduduk kampung menuduhnya menggunakan kuasa sihir supaya lelaki itu mengahwininya. Tuduhan mereka diperkuatkan lagi apabila suami mudanya kemalangan dan lumpuh seumur hidup.

  • GITAR TUA

  • MENEMUI penonton pada raya pertama jam 2 petang, Gitar Tua mengenai pemuda kampung, Beego yang bercita-cita menjadi penyanyi terkenal. Dia berhijrah ke Kuala Lumpur tanpa mendapat restu daripada ibunya yang sedang sakit.

    Hasrat Beego, bagaimanapun tidak kesampaian. Dia mengambil keputusan pulang semula ke kampung. Namun dia dirompak dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk pulang. Untuk mencukupkan belanja, dia menyanyi di Hentian Puduraya.

    Gitar Tua menampilkan lakonan Beego, Ellie Suriaty Omar, Azri Iskandar, Norlia Ghani, Anding dan Anne Ngasri.

  • TERMINAL SAYANG

  • AKAN ditayangkan kepada penonton pada raya kedua jam 2 petang, ia memaparkan sisa harapan sepasang suami isteri menanti kepulangan anak perempuan tunggalnya yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

    Anak itu juga sudah bertukar agama. Pasangan yang mengusahakan perniagaan chalet mempunyai hubungan yang akrab dengan pekerjanya. Ini mengurangkan kesedihan dan ingatan terhadap anak mereka.

    Ketika Ramadan, dua pekerja mereka memeluk Islam. Kegembiraan itu mengisi kekosongan hati mereka. Namun, mereka tetap berdoa anak perempuan itu akan pulang menyambut hari raya bersama.

    Terminal Sayang dibintangi Datuk Rahim Razali, Datuk Sarimah Ahmad dan Rozita Che’ Wan.

    Rakaman Konsert

  • DI SEBALIK - SITI NURHALIZA IN CONCERT: ROYAL ALBERT HALL (Hari raya kedua, jam 4 petang)

  • ANTARA sajian istimewa yang dijanjikan Astro Ria, rakaman di balik tabir konsert yang berlangsung 1 April lalu akan disiarkan pada raya kedua, jam 4 petang.

    Ia disusuli Siti Nurhaliza In Concert: Royal Albert Hall, jam 5.30 petang. Konsert selama dua jam itu, memperlihatkan kematangan anak Kuala Lipis, Pahang itu selepas sedekad menimba pengalaman sebagai anak seni.

  • AKADEMI FANTASIA 3 XTRA 2005 (Hari raya pertama, jam 4.30 petang)

  • SIARAN raya pertama jam 4.30 petang, menampilkan pengacara sensasi, Aznil Nawawi menemui empat finalis AF3 iaitu Mawi, Felix, Amylea dan Marsha. Di samping itu, turut menyalurkan pandangan penasihat pelajar AF3, Fatimah Abu Bakar dan guru drama, Marlia Musa. Nantikan klip video eksklusif, bloopers dan petikan adegan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini dalam AF3 dalam rancangan selama sejam ini.

  • KONSERT REUNION AKADEMI FANTASIA 3 - PENAWAR RINDU (Hari raya pertama, jam 5.30 petang)

  • PERTEMUAN penuh nostalgia semua bintang AF3 ini akan menemui penonton, raya pertama, jam 5.30 petang. Bertemakan Penawar Rindu, konsert yang dirakamkan di Stadium Malawati, Shah Alam tidak lama dulu.

    Ia sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan tidak berbelah bagi sepanjang 14 pelajar itu berada di akademi berkenaan.

  • DARI STUDIO SATU: PLATINUM

  • KEMBALI menemui penonton, jam 12.30 tengahari, Dari Studio Satu membariskan kemunculan nama popular tanah air seperti Mawi pada hari raya kedua, bersama artis jemputannya iaitu Ning Baizura, Yazer AF3 dan Bob AF2.

    Disusuli pada hari raya ketiga, persembahan Raja Pop, Jamal Abdillah diiringi pemuzik terkenal, Joe Wings. Misha Omar pula menghiburkan penonton pada hari raya keempat.

    Ubati kerinduan terhadap Ratu Rock, Ella yang tampil pada hari raya kelima bersama artis jemputan seperti Tam Spider, Waheeda dan Farah.

    Layar Raya

    MENERUSI slot ini, penonton disajikan dengan pelbagai filem Melayu hebat dan terbaru.

  • SEPET (Hari raya pertama, jam 8.30 malam)

  • Sepet lakonan Sharifah Amani dan Ng Choo Seong berkisarkan cinta antara gadis Melayu, Orked dan pemuda berbangsa Cina, Jason.
    Filem yang memenangi Anugerah Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-18 itu diarahkan Yasmin Ahmad, dibantu lakonan hebat Ida Nerina, Harith Iskandar dan Adibah Noor.

  • GANGSTER (Hari raya kedua, jam 8.30 malam)

  • SAKSIKAN filem yang disiarkan buat pertama kali secara eksklusif di Astro Ria. Rosyam Nor memegang tiga watak sekali gus; sebagai Rosli yang keluarganya menerima padah akibat hutangnya dengan along, sebagai Legau, kaki lumba motor yang sering menerima cabaran Rizal, seorang pendatang baru Sebagai Nala, pengedar dadah yang memperalatkan teman wanitanya demi kepentingan sendiri. Tiga kisah berlainan yang memaparkan pengkhianatan, ketamakan dan cinta yang berhubung kait di antara satu sama lain dan diakhiri dengan peristiwa tragik.

    Filem arahan Bade ini menampilkan lakonan Rosyam Nor, Umie Aida, Ako Mustapha dan Hasnul Rahmat.

  • SEMBILU 2005 (Hari raya ketiga, jam 8.30 malam)

  • PAPARAN cinta terhalang antara Salina, seorang gadis Melayu dengan Vince, seorang pemuda berdarah campuran Inggeris dan Cina. Mereka saling mengenali sejak usia remaja ketika menuntut di sekolah yang sama.
    Saat hubungan semakin intim, cabaran dan halangan daripada ibu bapa dan kawan-kawan mula timbul yang menguji kesetiaan cinta mereka.
    Lakonan Hetty Sarlene, Vince AF1, Juliana Banos, Khai AF1 dan Zek Zaidi dibantu penampilan khas Erra Fazira, Ziana Zain, Abby Abadi dan Awie.

  • GOL & GINCU (Hari raya keempat, jam 8.30 malam)

  • FILEM ini membawa penonton menyelami perjalanan hidup seorang gadis yang mempelajari pentingnya kehidupan dan cinta. Putri berazam untuk memenangi semula hati bekas kekasihnya, seorang yang gilakan sukan, dengan menyertai pasukan futsal.

    Putri perlahan-lahan mula menemui kekuatan dan nilai sebagai seorang juara. Dibintangi Nur Fazura sebagai Putri, Sazzy Falak, Melissa Maureen, Sharifah Amani, Zarina AF2, Ashraf Sinclair dan Mohd Pierre Andre.

    Hiburan Raya Istimewa

  • ANUAR ZAIN... Aidilfitri Di Perantauan (Hari raya pertama, jam 12.30 tengah hari)

  • DALAM program pengembaraan muzikal ini, Anuar Zain meraikan Aidilfitri yang penuh nostalgia dalam suasana emosi bersama rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

  • GITULAH RAYA (Hari raya pertama, jam 10.00 pagi)

  • DRAMA komedi lakonan Saiful Apek, Yasin dan Bob KU2. Ia mengisahkan tiga penyanyi terkenal yang tidak dapat menyambut Hari Raya kerana komitmen kerja. Kecewa dengan situasi ini, mereka bertekad pulang ke kampung untuk bertemu keluarga tersayang. Ia menyebabkan ejen mereka (Sathiya) kelam kabut. Drama ini turut menampilkan Sham Kamikaze, Felix, Marsha, Zarina, Yusni Jaafar dan Hamid Gurkha.

  • MACAM-MACAM AZNIL RAYA 2005 (Hari raya pertama, jam 11.30 pagi)

  • AZNIL meninjau persiapan hari raya dan berkongsi pengalaman dengan tetamu undangannya, Anita Sarawak dan Ella. Pengacara popular itu turut mendapatkan pandangan daripada pasukan bomba, polis dan tentera mengenai sambutan hari raya mereka.

  • RUMAH TERBUKA AKADEMI FANTASIA 3 (Hari raya kedua, jam 10 pagi)

  • RANCANGAN komedi muzikal menampilkan bintang AF3 dan pengacara Aznil Nawawi. Amylea menjemput kawan-kawannya menyambut hari raya di rumahnya di Langkawi. Perjalanan mereka dipenuhi dengan peristiwa mencemaskan dan mencuit hati.

  • BEAT TV RAYA REUNION (Hari raya kedua, jam 4 petang)

  • EPISOD istimewa Aidilfitri menemukan semula hos Beat TV yang terdahulu dan terkini seperti Zet, Wan Khatijah, Gina, Dylla, Dynaz, Sein, Sazzy dan Awal. Awal dan Sazzy bertemu bekas pengacara ini. Ia membangkitkan memori bersama Beat TV dan menyambut 1 Syawal bersama di kampung Awal.

  • TREK SELEBRITI RAYA 2005 (Hari raya kedua, jam 10 malam)

  • TREK Selebriti menjelajah ke Frankfurt dan Berlin meninjau kehidupan Mamat Khalid, satu nama besar dalam industri perfileman Malaysia. Ketika zaman awalnya, Mamat Khalid adalah artis jalanan dan membuat pelbagai pekerjaan di luar negara. Bersama Jimmy Shanley menyelami hidup Mamat Khalid menempuh kesukaran, bersama memori yang menjadi kenangan sewaktu di Jerman.

  • ANITA DI AIDILFITRI (Hari raya ketiga, jam 11.30 pagi)

  • ANITA Sarawak meraikan 1 Syawal di Hotel Royal Adelphi, Seremban bersama tetamu jemputan dari Sekolah Henry Gurney, Batu Gajah dan Penjara Wanita Kajang. Berkongsi pengalaman mereka dan hayatisambutan Aidilfitri di balik tirai besi. Liza Hanim, Hail Amir dan SyafinaZ turut membuat persembahan dengan lagu raya malar segar.

  • MUZIK@RAYA 2005 (Hari raya keempat, jam 11.30 pagi)

  • BERSAMA Yasmin Hani menyambut Hari Raya. Nantikan segmen menarik seperti permainan, dedikasi lagu, klip video dan persembahan artis popular. Ia disertai Amy Mastura, New Boyz, Elyana dan Nana.

    Sunday, October 30, 2005

    "Pada saya dia istimewa" - Hattan

    (Utusan Malaysia - 30/10/2005)
    Sebahagian dari artikel bertajuk 'Semuanya demi Adam - Hattan'
    Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

    ``Tetapi dalam masa yang sama banyak yang percaya artis macam saya ada kekuatan tersendiri dan peminat yang berkualiti,'' katanya yang juga mengakui cukup mengagumi bakat baru yang cemerlang kehebatannya, Mawi.

    Pernah beberapa kali terlibat dalam persembahan membabitkan Mawi, kata Hattan dia kagum dengan kebolehan `budak' itu.

    ``Pada saya dia istimewa, sebab tak semua orang boleh jadi macam dia. Jadi, tak ada sebab kalau orang hendak kutuk bakat-bakat yang dikeluarkan oleh rancangan realiti macam Mawi. Sebabnya dia sudah membuktikan mereka mampu menggerakkan semula industri hiburan yang sedang bermasalah ketika ini,'' demikian pandangan jujur Hattan tentang Mawi.

    Teknologi hubungkan Mawi dengan peminat

    (Utusan Malaysia - 30/10/2005)
    Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

    SEKIRANYA hari ini telefon bimbit anda menerima pesanan istimewa daripada artis popular Mawi, janganlah anggap diri anda sedang bermimpi di siang hari. Ia adalah satu realiti yang mungkin hanya sekali akan berlaku kepada diri anda.

    Jika mahukan saat-saat indah ini menjadi milik anda, bolehlah menyertai rancangan SMS Khas bersama Mawi yang dianjurkan oleh kelab sahabat Mawi dan Airocom Technology Berhad.

    Menariknya, peminat yang menghantar SMS raya kepada Mawi akan menerima pantun istimewa sebagai balasan daripada artis tersebut.

    Pantun-pantun berkenaan telah dipilih oleh Mawi sendiri untuk dihantar kepada semua peminat yang menghantar mesej berkenaan kepadanya.

    ``Ini cara yang baik untuk saya eratkan hubungan dengan peminat. Melalui cara ini, saya tidak lagi mengecewakan peminat.

    ``Jika kiriman kad raya sukar untuk saya balas kesemuanya, dengan cara ini saya berpeluang memberikan hadiah istimewa kepada mereka dengan cara membalas kiriman ucapan Hari Raya mereka dengan pantun-pantun yang telah disediakan,'' kata Mawi dalam majlis itu baru-baru ini.

    Ketua Pegawai Eksekutif syarikat rakaman Maestro Talent, Freddie Fernandez juga menganggap cara terbaru ini adalah yang terbaik yang boleh mengeratkan lagi hubungan artis dan peminat.

    ``Peminat tidak lagi kecewa sebab semua mesej mereka dibalas oleh Mawi,'' katanya. Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan Airocom, Mohd. Fauzi Jamaudin, Timbalan Presiden Bahagian R&D Airocom, Hamzah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Pearl Of The Orient Travel & Tours, Ab. Rahman Mohd Din.

    Menurut Mohd. Fauzi, dengan cara ini Mawi dapat membaca kesemua mesej yang dihantar kepadanya menggunakan kemudahan Internet.

    ``Bila-bila masa Mawi boleh baca mesej peminat dan membalasnya dan ini memudahkan Mawi. Sebagai artis popular, cara seperti ini akan memberi peluang kepada Mawi untuk berinteraksi secara terus dengan peminat,'' katanya.

    Peminat akan dikenakan sedikit bayaran untuk menyertai rancangan ini. Bagi yang berminat mendaftar, masih ada peluang untuk berbuat demikian sehingga menjelang 1 Syawal ini.

    Peminat boleh terus menaip: Mawi (jarak) daftar (jarak) nombor kad pengenalan (jarak) dan nama penuh mereka dan dihantar ke talian 32456.

    Peminat yang sudah mendaftar boleh menghantar ucapan dengan menaip: Mawi (jarak) ucap (jarak) dan terus menaip ucapan yang hendak disampaikan kepada nombor yang sama.

    Peminat bertuah juga mungkin berpeluang bercuti dengan Mawi ke Syria selama seminggu atas kiriman SMS yang paling kreatif.

    Hadiah ini ditaja oleh Pearl Of The Oriental Travel & Tours Malaysia Sdn. Bhd. (POTO) yang akan membawa Mawi dan rombongannya ke negara itu pada awal tahun depan.

    Mawi sedia RM15,000 rai peminat

    (Harian Metro - 30/10/2005 - Dunia Mawi)


    SESUNGGUHNYA kehadiran Syawal kali ini sungguh bermakna buat anak muda kelahiran Felda Taib Andak ini. Buat julung kalinya, Juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga ini akan menyambut kemeriahan Aidilfitri sebagai artis.

    Lebih istimewa, Asmawi Ani atau lebih mesra dengan panggilan Mawi akan meraikan kehangatan lebaran bersama peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini dengan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga di padang bola kampung halamannya.

    “Syukur alhamdullilah,” itulah perkataan keramat yang berulang kali lahir daripada bibir anak muda ini saat mengulas lanjut sambutan Aidilfitri.

    Tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini akan meraikan hari kemenangan umat Islam ini bersama ratusan atau mungkin ribuan peminat.

    “Ia bagaikan mimpi. Mungkin inilah yang dikatakan tuah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang dan mereka yang menyokong saya selama ini,” katanya memulakan bicara.


    Sambungnya sambil tersenyum manis: “Rasanya semua sedia maklum, saya akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga. Majlis itu akan berlangsung di padang bola Felda Taib Andak.

    “Beberapa balai turut dibina bagi memudahkan orang ramai menikmati juadah. Semuanya akan diuruskan oleh orang kampung saya, termasuk soal logistik, makanan dan kawalan keselamatan.

    “Peruntukan bagi mengadakan majlis itu ialah RM15,000 dan saya sudah menyediakannya.

    “Kemungkinan besar saya dan rakan AF yang hadir akan mengadakan persembahan bagi memeriahkan suasana malah pentas turut didirikan bagi tujuan itu.

    “Meskipun mengadakan rumah terbuka pada hari raya ketiga, pengalaman banyak mengajar saya supaya bersiap sedia untuk menerima kehadiran tetamu pada hari raya pertama.

    “Memandangkan rumah saya tidak dapat menampung tetamu yang ramai, saya memasang sebuah balai di depan rumah. Juadah kali ini pun kena lebih berbanding tahun lalu,” katanya yang turut menjemput artis senior ke majlis itu.

    Bercerita mengenai persiapan raya kali ini, Mawi tanpa berselindung memberitahu, dia menyerahkan RM4,000 kepada keluarganya untuk membeli apa yang dirasakan patut, termasuk langsir, kuih-muih dan juadah istimewa yang bakal dihidangkan kepada tetamu.

    “Kali ini saya belikan tiga pasang baju kurung dan tudung untuk mak serta tiga pasang baju Melayu buat abah. Saya turut menghadiahkan baju raya kepada adik beradik saya dan keluarga tunang saya, Diana.

    “Memandangkan jadual sepanjang bulan ini padat, terpaksa saya melakukan persiapan lebih awal. Sebahagiannya saya beli sebelum puasa dan ada juga selepas beberapa hari berpuasa. Bimbang juga kalau dilengah-lengahkan tidak sempat pula,” katanya sambil tertawa.

    Tambah Mawi, dia tak perlu berhabis membeli baju raya tahun ini kerana pemberian peminat lebih daripada cukup.

    “Tahun ini saya ada 20 pasang baju Melayu. Semuanya hadiah daripada peminat. Ada yang bagi baju Melayu Teluk Belanga dan Cekak Musang lengkap dengan kain samping dan songkok. Ada juga yang belum berjahit. Macam-macam warna, sampai rambang mata saya untuk memilih yang mana paling sesuai digayakan pada pagi raya. Biarpun saya gemar warna hitam, warna cerah akan jadi pilihan kerana ia lebih bersesuaian dengan keceriaan hari raya.

    “Lebih istimewa, peminat tidak lupa menghadiahkan baju kepada mak, abah dan adik-beradik saya yang lain. Bergaya sakanlah kami Aidilfitri kali ini,” katanya sambil berulang kali melahirkan ucapan terima kasih kepada peminat yang bermurah hati menghadiahkan keluarganya persalinan raya.



    Tunai hajat pasang pelita

    SETIAP kali menyambut lebaran, Mawi tidak ketinggalan membantu keluarganya melakukan kerja rumah, termasuk urusan di dapur.

    Kata anak muda ini, sejak kecil dia sudah biasa menganyam ketupat, malah kemahiran itu menjadi tradisi dan warisan keluarganya.

    “Memang menjadi kebiasaan saya akan membantu keluarga menganyam ketupat dua hari sebelum raya. Setakat ini boleh dikatakan saya mahir menganyam ketupat sate, bawang dan jantung. Maklumlah, kontrak setiap tahun (ketawa). Abah pun tidak kurang hebatnya.

    “Kadangkala kami berlumba siapa yang dapat menyiapkan ketupat paling banyak. Memang menyeronokkan, apatah lagi bila ada yang tersilap anyam. Pasti ada yang mengusik dan ketawa sesama sendiri,” kata Mawi yang bercuti lapan hari bermula semalam.

    Dalam rancak bercerita, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha ini tidak ketinggalan berkongsi rutinnya setiap kali lebaran menjelang.

    Kata Mawi, menjadi kewajipannya membantu keluarga menyediakan rendang dan kari pada malam raya.

    Biarpun dilahirkan sebagai anak lelaki, Mawi tidak pernah dihantui perasaan malu membantu ibunya di dapur.

    Selagi terdaya, dia akan membantu apa yang patut kerana dengan cara itu kehadiran Aidilfitri akan lebih terasa.

    “Selepas membantu serba sedikit di dapur, saya tidak melepaskan peluang bermain bunga api dengan anak saudara, rakan dan jiran tetangga. Biasanya saya akan tidur pada jam 2 pagi dan bangun awal keesokan harinya untuk bersiap-siap ke masjid.

    “Selesai sembahyang raya, saya bersama 60 hingga 80 penghuni blok D akan bermarhaban dari rumah ke rumah. Dalam kawasan itu ada lebih kurang 30 rumah, jadi kami akan bergerak mengikut giliran.

    “Memang ia menjadi tradisi di kampung saya. Selesai marhaban, tuan rumah akan menjamu kami dengan hidangan raya. Selepas bermaaf-maafan, kami akan bergerak ke rumah seterusnya. Biasanya program ini tamat sebelum Zuhur. Kemudian saya akan menghabiskan masa di rumah dengan menonton TV dan melayan tetamu. Hari raya kedua, baru saya berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat handai,” kata Mawi yang tidak akan melepaskan peluang beraya bersama keluarga Diana.

    Sempena kehadiran 1 Syawal juga, Mawi akan melunaskan hajatnya memasang pelita di sepanjang jalan Blok D.

    Setibanya di kampung, Mawi dan penduduk setempat bergotong-royong mencari kayu di hutan, memacak kayu dan memasang sumbu pada pelita.

    “Memang setiap kali tujuh likur saya dan rakan akan pasang pelita di sepanjang jalan kawasan rumah kami. Pun begitu, kali ini lebih istimewa kerana inilah hajat saya ketika menyertai AF dulu.

    “Saya bersyukur kerana ramai ingin turut sama membantu, malah beberapa minggu sebelum pulang ke kampung, saya dimaklumkan pengerusi belia menguruskan semua persiapan. Saya dan orang kampung akan memasang pelita tiga atau empat hari sebelum raya. Pelita itu akan menerangi simpang masuk ke kawasan Blok D hingga ke hujung kampung.

    “Upacara pasang pelita itu akan dirasmikan hari ini. Memang panjang, mana tahu boleh masuk Malaysian Book Of Records,” katanya sambil berjenaka.


    FAKTA MENARIK MENGENAI MAWI

    -Pengertian raya bagi Mawi: Hari kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan lapar, dahaga dan nafsu daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa. Ia juga hari mengeratkan silaturahim sesama insan, di mana kita akan saling bermaaf-maafan dan berkunjung-kunjungan.

    - Kenangan pada hari raya: Mercun meletup di tangan ketika berusia sembilan tahun. Dek kerana sumbu terlalu cepat terbakar, mercun itu meletup. Akibatnya tangan Mawi terasa kebas dan serik untuk bermain lagi. Mawi menasihati orang ramai, khususnya kanak-kanak, jangan terlalu seronok bermain mercun kerana ia berbahaya.

    - Juadah kegemaran: Ketupat, rendang, kari ayam, kerepek ubi, kerepek pedas dan rempeyek.

    Banyaknya nama Mawi

    (Utusan Malaysia - 30/10/2005)

    MAWI bukan sahaja paling popular sebagai penyanyi tetapi pada bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini nama Mawi turut popular dipinjam untuk bisnes sempena bulan Ramadan dan hari raya.

    Kawan Huzz memberitahu, masa dia pergi ke merata bazar Ramadan, dia tengok banyak menu dah ditambahkan dengan nama Mawi.

    Katanya, "Ada mi rebus Mawi, roti sardin Mawi, mi bandung Mawi, karipap Mawi yang dijual oleh peniaga-peniaga. Dapat sambutan pula tu. Tak hanya Mawi yang popular, ayam percik pun dah pinjam nama kampung Mawi. Ada juga dijual ayam percik FELDA Taib Andak."

    Jaafar Onn pun kata, semasa Huzz tulis di ruangan ini menu barunya ikan terubuk hai! Mawi, dah ramai peminat minta dia masakkan sebab mereka nak rasa.

    Begitulah semasa Huzz menjengah ke Jalan Masjid India menjenguk jualan di sana, Huzz melihat sendiri ada nama baju Melayu yang dijual dengan nama Mawi.

    Sementara itu, semenjak baju Melayu leher sulam yang dihadiahkan oleh butik G Glamour, Alor Star, Kedah dipakai Mawi, Huzz diberitahu ada tempahan dahsyat di kalangan peminat yang mahukan baju melayu mereka fesyen leher cekak musang bersulam!

    Fuh! Mawi punya penangan... dahsyat!

    Lagi satu Huzz nak cerita di sini, kawan-kawan lelaki yang Huzz kenal siang-siang dah beritahu mereka nak buat rambut raya fesyen Mawi. Ada yang dah buktikan dia sanggup tebas rambutnya yang tebal itu menjadi pendek macam rambut Mawi. Hmm... ada yang Huzz tengok makin macho da! Kepada peminat-peminat penyanyi bertahi lalat manis di atas bibir dan berhidung mancung terletak ini, jangan lupa Mawi akan mengadakan majlis rumah terbuka pada Hari Raya ketiga di padang FELDA Taib Andak.

    HUZZ: Nak tengok nanti... ada tak rumah yang Huzz pergi beraya akan hidangkan biskut atau kek pakai nama Mawi World.

    Fenomena ‘tsumawi’ menjelang Aidilfitri

    (Berita Harian - 30/10/2005)
    Oleh Norakmah Mat Youb

    Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Masjid India dianggap syurga membeli-belah

    SYAWAL bakal menjelang beberapa hari lagi. Pastinya umat Islam sibuk membuat persiapan terakhir bagi meraikan kemenangan selepas berjaya mengawal hawa nafsu sepanjang sebulan berpuasa.

    Bagi warga kota, setiap kali Ramadan, Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur adalah tempat yang sering dikunjungi kerana di situ ada ‘aura Mawi’ dan segala persiapan dari rambut hingga ke hujung kaki ada di sana.

    Tempat itu turut dikenali sebagai syurga membeli-belah kerana pelbagai barangan lain seperti kelengkapan rumah, permaidani, cadar, aksesori, kuih-muih, bunga plastik, pakaian dan tudung boleh dibeli dengan harga murah.

    Tinjauan Berita Minggu ke dua lokasi itu mendapati orang ramai tidak putus-putus berkunjung ke sana walaupun pada hari biasa, apatah lagi pada hujung minggu. Pastinya sesak dan meriah seolah-olah berpesta.

    Laungan peniaga memanggil pelanggan menggunakan pembesar suara supaya singgah di gerai mereka kedengaran di sana-sini. Pelbagai cara yang digunakan bagi menarik perhatian pelanggan membeli barangan mereka.

    Tahun ini, kebanyakan gerai dan kedai di situ menjual baju jenis kebaya Indonesia dan kebaya Nyonya yang dipopularkan kembali oleh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.

    Pada masa sama, populariti pemenang program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani, 24, atau Mawi bukan hanya dalam nyanyian malah namanya digunakan sebagai pelaris dalam perniagaan.

    Fenomena ‘tsumawi’ turut melanda Jalan TAR yang terkenal sebagai ‘one-stop-centre’ itu. Di situ ‘demam’ Mawi mengatasi segala-galanya. Hilang seketika nama-nama artis yang pernah digunakan bagi melariskan perniagaan tahun lalu.

    Terdapat pelbagai tudung dan selendang dari jenis kain bawal serta sifon yang disulam nama Mawi menjadi rebutan pengunjung yang datang dari segenap pelusuk tidak mengira tua atau muda.

    Ternyata populariti yang dikecapi artis yang berasal dari Kulai, Johor itu memberi rezeki kepada peniaga. Namanya turut digunakan pada kain baju kurung bagi memikat orang ramai menjelang Aidilfitri.

    Selain itu, gelaran 'World' yang dibawa penyanyi itu juga melariskan kuih-muih. Ada peniaga yang terpaksa membuat tempahan tambahan kerana sambutan yang diterima sangat luar biasa.

    Penjual tudung, Al Rashid Al Ali, 35, berkata berikutan populariti penyanyi yang membawa gelaran ‘World’ itu, gerainya juga tidak ketinggalan menjual tudung dan selendang Mawi.

    Beliau berkata, walaupun tudung berkenaan tidak mempunyai banyak beza berbanding tudung jenis kain bawal seperti tahun lalu, penggunaan nama Mawi disulam di hujung tudung bagi menarik pembeli.

    "Ramai yang meminati Mawi, jadi kita namakan beberapa tudung dengan namanya. Memang sangat laris jualannya. Kain tudung itu lebih lembut dan sulamannya agak lain dan lebih cantik,” katanya

    Jalan TAR dan Masjid India memang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya ketika musim Aidilfitri tetapi tahun ini ‘aura’ Mawi ternyata menambahkan lagi kehangatan lokasi itu.

    Peniaga songkok, Rosnelly Abd Ghafar, 49, berkata, sambutan tahun ini lebih menggalakkan kerana cuaca baik berbanding tahun lalu yang hujan setiap hari sekali gus menyebabkan orang ramai malas keluar rumah.

    "Selalunya tempat ini akan mendapat lebih tumpuan dan sesak sepanjang tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri. Ramai yang suka membuat persiapan saat-saat akhir kerana mereka tahu ada peniaga akan menjual barang lebih murah berbanding biasa," katanya.

    Pekerja swasta, Norhayati Mohd Ali, 38, berkata beliau sering berkunjung ke Jalan TAR untuk membeli barangan seperti bunga, kain dan tudung menjelang Aidilfitri.

    "Di sini pelbagai barangan boleh diperoleh malah kita boleh tawar menawar. Jadi tidak perlu pergi jauh. Jimat duit dan masa," katanya yang akan pulang ke kampung halamannya di Jasin, Melaka.

    Bagi, Rashidah Yusoff, 31, beliau sering berkunjung ke Jalan TAR bagi mendapatkan bunga hiasan untuk menceriakan suasana rumah dan baju kurung yang sudah siap dijahit.

    "Persiapan Aidilfitri tahun ini sederhana saja untuk elakkan pembaziran. Saya suka membeli barangan di sini kerana ada banyak pilihan dan harganya berpatutan," katanya.

    Mawi raya macam dulu juga

    (Utusan Malaysia - 30/10/2005)


    PANCAINDERA menunaikan janji kepada anda. Pembaca yang tidak pernah berhenti meminta untuk kami memberi peluang kepada bintang termasyhur di arena seni tempatan, Mawi, menjadi penghias muka depan.

    Ya, Mawi mencatat sejarah. Bukan saja sebagai artis baru yang paling `gah' ketika ini. Tetapi juga sejarah kepada akhbar kesayangan ramai yang dibaca oleh 3 juta orang ini.

    Dialah lelaki itu - lelaki pertama yang menjadi penghias muka depan Pancaindera semenjak Pancaindera menemui pembaca budiman.

    Semuanya kerana anda - pembaca yang kami hormati. Ketika syahdu lebaran semakin terasa, ketika bayang 1 Syawal hanya tinggal beberapa hari saja berlabuh di depan mata, kami mengajak Mawi bercerita tentang dirinya, Aidilfitrinya, keluarganya dan apa saja yang anda ingin ketahui mengenai `aura'nya.

    1 Syawal 1426 detik perubahan. Aidilfitri pertamanya sebagai seorang manusia yang berbeza dari zaman silamnya. Banyak yang kata Mawi melalui transisi hidup yang sangat luar biasa. Umpama 360 darjah kehidupannya sudah beralih.

    Daripada seorang budak kampung, kini digilai ramai. Daripada hanya seorang anak peneroka Felda, dia kini diletakkan dalam kategori selebriti, diiktiraf dan diberikan penghormatan. Tetapi Mawi sebenarnya masih menganggap dirinya anak peneroka.

    Itu yang kita lihat dan fikir. Tetapi bagi yang empunya diri, tidak banyak perubahan kepada dirinya. Mawi bercakap soal jiwa, bukan lahiriahnya.

    ``Di dalam hati saya, saya masih Mawi yang dulu. Ramadan kali ini juga saya sambut macam dulu-dulu juga, tak banyak bezanya. Menyambut Ramadan dengan kerendahan hati dan semangat untuk berpuasa.

    ``Cuma Allah kurniakan saya rezeki lebih sedikit tahun ini, itu yang berbezanya, alhamdulillah syukurlah,'' katanya kala dijolok tentang perasaannya menjadi orang bergelar.


    Meneruskan perbualan kami, Mawi mengakui sukar untuk dia menerima segala perubahan dalam hidupnya dengan sekelip mata seperti ini.

    Diangkatnya tangan dan berdoa kepada Tuhan semoga menetapkan rasa hati dan perasaan, supaya segala kejayaan yang di depan mata tidak melekakan.

    ``Saya kata, ``Ya Allah ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan yang terbaik. Benda ini semua dugaan untuk aku, dugaan untuk aku sebagai manusia.''

    ``Selepas hampir sebulan, saya sudah boleh terima keadaan ini, yang kehidupan saya sudah tak macam dulu lagi. Setelah dua tiga minggu saya di awang-awangan, akhirnya saya reda inilah bahagian kehidupan saya.

    ``Sudah sampai masanya saya di sini, kalau Dia hendak beri Dia beri sajalah. Dia yang merobah hidup saya menjadi Mawi seperti hari ini,'' katanya panjang lebar.

    Kerana nama, gelaran dan wang ringgit ini juga, Mawi menangis mengadu nasib kepada Penciptanya.

    ``Memang saya selalu menangis masa awal-awal dapat semua ini. Saya fikirkan Tuhan itu Maha Kaya, segala-galanya. Hidup saya berubah terus sekarang ini. Memang kalau Dia hendak bagi, Dia bagi betul-betul.

    ``Saya tak pernah minta sampai macam ini, tetapi Dia sudah bagi kita kena terimalah segala-galanya.

    ``Orang boleh cakap macam-macam, tetapi kalau Tuhan kata hendak pilih kita, kita kena terimalah apa saja yang telah ditetapkan oleh-Nya,'' katanya dengan senyum yang tak pernah lekang di bibir.

    Memang kata Penolong Pengurus Artis Maestro Records, Along Bakar `mood' Mawi elok sungguh petang itu. Justeru tak sampai sejam, sesi fotografi ini berlangsung dengan jaya dan Mawi dengan nada malu-malu menjelaskan kepada saya.

    ``Cantik punya senyum. Pancaindera saja yang dapat senyuman manis saya macam ini tau,'' katanya sekali gus membuatkan saya juga tersenyum lebar.

    Suatu waktu dahulu dia mungkin tidak berkemampuan untuk membeli banyak baju baru. Raya juga disambut secara ala kadar kerana kesempitan hidup. Tetapi andai kata hari ini Mawi mahu membeli seratus helai baju raya atau satu lori kuih raya sekalipun dia mampu melakukannya.

    Tetapi pemilik tahi lalat di bahagian atas bibir ini lebih senang dengan sikap sederhananya.

    ``Macam tahun-tahun lalu juga, persiapan raya saya ala kadar. Tak boleh membazir sangat, tak baik'' katanya.

    Bagaimanapun Mawi beruntung kerana tak perlu pening memikirkan fasal baju raya kali ini. Semuanya sudah disediakan oleh peminat, bukan untuk dirinya sahaja tetapi juga kepada keluarga lain.

    ``Peminat sudah bagi banyak baju raya. Saya sudah ada lebih 20 pasang baju raya sekarang ini.

    ``Memang untung sebab saya tak payah pening fikirkan baju raya lagi untuk tahun ini, untuk mak dan abah pun mereka bagi juga,'' katanya.

    Bagi memberi peluang Mawi bercuti lebih lama dengan keluarganya, pihak pengurusan Maestro Talent memberi cuti seminggu kepada Mawi bermula 30 Oktober hingga 7 November depan. Seminggu itu Mawi akan berada di Felda Taib Andak untuk bersama dengan ahli keluarganya.

    ``Raya ketiga saya akan buat rumah terbuka, jemputlah datang. Kak pun boleh datang kalau hendak,'' katanya mempelawa saya turut serta ke rumah terbuka pertamanya sebagai artis. Apabila saya katakan saya pulang beraya ke Terengganu, Mawi terus terkedu. ``Jauh sangat,'' itu agaknya yang dia fikir.

    Mawi juga sudah menyediakan RM3,000 untuk dijadikan hadiah kepada kanak-kanak yang bertandang ke rumahnya.

    Apa yang penting bagi Mawi menyambut 1 Syawal ialah meneruskan amalan biasa sama seperti dilakukannya sebelum ini.

    ``Lepas sembahyang, kami satu kampung akan bermarhaban beramai-ramai dari satu rumah ke satu rumah di Felda Taib Andak.

    ``Kalau boleh hendak buat sama macam dulu juga. Kita hidupkan semula budaya yang sudah lama ditinggalkan dengan cara seperti ini,'' katanya.

    Tetapi Mawi sempat menitip pesan, dia memohon pengertian agar tidak ada peminat yang melakukan perkara yang di luar kawalan.

    ``Harapan saya janganlah buat hal-hal yang tak baik. Kalau boleh saya hendak orang layan saya sama macam dulu saja, jangan lebih-lebih sangat.

    ``Kita ke masjid untuk beribadah dan 1 Syawal adalah hari di mana kita sepatutnya lebih merapatkan lagi tali silaturahim sesama jiran.

    ``Saya tak sanggup kalau ada hal-hal tak elok berlaku sebabnya kalau boleh saya mahu teruskan hidup sama macam orang biasa yang lain. Kita sembahyang sama-sama, hormatilah masjid,'' pintanya.

    Insan yang tidak akan dilupakan menjelang hari bahagia nanti sudah tentu tunang tersayang, Nordiana.

    Mawi memberitahu, sepasang baju raya sudah dihadiahkan kepada tunangnya sebagai persiapan Aidilfitri.

    ``Jalan-jalan pada Hari Raya tu, insya-Allah. Saya akan pergi,'' katanya.

    Kala ditanya bila dan masanya, Mawi enggan memberitahu lebih lanjut.

    ``Insya-Allah saya akan pergi,'' katanya berkali-kali.

    Bukan setakat orang tersayang, malah katanya, kalau boleh dia juga ingin menziarah ke rumah semua rakan-rakan yang pernah rapat dengan kehidupan masa lalunya.

    ``Mereka orang-orang yang bersama saya ketika susah dulu. Saya tak akan lupa. Kalau ada masa saya pun akan mengunjungi mereka, insya-Allah,'' katanya.

    1 Syawal bukan sahaja mengundang bahagia. Tetapi sebahagian daripada kita juga kembali terakam peristiwa masa lalu, yang pahit dan maung untuk ditelan. Mawi juga tidak terkecuali. Rasa derita ini ingin dikongsi di ruangan ini.

    ``Hari Raya saja saya paling sedih apabila ziarah kubur saudara-mara. Terutamanya apabila sampai ke pusara abang dan kakak saya yang meninggal dunia.

    ``Sedih memanglah sedih sebab mereka meninggal dunia pada usia yang terlalu muda dan sampai ke hari ini kalau melawat kubur mereka, saya akan menjadi sebak. Setiap kali raya kami mesti ke kubur,'' katanya.

    Mawi pada suatu ketika pernah bercerita tentang masa lalunya yang pahit. Pernah dihina dan didera perasaannya oleh masyarakat gara-gara kekurangan hidup yang dilalui keluarganya.

    Apakah ada kenangan pahit lain pada 1 Syawal yang ingin dikongsi? Kali ini Mawi tidak mahu bercerita panjang lagi tentang kekecewaan masa lalunya.

    ``Tak ada. Cerita benda-benda macam itu buat sakit kepala saya saja, tak payahlah,'' katanya dengan tawa yang pecah.

    Tetapi pernah juga di kepalanya terfikir `dulu orang tak pandang aku, sekarang sudah lain' menjawab segala kejian dan hinaan yang pernah disalutkan kepada dirinya dan keluarga.

    Saturday, October 29, 2005

    Mawi kena rompak malam raya

    (Harian Metro - 29/10/2005)
    Oleh Zaitie Satibi
    am@hmetro.com.my

    Ditahan 2 lelaki bermotosikal ketika pulang dari rumah kawan

    “KETIBAAN Syawal ada kenangan tersendiri dalam hidup saya. Jika orang lain melalui peristiwa manis dan duka, saya pula pernah menempuh saat paling mencemaskan apabila dirompak.

    “Masih segar dalam ingatan peristiwa yang berlaku sebaik pulang beraya dari rumah ke rumah bersama rakan di kampung saya (Felda Taib Andak, Kulai, Johor),” kata juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

    Mawi, 24, berkata setiap kali menjelang Syawal, peristiwa itu pasti dibangkitkan kembali dia dan rakannya yang menjadi mangsa rompakan pada waktu malam itu.

    “Apabila diimbas kembali, kami pasti tertawa sesama sendiri. Harapan kami menabung duit raya diperolehi, lebur apabila ditahan dua lelaki bermotosikal.

    “Mereka mengugut saya dan rakan. Oleh kerana terlalu takut dicederakan, kami menyerahkan semua duit raya. Maklumlah, ketika itu kami masih bersekolah rendah dan tiada kudrat untuk melawan, maka kami turuti saja kemahuan penjenayah itu,” katanya.

    Menurut Mawi, satu lagi kenangan menarik yang tidak dapat dilupakannya apabila terpaksa bekerja pada hari raya pertama di pasar raya Carrefour, Subang Jaya, tiga tahun lalu.

    “Bayangkan, pada hari yang mulia itu sudahlah terpaksa berjauhan dengan keluarga di Johor, kena pula bekerja. Lebih menyedihkan, tiada saudara-mara dapat saya menumpang kasih ketika itu.

    “Hanya rakan sekerja tempat mengadu dan merekalah yang membawa bekal kuih dan juadah raya. Keprihatinan mereka membuatkan kerinduan saya pada keluarga dan kampung halaman terubat,” katanya.

    Dalam temubual itu Mawi sempat mengingatkan anak muda di perantauan supaya sabar menjalankan tugas mereka ketika hari raya.

    “Saya juga pernah melalui pengalaman yang sama apabila berjauhan dengan keluarga pada hari raya. Namun, ini mengajar saya lebih tabah selain lebih menghargai keluarga dan pekerjaan,” katanya.

    Katanya, selepas berhempas-pulas memenuhi undangan pentas sepanjang bulan puasa, dia mampu tersenyum apabila majikannya, Maestro Talent & Management (Maestro) memberi cuti seminggu untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga, saudara-mara dan rakan di kampung.

    “Alhamdulillah, walaupun saya sibuk dengan undangan, saya berpeluang beraya di kampung halaman.

    “Sudah pasti saya tidak ketinggalan menikmati juadah raya paling saya gemari iaitu kerepek. Saya menyukai semua jenis kerepek seperti pisang, rempeyek dan tumpi,” katanya.

    Friday, October 28, 2005

    Penganjur konsert Mawi perlu patuhi peraturan

    (Berita Harian - 28/10/2005)

    KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mahu penganjur konsert Mawi atau Asmawi Ani pada 7 November ini, mematuhi peraturan supaya tidak dijadikan isu oleh pembangkang.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Muhammad Ramli Noh, berkata segala peraturan yang ditetapkan itu membuktikan kerajaan tidak mengabaikan nilai Islam dalam menganjurkan pertunjukan pentas.

    "Kerajaan menyambut baik langkah penganjur membawa Mawi ke Terengganu kerana saya difahamkan juara Akademi Fantasia 3 itu mempunyai imej bersih dalam setiap persembahannya dan sering membawa mesej antidadah.

    "Saya mengharapkan penganjur akan mematuhi setiap garis panduan yang ditetapkan sepanjang konsert itu antaranya ialah pengasingan penonton lelaki dan wanita serta perlakuan penonton ketika menyaksikan persembahan," katanya ketika dihubungi kelmarin.

    Muhammad Ramli berkata, arahan itu bukan bermakna kerajaan mahu campur tangan dalam penganjuran pentas tetapi untuk kebaikan bersama bersesuaian dengan konsep Islam Hadhari yang diamalkan kerajaan negeri.

    "Saya juga mengharapkan penonton yang menyaksikan konsert Mawi dengan mematuhi peraturan pengasingan tempat membabitkan wanita, lelaki dan berkeluarga," katanya.

    Konsert Semurni Aidilfitri bersama Mawi di Stadium Sultan Ismail itu dianjurkan oleh ZNA Dynamic Network dan Kelab Remaja Islam Malaysia (Krim) dengan kerjasama Cosmopoint Sdn Bhd.

    Artis lain yang turut mengadakan persembahan Nash, Amar, Kumpulan Nasyid Haikal dan Kumpulan Saujana.

    Thursday, October 27, 2005

    ALLAH SELAMATKAN KAMU

    (Harian Metro - 27/10/2005)
    Sebahagian dari artikel bertajuk 'ALLAH SELAMATKAN KAMU'

    Suasana pada malam itu diserikan lagi dengan majlis penyerahan kad My Koncho yang pertama kepada juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi. Ia dilakukan penasihat pertama My Koncho, Suroya Selamat merangkap Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara.

    Memandangkan kali pertama datang ke MFS, Suroya amat terkejut. Apa tidaknya, beliau tidak menyangka suasananya begitu meriah. Golongan masyarakat pelbagai kaum sedia berkumpul membanting tulang bersama termasuk Orang Asli dan pelancong asing. Katanya, tidak sangka My Koncho mampu melakukan aktiviti besar serta menarik orang ramai menjayakan program ini sehingga berjaya.

    Bagi Mawi pula, ini adalah aktiviti tidak rasminya dan anak muda yang semakin diminati ramai ini nyata amat senang di MFS. Walaupun sering berkunjung ke sini tetapi malam Jumaat lalu adalah kali pertama Mawi naik ke pentas.

    Selain itu, dia (Mawi) juga sempat bergambar dengan peserta yang mengacau dodol di setiap kawah dan bersahur bersama mereka. Inilah tanda Mawi sanggup turun padang seperti rakannya yang lain.

    Bukan saja Mawi memegang kad My Koncho, bekas penyanyi kumpulan XPDC, Ali yang juga berketurunan Jawa dan petah berbahasa Jawa termasuk Herman Tino turut sama. Dalam majlis sama, Ali yang datang bersahur memperkenalkan saya ahli kumpulan barunya.

    Saya sememangnya mengenali mereka dan yakin persembahan kali ini amat berbeza dan lebih mantap. Turut memeriahkan program itu apabila peserta Personaliti Celcom Harian Metro (PCHM) hadir membantu di bahagian pendaftaran dan pembungkusan.

    Rata-rata mereka seronok dan mengakui inilah kali pertama merasai nikmatnya mengacau dodol secara gotong-royong. Kehadiran Syira, Adzlin, Fard dan tenaga pengajar yang lain begitu bermakna.

    Mawi datang tepat pada masanya. Ketika itu, kami baru memulakan majlis memotong pulut kuning sempena ulang tahun MFS. Bersamanya Suroya Selamat, Tuan Ibrahim, Tuan Sheriff dan penasihat MFS. Pada majlis ini, Anjang Aki sendiri meminta Mawi membacakan doa selamat dan menyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ beramai-ramai.

    Bintang AF3 meriahkan majlis berbuka puasa anak yatim

    (Berita Harian - 27/10/2005)
    Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


    KENANGAN: Bintang AF3 bergambar bersama tetamu yang diraikan.

    KEMUNCULAN bintang Akademi Fantasia yang hangat ketika ini Asmawi Ani atau Mawi ,24, di Royal 2 Ballroom, Palace of The Golden Horses (POTGH) meskipun seketika memberikan sekelumit keceriaan di hati tetamu kecil daripada Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah atau Ractar.

    Kenangan indah itu pasti tidak dilupakan 43 penghuni Ractar yang diraikan pada majlis berbuka puasa anjuran hotel bertaraf lima bintang itu. Selain Mawi, majlis itu turut diserikan dengan persembahan empat lagi bintang AF yang lain iaitu Ekin, Elliza, Azlif dan Reza.

    Kehadiran pengacara sensasi Azwan Ali sebagai pengerusi majlis pada malam itu berjaya mencuit hati insan malang yang tidak memiliki seseorang yang bergelar ibu mahupun bapa. Meskipun hati dirobek pilu lantaran menyambut Syawal tanpa ibu atau bapa di sisi, mereka masih mampu tersenyum dan ketawa sambil menikmati juadah enak yang disediakan POTGH.

    Pengurus Besar POTGH, Leo Kusher berkata, pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib yang melanda anak-anak yatim. Justeru, pihaknya tidak meminggirkan apa saja aktiviti membabitkan kebajikan.

    “Pihak kami akan sentiasa menganjurkan program kebajikan bagi setiap perayaan. Majlis berbuka puasa ini diadakan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Tidak lupa juga perayaan lain seperti Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

    “Setiap perayaan kami akan mengadakan satu majlis seperti ini. POTGH berasa bertanggungjawab untuk memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim ini biarpun dengan cara sederhana,” katanya dalam ucapan sebelum majlis berbuka

    Tambah Leo, pemilihan Mawi dan bintang AF lain bagi menyerikan majlis yang turut mendapat kerjasama Maestro Talent dan Nestle bersandarkan fenomena yang melanda peminat industri hiburan tanah air terhadap bintang AF.

    Dalam majlis itu, Mawi hanya sempat mendendangkan sebuah lagu Nour El Ain kerana waktu tidak mengizinkan anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu untuk berada lebih lama lagi. Namun, terpancar kegembiraan di wajah penghuni RACTR dapat beramah mesra dan bersalaman dengan Mawi walaupun sebentar saja.

    Bagaimanapun, kehampaan itu sedikit terubat apabila bintang AF yang hadir pada petang itu juga turut menghiburkan mereka. Reza memilih lagu raya daripada Allahyarham Sudirman Arshad, berjudul Selamat Hari Raya.

    Sementara Azliff memilih lagu berentak perlahan Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta. Elliza yang manis berbaju kurung biru memilih lagu Tiada Lagi Tangisan milik Aishah untuk didendangkan kepada tetamu pada hari itu. Si kecil molek Ekin pula memilih lagu milik Anita Sarawak.

    Bagi Reza, tahun pertama berpuasa dan beraya sebagai artis memberi pengalaman berbeza berbanding tahun lalu.

    “Tahun ini saya berasa gembira kerana dapat berbuka bersama anak-anak yatim dan berhari raya bersama peminat. Bagaimanapun dari segi persiapan, kami sekeluarga lebih gemar bersederhana,” katanya yang akan beraya di Sibu, Sarawak tahun ini.

    Sementara itu, bagi penyanyi genit Elliza pula dia seronok dapat memberikan sedikit sinar kegembiraan kepada anak-anak yatim serta dapat merasai penderitaan yang ditanggung mereka.

    “Ini adalah salah satu tanggungjawab insan seni bukan sekadar menghibur. Hati mereka perlu kita jaga kerana mereka kurang mendapat belaian kasih sayang seorang insan bergelar ibu atau bapa,” katanya.

    Menyentuh mengenai persiapan raya pula, bintang kelahiran Kuala Kangsar itu belum lagi membuat sebarang persiapan. Ia hanya akan dilakukan setelah dia pulang ke kampung halamannya kelak.

    Cookie named after Mawi

    (The Star - 27/10/2005)

    IPOH: The biscuits sold by Rosli Mansor and his wife Hazizah Idim received “glamorous” treatment when artistes like Erra Fazira bought cookies from them two years ago.

    Today, the touch of “glamour” comes in a different form.

    For this Hari Raya, the couple have named one of the items Gelora Mawi – after the winner of Akademi Fantasia 3.

    Rosli, 52, said the biscuit, topped with cashew nuts, was the latest addition to his line of cookies sold at the Megoplex shopping mall in Medan Gopeng here.

    “We also have Snow Flakes and Chocolate Apollo Carrot cookies for our customers this Raya,” he said yesterday.


    ‘GLAMOUR’ BISCUITS: Rosli speaking to customers looking at Gelora Mawi cookies at his stall at the Megoplex shopping mall in Medan Gopeng, Ipoh, Wednesday.

    Rosli, who helps Hazizah at the stall in his free time, said their business picked up after some of the popular stars began buying cookies from them.

    “Erra first visited us and ordered some hantaran (wedding gift) biscuits from us,” he said.

    Rosli added that others included veteran actress Datin Nor Azizah, actress Zarina Zainuddin, actress-cum-singer Linda Rafar and actor-cum-television host Jalaluddin Hasan.

    Hazizah, 44, said some of her customers asked for the new cookies while others stuck to the traditional ones.

    She said some of the ingredients for the Chocolate Apollo Carrot cookies were imported from Japan.

    “So we only have a limited supply of the carrot cookies,” she said.

    She added that the Ipoh white coffee biscuit named Chocolate Angel, which was introduced last year, remained popular among her customers.

    Zaharah Mad Junid, 48, who was shopping for Hari Raya cookies, said she liked the biscuits sold at the stall and that the traditional samperit cookies were among her favourites.

    “I would buy the cookies here on normal days and of course, for Hari Raya, they are a must for my family,” she added.

    Wednesday, October 26, 2005

    Mawi: Kelantan sudah, kini konsert di T'ganu pula

    (mSTAR Online - 26/10/2005)

    KUALA TERENGGANU: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi buat pertama kalinya akan berada di Terengganu untuk menjayakan Konsert Semurni Aidilfitri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini pada 7 Nov depan.

    Pengarah konsert anjuran bersama Cosmopoint Sdn Bhd, Dynamic Network dan Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM), Ahmad Shukri Mansor berkata konsep konsert itu adalah berbentuk kekeluargaan dan penonton lelaki serta wanita akan diasingkan kecuali yang berkeluarga.


    Mawi berzanji... Ketika majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur yang dihadiri Agong serta Permaisuri (Fail Foto: The Star)

    "Kita mahu objektif konsert itu tercapai. Kita tidak mahu nama konsert iaitu Semurni Aidilfitri dicemari dan melanggar syariat serta adat ketimuran," katanya di sini hari ini.

    Pada malam tersebut, Mawi akan membawa tujuh buah lagu. Antara artis lain yang akan menjayakan konsert itu ialah Nash, Amar (artis nasyid solo), kumpulan nasyid Haikal dan kumpulan nasyid Saujana.

    Ahmad Shukri berkata mereka yang berminat menyaksikan konsert tersebut dikehendaki membeli sekotak kopi Al-Habbatus Sauda' dengan harga RM20 yang akan dijual mulai 27 Okt7 Nov ini.

    Kopi berkenaan akan mula dijual di beberapa lokasi iaitu di kampus Cosmopoint Kuala Terengganu mulai 2731 Okt, pusat membelibelah Sabasun dan Koperasi Bekas Polis Terengganu di bangunan Arked Mara di sini, pada 16 Nov.

    "Dengan pembelian sekotak kopi, penonton akan mendapat sekeping pas masuk untuk seorang dewasa atau dua keping bagi kanak-kanak berusia antara tiga dan 12 tahun.

    "Pada hari konsert, orang ramai boleh membeli kopi ini di pintu masuk utama stadium untuk mendapatkan pas masuk. Bagi mereka yang membeli kopi di kampus Cosmopoint (2731 Okt) akan diberikan potongan RM3," katanya.

    Beliau berkata sebahagian kutipan daripada jualan tiket konsert tersebut akan disumbangkan bagi membantu keluarga ibu-ibu tunggal yang miskin di negeri ini.

    Ahmad Shukri berkata orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai konsert itu boleh menghubunginya di talian 013-9566566 atau Zaizi di talian 012-2224499. BERNAMA

    Maaf Mawi sibuk!

    (Harian Metro - 26/10/2005)
    Oleh Rudy Imran Shamsudin dan Norhadiani Baharom
    am@hmetro.com.my

    Banyak perkara dirancang terpaksa ditunda, dibatalkan

    OLEH kerana sibuk memenuhi undangan dan aktiviti seni, banyak perkara yang dirancang membabitkan kerjaya seni bintang Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani, 24 atau Mawi terpaksa ditunda atau dibatalkan.

    Sebagai contoh album sulungnya, Yang Tercinta dijadualkan memasuki pasaran pada akhir bulan ini terpaksa ditunda kerana penerbitnya, M Nasir tidak berpuas hati dengan mutu tiga lagi lagu yang sudah dirakamkan sebelum ini.

    Perkara itu berlaku kerana kebanyakan proses rakaman dihasilkan dalam keadaan tergesa-gesa memandangkan sepanjang Ramadan ini Mawi terikat dengan pelbagai aktiviti yang sudah diatur lebih awal.

    Ketua Pegawai Operasi Pengurusan Bakat Maestro, Freddie Fernandez, berkata dengan pelbagai komitmen padat dilakukan Mawi sepanjang Ramadan ternyata memberi kesan pada mutu suaranya kebelakangan ini.

    “Untuk album sulung pertama, Mawi sebenarnya perlu menjalani rakaman untuk tiga lagi lagu iaitu Jiwa, Cinta dan Ke Pintumu. Berikutan masalah suara dihadapinya, ketiga-tiga lagu ciptaan M Nasir itu terpaksa dirakamkan berulang kali.

    “Sementara rakaman baki lagu ciptaan Adnan Abu Hassan, Ajai dan Catt Ruffedge sudah selesai,” katanya.

    Untuk memastikan kesihatan Mawi terjamin, pihak Maestro sebelum ini pernah menolak tawaran Tayangan Unggul yang mahu menggandingkan Mawi bersama Ning Baizura untuk filem muzikal Diva.

    Tawaran menarik itu terpaksa ditolak dengan alasan jika Mawi berlakon dia perlu memberikan tumpuan penuh seperti menjalani latihan selama berbulan-bulan dan sayangnya dia tidak punya banyak masa.

    Selain Mawi turut disenaraikan membintangi filem itu adalah Ari Wibowo.

    Sementara itu berkaitan penubuhan Radio Felda, menurut Mawi hal itu sudah pun diutarakan kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Dr Yusof Noor.

    “Apa yang saya difahamkan pihak Felda merancang bukan menubuhkan siaran radio sebaliknya rancangan televisyen. Ia jelas paparan visual lebih berkesan berbanding mendengar suara saja.

    “Pihak Maestro sendiri tidak keberatan memberi peluang kepada saya membabitkan diri dalam program itu.

    “Mungkin saya akan diberikan satu jam muncul dalam rancangan diterbitkan bagi warga Felda. Saya berbesar hati dan tidak keberatan menjayakan rancangan bakal diterbitkan,” tegasnya.

    Dalam perkembangan lain sebagai Duta Eon, Mawi diberikan kereta Proton Savvy dengan nombor plat MAW1100 bagi memudahkan dia melaksanakan tugas sebagai duta kepada syarikat pengeluar dan pengedar kereta tempatan itu.

    Namun, jelas Pengurus Besar Perniagaan Proton, Datuk Abdul Razak Dawood, pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum (MoU) bersama bintang itu dan syarikat pengurusannya Maestro Talent, kereta itu hanya boleh digunakan Mawi dalam tempoh kontraknya selama setahun menjadi duta Eon.

    “Kita belum lagi memutuskan untuk menyerahkan terus kereta Savvy itu kepadanya. Kita lihat dulu perkembangannya sepanjang tempoh kontrak. Tidak mustahil selepas ini kereta Savvy itu menjadi milik Mawi sepenuhnya,” katanya.

    Sebelah petang sebelum acara bermula, Mawi turut menghadiri majlis menandatangani dan memorandum sempena pelantikannya selaku duta jenama telefon bimbit terulung keluaran Malaysia, M.Mobile di Hotel Hilton, Sentral, Kuala Lumpur.

    Dia yang mengikat kontrak selama setahun akan terbabit dengan pelbagai aktiviti promosi dan penggambaran iklan komersil awal tahun depan.

    Sebagai persiapan menggalas tanggungjawab sebagai duta serta jurucakap produk yang memerlukan keyakinan dan pengetahuan, Mawi berusaha memantapkan komunikasi dan penampilannya.

    “Setiap hari saya belajar perkara baru dalam hidup. Melalui pengalaman ini sedikit sebanyak mematangkan saya. Pun begitu tak dinafikan terlalu banyak kelemahan khususnya dari segi komunikasi.

    “Saya harap dapat mempertingkatkannya dalam tempoh terdekat ini agar mampu meyakinkan orang ramai mengenai kewibawaan pelantikan saya sebagai duta.

    “Jika keadaan memaksa, saya tidak keberatan melantik seorang perunding imej yang boleh membentuk penampilan dan komunikasi. Kesempatan ini, ingin saya ucapkan terima kasih kepada pihak M.Mobile kerana memilih saya sebagai duta produk mereka,” katanya.

    Sementara Ketua Pegawai Operasi M.Mobile, Zainudin Mohd Salleh, berkata pemilihan Mawi cukup bertepatan pada saatnya apabila telefon bimbit ini akan dilancarkan dalam masa sebulan dari sekarang.

    “Banyak nama artis popular yang kami senaraikan, namun nampaknya fenomena Mawi mengatasi segala. Sebagai pengeluar telefon bimbit pertama Malaysia yang berusaha memperkenal produk sulung kami, memang tak dinafikan kami memerlukan seorang ikon yang boleh membantu mengangkat produk ini.

    “Bersesuaian produk tempatan, kehadiran artis tanah air seperti Mawi dapat menarik masyarakat Malaysia untuk menghargai barangan buatan negara,” katanya.

    ChatterzClub jalin kemesraan

    (Berita Harian - 26/10/2005)
    Oleh Zul Husni Abdul Hamid

    Majlis berbuka puasa saluran interaktif ChatterzClub@Astro menjadi agenda yang ditunggu setiap ahli

    DUA tahun lalu, ia hanya bermula sebagai percubaan. Namun reaksi diterima adalah di luar dugaan, memberi keyakinan untuk menganjurkan acara yang lebih besar. Sejak itu, ia menjadi acara tahunan setiap kali musim terbaru AF berakhir.

    Majlis Berbuka Puasa Bersama Bintang AF yang dianjurkan komuniti terbesar dalam saluran interaktif, ChatterzClub@Astro menjadi antara agenda yang ditunggu setiap ahlinya.

    Ketika musim pertama berakhir, acara itu diadakan di sebuah restoran di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Sambutannya memberangsangkan apabila 100 chatters menyertai majlis itu.

    Pada musim kedua tahun lalu, majlis berbuka puasa yang berlangsung di Holiday Villa, Subang Jaya berjaya menghimpunkan lebih 350 chatters dari seluruh negara.

    “Tahun ini kami menjangkakan penyertaan lebih 1,000 ahli dan ternyata ia mencapai sasaran apabila lebih 1,000 yang mendaftar,” kata Presiden ChatterzClub@Astro, Mohd Jaafar Osman atau Stone.

    Namun, impian untuk menyaksikan kesemua ahli yang mendaftar berkumpul dan berkenalan antara satu sama lain tidak kesampaian. Sabtu lalu, Majlis Berbuka Puasa Bersama Bintang AF3 yang diadakan di Saloma Bistro, Jalan Ampang hanya disertai lebih 450 ahli saja.

    “Kami memohon maaf kerana tidak dapat mengumpulkan semua disebabkan lokasi yang terhad. Hanya jumlah ini saja yang termampu dan kami berterima kasih kerana mendapat kerjasama yang cukup baik daripada pelbagai pihak,” katanya.

    Antara lain, objektif acara itu adalah untuk mendekatkan bintang AF3 dengan peminat, di samping memberi peluang kepada ahli berkenalan dan bertukar pendapat sesama chatters di saluran 15 dan 16, Astro.

    “Perancangan acara ini berlaku terlalu pantas. Dalam masa tiga minggu saja kami memaklumkan mengenainya, walaupun lokasi dan bayaran belum ditetapkan, sudah 300 ahli menghubungi dan bersetuju untuk menyertai.

    “Alhamdulillah, sebelum penyertaan ditutup lebih 1,000 ahli mendaftar dan jumlah ini adalah sesuatu yang membanggakan,” katanya.

    Majlis Berbuka Puasa Bersama Bintang AF3 adalah antara acara terbesar yang dianjurkan tahun ini, manakala Disember nanti mereka merancang sebuah lagi acara sebagai penghargaan terhadap sokongan yang diberikan.

    Sebelum ini, kelab berkenaan pernah menganjurkan acara seperti pertandingan boling, futsal dan dua bulan lalu, Hari Keluarga ChatterzClub@Astro di Desa Waterpark.

    Hadir sama pada acara itu Ketua Rangkaian Astro, Shah Faizal Hussein, Ketua Program Melayu Astro, Rozina Aziz dan tenaga pengajar AF3, Linda Jasmine.

    Sebagai santapan selepas selesai majlis berbuka puasa, tetamu yang datang dihiburkan dengan persembahan 12 bintang AF3. Elliza membawakan lagu popular Aishah, Tiada Lagi Tangisan manakala juara AF3, Mawi mencuri perhatian dengan dua lagu, Nour El Ain dan Seroja.

    Kerdipan cahaya kamera tidak berhenti berkelip apabila penyanyi itu mengambil tempat duduk. Situasi itu tentunya membawa suasana yang kurang selesa, apatah lagi untuk menikmati waktu berbuka dengan tenang.

    Namun, itu harga yang perlu dibayar penyanyi yang kini memuncak dengan lagu Aduh Saliha. Sayang Mawi tidak dapat berada lama di situ kerana selesai persembahan, dia terpaksa pergi kerana perlu memenuhi jemputan lain.

    Tanpa Mawi, suasana ceria itu tidak luntur. Pasangan yang digosipkan bercinta Akma dan Felix mengambil alih pentas membawakan lagu yang pernah dipopularkan Ramlah Ram, Hari Raya Hari Bahagia.

    Kefli hadir dengan lagu Berhenti Berharap, manakala Amylea menyanyikan lagu popularnya, Ku Berserah. Suasana riang yang tercipta itu disemarakkan lagi apabila Aidil membawakan lagu Balik Kampung.

    Ekin dan Amy berpadu suara mengalunkan Suasana Riang Di Hari Raya, disusuli Yazer yang memberi nafas baru dengan lagu Menjelang Hari Raya. Marsha menghiburkan dengan lagu Untuk Terakhir Kali sebelum semua mengakhiri persembahan dengan lagu Syawal Telah Menjelma.

    Dua lagi bintang AF3, Idayu tidak dapat hadir manakala Fuad kini berada di Dublin, Ireland kerana melanjutkan pelajaran.

    Produk Baru: Canon MVX 1Si terkecil, paling ringan di dunia

    (Berita Harian - 26/10/2005)


    RINGAN DAN KECIL: Mawi bersama produk baru Canon MVX1.

    CANON Marketing (M) Sdn Bhd memperkenalkan kamera video baru, Canon MVX 1Si, paling ringin dan kecil di dunia dalam kategori dua megapiksel.

    Memiliki ciri boleh zoom optikal 10x dan zoom digital 200x, MVX 1si dijangka dapat memenuhi kehendak pengguna kerana mudah digunakan, ada gaya dan berteknologi terkini.

    Dengan resolusi CCD 2.2 megapiksel, lensanya mampu meminimumkan ‘aberrasi kromatik’ atau penyerakan cahaya ungu supaya pengguna dapat menikmati imej bebas gangguan tanpa perlu membazirkan wang bagi peralatan profesional.

    Ia juga dilengkap penapis warna RGB yang digabungkan dengan teknologi khusus Canon iaitu cip pemproses DIGIC DV, berperanan menghasilkan kualiti imej mengagumkan dan warna yang tepat sama ada pegun atau video.

    MVX 1Si berharga RM2,799, dilancarkan sejajar dengan lantikan juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi sebagai duta Canon yang baru.

    Walaupun kecil dan ringan, pengguna tetap dapat merakam dengan stabil secara berterusan kerana kamera canggih ini diperkuat dengan penstabil imej bermutu tinggi terbina dalam.

    Skrin LCD bersaiz 2.5 inci berupaya memberi paparan jelas dengan salutan anti-pantulan untuk menampilkan warna imej yang tepat, begitu juga mod resolusi tinggi 16:9 skrin lebar untuk mencipta satu suasana tontonan seperti di panggung wayang atau televisyen berskrin lebar.

    Ciri butang ‘Print/Share’ dan lampu belakang LCD pada monitor menjadikannya lebih mudah untuk mencetak atau memindah turun imej dengan hanya menekan satu butang.

    Mawi jayakan Konsert Semurni Aidilfitri di Terengganu 7 November

    (Utusan Malaysia - 26/10/2005)
    Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

    KUALA TERENGGANU 25 Okt. - Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi akan menjayakan Konsert Semurni Aidilfitri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, pada 7 November ini.

    Konsert yang pertama kali membabitkan Mawi di Terengganu itu dianjurkan oleh Cosmopoint Sdn. Bhd., Dynamic Network dan Kelab Remaja Islam Malaysia (KRIM).

    Sebahagian kutipan dari jualan tiket konsert itu akan disumbangkan bagi membantu ibu tunggal miskin di negeri ini.

    Pengarah konsert tersebut, Ahmad Shukri Mansor berkata, sebagai penyanyi berkeperibadian tinggi, persembahan Mawi buat pertama kali di Terengganu amat dinanti-nantikan oleh peminatnya.

    ``Konsep konsert yang bakal kita diadakan ini berbentuk kekeluargaan dan ia selaras dengan sambutan Aidilfitri. Penonton lelaki dan perempuan akan diasingkan kecuali mereka yang telah berkeluarga.

    ``Langkah itu penting kerana kita mahu objektif konsert ini tercapai sepenuhnya. Kita tidak mahu nama konsert iaitu semurni Aidilfitri dicemari dan melanggar syariat dan adat ketimuran,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Ahmad Shukri berkata, penonton yang akan menyaksikan konsert itu digalakkan berpakaian kemas atau pakaian menggambarkan suasana Aidilfitri.

    ``Selain Mawi, antara artis lain yang akan terlibat dalam konsert itu ialah Nash, Amar (artis nasyid solo), kumpulan nasyid Haikal dan kumpulan nasyid Saujana.

    ``Pada malam itu, Mawi akan membawa tujuh buah lagu. Kita akan memastikan pertunjukan malam itu menggunakan sistem bunyi canggih supaya penonton dapat mendengar setiap lagu yang disampaikan dengan jelas,'' katanya.

    Mengenai tiket, Ahmad Shukri berkata, mereka yang berminat untuk menyaksikan konsert itu dikehendaki membeli sekotak kopi `Al-Habbatus Sauda' berharga RM20 dan akan dijual mulai 27 Oktober sehingga 7 November.

    Menurut beliau, dengan pembelian sekotak kopi itu, penonton mendapat sekeping pas masuk untuk seorang dewasa atau dua keping bagi kanak-kanak berusia antara tiga sehingga 12 tahun.

    Kopi ini akan mula dijual di beberapa lokasi iaitu di kampus Cosmopoint Kuala Terengganu (sebelah bank RHB) mulai 27-31 Oktober, pusat membeli belah Sabasun dan Koperasi Bekas Polis Terengganu di bangunan Arked Mara di sini pada 1 sehingga 6 November.

    ``Pada hari konsert, orang ramai boleh membeli kopi itu di pintu masuk utama stadium untuk mendapatkan pas masuk dan mereka dinasihatkan supaya mendapatkan pas masuk lebih awal.

    ``Kepada mereka yang membeli kopi di kampus Cosmopoint mulai 27 sehingga 31 Oktober akan diberikan potongan RM3,'' katanya.

    Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut mengenai konsert tersebut boleh menghubungi Ahmad Shukri di talian 013-9566566 atau 012- 2224499 (Zaizi).

    MAWIIOO hadiah peminat untuk Mawi

    (Utusan Malaysia - 26/10/2005)
    Oleh: ABD. AZIZ ITAR


    MAWI dan Nor Huzrina Hussein di samping kereta Proton Savvy MAWIIOO selepas Majlis Menandatangi Perjanjian Bersama EON/Mawi di Shah Alam, Selangor malam kelmarin.

    SEJAK muncul juara Akademi Fantasia 3 (AF3) pada 6 Ogos lalu, rezeki Mawi dalam bidang nyanyian datang mencurah-curah. Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini semakin banyak menerima undangan menyanyi, dilantik sebagai duta pelbagai produk dan juga hadiah-hadiah sumbangan daripada para peminatnya.

    Terbaru seorang peminat fanatik iaitu Nor Huzrina Hussein, 30, telah menghadiahkan nombor plat pendaftaran keretanya MAW1100 kepada Mawi.

    Nombor plat itu telah pun didaftarkan pada kereta Proton Savvy berwarna hitam yang akan digunakan oleh Mawi selepas dia dilantik sebagai duta Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON Berhad) di Shah Alam, Selangor malam kelmarin.

    Menurut Nor Huzrina, dia menghadiahkan plat keretanya itu (yang kelihatan ejaannya seperti MAWI IOO) kerana terlalu meminati penyanyi yang berusia 24 tahun itu.

    "Sebenarnya, nombor plat itu saya gunakan pada kereta Proton Wira saya sejak dua tahun lalu yang didaftarkan di Melaka.

    "Saya memang bercadang mahu menghadiahkan Mawi nombor plat kereta saya itu kepadanya selepas dia jadi juara AF3.

    "Kebetulan saya pula amat meminati Mawi dan merasakan dia adalah orang yang paling layak menggunakan nombor plat itu.

    "Ini kerana, nombor 100 pada plat itu juga kebetulan nombor yang digunakan oleh Mawi sewaktu dia menyertai uji bakat AF3," katanya sewaktu ditemui sejurus selepas Mawi dilantik sebagai duta EON Berhad.

    Sementara itu, Mawi atau Asmawi Ani yang ditemui pada majlis itu merasa terkejut dan terharu dengan pemberian istimewa daripada peminat setianya itu.

    "Saya pun tak tahu nak kata apa. Terima kasihlah. Selama ini ramai peminat yang kasi saya macam-macam hadiah tapi yang ini agak special sikit,'' komennya ringkas.

    Ternyata populariti mendadak yang diraih oleh Mawi menyebabkan dia menjadi pilihan banyak syarikat yang mahu menjadikannya sebagai duta produk.

    Dalam tempoh tidak sampai dua minggu ini, Mawi sudahpun dilantik menjadi duta bagi tiga produk yang berbeza iaitu telefon bimbit M.Mobile, video dan kamera digital Canon dan terbaru, EON Berhad.

    Pengarah Urusan EON Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir berkata, pelantikan Mawi sebagai duta EON Berhad itu diharap dapat membantu menyalurkan mesej-mesej berguna kepada para pelanggannya.

    "Penampilan Mawi yang positif menyebabkannya menjadi ikon kepada golongan muda dalam dunia hiburan tempatan.

    "EON akan menggunakan khidmat dan populariti Mawi itu supaya dapat memberi kesedaran kepada para pelanggan kami, berhati-hati di jalan raya.

    "Mawi akan membantu EON menjalankan kempen keselamatan jalan raya sempena musim cuti perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri ini,'' katanya pada majlis tersebut.

    Sebagai duta, kata Syed Hisham, kereta Proton Savvy itu adalah untuk kegunaan Mawi bagi tempoh setahun.

    "Mawi akan menggunakan kereta itu bagi memudahkan aktiviti-aktiviti seninya selain mempromosikan produk-produk kami.

    "Mawi akan terbabit dalam aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan oleh EON Berhad sepanjang setahun kontraknya bersama kami," ujar Syed Hisham.

    Selepas pelantikan Mawi itu, satu Kempen Keselamatan Jalan Raya turut dilancarkan oleh Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Suriet Singh.

    Selain duta, Mawi juga akan muncul menerusi iklan EON Berhad dengan menyampaikan lagu Hari Raya yang akan mula disiarkan di televisyen dan radio tempatan mulai hari ini (26 Oktober).

    Pada majlis itu, EON Berhad turut meraikan kira-kira 100 anak-anak yatim dari Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia, Rumah Silaturrahim Nurul Qanaah, Asrama Baitul Ummah dan Anak-Anak Yatim Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada satu majlis berbuka puasa.

    Selain itu, EON Berhad turut menyumbangkan cek bernilai RM10,000 bagi mengisi Tabung Thasaleemia Malaysia.

    Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi EON Berhad, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Saleh Sulong.

    Pada sebelah petang hari yang sama, Mawi turut dilantik menjadi duta telefon bimbit M.Mobile selain pelantikkannya sebagai duta video dan kamera digital Canon pada minggu lalu.

    Tuesday, October 25, 2005

    M.Mobile keluar telefon bimbit Januari tahun depan

    (Harian Metro - 25/10/2005)

    SYARIKAT pengeluar telefon bimbit tempatan, M.Mobile Sdn Bhd (M.Mobile) akan memperkenalkan model pertamanya Januari tahun depan bagi pasaran golongan pertengahan hasil kepakaran luar dan jurutera tempatan.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainudin Mohd Salleh, berkata selain model pertama itu, syarikat akan memperkenalkan enam model lain sepanjang 2006 yang akan memenuhi permintaan cita rasa pelanggan dan tahap pendapatan.

    “Bagi mengeluarkan model telefon ini, kami sudah membelanjakan kira-kira RM10 juta setakat ini dan jumlah itu akan bertambah sehingga RM40 juta menjelang tahun depan.

    “Kami menjangkakan model ini dapat dijual sehingga 850,000 unit di seluruh dunia pada tahun pertama pengenalannya dengan 350,000 unit adalah untuk pasaran tempatan,” katanya pada sidang media selepas menandatangani perjanjian kerjasama dengan VC Communications Sdn Bhd (VC Communications) dan Kosmo Technology Industrial Berhad (Kosmo Technology) di Kuala Lumpur, semalam.

    Syarikat itu juga melantik Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi sebagai duta jenama rasmi M.Mobile bagi mempromosi jenama M.Mobile.

    Pada majlis itu, M. Mobile diwakili Zainudin manakala VC Communications oleh Ketua Pegawai Operasinya, Zain Shah Mohamed Sha dan Kosmo Technology diwakili Pengarah Urusannya, Norhamzah Nordin manakala Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Freddie Fernandez mewakili syarikatnya.

    Majlis disaksikan Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

    Mawi pelaris bisnes raya

    (Harian Metro - 25/10/2005 - Edisi KL)
    Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
    ffarlin@hmetro.com.my

    KUALA LUMPUR: Populariti pemenang program realiti Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani, 24, atau Mawi bukan hanya dalam nyanyian malah namanya digunakan sebagai pelaris dalam perniagaan.

    Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih sinonim dengan panggilan Jalan TAR di kalangan warga kota, tidak terkecuali daripada ‘demam’ Mawi.

    Tinjauan Harian Metro mendapati kawasan pusat beli-belah yang terkenal sebagai ‘one-stop centre’ itu menjual pelbagai barangan yang menggunakan nama Mawi.

    Terdapat pelbagai jenis tudung dari jenis kain bawal dan kain untuk membuat baju kurung dinamakan sebagai ‘Tudung Mawi’ atau ‘Kain Mawi’ bagi memikat orang ramai menjelang Aidilfitri.

    Selain itu, gelaran ‘World’ yang dibawa penyanyi itu digunakan bagi melariskan pelbagai barangan termasuk makanan.

    Pembantu gerai kain, Zulkiflie Mat Isa, 24, berkata berikutan populariti penyanyi dari Johor itu, gerainya juga tidak ketinggalan menjual tudung Mawi.

    Katanya, walaupun tudung berkenaan tidak mempunyai banyak beza berbanding tudung jenis kain bawal seperti tahun lalu, penggunaan nama Mawi bagi menarik pembeli.

    “Ramai yang meminati Mawi, jadi kita namakan beberapa tudung dengan namanya barangan yang dijual laris,” katanya di sini, semalam.

    Zulkiflie berkata, jalan berkenaan memang menjadi tumpuan orang ramai terutama ketika musim Aidilfitri.

    “Selalunya tempat ini akan mendapat lebih tumpuan dan sesak dengan pembeli sepanjang tempoh dua minggu sebelum Aidilfitri,” katanya.

    Suri rumah, Asiah Hamzah, 53, berkata dia sering berkunjung ke Jalan TAR bagi membeli barangan seperti bunga, kain dan tudung menjelang Aidilfitri.

    “Di sini pelbagai barangan boleh diperoleh malah kita boleh tawar menawar dan harganya murah,” katanya.

    Suri rumah, Che Limah Che Cob, 48, berkata dia berkunjung ke Jalan TAR dari tempat tinggalnya di Bukit Damansara bagi mendapatkan bunga hiasan untuk menceriakan suasana rumah serta baju kurung dan Melayu untuk anak-anaknya.

    “Saya suka membeli barangan di sini kerana ada banyak pilihan dan harganya berpatutan,” katanya.

    DJ radio Singapura perlekeh Mawi

    (Harian Metro - 25/10/2005 - Edisi Selatan)

    JOHOR BAHRU: Seorang juruhebah sebuah stesen radio Singapura mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan peminat penyanyi popular Asmawi Ani atau Mawi apabila dia mempertikaikan kebolehan dan kemenangan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu.

    Tindakan tidak profesional juruhebah terbabit menggemparkan peminat penyanyi itu yang mendengar siaran stesen radio berkenaan, baru-baru ini.

    Seorang pendengar, Mas Ayu Jamil, 29, berkata, dia terkejut dan kesal dengan pendapat yang dikeluarkan juruhebah terbabit sejurus selepas diminta memberi komen mengenai Mawi oleh rakan setugasnya yang akan bertukar waktu bertugas di konti stesen radio itu kira-kira jam 11.30 malam, Isnin lalu.

    “Saya tidak menyangka juruhebah itu berani mengeluarkan pendapat negatif mengenai Mawi secara terbuka ketika ke udara. Tindakannya menjatuhkan imej Mawi sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pendengar.

    “Juruhebah berkenaan mempertikaikan kemenangan dan kebolehan Mawi menyanyi dengan mengecilkan bakat penyanyi berkenaan selepas memutar lagu Aduh Saleha.

    “Tindakan tidak profesional yang dilakukan juruhebah itu seolah-olah tidak mematuhi etika kerjayanya yang sepatutnya berfikir apa yang perlu diperkatakan bagi memastikan segala kenyataan yang dikeluarkan tidak menggores hati mana-mana pihak terutama pendengar dari negara ini,” katanya.

    Mas Ayu berkata, bermula dengan gurauan antara juruhebah itu, pertikaian kemenangan Mawi turut menjadi bahan bualan termasuklah mengeluarkan kenyataan “.....saya rasa Mawi bukan menyanyi tapi menjerit”, selepas seorang juruhebah wanita mengatakan penyanyi berkenaan mempunyai suara lelaki Melayu yang berpotensi.

    Selain itu, bakat serta penampilan Mawi turut dibuat perbandingan dengan penyanyi di negara itu kononnya kebolehan Mawi tidak setanding dengan kebolehan seorang penyanyi yang sedang mengukir nama di negara itu.

    Tambahnya lagi, lirik lagu ‘Aduh Saliha’ turut ditukar dan dinyanyikan semula seperti mengejek bakat Mawi.

    “Juruhebah berkenaan sepatutnya beringat sebelum mengeluarkan pendapat, dengan menapis setiap isu yang ingin diperkatakan bagi menjaga imej radio berkenaan,” katanya.

    Tambahnya lagi, dia berharap pihak pengurusan radio berkenaan dapat memberi teguran kepada juruhebah terbabit supaya lebih sopan mengeluarkan pendapat secara lebih profesional.

    “Mawi penyanyi berbakat besar dan dia mendapat pujian serta penghormatan daripada pelbagai pihak.

    “Pembabitannya dalam dunia seni tanah air memberi impak besar terutama kepada belia negara ini untuk lebih berdisiplin dalam mengharungi kehidupan seharian,” katanya.

    Mawi duta telefon M.Mobile

    (mSTAR Online - 25/10/2005)

    KUALA LUMPUR: M.Mobile Sdn Bhd, pemaju telefon mudah alih pertama di negara ini, menjangka dapat melancarkan model pertamanya pada Januari 2006, demikian kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainudin Mohd Salleh.

    Beliau berkata syarikat itu menetapkan sasaran untuk menjual sejumlah 850,000 unit telefon mudah alih yang dikenali sebagai M.Mobile itu di peringkat global dalam tahun pertama selepas ia dilancarkan.


    Mawi, duta M.Mobile, telefon bimbit tempatan yang pertama (Fail Foto: The Star)

    "Kami menyasarkan jualan bernilai AS$2 bilion dalam tempoh lima tahun," katanya kepada pemberita pada upacara pelancaran M.Mobile di sini hari ini.

    Upacara itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor.

    Zainudin berkata syarikat itu merancang untuk memperkenalkan tujuh model pada 2006 dan ini akan ditambah beransur-ansur kepada 50 model pada 2010 dengan unjuran perningkatan jualan daripada 850,000 unit kepada 15 juta unit.

    Katanya, M.Mobile merancang memasarkan telefon mudah alih itu di seluruh dunia, bermula di Asia Barat, India dan Russia.

    Di dalam negara, syarikat itu menyasarkan agihan pasaran sebanyak tujuh peratus dengan menjual kira-kira 350,000 unit telefon mudah alih itu tahun depan, kata Zainudin. Menurutnya lagi, harga bagi telefon mudah alih yang dimajukan di dalam negara adalah dari RM550 hingga RM1,000.

    Sebagai sebahagian daripada usaha pemasarannya, M.Mobile melantik penyanyi Asmawi Ani, yang lebih dikenali dengan nama Mawi, pemenang Akademi Fantasia musim ketiga, sebagai duta jenama rasmi bagi telefon mudah alihnya.

    Syarikat itu juga telah melantik VC Communications Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif bagi produk-produknya.

    Sebagai permulaan, M.Mobile merancang untuk membelanjakan kira-kira RM5 juta bagi pengiklanan dan kempen promosi bagi telefon mudah alih tersebut dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda dalam beberapa tahun akan datang, jelas Zainudin.

    M.Mobile yang ditubuhkan pada Mei 2005 itu merupakan sebuah syarikat bertaraf Koridor Raya Multimedia (MSC), yang mempunyai kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) penyelesaian komunikasi mudah alih bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.

    Menurut Zainudin, syarikat itu membelanjakan kira-kira RM10 juta bagi R&D dan jumlah itu dijangka mencecah RM40 juta menjelang akhir 2006.

    Selain mencari peluang untuk mendapatkan geran kerajaan, syarikat itu juga merancang untuk mendapatkan pembiayaan melalui pasaran terbuka, katanya.

    "Kami menyasarkan penyenaraian pada 2007," kata beliau. BERNAMA

    Mawi dilantik duta EON

    (Berita Harian - 25/10/2005)


    REZEKI: Mawi bergambar dengan Proton Savvy selepas majlis menandatangani perjanjian sebagai duta EON di Shah Alam, semalam.

    SHAH ALAM: Populariti bintang Akademi Fantasia (AF) 3, Mawi turut menarik perhatian pengedar kereta nasional, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) untuk melantiknya sebagai duta.

    Mawi atau nama penuhnya, Asmawi Ani, 24, dilantik sebagai duta EON selama setahun pada satu majlis yang disempurnakan di Hotel Pan Pacific Glenmarie, di sini, semalam.

    Ini pelantikan ketiga yang diterima penyanyi dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor sebagai duta produk.

    Pertengahan bulan ini, Mawi dipilih syarikat elektronik terkemuka dari Jepun, Canon sebagai duta kamera digital bagi model terbarunya.

    Petang semalam, sebelum menandatangani perjanjian bersama EON, Mawi terlebih dulu mengikat kontrak sebagai duta telefon bimbit pertama keluaran tempatan, M. Mobile yang diadakan di Renaissance Hotel, Kuala Lumpur.

    “Saya tidak pernah bermimpi untuk menerima pengiktirafan sebegini. Alhamdulillah, ini semua rezeki. Saya akan cuba melaksanakan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

    Dengan perlantikan itu, Mawi turut menerima sebuah kereta Proton Savvy yang akan digunakan untuk melicinkan urusan karier seninya. Awal September lalu, Mawi menerima kereta Suzuki Swift 1.5 bernilai RM78,000 hasil kemenangannya terpilih sebagai juara AF3.

    “Kereta itu akan digunakan Mawi selama tempoh beliau dilantik menjadi duta EON. Kami akan menimbangkan sama ada untuk menjual kereta itu pada harga istimewa atau menghadiahkan kepada Mawi selepas kontrak berakhir.

    “Semua itu bergantung kepada prestasi yang ditunjukkannya sepanjang menjadi duta syarikat ini,” kata Pengurus Besar Perniagaan Proton, Datuk Abdul Razak Dawood.

    Artis AF di majlis Astro

    (Utusan Malaysia - 25/10/2005)

    Hampir 700 tetamu hadir pada majlis berbuka puasa Astro di sebuah hotel terkemuka di ibu negara baru-baru ini.

    Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) diberi tanggungjawab melaungkan azan dan doa menandakan masuk waktu berbuka puasa.

    Sebelum itu, pengerusi Astro, Datuk Badri Masri memberikan ucapan alu-aluan meraikan hadirin pada malam itu.

    Selesai waktu Maghrib, para hadirin dihiburkan oleh persembahan ghazal dari Kumpulan Sri Payung yang didatangkan khas dari Negeri Johor.

    Majlis turut diserikan dengan persembahan oleh artis-artis Maestro Records yang terdiri daripada Mawi dengan lagu Nour El Ain, Zahid, Akma dengan Lagu Rindu, Idayu dengan lagu Percayalah manakala Bob mendendangkan dua lagu tradisional, Mas Merah dan Pantun Berjoget.

    Antara artis yang hadir pada malam itu ialah, M.Nasir dan isteri Marlia Musa, Ning Baizura, Anuar Zain, Andy Flop Poppy dan bekas-bekas pelajar AF1, 2 dan 3.

    Mawi gives advice to inmates

    (The Star - 25/10/2005)
    By YIP YOKE TENG

    AKADEMI Fantasia winner Mawi displayed his compassionate side recently when he gave a motivational talk to about 300 juvenile prisoners at Kajang Prison.

    He was a guest at a Buka Puasa ceremony at the prison. Other present included deputy Internal Security minister Datuk Noh Omar, Umno Youth vice president Khairy Jamaludin and Putera Umno chairman Datuk Abdul Azeez Rahman.

    Despite an evening downpour, the inmates, clad in white uniforms, were all ears, occasionally nodding in agreement and chuckling at Mawi’s humorous remarks that included verses of Nasyid songs.

    “Do not think that you are in a terrible state, there are plenty of less fortunate persons.

    “What you get is only like a light stroke of the rotan from God, there can be heavier punishments, like the tsunami,” advised Mawi, adding that he had never imagined himself giving words of advice to prisoners.

    “Always look forward, don’t look back. Be disciplined, follow wardens’ instructions and get back on the right track,” he added.

    Noh Omar said he had instructed the Prisons Department to make arrangements with local universities for distance learning education programmes to eligible prisoners.

    He said prison officers would discuss the matter with tertiary education providers next year and the government would consider providing necessary facilities like computers and Internet services.

    “In the 1990s, an inmate obtained a law degree via post while serving his jail terms, he is now a lawyer.

    “Inmates can become professionals and whoever is eligible will be given a chance,” he said.

    According to him, under Criminal Procedure Code, inmates under the age of 18 are considered juveniles whereas those under 21 are termed young prisoners; and are separated from adult prisoners.

    He said from 2000 to 2004, 472 prisoners had sat for PMR/SPM/STPM examinations, with 100%, 92% and 50% passing rates respectively.

    Khairy advised the inmates to study hard because education was the key to success, adding that they too could play active roles in Putera Umno when they were successfully rehabilitated.

    Monday, October 24, 2005

    Gelombang tsumawi masih belum reda

    (Berita Harian - 24/10/2005 - Kata Teman)
    Oleh Hanizam Abdullah

    MAWI memang masih world! Sejak dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketiga pada Ogos lalu, tumpuan yang diberikan kepada anak muda berasal dari Felda Taib Andak itu masih belum padam. Malah, popularitinya macam sudah tidak ada artis lain lagi yang wujud dalam dunia hiburan tanah air.

    Kata orang, nama Siti Nurhaliza pun seolah-olah sudah ‘tenggelam’ inikan pula artis lain yang kehadirannya macam suam-suam kuku saja. Apatah lagi bintang kelahiran AF yang lain seperti Zahid, Khai, Azizi dan Linda Nanuwil. Malah ada juga sesetengah kalangan dalam nada sinis berkata orang media pun cari Siti kerana hendak tahu perkembangan gosip cintanya. Itu kata sesetengah oranglah tetapi kata teman Siti Nurhaliza masih belum hilang auranya.

    Tetapi sejak akhir-akhir ini aura Mawi semakin terserlah biarpun suara Mawi teman dengar ada ketikanya ‘koyak’. Tetapi apabila bab Mawi ini peminat hiburan tanah air bagaikan banyak ampun maafnya. Bak kata sifu muzik M Nasir dalam Bintang Popular semalam, “Mawi menyanyi sumbang, suara ‘koyak’ ke, peminat tetap bertepuk tangan dan bersorak setiap kali dia muncul di pentas. Mereka tak kisah kerana bukan kesempurnaan vokal yang mereka cari sebaliknya diri Mawi itu sendiri.”

    Itulah sebabnya gelombang tsumawi bagaikan tidak reda-reda. CEO Maestro, Freddie Fernandez tentunya tersenyum dari telinga ke telinga kerana bintang mereka laris bagaikan pisang goreng panas. Lalu, Mawilah yang banyak diusung ke sana ke mari sehingga agak ‘lunyai’ juga Mawi yang teman perhatikan memang sudah pandai bergaya. Iyalah... apabila sudah banyak duit, auranya lain sikitlah. Jangan pula apabila sudah banyak duit, panjang pula langkahnya ke tempat yang sahih tak berkat langsung. Teman nasihat saja terutama di hari baik bulan baik ini.

    Perkembangan terbaru, Mawi dilantik menjadi duta Canon. Teman memang bangga dengan pencapaiannya itu kerana bukan mudah hendak buka mata syarikat perniagaan seperti Canon jika tidak ada sesuatu dalam diri seseorang artis itu. Acap kali kayu ukur populariti seseorang artis itu adalah jika dia sentiasa dijadikan ‘umpan’ untuk menagih tumpuan orang ramai.

    Tak payah pergi jauhlah, buka saja akhbar dan majalah hiburan, wajah Mawi terpampang merata-rata. Dalam segala jenis majlis pun, nama Mawilah yang dijual mereka kerana mereka tahu kalau media tak akan datang sebab faktor organisasi, majlis atau individu tertentu, mereka tahu media akan datang sebab faktor Mawi.

    Pergilah pula ke Jalan Masjid India atau Jalan Tunku Abdul Rahman, nama Mawilah yang dijaja mereka. Tak cukup dengan nama Mawi, nama ibu Mawi dan tunang Mawi pun disebut mereka. “Ha kak... beli kak... baju raya Mawi kak. Yang ini pula baju yang dipakai mak Mawi. Ha... yang ini kak, baju dan selendang tunang Mawi.” Memang kelakar bunyinya dan barangkali juga Mawi tak sangka begitu segala pengaruh dan tarikan yang dimilikinya.

    Senario itu memang merancakkan lagi suasana menyambut Syawal yang menjelang tiba. “Ha kak... beli kain pelikat kak. Ini bukan kain pelikat Mawi tetapi kain pelikat cap gajah duduk kak.” Lalu, hati teman menjadi sayu kerana terkenangkan arwah ayahanda teman yang pergi menyahut panggilan Illahi kira-kira dua tahun lalu. Kain pelikat itulah yang menjadi hadiah terakhir teman buat ayahanda tercinta sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir kerana menghidap sakit barah. Al-Fatihah...

    Tiba-tiba juga teman terkenangkan arwah Datin Seri Endon Mahmood yang pulang ke rahmatullah Khamis lalu. Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya dan di tempatkan bersama orang yang beriman. Siapapun akan berasa sedih apabila kehilangan orang yang dicintai. Begitulah juga dengan Perdana Menteri kita yang disayangi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah).

    Kesedihan memanglah berganda tatkala Syawal bakal menjenguk tiba. Itu belum lagi menyelami emosi kedua-dua anaknya, Nori dan Kamaluddin yang tidak lagi dapat mencium tangan ibu mereka di pagi raya. Salam takziah buat Pak Lah sekeluarga yang ketabahan mereka wajar dicontohi seluruh rakyat jelata. - hanizam@bharian.com.my

    Saingan Bintang realiti

    (Harian Metro - 24/10/2005)
    Oleh Norhadiani Baharom
    yanie@hmetro.com.my

    Mampukah Mawi, Zahid, Jac, Farah dan Sahri mengulangi kejayaan bila berdepan Misha, Ning Baizura dan Noraniza Idris?

    PENTAS Muzik Muzik 20 peringkat separuh akhir bermula 15 hingga 17 November ini, seolah-olah menjadi medan pertemuan bintang realiti apabila nama seperti Mawi (juara AF3), Zahid (Juara AF2), Jaclyn Victor (Juara Malaysian Idol 1), Farah AF2 dan Sahri AF1 dicalonkan.

    Inilah yang menjadi kelainan serta daya penarik pada pertandingan terbitan stesen popular TV3 yang diperkenalkan sejak 1986. Selain itu, kemunculan artis baru berbakat seperti Azharina, Rayna Hairina, AF2, Zehra Zambri, Sharifah Zarina dan kumpulan Gerhana Ska Cinta dalam pertandingan ini menunjukkan perkembangan yang sihat.

    Kehadiran bintang 'mi segera' ini bukan sekadar mempertaruhkan populariti mendadak tetapi juga bakat untuk memberi saingan sengit kepada penyanyi berpengalaman sedia ada.

    Bintang fenomena Mawi misalnya, mengejutkan ramai apabila mara ke peringkat separuh akhir biarpun penyertaannya dalam carta Muzik Muzik 20 baru berusia tiga minggu.

    Pun begitu Mawi yang mempertaruhkan lagu Aduh Saliha ciptaan M Nasir dan lirik dari Loloq/Rosli Khamis menganggap pemilihannya dalam pertandingan berprestij ini sebagai rezeki.

    "Saya difahamkan program ini menggunakan sistem undian penonton untuk menentukan kedudukan artis pujaan dalam carta. Justeru, saya ucapkan ribuan terima kasih kerana peminat terus memilih saya.

    "Berada dalam lingkungan penyanyi yang hebat saya rasa berbangga dan pada masa sama terasa juga diri terlalu kerdil. Apapun saya cuba lakukan yang terbaik.

    "Soal layak ke peringkat akhir tipulah kalau saya kata tak teringin untuk mara kerana semua orang pastinya mahu menang. Namun, saya serahkan segala keputusan di tangan juri yang bijaksana," katanya.

    Memandangkan pertandingan ini merangkumi segala aspek pembikinan lagu dan vokal, Mawi berusaha mempertingkatkan kebolehan vokal dan persembahannya khususnya dari segi tarian.

    Aduh Saliha yang mengungguli kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif akan disaingi Binafsha ciptaan Trabye yang mana lirik serta nyanyian Waheeda, Goyang Habibi (Cat/Ruffedge), Dendang Sahutan (Toki/Toki-Andy Plop Poppy), Benang Emas (Eddie Hamid/Kuseman/Achik-Siti Nordiana), Senang Tari (Farihin/Ain&Alia Elkine/Ning Baizura), Gurindam Sang
    Puteri (Pak Ngah/Siso/Syazliana), Nurul Ain (Adnan Abu Hassan/Faris/Rayna Hairina), Semalakama (Pak Ngah/Ceíkem/Zehra Zambri) dan Ayuh Juran (Noraniza Idris/Ahmad Fedtri Yahya/Noraniza Idris).

    Sementara itu, Jaclyn Victor (Jac) yang menyandarkan Gemilang ciptaan Aubrey Suwito dan lirik, Asmin Muin, dalam kategori Balada dijangka mara ke peringkat akhir dengan mudah sekali gus meraih Anugerah Vokal Terbaik yang sebelum ini menjadi milik Misha Omar, dua tahun berturut-turut.

    "Oh...saya belum mahu memikirkan soal itu kerana ingin memberi tumpuan terlebih dulu pada Festival Lagu di Shanghai. Saya akan berangkat Selasa ini dan berada di negara itu kira-kira seminggu.

    "Mengenai Muzik Muzik saya rasa harapan agak tipis untuk ke peringkat akhir kerana lihatlah semua nama yang tercalon. Paling saya geruni sudah tentunya Ning Baizura dan Misha Omar kerana mereka mempunyai reputasi nyanyian yang sangat baik.

    "Azharina yang membawakan Elegi Sepi dalam kategori Balada juga punya peluang cerah berdasarkan keunikan vokalnya selain keindahan lagu itu sendiri.

    Apapun saya berusaha sedaya upaya untuk menghiburkan semua peminat," kata Jac merendah diri.

    Gemilang akan bersaing dengan Dedebu Cinta ciptaan Azlan Abu Hassan, lirik oleh Ucu dendangan Misha Omar, Tangisan Dalam Kerinduan (Adnan Abu Hassan/Farah AF2), Tiada Lagi Tangisan (Adnan Abu Hassan/Mohariz/Aishah), Langit Ke Tujuh (Master G/Marsya/Syarifah Zarina), Awan Yang Terpilu (Lin Li Zhen/Loloq/Ning Baizura), Tangisan Marhaenis (M Nasir/Loloq/Hattan-Dia Fadila), Elergi Sepi (Azlan Abu Hassan/Julfekar/Azharina), Memori Bahagia (Adnan Abu Hassan/Faris/Sahri), Bila Rindu (Azan Addin/Ruffedge).

    Ning Baizura yang menang besar melalui Awan Yang Terpilu dalam Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) tidak lama dulu disebut-sebut memenangi kategori keseluruhan iaitu Anugerah Juara Lagu 2005.

    "Saya tidak berani jamin kerana persaingan sangat sengit, apatah lagi dengan kehadiran bintang muda yang cukup berbakat. Yang berada dalam fikiran saya sekarang hanya untuk bergembira dengan persembahan kelak
    "Adat pertandingan ada menang ada kalah."

    Walaupun Awan Yang Terpilu berjaya memikat juri di AIM itu tidak semestinya menjamin kedudukan lagu ini di Anugerah Juara Lagu, katanya. Sama seperti Ning, Misha juga sedia menyerahkan mahkota Anugerah Vokal Terbaik yang digenggam dua tahun berturut-turut.

    "Bak kata Siti Nurhaliza, Michael Schumacher pun tidak selalunya menang. Justeru, saya sudah bersedia dengan segala keputusan. Bagi saya memadai kerana pernah menerima anugerah itu sebanyak dua kali, sekurang-kurangnya sudah merasa.

    "Beralih pada persiapan separuh akhir ini, semestinya vokal diberi keutamaan dan saya merancang untuk berguru kembali dengan guru saya yang banyak membantu vokal sewaktu membawakan lagu Pulangkan tahun lalu," katanya.

    "Bagi kategori Pop Rock, Spider yang pernah diumum pemenang Anugerah Juara Lagu 19 juga pemenang bagi kategori sama tahun lalu, mempertaruhkan lagu Cinta Dewa Dewi nukilan M Nasir dan lirik oleh Loloq.

    Kumpulan yang terkenal dengan irama ska ini akan disaingi Dayang Sayang Kamu, lagu dan lirik yang di tulis Cat Ruffedge serta dinyanyikan oleh Dayang Nurfaizah, Pop Ye Ye (V.E/ Zaf & Cham/V E), Senyum Ragamu (Eddy J Herwan/Edy & Radhi OAG/Gerhana Ska Cinta), Kata (Hazami/Hazami, Tris & Arab/ Hazami), Mulik Ku (Cat/Zahid), Rahsia (Fathul/Flop Poppy), Kasihnya Laila (Mala/Pak One/Jinbara), Message Girl (Damien/V.E) dan Gaia (Pacai & Zainal Abidin/Pacai/Zainal Abidin).

    Program Muzik Muzik 20 Separuh Akhir akan diadakan secara langsung dari jam 4.30 petang hingga 6 petang pada 15 November bagi kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif, 16 November (Balada) dan 17 November (Pop Rock).

    Program yang dikendalikan pengacara ceria dan lincah, Cheryl Samad, itu menampilkan 10 calon separuh akhir bagi setiap kategori.

    Bagaimanapun, hanya empat calon dari setiap kategori dipertandingkan layak ke peringkat akhir yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Pengumuman semua 30 lagu yang mara ke peringkat separuh akhir dilakukan Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi, Azhar Borhan, di Mahkota 2 Ballroom, Istana Hotel, Rabu lalu.