Friday, September 30, 2005

Kenyataan LHDN mula intai Mawi tidak wajar dibincang

(Utusan Malaysia - 30/09/2005)

Saudara Pengarang,
MERUJUK kepada artikel yang disiarkan pada muka depan akhbar ini bertarikh 28 September lepas bertajuk Mawi mula diintai LHDN, saya ingin menyuarakan perasaan tidak senang terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Che Omar A. Rahman tersebut.

Kenyataan beliau yang seolah-olah ingin menimbulkan isu baru lantaran kejayaan dan gelombang yang dibawa oleh kehadiran Mawi dalam industri hiburan negara itu kelihatan amat tidak wajar untuk dibincangkan.

Dalam keadaan Mawi yang masih amat baru dalam industri hiburan, tidak sampai pun lagi suku tahun menjuarai Akademi Fantasia 3, apatah lagi bergelar penyanyi profesional, saya melihat kenyataan beliau tentang kewajipan Mawi untuk melakukan potongan cukai terhadap pendapatannya, sambil menyebut pula tentang penalti yang akan dikenakan seandainya pihak LHDN yang mencari Mawi, amatlah tidak sesuai dan berbunyi canggung sekali. Mengapa Mawi harus menjadi isu sehingga sebegitu sekali?

Kalaulah kemunculan Mawi itu sudah pun menghampiri satu tahun tempohnya, mungkin beliau boleh mengeluarkan kenyataan sebegitu, sebagai peringatan. Tetapi, tidak perlulah sehingga menyebut isu penalti kerana seolah-olah menyampaikan maksud bahawa Mawi amatlah tidak mengetahui atau mengambil tahu akan tanggungjawabnya kepada negara. Lainlah kalau sudah beberapa tahun, atau potongan pendapatan beliau untuk sumbangan cukai itu masih menjadi tanda tanya.

Amatlah menghairankan apabila kehadiran Mawi dalam dunia seni begitu menarik perhatian banyak pihak sehinggakan perkara yang tidak patut atau sesuai seperti ini pun turut ingin dijadikan isu.

Kenapa agaknya persoalan hanya timbul lantaran Mawi meraih kejuaraan yang telah memberikan hidup baru kepada dirinya, sehingga memperoleh banyak pula pendapatan sampingan? Sedangkan kalau difikirkan ramai lagi artis sebelumnya yang merasai perkara yang hampir sama (walaupun tidak setanding Mawi) tetapi tidak pernah pula ada sesiapa yang ingin mempertikaikan hal-hal sebegini.

Memang tidak difahami bahawa Che Omar hanya ingin menjawab soalan wartawan yang menanyakan tentang isu kutipan cukai pendapatan terutama daripada individu-individu istimewa seperti Mawi, tetapi tidak sesuai rasanya kenyataan serupa itu dikeluarkan, apatah lagi disiarkan pada masa ini. - PEKA ISU, Kajang, Selangor.

Waheeda ingin berduet dengan Mawi

(Harian Metro - 30/09/2005)
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

NORWAHIDAH Abdul Wahab atau Waheeda, mula diperkenalkan dalam industri hiburan tempatan terutama nyanyian bermula awal 2003.

Sudah tertulis rezeki miliknya, Waheeda menerusi lagu Wassini merangkul anugerah Juara Lagu pada tahun sama bagi kategori Pop Etnik.

Tampil dengan imej bertudung dengan tema muzik sejagat menyebabkan kehadirannya dalam industri hiburan diterima peminat dengan tangan terbuka.

Sepanjang perjalanan kerjayanya Waheeda turut melakar kejayaan peribadi paling manis apabila diumum pemenang ketiga di Festival Lagu Antarabangsa Kazakhstan di Almaty tahun lalu.

Album singlenya, Wassini dan Dua Dalam Bahtera, menemui peminat hampir setengah tahun selepas namanya gah menjadi sebutan. Pada pertengahan 2004 barulah album penuhnya dipasarkan oleh syarikat rakaman MIG Records.

Menghairankan, sekian lama menanti hanya pada 23 September lalu barulah albumnya dilancarkan.

Ia diadakan bersempena ulang tahun artis itu yang menyambut hari jadinya ke-27 tahun.

Bercerita mengenai perkara itu, Waheeda dengan jujur berkata, ia satu kesilapan. Bagaimanapun pihaknya mahupun MIG Records sendiri kini sedang belajar daripada kesilapan itu.

"Memang jika hendak diikutkan ia tidak seharusnya berlaku, tetapi syarikat MIG adalah syarikat rakaman baru dan masih belajar selokbelok perjalanan industri muzik tempatan.

"Apapun saya hanya penyanyi dan perkara ini seharusnya diuruskan oleh syarikat rakaman saya," katanya.

Namun, jauh di sudut hatinya Waheeda gembira dengan pelancaran semula albumnya yang dibuat dalam bungkusan semula dan menampilkan dua lagu baru dipetik dari runut bunyi filem Kuliah Cinta dan Cinta Fotokopi.

"Salah satu strategi syarikat rakaman mengadakan bungkusan semula album Binafsha ini dan melancarkannya dengan harapan segala stok yang ada dapat dihabiskan sebelum akhir tahun ini.

"Pihak MIG Records turut merancang memulakan kerja rakaman bagi pembikinan album kedua saya dan dipasarkan pada Februari depan.

"Saya sendiri sedang sibuk me ngumpul lagu dan insyaAllah saya sudah menyiapkan tiga lagu untuk album sendiri, dua lagu Inggeris dan sebuah lagu Melayu.

Saya juga masih mengekalkan khidmat Yassin dan Trabye sebagai penerbit," katanya, Ditanya mengenai kemungkinan dia bakal berduet dengan Mawi dalam album terbaru itu, Waheeda berkata dia menyerahkan segalanya kepada syarikat rakamannya.

"Perkara itu sedang diusahakan MIG records dengan syarikat pengurusan Mawi, Maestro.

Andai berpeluang sudah tentu saya gembira. Ia akan menjadi satu gabungan yang hebat kerana Mawi seorang penyanyi irama sejagat yang berpotensi," katanya.

Ditanya kemungkinan gandingannya dengan Mawi bakal menimbulkan kontroversi dan peminat penyanyi yang berasal daripada Felda Taib Andak, Kulai, Johor akan menuduhnya cuba menumpang populariti.

"Kontroversi memang akan berlaku tetapi saya tidak boleh terlalu berkira dan tidak kisah dengan apa orang hendak kata. Rugilah saya jika tidak mengambil peluang ini. Bukankah ini satu pengalaman yang baik," katanya.

Tambahnya lagi, apapun soal untung dan rugi dalam hal ini membabitkan syarikat rakaman dan bukannya artis itu sendiri.

M NASIR, RABBANI temani MAWI di KB

(Harian Metro - 30/09/2005)
Oleh Norhayati Nordin

MASA yang ditunggu rakyat Kelantan untuk bersua dengan Mawi kian hampir. Selang beberapa hari lagi juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu akan menghiburkan peminatnya sempena konsert yang bakal dijayakan di negeri itu.

Namun, pemuda kacak dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu tidak keseorangan apabila persembahannya turut disertai dua penyanyi terkenal tanah air, M Nasir dan kumpulan nasyid popular, Rabbani.

Persembahan sempena Konsert Amal Tautan Kasih dan Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) itu akan diadakan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV hari ini dan esok (Sabtu), jam 9 malam.

Vokalis Rabbani, Mohd Asri Ibrahim (Asri) berkata penyertaan kumpulannya dalam konsert itu adalah sebagai artis jemputan. Namun, kami (Rabbani) gembira dan berbesar hati dengan peluang yang diberikan.

“Pada persembahan malam Sabtu ini, kami akan menyanyikan beberapa lagu dari album Rabbani seperti Yalla Beena, Handzalah dan satu lagu duet dengan Mawi sama ada Pergi Tak Kembali atau Intifadah.

“Setakat ini, ia masih dalam perbincangan. Apapun, saya berterima kasih kepada kerajaan Kelantan kerana sudi mempelawa kami menjayakan konsert ini bersama Mawi dan M Nasir untuk menghiburkan warga di sana,” katanya.

Asri mengharapkan persembahan Rabbani akan berjaya menghiburkan pengunjung yang menyaksikannya nanti. Dia juga mengalu-alukan kunjungan orang ramai ke konsert amal berkenaan.

Mengulas mengenai Mawi yang semakin diminati golongan muda hari ini, Asri berkata, ia adalah perkara baik. Sehubungan itu, Mawi seharusnya bijak menggunakan peluang ini dalam usaha membentuk sikap terpuji pada generasi muda.

“Sebagai idola remaja, saya percaya Mawi dapat membantu kerajaan menyemai teladan yang baik kepada golongan muda. Oleh itu, dia harus mempamerkan akhlak mulia dan menjadi ikon sebenar.

“Selain itu, saya turut bangga dengan pencapaian Mawi setakat ini. Walaupun, masih baru dalam bidang seni ini, saya lihat dia diterima baik peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan saja dia berbangga dengan pencapaian Mawi malah gembira kerana pemuda itu meminati lagu Rabbani apabila selalu menyanyikan lagu kumpulan itu pada setiap persembahan yang dijayakannya.

Mawi cetus kegilaan di Brunei pula

(Berita Harian - 30/09/2005)
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin


FANATIK: Peminat menyerbu Mawi ketika tiba untuk mengadakan persembahan di Brunei.

Keluasan Laut China Selatan menjadi tembok penghalang kepada masyarakat Brunei untuk bertemu secara empat mata bersama pelajar Akademi Fantasia 3 (AF3).

SEBAIK saja berita mengenai kunjungan pelajar AF3 ke bumi yang kaya dengan sumber minyak sampai ke telinga masyarakat Brunei Darussalam ia bagaikan bulan jatuh ke riba.

Promosi penganjur De Hayat Muscial and Production secara besar-besaran menjadi benteng kejayaan. Pemilihan pelajar AF3 mungkin pilihan cukup tepat dilakukan penganjur apatah lagi bintang AF3 masih lagi 'panas' dalam industri seni suara.

Demi Mawi dan teman-temannya yang lain apa saja sanggup dilakukan penduduk Brunei, sehinggakan tempat penginapan pelajar AF3 turut menjadi tumpuan. Pihak hotel turut mengambil inisiatif menyediakan pakej penginapan lima hari empat malam bersama pengangkutan percuma dari hotel LR Asma yang terletak di kawasan Jerudong ke tapak konsert di Dewan Amphitheatre Taman Jerudong dengan kadar $B250.

Seorang peminat berkata, jarak antara rumahnya dan hotel tidak sampai lima minit berjalan kaki. Namun semata-mata kerana Mawi dia sanggup menempah sebuah bilik di hotel itu supaya dapat berjumpa Mawi.

"Nasib baik saya bekerja dengan kakak yang membuka butik pengantin jadi mudah sedikit untuk mendapat cuti. Lagi pun dia faham saya meminati Mawi malah kakak saya juga turut meminati juara AF3 itu.

"Walaupun jarak rumah dan hotel tidak jauh bukan tidak boleh jalan kaki tapi saya sengaja menyewa bilik di sini asalkan dapat bertembung dengan Mawi ketika dia mahu makan atau keluar ke mana-mana saja.

"Disebabkan Mawi juga saya sanggup membeli apa saja barang seperti baju yang diimport dari Malaysia. Di sini tidak ada barang-barang seperti itu, lalu saya terpaksa meminta rakan-rakan dari Malaysia membelikan untuk saya," katanya yang turut berimej botak seperti bintang kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu.

Sementara itu Pengarah Urusan Hotel LR Asma, Pengiran Anak Noorazimah berkata, pihaknya menawarkan promosi penginapan itu dua hari sebelum kehadiran bintang AF3 yang tiba di negara itu Rabu lalu. Biar pun promosi dilakukan dalam jangka waktu yang amat singkat namun promosi itu boleh disifatkan berjaya memandangkan itu adalah kali pertama promosi itu dibuat.

"Sebelum ini ramai artis dari Malaysia datang menginap di hotel ini, bagaimanapun kami tidak pernah terfikir untuk mengadakan promosi seperti ini.

"Cadangan ini pun sebenarnya datang dari pengunjung yang mahu kami lakukan promosi seperti ini supaya mereka dapat bertemu lebih dekat dengan artis. Dalam masa dua hari hampir 80 peratus daripada 172 bilik ditempah," katanya.

Penduduk Brunei membuktikan minat yang cukup mendalam apabila sanggup bertunggu tangga di lobi hotel semata-mata menantikan kemunculan bintang AF3 di lobi hotel. Dari awal pagi lagi bermula jam 8 peminat bintang AF3 sudah sedia menanti mereka di sekitar lobi, walaupun kesemua 14 bintang itu hanya akan muncul sekitar jam 10 pagi.

Penantian mereka tidak berakhir di situ, bagaikan tahu jadual pelajar AF3 mereka menanti pula kepulangan bintang pujaan itu biar pun malam sudah semakin lewat. Yang menunggu pula bukan golongan remaja saja sebaliknya anak-anak kecil yang berusia setahun hinggalah yang boleh dilabelkan sebagai warga emas turut sama menantikan kepulangan pelajar AF3 dari pelbagai undangan yang perlu dipenuhi.

Walaupun malam sudah hampir menginjak ke pagi, kesetiaan mereka langsung tidak goyah. Setiap malam jam 3 pagi barulah bintang AF3 pulang ke hotel penginapan, namun ruang lobi hotel masih dipenuhi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang bersalaman, bergambar mahupun mendapatkan autograf mereka.

Pihak penganjur, Pengiran Abu Bakar Pengiran Othman pula berkata, De Hayat mempunyai alasan sendiri kenapa pihaknya meuar-uarkan setiap destinasi yang akan dituju pelajar AF3.

"Saya mendatangkan artis ke Brunei untuk peminat, justeru saya tidak mahu menyembunyikan artis dengan penonton. Bagi saya strategi ini baik untuk peminat AF3, mereka berpeluang bertemu dengan idola di salah satu lokasi yang dikunjungi bintang AF ini sebagai pilihan sekiranya mereka tidak dapat ke lokasi yang lain.

"Sehubungan itu kami mengawal ketat keselamatan pelajar AF ini, alhamdulillah walaupun perancangan ini dilakukan dalam masa sebulan segala-galanya berjalan lancar malah tidak ada kejadian yang tidak diingin berlaku," katanya.

Ke mana saja pelajar AF3 pergi, mereka sering menjadi tumpuan. Ketibaan mereka Rabu lalu di Lapangan Terbanga Antarabangsa Bandar Seri Begawan mengubah suasana lapangan terbang yang lazimnya kurang dikunjungi.

Namun ketibaan pelajar AF3 memecah kesunyian lapangan terbang yang lazimnya hanya menjadi tumpuan mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan itu. Kira-kira 1,000 peminat AF3 sudah sedia menanti untuk menyambut ketibaan mereka, pada sebelah malam sekali lagi mereka dikerumuni peminat di International Convention Centre dalam satu sesi bertemu peminat.

Ketibaan pelajar AF3 ke Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sekali lagi menjadi tumpuan, kehadiran mereka ke situ bagi menyampaikan sumbangan kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al Muhtadee Billah untuk anak yatim.

Sumbangan derma disampaikan juara AF3, Mawi mewakili penganjur yang menyumbang sebanyak $B 2,000 manakala $B 1,000 lagi disumbangkan Maestro. Sumbangan derma berkenaan diterima Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Datuk Paduka Awang Ali Hashim Daud.

Thursday, September 29, 2005

Maestro jamin pastikan Mawi bayar cukai

(Utusan Malaysia - 29/09/2005)

SERDANG 28 Sept. - Maestro Talent and Management Sdn. Bhd. (Maestro) memberi jaminan akan memastikan Asmawi Ani atau Mawi membayar cukai pendapatannya bagi mengelak sebarang tindakan yang tidak diingini berlaku.

Ketua Pegawai Operasinya, Freddie Fernandez berkata, pihaknya akan melantik segera perunding cukai untuk mengurus perkara berkaitan cukai pendapatan Mawi.

``Kita akan pastikan Mawi membayar cukai pendapatannya dan tidak lari daripada tanggungjawab itu.

`Maestro beri jaminan ini kerana tidak mahu timbul sebarang masalah kelak,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini berkenaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mula `mengintai' juara Akademi Fantasia Ketiga (AF3) itu.

Selain memperoleh pendapatan bulanan RM1,500, Mawi merupakan artis Maestro Talent Management yang paling banyak mengadakan pertunjukan pentas serta mendapat bayaran sampingan tertinggi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Che Omar A. Rahman, jika Mawi mempunyai pendapatan tetap yang sudah layak dicukai, penyanyi itu juga tidak terlepas daripada berbuat demikian.

Fernandez memberitahu, perunding berkenaan bertanggungjawab untuk membantu membuat pengiraan selain menguruskan semua aspek berkaitan pendapatan Mawi.

``Bukan setakat ada perunding yang akan membantu Mawi membuat kira-kira dan menolongnya dari semua segi tetapi kami akan berhubung terus dengan LHDN untuk mendapatkan nasihat,'' ujarnya.

Sebelum itu, Fernandez bersama-sama Mawi menyerikan majlis Mawi@UPM anjuran mahasiswa program Eksekutif Semester 3, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.

Majlis yang dihadiri kira-kira 3,000 pelajar itu adalah sebuah program motivasi membasmi penyalahgunaan dadah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Program yang julung-julung kali diadakan di IPTA itu bagi menyokong kempen kerajaan terhadap najis dadah dengan membawa tema `Belia Benci Dadah'.

'Saudara saya mati kerana dadah'

(Harian Metro - 29/09/2005 - Edisi Nasional)
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

SERDANG: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi kelihatan sayu ketika meluahkan pandangannya mengenai sikap negatif masyarakat terhadap penagih dadah dan keluarga mereka di majlis kempen antidadah anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, semalam.

Kejujuran Mawi menceritakan pengalaman dilaluinya pertama kali di khalayak ramai diikuti dengan penuh minat oleh kira-kira 2,000 penuntut dan kakitangan universiti itu.

Majlis anjuran pelajar kursus Strategi Perhubungan Awam Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM dengan kerjasama Karyawan dan Maestro Talent & Management.

“Kepada remaja di luar sana, saya menyeru agar jauhi najis dadah kerana ia akan memusnahkan hidup dan keluarga anda.

“Bayangkan sekali kita pilih jalan salah, ibu bapa akan menanggung kekecewaan sepanjang hayat. Najis dadah sebenarnya merosakkan harapan dan memusnahkan impian bukan saja penagih itu sendiri tetapi juga ibu bapa mereka.

“Saya sendiri pernah melihat bagaimana ibu bapa dinista akibat anaknya bergelar penagih dadah.

“Bayangkan mereka sanggup mencemuh dengan berkata: ‘Mak bapa dia tidak pandai menjaga anak, sebab itulah anaknya jadi Mat Gian’,” katanya yang dijemput menjayakan kempen antidadah itu berdasarkan pembabitannya dalam program Belia Benci Dadah.

Dalam ceramahnya, Mawi menyatakan dia melihat sendiri kesan penagihan dadah yang dialami rakan sekolahnya.

“Dia terbaring di tengah jalan di perhentian bas Kulai kerana mengambil pil yang dipanggil abgon sehinggakan terpaksa dipapah untuk dibawa pulang.

“Saya pernah ditawarkan pil ini ketika menuntut di sekolah menengah selain melihat bagaimana saudara terdekat saya menemui maut akibat ketagihan najis dadah,” katanya.

Mawi yang enggan mendedahkan identiti saudara terdekat itu, mengakui memang benar kegiatan penagihan dadah banyak melanda penduduk di Felda.

“Contoh terdekat saudara saya sendiri maut akibat dadah dan ia berlaku di hadapan mata kami sekeluarga.

“Sekian lama menagih suatu hari saudara saya itu menyebut dia mahu berhenti daripada terus menagih. Dia dikurung selama tiga hari dalam rumah. Waktu itu saya dapat bayangkan azab yang terpaksa ditanggung penagih dadah ini.

“Kita anggap seksa di neraka cukup azab, sedikit apinya 70 kali ganda kita rasa seksanya. Pada pandangan saya yang melihat azab dilalui saudara saya ini mungkin begitulah rasanya apabila berada di neraka.

“Sepanjang tiga hari itu keadaannya tidak menentu sekejap dia menjerit kesejukan dan sekejap kepanasan. Saya sendiri hairan apabila dia merayu agar saya tolong memijak badannya.

“Katanya dia suruh saya pihak kuat-kuat biar sampai pecah. Kerana simpati saya lakukan seperti diarahkan.

“Sebaik saja kaki saya menyentuh kulit badannya tiba-tiba dia menjerit dan menuduh saya seperti mahu membunuhnya. Keadaannya itu benar-benar meninggalkan kesan kepada saya,” katanya.

Mawi berkata, selepas tiga hari, saudaranya itu mula menampakkan perbezaan.

Dia berzanji, mengaji dan azan. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia sempat memohon maaf terhadap kesalahannya mencuri barang kemas dan duit bapanya untuk membeli dadah.

“Dia juga sempat memohon maaf kepada ibunya dan meminta agar dihalalkan segala makan dan minumnya.

“Bayangkan seorang penagih yang dipandang hina sempat menghembuskan nafas terakhir dengan bersih daripada dosa terhadap kedua ibu bapanya, dan sepanjang nazak dia sempat menyebut kalimah Allah. Kuasa Tuhan dia lebih Maha Mengetahui dan sebagai insan-Nya kita harus tahu qada dan qadar,” katanya.

Semua hotel penuh

(Harian Metro - 29/09/2005 - Edisi Timur)
Oleh Azlan Hafeedz
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Bahang Konsert Tautan Kasih 2005 Bersama Mawi semakin terasa dan hanya tinggal sehari lagi Juara Akademi Fantasia 3 itu akan menggegarkan negeri Cik Siti Wan Kembang.

Warga negeri ini tidak mengira peringkat umur mula menghitung detik kerana tidak sabar menyaksikan wajah Mawi atau Asmawi Ani secara lebih dekat.

Lebih ketara, hampir kesemua hotel termasuk motel dan rumah tumpangan sekitar daerah ini habis ditempah penduduk luar Kelantan selain penduduk tempatan yang menetap jauh seperti Gua Musang dan Jeli.

Mengikut rekod pendaftaran hotel, kebanyakannya datang dari jauh seperti Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Johor, Selangor dan Melaka semata-mata ingin mendengar suara ‘keramat’ anak muda dari Johor itu, dalam konsert bermula esok dan lusa itu.

Bagi mereka, itulah satu-satunya peluang yang ada kerana beberapa hari selepas konsert berkenaan, seluruh umat Islam akan mula berpuasa.

Difahamkan, mereka mula membuat tempahan bilik sejak bulan lalu sebaik sahaja Mawi bersetuju mengadakan persembahan di negeri ini.

Malah, ada yang sanggup membayar wang pendahuluan kepada hotel kerana bimbang bilik itu ‘dirampas’ pelanggan lain.

Difahamkan, antara hotel tumpuan peminat fanatik Mawi itu ialah Hotel Perdana, Renaissance Hotel, Sutera Inn, Berling Hotel (Yatie Inn), Hotel Ansar, Perdana Resort Kota Bharu dan beberapa hotel lagi.

Pemilik Berling Hotel di Jalan Tengku Petra Semerak, di sini, Noor Hayati Shafie, berkata 25 bilik hotelnya habis ditempah sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, tempahan diterima amat luar biasa dan di luar dugaan kerana pada hari itu (konsert), ia bukan cuti sekolah atau cuti am, cuma cuti hujung minggu.

“Menurut kata beberapa pelanggan saya, semua ini gara-gara kehebatan Mawi.

“Bagi mereka, Mawi itu seorang penyanyi hebat dan tersendiri berbanding artis lain,” katanya.

Eksekutif Pemasaran Perdana Resort, Mohd Nazman Mohd Salleh, berkata ramai pelanggan yang membuat tempahan itu adalah dari Johor, Pahang dan Terengganu.

“Tempahan itu dibuat untuk sehari sahaja (30 Septembar). Sebanyak 98 daripada 117 bilik sudah habis ditempah sejak awal bulan lagi.

“Saya terkejut dengan keadaan ini dan menganggap sambutan terhadap konsert Mawi dua hari itu memang hebat.

“Pengalaman bekerja 20 tahun di sini, saya tidak pernah melihat bilik di Perdana Resort habis ditempah pada hari biasa kecuali cuti am atau perayaan lain,”

Wednesday, September 28, 2005

LHDN mula risik Mawi

(Harian Metro - 28/09/2005 - Edisi KL)
Oleh Ahmad Nazri Mohamad

PORT DICKSON: Jika dulu Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi tidak perlu membayar cukai pendapatan kerana tiada pekerjaan tetap, tetapi kini, hasil daripada nyanyiannya dia sedang dipantau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ini kerana dia perlu menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang warga negara yang layak membayar cukai.

Timbalan Ketua Pengarah LHDN, Che Omar A Rahman, berkata Mawi wajib mengisytiharkan pendapatannya dalam tempoh tiga bulan selepas menerima pendapatan daripada kerjayanya sebagai penyanyi.

“Mawi, bila dia ada pendapatan, dia kena bayar cukai, dia kena isytihar,” katanya ketika ditemui di Tiara Beach Resort, di sini, semalam.

Che Omar berada di Negeri Sembilan dalam Operasi Khas Pematuhan dan Banci Perniagaan LHDN selama tiga hari bermula semalam. Turut hadir Pengarah Jabatan Pematuhan LHDN, Mohd Nizom Sairi dan Pengarah LHDN cawangan Seremban, Sezali Othman.

Menurutnya, Mawi juga perlu membuat potongan cukai semasa sementara menunggu perisytiharan pendapatan bercukainya pada tahun depan.

“Jika dia tidak isytiharkan pendapatan, esok bila kita pergi (siasat) dia dapat susahlah,” katanya.

Ditanya sama ada Mawi pernah membuat perisytiharan pendapatan sejak meraih pendapatan daripada jualan album, konsert dan persembahannya, Che Omar berkata, beliau tidak tahu mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, katanya, apabila tiba penghujung tahun, beliau percaya pihak pengurusan Mawi maklum dengan kewajipan mereka untuk membuat perisytiharan pendapatan bercukai Mawi.

Mengulas mengenai golongan artis yang membayar cukai pendapatan, Che Omar berkata, mereka bertanggungjawab untuk melaporkan pendapatan masing-masing kepada LHDN.

Menurutnya, cawangan LHDN negeri juga sentiasa memantau pendapatan artis tempatan dan memastikan mereka membayar cukai kerana golongan itu dilayan sama seperti rakyat Malaysia lain.

“Artis kena laporkan (pendapatan), nanti kita pergi dapatkan mereka susahlah.

“Kita memberi layanan yang sama, jika tidak bayar (cukai pendapatan), kita akan ambil tindakan yang sama (seperti tindakan kepada golongan yang tidak membayar cukai),” katanya.

Harian Metro melaporkan, pendapatan Mawi dijangka bertambah berikutan penjualan album Best of Mawi World mendapat sambutan hebat dan dikatakan sudah dijual hampir 170,000 unit.

Pengarah Eksekutif Operasi Maestro, Freddie Fernandez, dipetik sebagai berkata pihaknya menjangkakan Mawi bakal menerima royalti RM150,000 hasil penjualan album berkenaan pada Januari atau Februari tahun depan.

Mawi juga dilaporkan menerima gaji pertama daripada Maestro Talent & Management, selepas berpenat lelah memenuhi pelbagai undangan nyanyian sejak 16 Ogos lalu.

Gaji pertamanya dibayar pada 7 September lalu dengan anggaran jika dikira jumlah persembahan dan bayaran diterima secara purata RM6,000 selepas ditolak komisen, gaji bintang AF3 itu dalam masa dua minggu mencecah RM48,000.

Bagaimanapun, pengurusan Mawi enggan mendedahkan jumlah gaji pertama yang diterima anak Felda itu kerana menganggap terlalu peribadi untuk diberitahu kepada umum.

Mawi juga dijangka mencapai status jutawan dalam tempoh setahun bergelar artis berdasar dia menjadi rebutan untuk mengadakan persembahan, termasuk di Brunei dan Kelantan.

Konsert Bersama Mawi Ahad

(Berita Harian -28/09/2005)

BATU PAHAT: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi akan menemui peminatnya di sini, pada Konsert Bersama Mawi World yang akan diadakan di Taman Rekreasi Wet World, Ahad ini.

Selain Mawi, dua lagi bintang AF3, Amylea dan Yazer, akan turut menghiburkan peminat di sini serta kumpulan baru yang dianggotai lima anak muda kelahiran Batu Pahat, Red Five.

Pengurus D Four Entertainment yang bertanggungjawab membawa Mawi ke Batu Pahat, Mohd Dinial Harun, berkata penyanyi itu dijangka menyampaikan beberapa lagu popular antaranya, Aduh Saleha selain Seroja dan Gadis Melayu.

"Walaupun jadual beliau cukup padat selepas mengadakan konsert di Kelantan, beliau sanggup datang ke sini sebagai menghargai sokongan peminatnya di sini," katanya pada sidang akhbar di sini.

Mohd Dinial berkata, walaupun persediaan untuk mengadakan konsert itu agak singkat, beliau percaya persembahan Mawi, mampu memukau peminatnya di daerah ini.

Tiket untuk menyaksikan persembahan bintang pujaan ramai itu boleh didapati di Summit Parade Batu Pahat, Bangunan Menara Majlis Perbandaran Batu Pahat di Terminal Bas Ekspres, semua rangkaian restoran 1001 Malam dan kedai telefon bimbit Power Teleshop di Tongkang Pecah.

Orang ramai juga boleh menghubungi pengurusan konsert, Ismail Sabri 012-7320033 / 013-7111666 atau Rosihan Ahmad 017-7908182 atau Mohd Dinial 013-6364505 untuk keterangan lanjut.

Waheeda teruja kehadiran Mawi

(Berita Harian - 28/09/2005)
Sebahagian dari artikel bertajuk 'Waheeda teruja kehadiran Mawi'
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

PENYANYI irama global wanita, Waheeda, tidak cepat melatah apabila ditanya apakah perancangan rakaman lagu duet bersama juara Akademi Fantasia 3, Mawi, bakal menimbulkan tanggapan dia cuba menumpang populariti anak muda yang menjadi pujaan ramai itu ketika ini.

Bahkan, sambil tersenyum, gadis cantik ini memberitahu, dia sudah menjangkakan perkara begini akan ditimbulkan apabila berita mengenai perancangan lagu duet itu disiarkan. Malah dia cukup bersedia untuk menghadapi apa juga tanggapan peminat apabila cerita itu disebarkan.

Dia sendiri tidak menafikan, cerita menumpang populariti itu akan diperkatakan juga hasil perancangan berkenaan dan dia tidak menolak kemungkinan hakikat itu. Namun dia dengan yakin berkata, dia hanyalah produk syarikat rakamannya, MIG, manakala arah tuju dan perancangan album masih tertakluk kepada syarikat yang menaunginya.

"Lagipun, saya dan Mawi akan hanya bekerja sebagai rakan sealiran. Kami sama-sama penyanyi yang akan merakamkan lagu secara berdua. Itu hanyalah satu kerjasama antara dua artis yang disusun syarikat rakaman. Sebagai penyanyi, saya akan ikut saja, jika dibuat untuk kebaikan saya juga.

"Selain itu, saya rasakan, kerjasama saya dengan Mawi nanti agak sesuai kerana dia juga menggemari aliran serupa. Dia juga seorang penyanyi yang memiliki keupayaan tersendiri dan mempunyai ramai peminat," katanya selepas majlis pelancaran album Binafsha, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Waheeda turut menyambut ulang tahun hari lahirnya yang ke-27.

Kata Waheeda, kini MIG sedang menunggu hitam putih mengenai kerjasama mereka setelah hasrat itu sudah dimaklumkan kepada Maestro secara lisan. Secara dasarnya, persetujuan sudah pun dicapai untuk menemukan dua penyanyi terbabit dalam studio rakaman.

Jika segala-galanya berjalan seperti yang dirancang, album terbaru Waheeda yang memuatkan lagu duet itu akan menjengah pasaran pada Februari tahun depan.

Mawi mula `diintai' LHDN

(Utusan Malaysia - 28/09/2005)

PORT DICKSON 27 Sept. - Juara Akademi Fantasia Ketiga (AF3), Mawi bukan sahaja mendapat perhatian luar biasa peminat-peminatnya, tetapi kini sudah mula `diintai' oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Selain memperoleh pendapatan bulanan RM1,500, Mawi adalah artis Maestro Talent Management yang paling banyak mengadakan pertunjukan pentas serta mendapat bayaran sampingan paling tinggi.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Che Omar A. Rahman, jika Mawi mempunyai pendapatan tetap yang sudah boleh layak dicukai, penyanyi itu juga tidak terlepas daripada berbuat demikian.

``Saya tak pasti sama ada dia dah ada fail dengan LHDN atau tidak. Tetapi nasihat saya, dia kena ada kerana kalau sudah ada pendapatan tetap dan sekarang ni pula bertaraf penyanyi profesional, dia mesti buat potongan (cukai).

``Kalau kita (LHDN) sendiri yang datang pada dia nanti, takut kena penalti,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Operasi Khas Pematuhan dan Banci Bisnes cawangan Seremban di Tiara Beach Resort di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kutipan cukai terhadap individu-individu tertentu termasuk artis dan juga mereka yang berstatus tinggi dalam masyarakat.

Mawi tolak pil khayal

(Berita Harian - 28/09/2005)
Oleh Zul Husni Abdul Hamid


NASIHAT: Mawi menyampaikan ucapan motivasi kempen 'Mawi@UPM: Katakan Tidak Kepada Dadah' di UPM Serdang. Hampir seribu mahasiswa UPM mendengar ceramah beliau buat pertama kali selepas menjadi juara AF3.


SERDANG: Juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani mengakui pernah ditawarkan pil khayal oleh rakan sekolahnya namun menolak kerana tahu pengambilannya boleh memudaratkannya.

Malah, pengalaman melihat sendiri saudara terdekatnya menderita kesan pengambilan dadah mendorong dirinya untuk membabitkan diri bersama pihak berminat dalam usaha membasmi gejala itu.

Asmawi atau Mawi menyeru masyarakat supaya tidak menghina mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah, tetapi membantu mereka kembali ke jalan benar.

Justeru, beliau kecewa apabila masyarakat menyalahkan ibu bapa kerana gagal memberikan pendidikan hingga anak terbabit dengan gejala itu, sedangkan apa yang berlaku bukan kehendak mereka.

“Apa hak individu untuk menghina individu lain. Sebagai manusia, seseorang itu tidak layak untuk menghukum kesalahan orang lain kerana mungkin individu yang dihina itu lebih mulia di sisi Tuhan.

“Selama seminggu saya melihat saudara terdekat merana kerana dadah. Tiga hari sebelum meninggal dunia, arwah bercakap seorang diri. Ada masanya arwah berzanji, mengaji dan melaungkan azan.

“Saya tersentuh apabila arwah merangkak mendapatkan emak dan abahnya memohon ampun atas segala kesalahannya. Betapa mulianya hati ibu dan bapa kerana walaupun anak itu sudah menghancurkan hati mereka, namun langsung tiada dendam,” katanya di UPM, semalam.

Mawi berkongsi pengalaman dengan mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena acara ‘Mawi@UPM: Katakan Tidak Kepada Dadah’.

Program membasmi penyalahgunaan dadah di kalangan penuntut institut pengajian tinggi (IPT) adalah anjuran penuntut semester tiga Sarjana Muda Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi bagi memenuhi syarat peratusan markah subjek Strategi Perhubungan Awam, turut dihadiri Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Zahordie Bardaie.

Zahordie berkata, pembabitan personaliti bertujuan menyampaikan mesej positif kepada masyarakat secara berkesan.

Mawi berkata, pembabitannya dalam kempen itu adalah sebagai usaha awal dan tidak akan menolak sekiranya menerima pelawaan daripada badan kerajaan atau swasta untuk menentang penyalahgunaan dadah.

“ Saya berharap program ini tidak hanya terhenti di sini. Sebaliknya, diteruskan bagi memastikan masyarakat terutama generasi pewaris bangsa bebas daripada dadah,” kata Mawi.

Sementara itu, Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Zahordie Bardaie, berkata pembabitan personaliti bertujuan menyampaikan mesej positif kepada masyarakat secara berkesan.

Tuesday, September 27, 2005

Tak dapat anak, bapa pun jadi

(Harian Metro - 27/09/2005 - Soseh-soseh)

RAKAN SS yang baru balik daripada membuat liputan Konsert ‘Live’ AF3 selama dua hari di Jerudong Amphitheater, Jerudong Park & Country Club, Brunei baru-baru ini, beritahu bukan saja bintang AF3 diserbu peminat, malah Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez, pun kena serbu dengan orang di sana.

Katanya, sebaik Freddie melangkah masuk ke lobi hotel tempat penginapan bintang AF3 dan media, peminat yang setia menunggu di pekarangan hotel itu terus meluru ke arahnya. Begitulah, hebatnya penangan Akademi Fantasia.

Selama hampir seminggu bintang AF3 menginap di hotel itu, peminat sanggup tunggu kemunculan mereka dari awal pagi sehingga lewat malam. Setiap kali hendak keluar dari hotel untuk latihan dan sebagainya, mereka pasti diserbu.

Itu baru cerita Freddie. Bapa Mawi, Ani Ahmad atau Pak Atan pun diajak bergambar bersama. Tak dapat anak, bapa pun jadilah. Tetapi kata rakan SS, sepanjang berada di sana, Pak Atan ‘cool’ melayan kerenah peminat yang tidak henti-henti mahu bergambar dengannya.

Walaupun Pak Atan tidak berkata-kata apa-apa mengenai kejayaan dan sambutan hangat peminat terhadap anaknya, jauh di lubuk hatinya berbunga rasa bangga. Ini kata rakan SS, dapat dilihat dari renungan Pak Atan yang tidak beralih pandangan ketika Mawi dan 13 bekas pelajar AF3 sedang membuat latihan untuk konsert itu.

Apabila dia melihat anaknya duduk mencangkung kerana kepenatan berlatih, rakan SS terdengar dia berkata kepada temannya di sebelah yang Mawi letih dan mengantuk. Jelas terpancar kasih sayang pada sinar matanya.

Pemergian Pak Atan ke Brunei adalah di atas jemputan penganjur. Dan itulah kali pertama Pak Atan naik kapal terbang.

Nasi Kerisik Mawi pun ada!

(Berita Harian - 27/09/2005 - Propa!)
Oleh CK

HMMM... Sejak dua menjak ini, CK sudah tidak tahu nak kata apa. Mana tidaknya, ke mana pergi, orang asyik cerita fasal Mawi. Dalam akhbar dan majalah, tidak payah ceritalah, hampir setiap hari dan dalam setiap keluaran ada muka dia.

Yalah, orang tengah popular, banyaklah yang nak dikorek kisahnya. Masalahnya, bukan setakat cerita saja yang peminat hendak tahu, bahkan kalau boleh, semua benda hendak diMawikan mereka. Sudah dekat musim raya ni, dengar khabar, songkok dan kopiah Mawi pun sudah mula memenuhi rak jualan.

Oh ya, cerita fasal raya, kenalah juga sentuh fasal Ramadan. Semalam, Sheraton Subang Hotel & Towers mengadakan majlis memperkenalkan promosi Ramadan Berbuka Puasa eksklusif yang membabitkan lebih 100 makanan yang akan bermula dari 5 hingga 31 Oktober depan.

Pada majlis sidang akhbar mengumumkan perkara itu, turut diadakan ialah demonstrasi masakan oleh seorang selebriti yang juga pelakon komedi terkenal. Antara juadah yang disediakan tukang masak popular ini ialah Nasi Kerisik Mawi dan Rendang Kampung Mawi.

Wah, tidak lama lagi, panjanglah orang beratur kat situ untuk merasa makanan yang menggunakan nama Mawi tu. Bukan apa, sekarang ini, apa saja yang ada nama Mawi, mungkin larisnya lebih sikit berbanding jenama biasa. Cuma CK tertanya-tanya, nasi kerisik yang guna nama Mawi tu, lebih sedap ke rasanya?

Ubat rindu peminat

(Harian Metro - 27/09/2005)
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my


IKHLAS...Mawi (kiri) mewakili Maestro menyampaikan sumbangan kepada Ali.

KEHADIRAN 14 bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) terutama juaranya, Asmawi Ani atau Mawi, berjaya mengubat kerinduan peminat di Brunei Darussalam apabila buat julung kalinya mereka menjejakkan kaki di negara itu bagi menjayakan Konsert AF3 Live In Brunei.

Konsert dua hari itu (23 dan 24 September lalu) berlangsung di Dewan Amphitheatre Taman Jerudong, dibanjiri hampir 5,000 penonton. Mereka datang seawal jam 6 petang ke dewan itu untuk menyaksikan sendiri wajah bintang kesayangan mereka iaitu Felix, Amylea, Marsha, Yazer, Kefli, Aidil, Reza, Fuad, Idayu, Elliza, Akma, Ekin dan Amy selain Mawi.

Semua bintang AF3, penyanyi latar penari dan pemuzik diterbangkan ke Brunei oleh penganjur konsert DeHayat Musical & Production Sdn Bhd (DeHayat). Pengarah muzik konsert itu, Sham Kamikaze.

Acara pada malam itu dimulakan dengan persembahan artis tempatan. Bagaimanapun, peminat bagaikan tidak sabar menanti kemunculan bintang kesayangan mereka.

Seperti mana hebatnya sambutan dan teriakan penonton Malaysia sewaktu berlangsungnya konsert minggu AF3 di Stadium Malawati, Shah Alam, begitu jugalah dengan penonton yang memenuhi setiap ruang dewan itu.

Bukan saja teriakan malah ada yang membawa kad dan sepanduk tertera nama bintang kegemaran masing-masing. Tambah memeriahkan keadaan, mereka turut melaungkan gelaran bintang pujaan mereka seperti Yazer yang terkenal dengan 'rock steady', Kefli pula 'praap' dan tentu sekali Mawi bergema pekikan 'World'.

Suasana malam Sabtu itu agak dingin kerana seharian hujan membasahi negara itu. Namun, sebaik saja konsert bermula jam 8.30 malam, kedinginan malam semakin tidak dirasai kerana penonton mula bertepuk sorak sebaik saja muncul Ekin yang menghangatkan malam bersejarah itu dengan lagu rancak, Let's Get Loud.

Ternyata, Ekin yang nampak sangat comel mengenakan rambut palsu pendek cukup selesa sekali berhadapan dengan penonton di sana kerana mereka berkomunikasi menggunakan loghat bahasa sama. Mungkin pada konsert itu terubat juga rindu Ekin untuk bertutur menggunakan bahasanya yang mungkin kini jarang digunakannya.

Hadir sama menyaksikan persembahan Ekin dan rakannya yang lain ialah ibu bapa Ekin, Semah Bakar, 49, dan Abdul Rahman Madon, 55, yang datang dari Labuan dan menginap semalam di Brunei.

Kemudian masing-masing tampil dengan persembahan bertenaga diikuti Elliza (Dedebu Cinta), Akma (Cahaya) dan gandingan semua bintang wanita AF3, mendendangkan lagu Cinta Di Akhir Garisan.


MESRA...Mawi melayan peminat yang dipanggil ke pentas.

Sesekali persembahan mereka diceriakan dengan celoteh pengacaranya, Ogy Ahmad Daud yang didatangkan khas ke Brunei. Dengan kemunculan Akma di pentas,Ogy juga mengambil peluang itu mengusik Akma dengan Felix yang dikatakan hangat bercinta.

Suasana terus rancak dengan nyanyian Yazer (Ready For Love). Sebaik habis persembahan sekali lagi Ogy mencelah dengan bertanyakan gosip cinta Yazer dan Ekin pula. Namun baik Akma atau Yazer, masing-masing menjawab 'hanya teman biasa'.

Selepas itu Reza pula muncul di pentas dengan lagunya, Alahai Emak Kahwinkan Aku, diikuti nyanyian beramai-ramai bintang lelaki AF3, Raikan Cinta dan pentas diserahkan kepada Idayu yang melontarkan suara lantangnya menerusi lagu Curiga.

Persembahan konsert itu diteruskan dengan nyanyian mendayu Kefli (Berhenti Mengharap). Ternyata anak muda yang berwajah keanak-anakan itu berjaya menjiwai lagu itu dengan baik sekali walaupun ketika itu dia selesema dan demam.

Amy muncul dengan lagu Fallin', Aidil (Senyuman Ragamu), nyanyian beramai-ramai lagu Hindi dan dua lagu dipetik dari filem Grease, Amylea (Dua Insan Bercinta), Marsha (Manusia), Felix (Berjuta Batu) dan yang paling dinantikan, Mawi dengan dua lagu berhantunya, Gadis Melayu dan Aduh Saliha.

Tidak ketinggalan akhir sekali, 14 bekas pelajar itu menyampaikan lagi 'paling popular' AF3, Menuju Puncak.

Konsert itu juga diserikan dengan kehadiran Pengiran Muda Sufri Bolkiah dan anakandanya, Pengiran Anak Aliiyah, Pengiran Muda Abdul Aleem dan Pengiran Anak Aizzatul.

Sementara itu, Pengarah Urusan DeHayat, Pengiran Abu Bakar Pengiran Othman, berkata pihaknya amat berpuas hati dengan persembahan semua bintang AF3 dan beliau bersedia menganjurkan konsert itu lagi sekiranya ada permintaan.

"Sambutan sangat hebat dan ini dibuktikan apabila tiket konsert habis dijual dalam masa seminggu saja. Dibandingkan dengan AF1 dan AF2, peminat di Brunei betul-betul tidak sabar menunggu kedatangan AF3.

"Untuk menjayakan konsert ini, saya dan tenaga kerja Dehayat terpaksa bekerja keras dalam masa sebulan setengah kerana jadual bintang AF3 yang sangat padat.

"Konsert ini menelan belanja RB200,00 (RM458,000). Kalau ada kesempatan untuk membawa mereka ke sini lagi mungkin hanya dua tiga orang saja," katanya.

Sebelum itu, pada 21 September, semua bintang AF3 berada di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) untuk sesi bertemu peminat, bergambar dan menandatangani autograf.

Manakala pada 23 September, mereka dijemput pula ke Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah untuk menyampaikan sumbangan sebahagian daripada kutipan konsert itu bagi mengisi dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim.

Sumbangan itu diserahkan oleh Mawi mewakili Maestro kepada Ketua Pengarah Yayasan itu, Datuk Paduka Ali Hashim Daud. DeHayat juga memberikan sumbangan sama.

Monday, September 26, 2005

Baju Melayu Mawi siap hanya tiga jam

(Hrian Metro - 26/09/2005 - Edisi Timur)

KOTA BHARU: Seorang tukang jahit akan berusaha menyiapkan sepasang baju Melayu dalam masa tiga jam yang bakal dipakai oleh Juara Akademi Fantasia 3, Mawi, pada malam konsertnya di Padang Perdana, di sini, Sabtu depan.

Tukang jahit itu, Mohd Azmi Sidek, 38, berkata beliau diminta oleh pihak kerajaan negeri beberapa hari lalu supaya `bersedia’ untuk menyiapkan sepasang baju Melayu untuk Mawi termasuk persalinan lain seperti kain samping dan songkok dalam tempoh tiga jam.

Beliau berkata, sebaik sampai di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi Jumaat ini, Mawi akan dibawa terus pihak kerajaan negeri ke kedainya untuk diambil ukuran saiz badan.

Katanya, pihaknya menjangkakan Asmawi Ani atau lebih dikenali, Mawi itu akan sampai di kedainya, kira-kira jam 10 pagi sambil diiringi beberapa pengawal peribadinya.

“Saya sendiri akan mengukur badan Mawi termasuk menjahit baju dan seluar berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak kerajaan negeri, sebaik saja ianya siap.

“Memang hati ini berdebar kerana inilah pertama kali saya bertemu dengan artis popular walaupun sebelum ini saya pernah menjahit baju milik orang kenamaan.

“Sebab itulah, bagi memuaskan hati Mawi dan semua pihak, dengan pengalaman yang ada, saya sendiri akan menjahit bajunya itu kerana sedikit kesilapan, boleh membawa `padah’.

“Sepanjang pembabitan hampir 20 tahun dalam bidang jahitan, saya tidak pernah menerima tempahan yang boleh disiapkan dalam masa tiga jam,” katanya ketika ditemui di kedainya di Summit Style Tailor, Padang Merdeka, di sini, semalam.

Menurut Mohd Azmi, beliau akan berusaha dengan tekun dan berhati-hati untuk menyiapkan satu set persalinan lengkap baju Mawi termasuk kain samping dan songkok itu.

Katanya, warna untuk baju Melayu Mawi belum ditentukan oleh pihak kerajaan negeri lagi, tetapi beliau difahamkan, warna itu tidak akan menyebelahi `warna politik’ bagi kedua-dua belah pihak.

“Kehadiran bintang popular itu ke kedai saya diibaratkan `mimpi di siang hari’ dan tidak menduga, saya diamanahkan pula untuk menyiapkan baju Melayu Mawi itu.

“Saya akan memberi khidmat terbaik untuk juara AF3 itu. Lagipun, saya dan keluarga turut meminati penyanyi berasal dari Johor itu hinggakan semua koleksi Mawi termasuk cakera padat video (VCD) ada dalam simpanan kami,” katanya.

Sunday, September 25, 2005

"Saya tidak reti berpolitik"

(Utusan Malaysia - 25/09/2005)
Mukadimah
DI mana-mana sahaja sekarang orang bercakap tentang Mawi. Anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini dikatakan mempunyai aura yang mampu membuat ratusan ribu peminat tertarik kepadanya.

Sememangnya kehadiran Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 24, dilihat oleh banyak pihak sebagai satu kemunculan luar biasa dalam industri muzik tanah air.

Albumnya terjual sebanyak 150,000 unit dalam masa hanya seminggu. Ada pihak mendakwa, apa yang berlaku kepada Mawi bukanlah perkara baru. Jamal Abdillah juga dikatakan pernah melalui pengalaman sama. Cuma yang berbeza, dulu tiada khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi membolehkan peminat menunjukkan sokongan mereka.

Luar biasanya Mawi, dirinya bukan sahaja diperkatakan di kalangan para peminat malah turut mengundang perbahasan golongan cerdik pandai dan ahli-ahli politik.

Hakikatnya Mawi bukanlah penyanyi hebat. Dia adalah hasil program realiti televisyen, Akademi Fantasia 3 (AF3), sebuah program yang memberi peluang anak-anak muda mengembangkan bakat mereka.

Namun ada sesuatu yang menyebabkan dia menjadi `kegilaan' ramai sehingga mewujudkan fenomena dipanggil `tsumawi'.

Antara jawapan yang sering diperkatakan mengapa Mawi digilai ialah kerana selain bakat yang ada, dia dilihat sebagai seorang pemuda kampung yang jujur dan paling penting, tidak meninggalkan ciri-ciri yang dituntut sebagai seorang umat Islam.

Ditanya mengapa dirinya menjadi begitu `penting' sehingga ada yang melihatnya sebagai role-model remaja hari ini, antara lain Mawi menjawab: ``Itu hak mereka untuk menilai saya. Cuma saya akan terus cuba buat contoh-contoh yang terbaik.''

Pertemuan yang cuba diatur dalam keadaan lebih teratur akhirnya berlangsung di sebuah studio tempat Mawi dan bekas-bekas pelajar AF3 menjalani latihan persediaan sebelum mereka mengadakan persembahan.

Sepanjang pertemuan hampir 45 minit itu, Mawi kelihatan teragak-agak untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan terutama yang berkaitan tentang dirinya.

Pertemuan malam itu turut disertai seorang pegawai perhubungan awam (PR) Maestro yang beberapa kali cuba bertindak memberi jawapan bagi pihak Mawi.

Wartawan NOOR AZAM SHAIRI, SITI MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar MAHATHIR ALI cuba menyingkap realiti kehidupan insan bernama Mawi.

MINGGUAN: Macam mana keadaan Mawi sekarang?

MAWI: Macam inilah.

Mawi pernah menjangka akan menjadi macam ini selepas keluar daripada AF?

MAWI: Saya tak sangka jadi macam ini.

Tetapi impian Mawi memang hendak jadi penyanyi?

MAWI: Saya rasa AF sebagai platform untuk mengembangkan bakat. Tujuan utama dulu sebab tengok budak-budak AF sebelum ini ada yang dapat jadi deejay. Sebab itulah sebenarnya saya nak jadi deejay.

Orang meletakkan Mawi sebagai satu role-model. Apa komen Mawi?

MAWI: Memang saya rasa macam tak percaya. Sebab orang percaya pada saya. Apa yang saya tunjuk itu adalah diri saya. Kalau orang kata apa yang saya buat itu baik, itu hak mereka untuk menilai. Cuma saya akan terus cuba buat contoh-contoh yang terbaik.

Ini bukan satu keadaan yang pelik bagi Mawi?

MAWI: Saya adalah saya. Kalau orang kata, saya boleh dibuat contoh atau apa ke, terpulanglah (kepada mereka), saya terima.

Mawi sendiri fikir Mawi boleh jadi contoh?

MAWI: Insya-Allah. Orang yang menilai kita.

Apa perbezaan ketara yang Mawi alami sebelum dan selepas dikenali?

MAWI: Sebelum ini orang tak kenal saya, selepas AF, orang kenal saya. Itu sahaja perbezaannya.

Mawi dapat terima dengan keadaan yang berubah sekelip mata begini?

MAWI: Dapat. Bagi saya ini rezeki. Hendak tak hendak saya kena terima.

Selepas sebulan setengah ini, pernah Mawi duduk dan memikirkan tentang apa yang sedang berlaku kepada hidup Mawi?

MAWI: Pernah. Kadang-kadang saya duduk seorang diri dan fikir apa jadi pada saya.

Dulu siapa Mawi?

MAWI: Dulu saya (PR yang menemani Mawi sepanjang temu bual ini berlangsung mencelah dan memberi panduan supaya Mawi hanya bercakap tentang kerja-kerja yang pernah dilakukannya sebelum ini). Kerja pertama saya, saya jadi guru fardu ain. Selepas itu kerja di pasar raya, kemudian buat deejay seperti di restoran dan majlis-majlis perkahwinan. Selepas deejay, saya cuba (masuk) AF. Itu pun atas gesaan kawan-kawan. Saya tak nak sebenarnya. Saya pergi ikutkan kehendak kawan-kawan.

Mawi rasa pelik tak apabila orang selalu kata: ``Budak ini bagus, baik,'' ``Inilah contoh yang kita hendak'' dan sebagainya. Padahal soal solat dan sebagainya memang sebahagian daripada kita. Kalau bukan penyanyi pun kita masih wajib melakukan tuntutan ini?

MAWI: Semasa masih dalam AF, apabila buat persembahan di pentas, tengok orang menjerit, saya terfikir juga perkara ini. Sejak mula menyanyikan lagu Kekasih Awal dan Akhir kemudian lagu Hattan, keadaan ini berterusan. Itu yang menyebabkan blank - lupa lirik. Apabila lupa lirik - meremang bulu roma. Saya tertanya-tanya, kenapa orang menjerit macam ini. Saya dapat rasa yang jeritan mereka tak sama macam orang lain (diberi kepada pelajar-pelajar AF yang lain).

Apa yang Mawi bayangkan waktu itu?

MAWI: Saya bayangkan itulah - orang menjerit-jerit, meremang-remang bulu roma saya. Semasa itu belum dapat terima hakikat lagi.

Ada pensyarah kata, kalau hendak memahami fikiran orang Melayu, tengok reaksi mereka kepada Mawi. Apa komen Mawi?

MAWI: Tak tahulah sebab kita orang Islam, Melayu. Saya memang dari kecil dididik oleh emak bapa macam itu. Dan itulah saya. Tiada apa-apa yang istimewanya saya ini.

Itulah soalan yang ditanya tadi, Mawi hairan tak apabila orang berfikiran begitu?

MAWI: Macam saya cakap tadi juga. Pada mulanya adalah. Pelik kenapa orang jerit-jerit.

Sebelum menjadi penyanyi, apa yang sering Mawi lakukan?

MAWI: Saya suka (ketawa) sukan, berkawan - dari kecil sampailah yang tua.

Peramahlah?

MAWI: Tidaklah ramah tetapi saya cuba tidak tumpukan kepada rakan-rakan sebaya sahaja. Saya berkawan ada yang peringkat umur 50, 60 tahun.

Macam mana Mawi menggambarkan diri Mawi sebenarnya?

MAWI: (PR mencelah lagi mengatakan Mawi tidak suka bercakap tentang kisah dirinya. Dan menyambung: Macam inilah kalau awak pergi ke rumah dia (Mawi), masuk-masuk ada satu almari, di dalamnya semua piala. Saya ingat dia main bola ke takraw ke lumba lari ke, tengok-tengok, nasyid, berzanji, pertandingan membaca al-Quran, sebab itu yang dilakukannya selain lepak dan bekerja, macam kehidupan biasalah).

Mawi nampak tension kenapa?

MAWI: Tak tension (ketawa). Saya dengar apa yang dia (PR) cakap, saya fikir.

Secara tak langsung orang sekarang melihat Mawi terbabit dalam politik?

MAWI: Itu mereka yang membabitkan (saya). Saya tak terbabit pun. Saya sekarang sebagai seorang penyanyi, penghibur, tiada kena-mengena dengan apa-apa (parti) politik. Saya buat kerja saya sahaja. Saya rasa tanggungjawab saya sekarang, apa yang saya buat ialah kerja. Saya cari rezeki hendak tolong emak bapa saya. Itu sahaja. Kalau orang hendak mengaitkan saya dengan politik, saya tak ada kena-mengena.

MAWI: Saya pergi ke Kelantan untuk membalas jasa baik penyokong-penyokong saya yang ada di Kelantan. Itu sahaja. Saya hendak berjumpa peminat. Jemputan itu sebagai satu penghormatan bagi saya. Apa sahaja komen atau kritikan terhadap saya, saya hormat pendapat mereka. Semua orang berhak memberikan pendapat, betul tak? Saya terima itu untuk memajukan diri saya.

Kalau ada orang mengatakan Mawi mampu menjadi titik pertemuan kepada kerjasama antara UMNO dan Pas, macam mana?

MAWI: Itu orang yang kata. Saya nak cakap apa? Pada saya alhamdulillah sahajalah. Kalau ini bagus (buat orang Melayu) saya okey.

Mawi tidak rasa macam diperalatkan dalam permainan politik?

MAWI: Saya rasa tak ada. Saya cuma buat kerja saya. Saya tak reti hendak bermain politik. Saya pun menyanyi baru sebulan - banyak perlu belajar, saya masih bertatih lagi.

Kalau betul dapat dan berupaya menyatupadukan orang Melayu, apa komen Mawi?

MAWI: Kalau mereka bersatu, alhamdulillah.

Ke mana-mana Mawi pergi sekarang, Mawi akan membawa imej `Belia Benci Dadah.' Mengapa memilih isu dadah?

MAWI: Sebab dadah ini musuh nombor satu negara. Kalau tengok statistik, orang Melayu paling ramai terlibat. Atas rasa tanggungjawab, mungkin ini jalan terbaik. Kita sama-samalah membasmi dadah.

Sebelum ke isu dadah, kenapa tidak bermula dengan isu yang asas iaitu rokok?

MAWI: Sebab dadah ini isu yang terlalu besar. Kesannya juga besar.

Mawi pernah melihat kesan-kesan itu?

MAWI: Pernah. Saya anak peneroka, contoh yang terdekat bagi saya ialah anak-anak peneroka terjebak dalam masalah ini.

Adakah isu dadah ini diangkat oleh Mawi kerana untuk menyampaikan pengalaman melihat apa yang berlaku disekeliling?

MAWI: Saya hendak ajak semua orang faham bahawa dadah ini berbahaya. Kalau kita tengok dalam masyarakat kita ini, ramai yang mati sebab dadah. Jadi kita sama-sama boleh fikir sendiri, tak guna ambil dadah ini sebab hanya bawa padah sahaja.

Apa perasaan Mawi apabila tengok kawan-kawan sengsara disebabkan dadah?

MAWI: Nak cerita kisah kawan-kawan leceh juga.

Ini untuk pengajaran kepada orang lain.

(PR terus mencelah katanya, ini bukan masa yang sesuai untuk menceritakan kisah kawan-kawan Mawi yang pernah terjebak dengan dadah. Alasannya tidak mahu melukakan perasaan ahli keluarga mereka).

Apa perancangan Mawi selepas ini?

MAWI: Ikut program-program yang telah diatur oleh Maestro. Macam lepas ini (Rabu) pergi ke Brunei kemudian ada aktiviti marhaban dan berzanji (sempena Ramadan) selain majlis-majlis lain lagi.

Tadi Mawi kata Mawi baru bertatih dalam industri seni. Boleh jelaskan maksud ini?

MAWI: Saya pun baru sebulan menjadi penyanyi. Pada saya banyak lagi yang kurang pada diri saya - dari segi vokal nak kena belajar lagi begitu juga dengan persembahan dan tarian, banyak yang perlu dibuat. Jadi dari semasa ke semasa saya tengah belajar lagi.

Selain peminat, ramai juga yang mengkritik Mawi. Bagi mereka apa yang Mawi dapat tidak setimpal dengan kebolehan Mawi?

MAWI: Kritikan itu bagi saya satu benda yang sihat. Kalau kritikan yang membina dan jujur saya memang mengalu-alukannya. Tetapi kalau mengkritik semata-mata kerana hendak menghancurkan, itu tak eloklah.

Berbalik kepada soal role-model tadi. Mawi boleh terima tanggungjawab ini? Apa reaksi Mawi sendiri tentang perkara ini?

MAWI: Rasa macam ya tak ya tetapi saya cuba tunjukkan yang terbaik. (Sekali lagi PR menyampuk dan mengatakan sekarang masih terlalu awal untuk menilai Mawi).

Bagaimana Mawi melihat fenomena ketaksuban orang ramai terhadap Mawi?

MAWI: Saya terperanjat juga apabila dengar anak dia tak pergi sekolah, nenek dia demam, emak dia demam. Saya cakap, apa hal ini? Benda itu menjadi tanda-tanya bagi saya. Saya sendiri sebenarnya tak ada jawapan.

Pesan Mawi kepada mereka yang taksub?

MAWI: Jangan taksub. Sebab saya pun manusia biasa juga. Tak ada orang yang sempurna.

Kenapa Mawi selalu cakap ``World, world juga tapi akhirat jangan lupa.''

MAWI: Sebab apabila mereka bersorak, (macam) tak ingat apa. Jadi macam luar kawalan. Apabila begitu, saya cuba ingatkan mereka sikit.

Adakah Mawi fikir Mawi boleh mengubah orang?

MAWI: Mengubah orang itu besar (tanggungjawab). Mengubah diri sendiri yang penting hati kita. Hanya diri sendiri sahaja boleh mengubah diri kita. Saya kalau nak mengubah semua orang saya tak mampu. Tetapi saya cuba menyampaikannya menerusi mesej-mesej tertentu macam dari segi lagu.

Maksudnya kalau nak mengubah diri bergantung kepada diri sendiri bukan Mawi?

MAWI: Pokok pangkalnya hati. Insya-Allah kalau kita ikhlas.

Mawi gembira dengan apa yang berlaku ke atas diri Mawi sekarang?

MAWI: Gembira. Alhamdulillah saya bersyukur.

Tak terasa ini semua beban kepada Mawi?

MAWI: Mula-mula sahaja, semasa hendak sesuaikan diri, biasalah. Tetapi sekarang saya dah boleh sesuaikan dengan keadaan.

AE05 dominasi bintang AF

(Utusan Malaysia - 25/09/2005)
Oleh: JAMLIAH ABDULLAH

SATU yang ketara dalam keputusan pemenang Anugerah Era (AE05) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil minggu lepas adalah dominasi peserta program realiti Akademi Fantasia (AF). Demam AF belum berakhir agaknya.

Zahid, juara AF2 membawa pulang trofi Artis Harapan Pilihan. Bersama kumpulan KRU, Adam AF2 pula menang dua anugerah iaitu Vokal Duo/Berkumpulan Pilihan dan Muzik Video Pilihan.

Pertaruhan lagu Yang Terhangat Di Pasaran itu nampaknya menjadi. Tidak ketinggalan adalah juara AF3, Mawi yang turut membawa pulang trofi Artis Pilihan SMS DiGi. Ia adalah kategori baru yang diperkenalkan oleh penganjur dan penaja.

Siapa yang dapat menafikan aura Mawi yang sejak awal-awal lagi diramalkan membawa pulang trofi tersebut walaupun tidak tercalon dalam mana-mana kategori lain.

Selain Mawi, penyanyi nombor satu negara Siti Nurhaliza juga disebut-sebut sebagai pemenang kategori tersebut. Siti bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong kerana vokalnya masih menjadi pilihan ramai.

Barangkali berbanding dengan keputusan tahun lepas, kemenangan AE05 itu sudah dapat diramalkan.

Apatah lagi dengan kehadiran peserta AF tersebut yang sememangnya sudah popular di kalangan peminat muzik. Anugerah itu adalah bonus bagi mereka.

Begitu juga tiada siapa yang layak mempertikaikan kemenangan tersebut memandangkan ia adalah pilihan mutlak peminat.

``Saya juga sebenarnya sudah bersedia untuk menjadi yang terbaik, insya-Allah,'' komen Mawi tentang kemenangannya. Trofi itu adalah anugerah pertama Mawi selepas menjuarai AF3.

Siti pula yang tercalon untuk lima kategori hanya berjaya membawa pulang satu trofi. Apa yang menjadi persoalan barangkali semakin pudarkah populariti Siti?

Memberi komen selepas majlis tersebut, Siti tidak menafikan populariti artis lain terutama Mawi.

``Sedangkan Michael Schumacher pun kalah inikan Siti. Mawi layak menang dan saya akui itu,'' komen Siti tentang kemenangan Mawi.

Siti bagaimanapun menolak ia adalah satu ramalan tentang kejatuhannya sebaliknya bukan rezekinya untuk menang pada malam itu.

AE05 juga turut menyaksikan kemenangan wajah baru seperti penyanyi lagu Elergi Sepi, Azharina ( Lagu Pop Pilihan) dan Dayang Nurfaizah (Irama Global Pilihan) bagi lagu Erti Hidup.

Kumpulan Spider pula tetap membuktikan mereka band popular negara dengan anugerah Band Pilihan. Sesuatu yang mengejutkan kerana di sebalik populariti kumpulan Peterpan yang turut menjadi calon.

Itu adalah kali kedua berturut-turut Spider menang. Trofi kemenangan Spider pada tahun lepas iaitu Lagu Rock Pilihan bagaimanapun disambar oleh kumpulan Peterpan bagi lagu Mungkin Nanti.

Mungkin Nanti juga berjaya memenangi Anugerah Carta Era setelah berada 10 minggu di carta lagu paling popular itu.

Penyanyi Anuar Zain masih membuktikan keunggulan vokalnya. Berbanding dengan keputusan tahun-tahun lepas, AE05 barangkali paling memuaskan kerana lagu atau artis yang menang sememangnya yang paling popular pada masa ini.

Para penonton sendiri iaitu seramai 10,000 yang membanjiri stadium tersebut sudah mengetahui pilihan mereka tepat.

Dari segi persembahan, barangkali tiada sesuatu yang baru dipersembahkan. Seperti tahun-tahun lepas, beberapa artis tampil membuat persembahan menyampaikan lagu popular mereka.

Persembahan pembukaan adalah daripada pemenang AE yang lepas iaitu Ferhad (Kasih Berubah), Exist (Jesnita), Misha Omar (Bunga-Bunga Cinta) dan Ziana Zain (Bukan).

Turut membuat persembahan adalah artis Sharifah Zarina, Aidil AF3, Ahli Fiqir, Jamal Abdillah, Nash, Man Kidal, Mawi, Adam dan Siti Nurhaliza.

Sesuatu yang ketara memburukkan keadaan pada majlis itu adalah kesilapan teknikal yang membabitkan audio. Ia memang mengganggu beberapa persembahan artis terbabit.

Bagaimanapun pelbagai sketsa yang dilakonkan oleh jurucakap DiGi, Apek Senario nyata mencuit hati.

Begitu juga seperti tahun-tahun lepas, kehadiran tuan rumah sendiri iaitu deejay-deejay Era tetap ada. Satu kelainan adalah konti deejay tersebut kini dibawa ke stadium tersebut.

Pengacara popular, Aznil Haji Nawawi dan deejay Linda Onn bertindak sebagai hos bagi AE05.

Telatah mereka memang bersahaja dan menghiburkan dengan perang mulut antara deejay radio dan pengacara televisyen.

Tema Fun & Funky yang mewarnai karpet merah pada malam tersebut juga kurang menjadi, apatah lagi apabila melihatkan banyak yang menjadi mangsa gaya tersebut.

VCD Karaoke Mawi - 30 September

(Harian Metro - 25/09/2005)
Sebahagian dari artikel bertajuk 'CERITA ARTIS KITA: Yazer, Idayu Dilamar M Nasir?'

Sehingga Rabu lalu, album Mawi saja mencecah 170,000 dan Felix mula melebihi 14,000 unit. Tidak cukup dengan itu, Zezz merancang mengeluarkan VCD karaoke Mawi pada 30 September ini. Tempahan pertama dicatat sebanyak 30,000 unit.

Majlis amal bersama Mawi kumpul RM200,000

(Berita Harian - 25/09/2005)

KOTA BHARU: Majlis minum petang amal bersama Juara Akademi Fantasia 3, Mawi dan Persatuan Orang Kurang Upaya (OKU) Kelantan yang dijadualkan Rabu depan, berjaya mengumpul sumbangan hampir RM200,000.

Selain membiayai kos majlis yang berlangsung, sebahagian besar sumbangan itu akan diagihkan kepada 34 persatuan OKU seluruh negeri ini, Jumaat depan.

Sumbangan kewangan itu diperoleh hasil jualan 21 meja jamuan berharga RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu.

Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, berkenan menghadiri majlis itu dan Mawi akan mengadakan persembahan tertutup secara eksklusif kepada kira-kira 500 tetamu.

Pengarah Urusetia Penerangan Negeri, Abdul Rahman Yunus, berkata Mawi bersama rombongan dan ahli keluarganya dijangka tiba di Kota Bharu pada 29 September ini.

Beliau berkata, acara penyanyi terbabit akan bermula pada 30 September dengan menghadiri majlis bersama Menteri Besar di Dataran Ilmu pada jam 9 pagi sebelum sidang akhbar bersama di kediaman rasmi Menteri Besar, JKR10.

"Majlis minum petang amal dengan kehadiran Raja Perempuan akan berlangsung di Dewan Bunga Tanjong, Hotel Perdana jam 3 petang berkenaan dan Mawi akan membuat persembahan tertutup di situ.

"Konsert Amal Tautan Kasih akan berlangsung di Padang Perdana jam 8.30 malam, dimulakan dengan solat Isyak berjemaah semua penonton yang hadir menyaksikan persembahan malam itu.

"Penonton yang akan diasingkan mengikut kategori perempuan, lelaki dan keluarga dinasihatkan membawa bersama sejadah dan mengambil air sembahyang untuk solat berjemaah sebelum acara bermula," katanya.

Abdul Rahman berkata, Mawi akan menyertai Senamrobik Perdana bersama Menteri Besar di Padang Perdana pada jam 7.30 pagi Sabtu dan kira-kira 2,000 peserta awal akan mendapat cendera hati kemeja T.

Persembahan Mawi di Kelantan diteruskan

(Berita Harian - 25/09/2005)

KUALA LUMPUR: Program kebudayaan membabitkan persembahan nyanyian bintang Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi yang sebelum ini dibantah Dewan Ulama Pas Pusat, tetap diteruskan Kerajaan Kelantan, sempena perisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) 1 Oktober ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata Jawatankuasa Pas Pusat membuat keputusan itu pada mesyuaratnya 11 September lalu sesudah menerima maklumat program itu.

“Jawatankuasa Pas pusat menerima maklumat penuh mengenai program itu... di sana dilaporkan garis panduan lengkap mengikut peraturan Enakmen Hiburan Kerajaan Kelantan yang melaksanakan syariat Islam.

“Kami menyokong program ini selepas meneliti dan melihat garis panduan yang ditetapkan seperti majlis sembahyang jemaah sebelum pertunjukan diadakan, menghindar pergaulan bebas yang bercanggah dengan Islam serta syarat lain yang boleh menjamin majlis itu diadakan sebaik-baiknya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti itu di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, membantah tindakan Kerajaan Kelantan menjemput Mawi mengadakan persembahan di negeri itu dengan menyatakan Mawi bukan seorang penyanyi hiburan Islam sebenar, sebaliknya hasil rancangan realiti televisyen yang menyimpang daripada ajaran agama.

Pada 15 September lalu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bertegas meneruskan program itu dan tidak mahu ia dijadikan isu.

Abdul Hadi berkata, Dewan Ulama Pas sebelum ini membantah majlis itu kerana bimbang majlis itu dilaksanakan dengan cara bercanggah dengan Islam.

Tetapi dengan adanya garis panduan yang disediakan menepati hukum Islam, katanya, apa yang dibimbangkan itu dapat diselesaikan dan diterima oleh Dewan Ulama.

“Program ini diatur Kerajaan Kelantan dengan paduan yang dinyatakan dan disertai kumpulan nasyid... bukan Mawi saja, saya difahamkan Mawi sampaikan dua lagu saja,” katanya.

Katanya, Mawi juga akan menjadi bilal melaungkan azan untuk sembahyang Isyak berjemaah sebelum persembahan, yang cara itu diharap menjadi model bagi penganjuran majlis seumpama itu.

Ditanya sama ada langkah menjemput Mawi itu menandakan Pas memilih jalan atau imej sederhana mengenai hiburan, beliau berkata, Pas sebelum ini pernah mengadakan beberapa konsert di Markas Tarbiyyah di sini dan di Terengganu ketika mentadbir negeri itu.

Hadi juga berkata, Pas meminta kerajaan Malaysia sebagai pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mendesak pertubuhan antarabangsa memberi pembelaan sewajarnya kepada umat Islam di selatan Thailand.

Katanya, Pas meminta masalah itu diselesaikan secara demokratik sebagaimana penyelesaian terhadap masalah Timur Timor (kini Timor Leste) dulu.

Katanya, Pas juga meminta supaya kerajaan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan membebaskan tahanan yang ditahan mengikut akta itu.

Mawi masuk UPM

(Utusan Malaysia - 25/09/2005)

Dalam dok kecoh macam-macam hal, penyanyi yang paling popular masa kini, Mawi khabarnya masuk universiti.

Mawi dapat peluang belajar ke? Maklum saja sebelum ini ada universiti yang menyediakan tempat untuk artis-artis yang difikirkan layak. Antara orang yang pernah diberi tawaran ialah pengacara dan pelakon popular, Ogy Ahmad Daud yang ditawarkan belajar di sebuah universiti.

Tapi lain kesnya dengan Mawi. Sebabnya Mawi masuk universiti kerana mahu beri ceramah membanteras dadah.

Mawi akan berada di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang pada pukul 10 pagi 28 September ini untuk memberi ceramah khas tentang bahaya najis dadah.

Acara yang dinamakan Mawi@UPM ini dianjurkan oleh pelajar-pelajar Kursus Strategi Perhubungan Awam (KOC 3431) UPM di bawah seliaan pensyarah Mohd. Fauzi Abdul Latiff.

Acara itu dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan Maestro Talent. Seperti yang diberitahu oleh `boss' Maestro Talent, Freddie Fernandez, Mawi menyatakan persetujuannya untuk hadir ke majlis itu.

``Mawi minat sangat bila cakap acara ini untuk kempen antidadah di kalangan pelajar,'' kata Freddie kepada Pancaindera.

Tambahan pula ini adalah pertama kali Mawi masuk ke universiti setelah bergelar artis.

Acara ini juga sebagai bukti keprihatinan Maestro Talent kepada kerja-kerja sosial terhadap masyarakat. Jadi kalau kata syarikat berkenaan hanya kaut untung saja, tak betul sama sekali. Sebabnya mereka juga menyumbang kepada negara dengan cara memberi sokongan kepada acara seperti ini.

``Saya rasa ia adalah pertemuan yang sangat bermakna dinanti-nantikan oleh semua pihak.

``Majlis ini juga akan menjadi medan untuk Mawi memberi sumbangan kepada masyarakat, bukan hanya dengan menyanyi semata-mata,'' kata Freddie.

Sementara itu Pengurus Projek Mawi@UPM, Lt. Kol. Radzi Abdul Hamid berkata, pelbagai acara menarik diadakan pada majlis yang diacarakan oleh pelawak Sabri Yunus itu.

``UPM berbesar hati kerana Mawi sudi menerima jemputan kami untuk acara ini,'' katanya.

Mawi ikuti kuliah Nik Aziz, azan di padang

(Utusan Malaysia - 25/09/2005)

KOTA BHARU 24 Sept. - Kunjungan juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi ke Kelantan selama dua hari pada 30 September dan 1 Oktober ini mempunyai atur cara yang padat.

Pengarah Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus, berkata, Mawi bersama keluarganya akan mengikuti kuliah Jumaat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dataran Ilmu, Jalan Dato' Pati di sini sebelah pagi.

Katanya, diikuti sebelah petang menghadiri hi-tea bersama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid di Hotel Perdana dan mengadakan persembahan nyanyian.

``Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri, Husam Musa dijangka hadir sama pada hi-tea itu. Mengikut jadual, pada majlis itu Raja Perempuan akan menyampaikan sumbangan kepada orang kurang upaya,'' katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pada sebelah malam 30 September pula, Mawi akan mengadakan persembahan di Konsert Amal Tautan Kasih di Padang Perdana bersama Kumpulan Mestica dan Akhil Hayy.

``Sebelum persembahan, Mawi akan azan solat Isyak yang akan diimamkan oleh Akhil Hayy di padang tersebut,'' tambahnya.

Beliau berkata, pada 1 Oktober pula, Mawi akan menyertai Senamrobik Perdana bersama Menteri Besar, anggota Exco dan orang ramai di Padang Perdana.

Katanya, lebih 2,000 orang dijangka menyertai senamrobik yang terbuka kepada orang ramai itu.

``Diikuti sebelah malamnya pula, Mawi mengadakan konsert bersama M.Nasir dan Rabbani sempena majlis perisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V,'' ujarnya.

Majlis perisytiharan itu akan disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Saturday, September 24, 2005

Anggap Mawi pendakwah

(Harian Metro - 24/09/2005)
Oleh Mohamad Rafizi Mohamed
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menganggap Mawi sebagai pendakwah kerana mesej lagu yang disampaikan juara Akademi Fantasia 3 itu lebih berunsur Islam.

Sehubungan itu, walaupun banyak tohmahan dilemparkan pihak tertentu berhubung penganjuran konsert dua hari Mawi, kerajaan negeri tetap meneruskan program terbabit sempena Perisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam, Sabtu depan.

Malah, Nik Abdul Aziz turut mendakwa tidak timbul soal munasabah atau tidak apabila kerajaan negeri menjemput Asmawi Ani atau lebih dikenali Mawi ke Kelantan.

Walaupun tarikh konsert hanya beberapa hari sebelum Ramadan, Nik Abdul Aziz menganggap `artis contoh’ itu sebagai personaliti baru yang menjadi kegilaan ramai terutama remaja dan kanak-kanak.

Beliau berkata, gaya dan cara persembahan penyanyi berasal dari Johor itu sama seperti seorang pendakwah selain keperibadian Mawi sendiri yang mempunyai mesej sebagai pendakwah.

“Walaupun bergelar penyanyi, cara dia (Mawi) berbeza dengan penyanyi lain. Caranya lebih mirip berdakwah selain penampilannya nampak kemas serta menarik.

“Oleh itu, munasabah ke...tak munasabah, tak apa (konsert Mawi) kerana benda ni...benda baru,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kuliah mingguan di pejabat Pas di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai ada pihak mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjemput Mawi mengadakan konsert sempena Perisytiharan Kota Bharu Bandaraya Islam.

Nik Abdul Aziz juga berkata, ketika Islam mula diperkenalkan pada zaman Nabi Muhammad di Kota Makkah dahulu, orang Kafir Quraisy juga tetap lawan.

“Tetapi, lama-kelamaan orang melawan (Kafir Quraisy) itu akhirnya terima juga kehadiran Islam di tempat mereka.

“Soal Mawi ini pula, dia ada mesej dakwah. Nak sebut Mawi ni sebagai penyanyi pun tidak mengapa. Tapi, apa kata kalau saya namakan Mawi ini sebagai pendakwah,” katanya.

Konsert Mawi yang dijangka diadakan pada 30 September ini di Padang Perdana di sini, turut menjadi isu dan dipertikaikan Dewan Ulama Pas apabila dilihat bertentangan dengan dasar Kerajaan Pas Kelantan yang sebelum ini mengharamkan hiburan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, berkata bidang seni suara membabitkan muzik antara tiga ilmu tertua di dunia termasuk ilmu falak dan matematik yang digarap tokoh Islam dahulu.

Katanya, berdakwah melalui nyanyian, nasyid dan paluan gendang boleh dilakukan sama seperti pengamal tasawuf Wali Songo di Indonesia yang menggunakan kaedah itu untuk menarik orang ramai mendekati Islam.

“Daripada kajian saya dan kajian kawan-kawan lain, Mawi berbeza dengan penyanyi lain. Dia tidak hanyut dalam dunia glamor.

“Itulah yang saya mahu,” katanya sambil memberitahu langkah itu bertujuan menarik minat golongan muda ke arah perjuangan Islam.

'Saya pinang Ina untuk Mawi'

(Harian Metro - 24/09/2005)
Daripada Nor Akmar Samudin

BRUNEI: “Saya sendiri pergi meminang Ina untuk anak saya Mawi . Mereka sudah suka sama suka jadi eloklah cepat-cepat bertunang. Kami sekeluarga pun sukakan Ina.”

Demikian pengakuan Ani Ahmad, 65, bapa juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi atau Mawi, ketika diminta mengulas mengenai buku `Mawi Jantung Hatiku’.

Buku itu hasil temubual seorang wartawan akhbar tabloid dengan tunang Mawi, Nor Diana Mohd Naim (Ina), 21.

Harian Metro difahamkan, buku itu menceritakan kisah cinta pasangan itu yang berakhir dengan pertunangan, membuatkan Mawi dan keluarganya berasa kurang senang.

Malah, sesetengah pihak mengatakan kesanggupan Ina ditemubual bagi tujuan menghasilkan buku itu mempunyai agenda tersembunyi.

Ani atau mesra dipanggil Pak Atan mengakui sudah melihat buku itu dan menganggap ia biasa saja.

“Saya harap tiada pihak membesarkan isu ini. Saya juga tidak menyalahkan Ina dan keluarganya atas kelahiran buku itu.

“Mereka bertunang atas dasar suka sama suka. Saya terima siapa saja pilihan Mawi. Paling penting, mereka mengambil keputusan bertunang atas kerelaan masing-masing.

“Baik saya mahupun keluarga Ina, tidak pernah paksa mereka bertunang. Apabila Mawi beritahu dia sukakan Ina, saya buat cara beradat. Saya sendiri pergi meminang Ina,” katanya.

Harian Metro sempat bertemu Pak Atan yang berada di sini, bersama Mawi dan 13 lagi bekas pelajar AF3 menjayakan konsert di Jerudong Amphiteater, Jerudong Park & Country Club.

Konsert yang berlangsung malam tadi dan malam ini, turut dihadiri kerabat diraja negara ini.

Penampilan istimewa 14 bintang AF3 itu dibawakan khas DeHayat Musical & Production Sdn Bhd. Ia dihoskan pengacara dan artis terkenal Malaysia, Fauziah Ahmad Daud (Ogy).

Justeru, Pak Atan berharap dengan penjelasannya itu tiada lagi pihak cuba membuat pelbagai andaian tidak baik terhadap hubungan Mawi dan Ina kerana pertunangan mereka mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.

“Hubungan kedua-dua keluarga juga baik macam dulu. Emak dan bapa Ina pun tidak putus mendoakan kejayaan Mawi dan kebahagiaan kedua-dua anak kami,” katanya.

Pada pertemuan itu, peneroka Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu berkata, sebenarnya Ina turut hadir pada konsert terakhir AF3 di Stadium Malawati Shah Alam, tidak lama dulu.

“Ketidakhadiran Ina menyaksikan persembahan Mawi pada malam itu turut menjadi bahan gosip peminat.

“Sebenarnya dia datang ke stadium malah ada peminat Mawi yang tahu mengenainya.

“Bagaimanapun apabila saya tengok ada yang marah, saya suruh Ina balik ke rumah pak ciknya dan menonton konsert itu menerusi Astro Ria kerana tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku.

“Saya kata padanya kalau dia sayangkan Mawi, lebih baik dia balik. Niat saya baik, tak mahu kecoh dan bukannya hendak mengenepikan Ina,” katanya.

Tambahnya, walaupun keadaan sekarang sudah berubah, hubungan Ina dan Mawi masih seperti dulu, terus mengukuhkan kemesraan dan kasih yang terjalin dan mereka sering berhubung menerusi telefon.

“Tetapi mereka jarang berjumpa. Kalau Mawi balik kampung pun dia ditemani Aman (Ketua Pengurus Perhubungan Awam Maestro) kerana Mawi tak boleh bebas seperti dulu,” katanya.

Menurutnya, kalau ada jodoh mereka tetap akan hidup bersama tetapi bukan dalam masa terdekat ini kerana Mawi terlalu sibuk dan dia perlu mengukuhkan kedudukannya dalam bidang seni dulu.

Sebagai anak pula, katanya, Mawi tidak berubah. Walaupun ceritanya sering dipaparkan di akhbar dan majalah serta sudah terkenal, Mawi kelihatan relaks saja.

Mengenai kesan populariti terhadap kehidupan seharian mereka sekeluarga, Pak Atan berkata sehingga hari ini rumah mereka masih dikunjungi orang ramai untuk bertemu Mawi.

“Walaupun Mawi jarang balik sekarang kerana kesibukannya memenuhi pelbagai undangan di seluruh negara, setiap hari ada saja peminat yang datang.

“Kalau mula dulu kami sekeluarga memang terkejut dengan keadaan itu, tetapi kini kami dapat menerimanya. Orang datang, kami sekeluarga layan dengan baik.

“Secara perlahan-lahan saya dapat menerima kenyataan yang kami kini berkongsi Mawi dengan masyarakat.

“Saya juga faham kalau bukan kerana sokongan peminat, tidak mungkin Mawi akan berada pada tahap sekarang ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya adakala dia bimbang untuk berhadapan wartawan kerana terlalu banyak soalan diajukan dan dia khuatir tidak boleh menanganinya dengan baik.

Katanya, berhadapan dengan situasi baru dan perubahan mendadak ada ketika mencemaskannya.

“Walaupun ramai yang kenal saya sekarang, cara hidup saya tidak pernah berubah. Begitu juga adik-adiknya (Mawi) yang terkena tempias populariti abang mereka juga semakin dapat membiasakan diri.

“Kalau dulu mereka kurang dikenali, sekarang ramai yang tahu mereka adik Mawi,” katanya.

Album terhangat di pasaran

(Utusan Malaysia - 24/09/2005)

Album Koleksi Lagu-Lagu Terbaik AF3, Best of Felix... Susah Susah Aje, dijual macam goreng pisang panas.

Bayangkan! Hari pertama diedarkan 15 September lalu, tempahannya sudah mencapai angka 16,000 unit. Rabu lalu, (enam hari pertama di pasaran), jualannya meningkat mencapai tahap platinum, 25,000 unit. Begitu kata Pengarah Urusan Zezz Entertainment merangkap Konsultan Maestro Records, Mohd. Firhad Amat kepada Kak Tim.

Bagi Kak Tim, memang ada kekuatan pada album itu. Lagu Warkah Berlagu Pilu ciptaan Adnan Abu Hassan yang kini menduduki tangga ketiga Carta Era, memang sedap didengar, walaupun berulang kali.

Bagaimana album Koleksi Lagu-Lagu Terbaik AF3, Best of Mawi World? Tanya Kak Tim.

``Sebulan di pasaran, album itu sudah mencapai jualan 170,000 unit dan sampai sekarang kami masih menerima tempahan-tempahan baru untuk album itu,'' kata Firhad.

Menarik perhatian Kak Tim, bila Firhad menceritakan album Koleksi MTV Karaoke lagu-lagu AF3 Mawi World.

Kata Firhad, album itu akan mula berada di pasaran pada 29 September ini. Tapi 20 September lalu, tempahan sudah diterima sebanyak 30,000 unit. Bererti penjualan album itu sudah mencapai tahap platinum sebelum berada di pasaran.

Hah! Awas peminat Mawi! Cepat buat tempahan untuk MTV Karaoke tu. Takut nanti sejarah jualan album Koleksi Lagu-Lagu Terbaik AF3, Best of Mawi World berulang lagi. Ramai yang kecewa sebab album habis di pasaran.

Album MTV Karaoke ni memang istimewa. Ia bukan saja memuatkan 12 lagu-lagu yang pernah dipersembahkan Mawi sepanjang Konsert AF3. Tapi siap disertakan liriknya sekali pada setiap visual.

Malah melalui album ini, penonton dapat melihat bakat Mawi sebagai VJ. Sebabnya Mawi akan menceritakan pengalamanya pada setiap lagu yang dipersembahkannya itu. Eksklusif!

KAK TIM: Nak tengok komen Mawi tentang pengalamannya terlupa lirik pada lagu kegemaran Kak Tim, Dari Kekasih Untuk Kekasih.

Keperibadian juara AF3 seperti pendakwah: Nik Aziz

(Berita Harian - 24/09/2005)

KOTA BHARU: Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa tidak berbangkit soal munasabah atau tidak kerajaan negeri menjemput Mawi mengadakan konsert sempena perisytiharan Kota Bharu Bandaraya Islam dan menjelang Ramadan, awal bulan depan.

Sebaliknya, beliau berkata, juara Akademi Fantasia Tiga (AF3) itu sebagai personaliti baru yang menjadi pujaan remaja sekarang disifatkan sama seperti seorang pendakwah.

Katanya, keperibadian Mawi sendiri mempunyai mesej sebagai pendakwah walaupun beliau seorang penyanyi.

“Oleh itu, munasabah ke... tak munasabah, tak apa (konsert Mawi) kerana benda ni (personaliti Mawi) benda baru.

“Waktu Islam mula diperkenalkan Nabi Muhammad SAW (di Kota Mekah) pun, orang (kafir quraish) lawan. Tapi lama-lama orang melawan itu juga terima.

“Soal Mawi ini ada mesej dakwah. Nak sebut Mawi ni... penyanyi pun tak apa, tapi apa kata kalau saya namakan Mawi ini pendakwah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kuliah mingguan di pejabat Pas, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai ada pihak mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menjemput Mawi mengadakan konsert sempena perisytiharan Kota Bharu Bandaraya Islam oleh Sultan Kelantan pada 1 Oktober depan dan beberapa hari kemudian umat Islam pula menyambut Ramadan.

Konsert Mawi yang dijangka diadakan 30 September ini di Padang Perdana juga menjadi isu dan turut dipertikaikan Dewan Ulama Pas apabila dilihat bertentangan dengan dasar kerajaan Pas Kelantan berteraskan Islam, yang sebelum ini mengharamkan segala bentuk hiburan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, berkata bidang seni suara membabitkan muzik adalah antara tiga ilmu tertua di dunia termasuk ilmu falak dan matematik yang digarap tokoh Islam dahulu.

Justeru, katanya berdakwah melalui nyanyian, nasyid, bermunajat dan paluan gendang boleh dilakukan seperti pengamal tasauwuf Wali Songgo di Indonesia sebelum ini dengan cara demikian untuk menarik orang ramai mendekati Islam.

“Oleh yang demikian Mawi ni... daripada kajian saya dan kajian kawan-kawan, dia berbeza dengan penyanyi lain,” katanya.

Mawi: Tiada soal munasabah - MB

(Utusan Malaysia - 24/09/2005)

KOTA BHARU 23 Sept. - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, tidak berbangkit masalah munasabah atau tidak tindakan kerajaan negeri membawa Mawi mengadakan persembahan di negeri ini menjelang bulan Ramadan.

Katanya, ini kerana juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu mempunyai personaliti yang tersendiri sebagai pendakwah melalui nyanyian.

``Masalah munasabah atau tidak (bawa Mawi) itu tidak mengapa kerana ia (Mawi) benda baru. Waktu Islam mula diperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w dulu pun orang lawan, lama-lama orang yang melawan itu akhirnya terima Islam,'' katanya kepada para pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sunggutan setengah pihak yang mendakwa tindakan kerajaan negeri membawa Mawi mengadakan persembahan di negeri ini sebagai tidak munasabah di saat-saat menjelang ketibaan bulan Ramadan.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas berkata, tindakan kerajaan negeri membawa Mawi mengadakan persembahan di negeri ini atas dasar berdakwah melalui nyanyian.

``Masalah Mawi ada mesej dakwah, hendak sebut Mawi penyanyi pun tidak apa, tapi apa kata kalau saya kata Mawi ni pendakwah boleh tidak ada apa, pendakwah melalui nyanyian'' katanya.

Beliau berkata, orang-orang tasauf seperti di Indonesia dan negara Arab pun ada cara tersendiri berdakwah.

Katanya, cerita seni suara membabitkan muzik merupakan cerita berkurun lama dulu kerana muzik antara ilmu tertua di dunia selian falak, bintang dan ilmu matematik.

Oleh demikian katanya, Mawi daripada kajian beliau dan kawan-kawannya dilihat berbeza dengan penyanyi-penyanyi lain.

``Kenyataan-kenyataannya dalam akhbar pun nampaknya dia bersendirian, tidak hanyut, itu yang saya hendaknya,'' ujarnya.

Ditanya ada pihak yang cuba hendak mengagalkan kedatangan Mawai ke Kelantan, beliau berkata, itu perkara lumrah.

``Mana ada, tidak hendak gagal, kita hendak gagal dia, dia hendak gagal kita, itu lumrah hidup,'' katanya.

Mawi dijadualkan membuat persembahan pada Konsert Tautan Kasih, 30 September dan diikuti persembahan sempena pengisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam di Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, keesokannya.

Friday, September 23, 2005

INTRO - FENOMENA MAWI


Sinopsis Buku - FENOMENA MAWI:
Apakah PAS Sudah Berubah adalah sebuah buku kompilasi perdebatan yang berlaku dalam PAS tentang hiburan. Kalahiran Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani telah menjadikan perbahasan isu ini lebih panas dan real.

Kemuncaknya adalah apabila Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjemput Mawi untuk membuat persembahan di Kelantan dalam konsert Tautan Kasih.

Isu ini semakin bersemarak apabila Ketua Dewan Ulama' PAS, Dato' Harun Taib membantah tindakan Mursyidul Am PAS tersebut. Perdebatan inilah yang mewarnai buku ini.

Buku ini juga mengandungi 32 muka surat bergambar warna penuh tentang Mawi dan 'enggagement' PAS dengan artis melalui perlawanan bola sepak persabahatan antara Pemuda PAS dengan artis Malaysia - Zulkifli Sulong

Penerbit:
Edisi Prima Sdn Bhd

Pengedar Tunggal:
Nufair Street Sdn Bhd
Tel: +603-40253525
www.nufair.com

Harga Buku - FENOMENA MAWI:
Semenanjung Malaysia (RM15 + RM2 Belanja Pos)
Sabah & Sarawak (RM15 + RM4 Belanja Pos)

TG Nik Aziz lancarkan buku Fenomena Mawi

(Diterima dari Yahoo!Groups Mawi_AF - 23/09/2005)
Kiriman - "Ibnu Ibrahim" (abuaiman786@yahoo.com)

Friday, September 23 @ 13:00:44 MYT

Oleh SALMAH MAT HUSEIN

KOTA BHARU, 23 Sept (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, hari ini melancarkan buku yang bertajuk "Fenomena Mawi: Apakah PAS Sudah Berubah?".

Buku berkenaan dilancarkan oleh Tuan Guru selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu, Perkarangan Pejabat PAS, di sini hari ini kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.
Buku tersebut disusun oleh bekas Ketua Pengarang Harakah, Zulkifli Sulong dan diterbitkan oleh Edisi Prima Sdn Bhd, mengandungi pelbagai reaksi khususnya para pemimpin PAS berhubung Mawi, Juara Akademi Fantasia 3 (AF3).

Sebaik sahaja Tuan Guru menyebut permulaan tajuk buku tersebut ‘Fenomena Mawi’ orang ramai yang hadir secara spontan menjadi riuh rendah.

Tuan Guru sendiri berkata tidak sangka dengan menjemput Mawi mengadakan konsertnya di negeri ini, nama Mawi yang telah dikenali umum, semakin melonjak naik.

“Sekiranya tuan-tuan berhajat, boleh dapatkan buku ni sekarang juga di mana-mana tempat yang telah disediakan di sini pada harga RM15.00,” ujarnya.

Untuk menambahkan ilmu, sambungnya orang ramai digalakkan membaca sebarang buku, termasuk Fenomena Mawi ini untuk mengetahui dengan lebih jelas lagi berhubung Mawi.

Buku tersebut memuatkan beberapa kenyataan dan cerita Asmawi Ani (Mawi) sendiri, di samping Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, AJK Pusat Mahfuz Omar dan surat-surat yang mengkritik dan menyokong PAS berkaitan dengannya.

Di hari pertama ianya dilancarkan, buku Fenomena Mawi Apakah PAS Sudah Berubah itu mendapat sambutan hangat apabila orang ramai berebut-rebut membeli buku berkenaan yang dijualkan kepada umum di setiap kawasan dalam Medan Ilmu.

Sementara itu, sewaktu ditemui wartawan selepas melancarkan buku tersebut, Tuan Guru mahu Mawi dikenali sebagai pendakwah melalui nyanyian.

“Nak panggil dia artis, penyanyi ke tak apa, tetapi sekiranya nak kenalkan dia pada masyarakat sebagai pendakwahpun tak apa sebab di samping beliau memberi hiburan, Mawi juga sering menyampaikan tazkirah,” ujarnya.

Perkara ini, menurutnya jarang didapati dari artis-artis lain yang dikenali ramai.

Beliau juga tidak menafikan kehadiran Mawi melahirkan rasa tidak puas hati beberapa pihak memandangkan ianya perkara baru.

Sambungnya, sebagaimana di zaman Rasulullah sendiri seringkali ditentang apabila membawa ajaran Islam yang menjadi perkara baru pada masyarakat Arab pada waktu itu.

“Begitu juga Mawi sekarang, kerana ia perkara baru sebab itu menjadi kritikan pihak-pihak tertentu, tetapi yakin masyarakat akan menerimanya juga,” ujarnya.

Buku mawi boleh dipesan melalui internet dan juga boleh didapati di kedai-kedai seluruh negara mulai minggu depan.

Orang Jitra kecewa Siti, Mawi tidak berduet

(Berita Harian - 23/09/2005)
Oleh Rahmat Othman

Jangkaan adanya persembahan gandingan terbaik masa kini tidak jadi kenyataan

ARTIS tersohor, Siti Nurhaliza dan Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi, adalah antara 10 artis terkenal yang menghiburkan kira-kira 300,000 pengunjung di Taman Tasik Tema Darulaman, Jitra, Kedah, Jumaat lalu.

Artis lain ialah Mas Idayu, Misha Omar, Alleycat, Waheeda, Vince, Aishah, Ezlynn dan Dayang Nurfaizah.

Konsert besar-besaran yang membabitkan ramai artis terkenal sempena majlis penutupan sambutan Bulan Kemerdekaan ke-48 itu adalah yang terbesar pernah diadakan di Negeri Jelapang Padi itu.

Ramai peminat Siti mungkin kecewa kerana mereka menjangkakan penyanyi kecil molek itu akan berduet bersama juara AF3 yang dikatakan gandingan artis terbaik masa kini.

Bagaimanapun sehingga konsert itu tamat jam 2 pagi, kedua-dua artis popular kesayangan ramai itu tidak tampil untuk menyanyi bersama.

Kemunculan Siti dengan lagu Nirmala sebagai pembuka tirai pada jam 10 malam kemudian diikuti lagu Cinta Luar Biasa dan Kurik Kundi nyata melegakan penonton yang datang seawal jam 4 petang tanpa mengira cuaca yang agak panas itu.

Penyanyi nombor satu negara itu yang kelihatan anggun dengan baju kurung Kedah berwarna cerah, sempat berinteraksi dengan pengunjung sambil menyambut tangan penonton yang ingin bersalaman dari bawah pentas utama.

Seperti diduga, kemunculan bintang AF3, Mawi, dengan lagu Aduh Saliha memukau penonton pelbagai lapisan usia di situ.

Mawi yang kelihatan lebih ceria dan bertenaga turut menyampaikan lagu bersama tiga finalis AF3 iaitu Felix, Amylea dan Marsha menerusi lagu Hati Ini Telah Dilukai.

Kemunculan kumpulan evergreen, Alleycat, yang sudah berusia 30 tahun, pasti dapat menghilangkan kerinduan peminatnya apabila penyanyi utamanya, David Arumugam dan Loga, menyampaikan lagu Sampaikanlah Salam Cintaku dan Senyumlah Kuala Lumpur.

Sungguhpun, David kurang berinteraksi dengan penonton, ia tidak menjadi halangan kepada pasangan dua beradik itu untuk menghiburkan peminat mereka di sebelah utara Semenanjung.

Selain itu, kemunculan Ratu Dangdut, Mas Idayu dengan lagu Bolehlah Boleh dan Senggol Senggolan mendapat tepukan gemuruh apabila penyanyi itu bergelek di pentas sambil membelakangkan penonton.

Sebelum konsert itu, beberapa penyanyi termasuk Roy, dan penyanyi 60-an, A Halim muncul menyampaikan lagu Tanah Pusaka serta Kisah dan Tauladan di tempat yang sama.

Mawi, 13 rakan gegarkan Brunei

(Berita Harian - 23/09/2005)



DIMINAT: Mawi dikerumuni peminat ketika Konsert AF3 Live In Brunei yang diadakan di Jerudong Amphiteater, Jerudong Park & Country Club, di Brunei, semalam.


BANDAR SERI BEGAWAN: Fenomena ‘tsumawi’ bukan saja melanda Malaysia, sebaliknya kekuatan aura juara Akademi Fantasia Tiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi turut dirasai hampir 5,000 penduduk Brunei.

Masyarakat negara itu tidak mahu melepaskan peluang melihat idola mereka dari dekat yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara yang kaya dengan hasil minyak ini.

Konsert AF3 Live In Brunei yang berlangsung selama dua jam semalam diadakan di Jerudong Amphiteater, Jerudong Park & Country Club turut diserikan dengan persembahan 13 pelajar AF3 lain iaitu Felix, Amylea, Marsha, Yazer, Keifli, Akma, Aidil, Ekin, Amy, Reza, Idayu, Fuad dan Elliza.

Kemunculan Mawi saat paling dinantikan. Sebaik anak kelahiran Felda Taib Andak itu muncul di pentas, penonton terus bersorak. Mawi mendendangkan beberapa lagu antaranya Gadis Melayu dan Aduh Saliha.

Tiket yang dijual pada harga B$20 hingga B$100 habis dijual sejak awal lagi sehingga peminat yang tidak berjaya mendapatkan tiket sanggup memanjat pagar Amphiteater semata-mata tidak mahu terlepas peluang melihat idola mereka beraksi.

Sementara itu, Hotel LR Asma yang menyediakan pakej penginapan selama lima hari empat malam juga hampir 80 peratus ditempah Rabu lalu biarpun promosi itu dilakukan pada Isnin.

Menurut Pengarah Urusan Hotel LR Asma, Pengiran Anak Hajah Noorazimah pakej lima hari empat malam berharga B$250 itu turut menyediakan kemudahan pengangkutan bas dari hotel ke lokasi konsert.

“Sambutan yang kami terima cukup menggalakkan, malah ada penduduk yang tinggal tidak jauh dari sini juga sanggup menempah hotel semata-mata untuk bertemu dengan bintang AF3,” katanya.

“Sebelum ini kami tidak pernah menyediakan sebarang pakej, memandangkan ramai pelanggan yang bertanya maka kami jadikan ini sebagai percubaan dan ternyata sambutannya cukup menggalakkan,” katanya.

Dalam pada itu, pada tengah hari pula kira-kira 1,000 peminat AF3 memenuhi bangunan Yayasan Sultan Hassanal Bolkiah yang mana Mawi mewakili rakannya yang lain menyampaikan sumbangan cek bernila B$3,000 kepada Dana Pengiran Muda Mahkota Al Muhtadee Billah untuk anak-anak yatim.