Wednesday, August 31, 2005

Mawi di Backstage kat KLCC...

(MawiFC.com - 31/08/2005)
Posted by Buckman on 8/31/2005 8:39:36 AM

Pada 29 Aug malam aku berpeluang dapat access backstage konsert tu untuk jumpa-jumpa artis yang akan buat persembahan memandangkan aku staf Petronas dan setiap tahun aku dapat access backstage. Tahun ini merupakan tahun paling strict kawalan yang dikenakan utk sesiapa yang nak access backstage sebab ada MAWI. Pendekata..kalo setakat nak gunakan "orang dalam" masuk backstage utk ambik2 gambar ke..autoghraph ke..jangan haraplah kecuali dengan artis2 lain selain MAWI. Itupun kerana MAWI, security terlalu ketat bagi memastikan MAWI tidak diserbu peminat2 biarpun di kalangan org2 atasan sebab MAWI ni memang TERLALU RAMAI PEMINAT. Aku berkesempatan jumpa MAWI sekejap sebelum dia ditunjukkan bilik khas dia (for your info...MAWI disediakan bilik khas kat backstage) dan artis2 lain berada bersebelahan... Itu semua Petronas buat untuk keselesaan MAWI sebab Petronas sudah sedia memaklumi MAWI TERLALU PENAT disebabkan semenjak beliau menjadi Juara AF3, MAWI tidak mempunyai peluang langsung (hanya dapat spend time tidur 4-5jam sehari) untuk berehat dan selebihnya "membanting badan dan suara" dia untuk menghiburkan peminat di seluruh ceruk Malaysia from one location to another. Semua MAWI buat untuk membalas jasa peminat a.k.a "sahabat MAWI" dia.

Jadi pada malam itu, aku dapatlah ambik gambar dan mintak autograph dia kat CD yang aku beli. Itupun aku rasa peluang itu macam peluang aku dapat jumpa STING dari berjuta-juta peminat di seluruh dunia. Sebabnya..MAWI dah macam penyanyi bertaraf WORLD mcm STING,MJ,etc... dari segi kawalan dan aku tabik pada security yang menjaga MAWI. Lepas dia beramah mesra ngan hanya 4-5 org yang dapat jumpa dia termasuk aku tu...dia terus ke bilik dia dan aku still kat area tu lagi dan salam2 ngan artis lain termasuk Marsha. Dan aku sedih dan simpati jugak tengok time tu..MAWI terus baring dan tidur kat satu bangku panjang kat dalam bilik tu berbantalkan lengan dia dan cara dia tidur mengingatkan macamana cara budak2 yang baru lahir tidur...seakan-akan tidur yang tak pernah cukup-cukup.

Aku terlalu faham keadaan dia - datang dari kampung dengan 1000 harapan (yang mungkin harapan dia taklah setinggi pencapaian dia sekarang - sebagaimana celoteh dia ngan Kak Sheena dalam Diari yang dia hanya nak jadi security kat ASTRO) dan sekarang hidupnya telah berubah untuk selama-lamanya. Jadi, apa yang dilakukannya sekarang adalah untuk membalas budi peminat2 dia. Pada rehearsal tu dia menyanyi AMAAAAAT BAGUS dan semalam hanya part hit notes (Saleha) suara dia pecah. Untuk pengetahuan engkorang jugak...suara MAWI sendiri ketika bercakap sudah pun serak disebabkan KELETIHAN dan semua orang termasuk beberapa orang kenamaan Petronas kat backstage tu sendiri yang bagi "pat in the back" kat dia dgn moral supports like "MAWI...Malaysia are proud of you".

Semalam, MAWI telah melaksanakan satu tugas yang berat untuk seorang artis baru dilalui iaitu persembahan di KLCC dan Dataran Merdeka serentak. Bagi aku, dengan melihat MAWI pada malam rehearsal itu jelas memberi gambaran betapa SIBUK dan LETIHnya MAWI nowadays dan aku TERLALU FAHAM kenapa ada ketikanya persembahan MAWI terganggu kerana faktor2 tersebut. MAWI hanya seorang manusia sebagaimana kita dan apa yang dilaluinya sekarang bukan setiap dari kita akan dapat melaluinya tetapi iltizam MAWI sendiri yang semakin kuat atas sokongan dan doa kita semua. Kesilapan yang terjadi ketika persembahan hanyalah menjadikan beliau seorang penyanyi yang lebih baik di masa akan datang.

Aku sentiasa doakan MAWI berjaya dan beroleh berkat hidup dunia dan akhirat.

Keunikan Cosry, keistimewaan Mawi

(Harian Metro - 31/08/2005)
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

KOMBINASI sambutan Hari Kemerdekaan ke-48 dan promosikan koleksi kebaya eksklusif hasil sentuhan pereka Indonesia menyerlahkan lagi persembahan Fesyen Muzikal Cosry Gala Merdeka 2005.

Majlis serampang dua mata itu berlangsung di Hotel Palace of Golden Horses begitu gemilang dengan kehadiran Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Pahang, Tengku Tan Sri Meriam Sultan Ahmad Shah selaku tetamu kehormat dan Puan Sri Akmal Abdul Salam, isteri kepada Pengerusi DRB Hicom, Tan Sri Salleh Sulong.

Bagaikan satu keserasian yang mengundang keunikan, keistimewaan konsert pada malam itu di mana Cosry sebagai jenama fesyen yang kian mendapat perhatian, digabungkan pula dengan kehadiran bintang baru pujaan ramai, Mawi.

PANJANG UMUR...Mawi memotong kek hari jadi sumbangan Cosry.

Kedua-duanya masih baru tetapi cukup untuk membuatkan penggemarnya terpukau dengan 'produk' terkini negara itu. Kebaya satu hasil seni yang begitu halus buatannya manakala Mawi pula insan seni yang mula merintis kejayaan luar biasa dalam industri hiburan tanah air.

Majlis yang diacarakan pasangan pelawak Dee dan Moon dibuka dengan nyanyian Mawi yang tampil mengenakan pakaian rekaan Cosry khusus untuk lelaki.

Bagi memenuhi harapan peminat yang memenuhi dewan utama, Mawi mendendangkan empat lagu, Gadis Melayu, Nouríel Ain, Rindu Padamu dan Aduh Saliha.

Bagaimanapun, belum sempat Mawi menghangatkan pentas persembahan dia terpaksa mohon menjayakan satu lagi konsert di Sepang.

Namun, sebelum itu seperti biasa anak Felda itu mengingatkan peminatnya supaya tidak terlalu fanatik dan taksub kepadanya kerana dia juga manusia biasa.

"World, World juga...tetapi jangan terlalu taksub dengan saya," katanya.

Mawi menepati janjinya untuk kembali ke konsert itu sebaik saja konsertnya di Sepang tamat. Walaupun ketika itu jam sudah menunjukkan tepat 1 pagi, Mawi kembali semula ke konsert itu.
Mengikut jadual asal, Mawi sepatutnya membuat persembahan penutup dengan dua lagi artis jemputan, Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain menyanyikan lagu
Hanya Memuji, tetapi paduan tiga suara itu tidak kesampaian.

Rupanya, penganjur menyediakan satu kejutan untuk bintang baru itu iaitu sebiji kek hari jadinya ke- 24 yang sepatutnya dipotong di hadapan penonton.

Bagaimanapun, acara itu diteruskan secara eksklusif di bilik VIP hotel itu.

Sebaik saja Mawi meninggalkan konsert, persembahan diteruskan dengan Dayang mengalunkan lagu Erti Hidup, medley lagu Beyonce, medley lagu asli Kasih, Penawar Rindu, Malamku Bermimpi dan Dayang Sayang Kamu.

Manakala Anuar Zain pula muncul dengan lagu Permata, Jeritan Batinku, Grow-up Medley dan Mungkin Or My Baby You.

Jenaka Dee yang suka mengusik penonton dan bertukar beberapa pasang baju membuatkan dewan tidak sunyi dengan ketawa penonton. Pasangan pelawak itu
juga tampil menggayakan kebaya Cosry yang sekali gus menonjolkan watak terkenal mereka sebagai Cik Timah dan Cik Bedah.

Pengarah Urusan Cosry Sdn Bhd, Ariff Quasri Mohd Nor, berkata pada mulanya dia dengan adiknya, Nor Zalina, hanya menjalankan perniagaan itu secara kecilkecilan di rumah mereka sebagai hobi.

"Kami bermula dengan menjual kebaya Nyonya dan Betawi tahun lalu di mana pakaian itu biasa dipakai seharian wanita Indonesia untuk ke pasar gambir (hampir menyamai pasar tani di negara ini) di Betawi (kini Jakarta).

"Pelanggan awal adalah rakan rapat yang akhirnya mendapat sambutan hangat terutama pada sambutan Aidilfitri tahu lalu.

"Melihat sambutan luar jangkaan, dengan keuntungan hasil jualan hari raya itu, saya, Nor Zalina dan seorang rakan dari Indonesia bernama Putera, mengambil keputusan membuka Butik Cosry yang pertama di Shah Alam.

"Cosry diilhamkan dari nama saya iaitu Quasri (dalam bahasa Arab bermakna istana). Di samping tumpuan kepada kebaya, kami juga menyediakan pakaian untuk lelaki menggunakan kain sutera," kata Ariff.

Keunikan lain pada kebaya Cosry ialah kerawang, jahitan tampal (benang disulam menjadi bunga) dan manik yang menambahkan lagi keindahan kebaya itu. Selain kebaya siap yang lengkap kain sarung serta selendang,
berharga antara RM200 hingga RM5,000, butik itu juga sedia menerima tempahan.

Bukan saja rekaan kebayanya yang unik malah pertunjukan fesyen malam itu lain daripada lain. Ini jelas, Cosry menerbangkan koreografer khas dari Indonesia di mana model yang menggayakan pelbagai fesyen kebaya mempersembahkan langkah mereka menerusi tarian.

Secara tidak langsung dipaparkan sejarah kebaya itu dengan mengenengahkan basikal dan suasana pasar di pentas bahawa kebaya itu digayakan oleh kaum wanita sewaktu membeli barang keperluan rumah tangga di pasar.

"Latar belakang saya seorang akauntan dan dunia fesyen menjadi hobi sampingan. Kini, saya mula jatuh cinta sepenuhnya dengan fesyen terutama keunikan kebaya Betawi," katanya lagi.

Konsert pada malam itu juga bertujuan mengutip dana untuk tabung Persatuan Ibu Tunggal Belaian Kasih.

30 minit RM10,000

(Harian Metro - 31/08/2005 - Edisi KL)
Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sejak menjuarai Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, terus mencatatkan rekod dalam industri hiburan tanah air, termasuk dikatakan menerima purata bayaran RM10,000 untuk setiap persembahan dalam tempoh tidak sampai sebulan menjadi artis.

Bayaran sebanyak itu juga disifatkan sebagai tinggi bagi seseorang bakat baru sepertinya yang hanya sekelip mata dicungkil menerusi program berbentuk realiti hiburan.

Apatah lagi, dia masih belum rasmi bergelar penyanyi rakaman, mahupun memiliki album solonya sendiri.

Namun, bayaran berkenaan sama sekali tidak ditentu pihak syarikat pengurusannya, Maestro Talent ataupun Mawi sendiri, sebaliknya, mengikut pasaran semasa yang sememangnya sedang bertumpu kepada Mawi.

Sumber memberitahu Harian Metro bahawa purata bayaran RM10,000 itu mengikut pasaran semasa di sekitar Kuala Lumpur bagi tempoh persembahan setengah jam manakala di luar Kuala Lumpur, RM12,000, termasuk pengangkutan dan penginapan.

Bayaran paling tinggi pernah diterima Mawi RM15,000 untuk tempoh setengah jam menerusi persembahan berbentuk jualan meja.

Menurutnya, bayaran yang diterima Mawi ketika ini hampir setanding penyanyi lelaki senior popular sedia ada.

Menduduki senarai purata bayaran persembahan paling tinggi bagi tempoh setengah jam ialah M Nasir dan Zainal Abidin, RM18,000, Jamal Abdillah dan Anuar Zain menerima RM15,000, Hattan (RM13,000) dan Yasin (RM10,000).

Mawi turut berada tidak jauh di belakang Juara AF1, Vince, yang menerima purata bayaran RM12,000.

Bagaimanapun, anak peneroka Felda Taib Andak, Kulai, Johor, ini mengatasi Juara AF2, Zahid yang hanya menerima purata bayaran RM8,000.

Berdasarkan senario pasaran semasa serta undangan berterusan untuk Mawi mengadakan show di merata tempat tanpa henti, tidak mustahil purata bayaran persembahannya meningkat dalam masa terdekat ini.

Mengulas mengenai hal itu, Ketua Pengurusan Artis Maestro, Aman Ali, berkata melihat kepada senario pasaran semasa itu, purata bayaran persembahan Mawi pastinya akan meningkat.

“Kami seboleh-bolehnya tidak mahu perkara itu berlaku kerana ia boleh memberikan kesan jangka panjang kepada Mawi. Bayangkan jika kami meletakkan bayaran melebihi RM10,000 dalam tempoh setahun, namun tahun berikutnya, dia tidak mampu mengekalkan popularitinya.

“Apakah yang akan terjadi kepada Mawi nanti? Perkara inilah yang cuba kami elakkan berlaku.

“Biarlah harga bayaran persembahannya kekal di antara RM10,000 hingga RM12,000 tetapi dalam masa sama, dia terus mendapat undangan mengadakan show,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan Mawi memecah rekod apabila album Best of Mawi World mencatatkan penjualan 150,000 unit dalam tempoh lima hari di pasaran sejak Isnin minggu lalu.

Ini menjadikannya antara penyanyi lelaki solo paling laris pernah dicatatkan dalam sejarah industri muzik tanah air.

Malah, rekod penjualan album Mawi itu turut mengatasi kedudukan album kedua Awie berjudul Otak yang dijual 140,000 unit.

Sekalipun album pertamanya, Tragedi Oktober, dijual 220,000 unit, Best of Mawi World dijangka mengatasi rekod yang dipegang Awie itu.

Kerabat dari Pantai Timur lamar Mawi

(Harian Metro - 31/08/2005 - Soseh-Soseh)

DEMAM peminat Mawi masih belum kebah. Nyata statusnya selaku tunangan orang bukan halangan kepadanya untuk terus diminati ramai.

Undangan menjayakan persembahan tidak putus- putus. SS dengar ada pihak meramalkan hingga akhir tahun ini, pendapatan Mawi daripada undangan ini boleh mencecah RM1 juta.

Jika sebelum ini Mawi menjadi kesayangan orang tempat asalnya, Johor termasuklah kerabat diraja negeri itu, cerita terbaru yang sampai ke telinga SS ialah Mawi mula diintai kerabat dari sebelah pantai timur pula.

Perkhabaran yang baru bertiup ini mengatakan pihak istana di sana mahu melamarnya untuk mengadakan persembahan di negeri itu. SS difahamkan, orang istana itu berkenan dengan Mawi selepas melihat persembahannya pada satu majlis yang diadakan di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Kerana tertarik dengan gayanya yang bersahaja, selamba dan suaranya yang lantang maka mereka tak sabar lagi hendak membawa Mawi ke negeri yang kaya dengan hasil balak itu untuk menghiburkan peminat di sana.

Sumber itu mengatakan, persembahan anjuran istana itu juga untuk tujuan amal. Itulah tuah namanya. Apakah ini maknanya, Mawi akan mendapat hadiah sebiji lagi kereta mewah?

Kalau begitu, nampaknya bapa Mawi, Pak Atan kenalah membina garaj besar di rumahnya untuk menempatkan kereta anak kesayangannya itu.

Sekadar peringatan buat Mawi, di kala tengah laris ni, kenalah bijak merancang masa depan agar senang di kemudian hari.

‘Beruntung jadi anak Malaysia’

(Berita Harian - 31/08/2005)
Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Hanisah Selamat dan Serimah Mohd Sallehuddin

Hari Kebangsaan Ke-48 yang disambut hari ini memberi pelbagai persepsi kepada setiap individu termasuk mereka dalam dunia hiburan tanah air. Begitu jugalah pandangan artis muda di negara ini.
Bukan balasan yang mereka impikan, jauh sekali pengiktirafan. Apa yang didambakan ialah sebuah kehidupan yang bebas, tidak lagi tunduk kepada kuasa asing dan budaya luar yang boleh menghakis akar budaya yang harus diwariskan untuk generasi akan datang.

Menghayati erti kemerdekaan, Hip meninjau pandangan artis muda popular tanah air makna sebuah kebebasan dan kemerdekaan. Setiap insan punya tafsiran berbeza. Namun, mereka sepakat, kemerdekaan yang diperoleh wajar dipupuk dan disemai untuk mewujudkan Malaysia sebagai bangsa dihormati serta disegani di mata dunia.

MAWI
“Mereka yang merdeka adalah insan yang melapangkan fikiran daripada dibelenggu ideologi luaran. Jangan taksub kepada anasir luar kerana tidak semuanya melambangkan kebaikan. Anak Malaysia seharusnya menghargai kebebasan yang diperjuangkan oleh tokoh kemerdekaan dan nenek moyang kita. Inilah erti perjuangan yang seharusnya dijadikan teladan. Berbanggalah hidup dilingkungi keamanan dan kedamaian.”

SITI NURHALIZA
“Pengertian merdeka bagi Siti terlalu luas. Mungkin kita tidak merasai keperitan yang dilalui pejuang masa lalu. Tetapi kita harus menghargai usaha mereka dengan mempertahankan keamanan dan maruah bangsa. Merdeka bukan hanya bebas dari belenggu penjajah asing malah fikiran kita juga perlu dijauhkan daripada perkara negatif.
“Anak seni juga mempunyai peranannya sendiri. Siti turut membawa amanah itu. Menjulang seni dan tradisi serta budaya bangsa dengan memasyhurkan nama negara adalah perjuangan yang tidak mungkin terhenti dalam diari insan seni seperti Siti.
“Ke mana saja kaki ini melangkah, Siti sentiasa mengingatkan diri. Siti tidak hanya membawa nama sendiri dan keluarga, tetapi juga nama negara. Siti menjaga tingkah laku, adab sopan dan tata cara kehidupan masyarakat yang penuh dengan susila.”

BOB AF2
“Kemerdekaan adalah satu kebebasan. Bebas dari segala sudut sama ada dari segi politik, mental, fizikal serta merdeka daripada berfikiran negatif. Biar kita berjiwa tempatan namun ia menjangkaui tahap global. Kalau boleh saya tidak mahu negara ini dijajah lagi. Sebagai rakyat Malaysia saya bersyukur hidup dalam negara yang aman damai.
“Generasi muda perlu mengenang bagaimana kepayahan nenek moyang kita untuk mencapai kemerdekaan. Terlalu besar pengorbanan yang mereka lakukan, tidak mungkin terbalas. Arus kemodenan yang dilalui bukan tiket untuk kita bebas melakukan apa saja.
“Dalam menghayati kemerdekaan, tanamkan juga dalam diri untuk bekerja keras memajukan bangsa dan negara. Setiap kita ada peranan, jalankan dengan penuh tanggungjawab supaya bangsa Malaysia akan terus dihormati dan dikenang masyarakat antarabangsa.”

DAYANG NURFAIZAH
“Merdeka ada makna tersendiri, tapi bagi Dayang ia adalah masa untuk mengenang perjuangan masyarakat terdahulu. Mengenang perit jerih, titisan darah yang gugur bagi memastikan Malaysia bebas daripada belenggu luar. Tahun ini merdeka sungguh bermakna bagi diri Dayang. Dayang sudah bebas dari masalah yang membelenggu diri Dayang selama ini. Nikmat kebebasan yang terlalu lama dirindui. Kebebasan yang memberi Dayang ruang untuk mencorakkan perjalanan karier dengan lebih licin.
“Dayang juga berasa beruntung dilahirkan sebagai anak Malaysia. Negara yang aman, orangnya juga lebih mesra. Rakyat Malaysia perlu berasa bertuah dan berterima kasih kepada pejuang yang bersusah payah memperjuangkan kemerdekaan.”

JACLYN VICTOR
“Kita sudah buktikan kepada dunia Malaysia boleh hidup tanpa penjajah. Sepanjang 48 tahun kemerdekaan, negara kita semakin maju dan mampu berdiri setanding negara luar. Namun ramai yang semakin lupa nilai kemerdekaan.
“Tidak ramai yang mahu menghayati makna sebenar sebuah kemerdekaan. Sebaliknya hari bersejarah tidak sabar dinanti kerana mahu bercuti. Sikap ini cukup mengecewakan. Sepatutnya pada Hari Kebangsaan kita mengenang perjuangan dan menghargai nilai kedamaian.”

WAHEEDA
“Merdeka bagi saya adalah muhasabah diri untuk kita mengimbau kembali perjuangan masyarakat terdahulu yang bersusah payah demi kebebasan negara kita. Hari Merdeka adalah pembelajaran untuk kita menjadi yang terbaik lagi di masa depan. Kita kena ada pemikiran bersifat glokal.”

Tuesday, August 30, 2005

Album Mawi 150,000

(Harian Metro - 30/08/2005 - Edisi KL)
Oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR: Kelesuan dalam industri muzik tanah air dijangka tidak menghalang album juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi dijual lebih 150,000 unit minggu ini, sekali gus mengatasi rekod yang dipegang Awie.

Album koleksi 12 Lagu Terbaik Konsert AF3 Best Of Mawi World itu kini sudah dijual sebanyak 104,000 unit dalam tempoh lima hari berada di pasaran sejak Jumaat lalu.

Daripada jumlah itu, 66,000 unit album terbitan Maestro Records dan Zezz Entertainment serta edaran Life Records itu diperoleh menerusi jualan cakera padat manakala kaset 38,000 unit.

Pengarah Urusan Zezz Entertainment, Mohd Firhad Amat, memberitahu Harian Metro, jumlah penjualan album penyanyi itu diperoleh selepas diaudit menerusi sistem komputer.

“Kami masih menerima tempahan daripada pengedar dan setakat ini, sudah lebih 40,000 unit dan jumlah itu dijangka meningkat sepanjang minggu ini.

“Dengan peningkatan yang berterusan, tidak mustahil album itu mampu mencecah jualan lebih 150,000 esok.

“Malah, kami yakin album berkenaan mampu dijual sebanyak itu serta Mawi akan mencipta satu rekod baru apabila menjadi penyanyi solo lelaki paling laris pernah dicatatkan dalam sejarah industri muzik tanah air.

“Sebelum ini, rekod itu dipegang Awie apabila album sulungnya, Tragedi Oktober dijual 140,000 unit.

“Jamal Abdillah pula menerusi album Raja Pop mencecah jualan lebih 130,000 unit,” katanya.

Selepas melihat sambutan masyarakat yang cukup luar biasa terhadap album Mawi, Firhad berkata, pihaknya kini merancang mengeluarkan Koleksi MTV Karaoke Konsert AF3 Mawi World.

“Album lanjutan kepada Best OF Mawi World dikeluarkan untuk memberi peluang kepada penonton melihat nyanyian Mawi dalam bentuk visual pula.

Malah, ia juga dapat dijadikan sebagai koleksi terbaru peminatnya selepas Best Of Mawi World.

Beliau berkata, Koleksi MTV Karaoke Konsert AF3 Mawi World itu dijangka dikeluarkan dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Namun, kami masih belum menetapkan jumlah cetakan pertamanya. Jauh sekali meletakkan sasaran yang terlalu tinggi terhadap jualan album ini,” katanya.

Album Best Of Mawi World itu memuatkan 12 koleksi lagu terbaik Mawi sepanjang sembilan minggu berada dalam konsert AF3, termasuk ketika beraksi di Konsert Prelude.

Lagu terbabit ialah Intifada, Kekasih Awal Dan Akhir, Dari Kekasih Untuk Kekasih, Gadis Melayu, Nour’El Ain, Beautiful Maria, Memori Cinta Luka, Oh Fatimah!, Pupus, Pergi Tak Kembali, Seroja dan Aduh Saliha.

Bagi cakera padat album ini dijual RM21 seunit, manakala kaset RM16.80.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Artis Maestro, Aman Ali menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa Maestro cuba mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan terhadap populariti Mawi ketika ini.

Dakwaan itu berdasarkan kedudukan Mawi yang tidak punya masa untuk berehat kerana terlalu sibuk memenuhi undangan persembahan di merata tempat.

“Kalau boleh kami memang mahu sekali Mawi mengadakan dua persembahan dalam tempoh seminggu. Bermakna sebulan, dia mengadakan lapan show saja. Itu sudah disifatkan cukup ideal bagi seseorang penyanyi yang terlalu baru seperti Mawi.

“Namun, apalah daya kami untuk menolak undangan persembahan jika datang daripada pihak kerajaan, jabatan kerajaan mahu pun istana,” katanya.

Mengulas pihak penganjur Cosry Gala Merdeka Musical Fashion Show 2005 yang tidak berpuas hati dengan Mawi apabila dia lewat muncul semula di majlis itu pada malam Sabtu lalu, Aman berkata, mengikut kontrak yang dimeterai, Mawi hanya diminta menyanyikan empat lagu tanpa sebarang acara tambahan.

“Tugas itu sudah pun dilaksanakan Mawi pada malam itu dan sebaik saja persembahannya berakhir Mawi bergegas pula ke Sepang untuk menjayakan Merdeka Millennium Endurance (MME) di Litar Antarabangsa Sepang.

“Sudah dua bulan Mawi ditempah untuk menjayakan persembahan itu. Lagi pun, ia turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Beliau menjelaskan Mawi memang datang semula ke majlis itu dan sekali pun lewat, dia tetap berusaha menjayakan sesi bertemu peminat.

Monday, August 29, 2005

5 Peminat rai Hari Jadi MAWI, REZA

(Harian Metro - 29/08/2005)
Oleh Norhayati Nordin

APABILA bergelar anak seni, semuanya perlu dikongsi bersama peminat. Selain kisah peribadi, tarikh lahir juga menjadi fokus utama. Justeru, pelbagai hadiah bakal diterima sebagai tanda ingatan.

Terbaru, dua bintang Akademi Fantasia 3 (AF3) iaitu juaranya, Asmawi Ani, 24 dan Syaiful Reza Mohamed atau Reza, 27, diraikan sempena hari jadi mereka yang disambut bersama pada 25 Ogos lalu.

Majlis sederhana yang berlangsung di Carcosa Seri Negara, dianjurkan secara rahsia oleh Vanilla Coke selepas majlis sidang media bersama pemenang promosi Menuju Puncak Bersama Vanilla Coke.

Sepanjang program AF3 berlangsung selama dua bulan, lima pemenang bertuah dipilih iaitu Rosmadi Awang, 30, Amalia Mohd Sabry, 24, Nazrulhairi Modin, 23, Herizwan Zainudin, 25 dan Yong Foo Choi, 25.

Namun, hanya dua saja pemenang hadir pada petang itu, Amalia dan Nazrulhairi. Bagaimanapun, majlis tetap berjalan lancar dan Mawi turut menyanyikan lagu popularnya, Aduh Saliha sebagai penampilan istimewa.

Walaupun, hanya menyanyikan satu lagu, ia sudah cukup membuatkan hampir 30 tetamu termasuk rakan media yang hadir terhibur. Terutama bagi dua pemenang yang diraikan itu.

Nyata, kelibat Mawi ditunggu-tunggu tetamu sejak jam 3 petang lagi. Apapun, selepas persembahannya, baru sambutan hari jadinya diumumkan yang turut diraikan bersama Reza.

Hanya riak terkejut dan gembira tergambar pada wajah mereka berdua. Apa tidaknya, selepas menjadi bintang AF3, kehidupan mereka mengalami perubahan mendadak. Ke mana saja mereka pergi akan menjadi tumpuan peminat.

Kata Mawi, dia terharu dengan sambutan itu. Tiada sesiapa memaklumkan kepadanya mengenai sambutan berkenaan termasuk kehadiran Reza bersama pelajar AF3 yang lain. Baginya, majlis pada petang itu amat bermakna.

“Tiada perkataan yang dapat saya ucapkan kecuali rasa syukur tidak terhingga kepada Tuhan. Nikmat yang saya peroleh sekarang ini begitu besar dan di luar jangkaan. Saya tidak pernah termimpi akan berada pada tahap seperti ini.

“Perubahan yang berlaku ini amat singkat. Ia nyata menakutkan saya kerana dalam sekelip mata ramai mula meminati Mawi. Sampai satu peringkat, saya tidak tahu apa yang ada pada diri ini hingga peminat begitu fanatik.

“Namun, saya tetap mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong saya. Tanpa mereka, Mawi tidak seperti ini. Bagaimanapun, saya masih mengharapkan peminat meminati saya berpada-pada,” katanya.

Mawi berkata sebagai manusia biasa, apa yang dilaluinya kini bagaikan `kejutan glamour’ yang menghantui dirinya. Walaupun, sudah boleh menerimanya keadaan ini tetapi dia masih memerlukan masa secukupnya.

Mengulas mengenai kerjaya seninya, anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini berkata dia kini bertekad akan berusaha bersungguh-sungguh memantapkan vokalnya termasuk persembahan tarian.

Sementara itu, Reza berkata dia gembira dengan kejayaan Mawi. Katanya, pemuda itu sememangnya memiliki bakat besar dalam bidang nyanyian. Selain itu, dia (Mawi) jujur dan ikhlas.

“Bagi saya, hari jadi saya tahun ini amat berbeza dan meriah. Jika dulu, ia disambut bersama keluarga dan rakan rapat tetapi kini sudah dikongsi dengan peminat. Terima kasih kepada kelab peminat Reza.

“Selain itu, pada tahun ini juga saya menerima banyak hadiah. Tentulah seronok kerana tidak sangka ia akan diraikan sebegini hebat. Namun, saya tetap merindui sambutan bersama keluarga,” katanya.

Reza berkata sebagai penyanyi sepenuh masa bersama Maestro Records, dia kini sedang giat belajar vokal. Baginya, bukan mudah menjadi penyanyi sekiranya tiada vokal yang mantap kerana ia amat penting kepada peminat.

Tarikan MAWI

(Harian Metro - 29/08/2005 - Soseh-soseh)

TIDAK salah kalau SS katakan bintang baru, Mawi jejaka idaman Malaya yang terhangat dan terlaris di pasaran sekarang. Di mana saja pergi orang asyik memperkatakan mengenainya.

Tempoh hari, rakan SS menerima panggilan dari seseorang yang mendakwa dia dan rakannya pembaca setia Harian Metro yang bertugas di sebuah pusat kewangan terkemuka. Rakan SS terkejut kerana pemanggil itu berterima kasih sakan kepada akhbar comel ini kerana setiap hari menyiarkan cerita Mawi.

Katanya lagi, dia dan rakannya tidak pernah ‘miss’ membeli Harian Metro apatah lagi jikalau ada cerita jejaka berasal dari Felda Taib Andak itu. Wow! Sampai begitu sekali sikap peminat dan penyokong setia Mawi.

SS harap Mawi akan terus dengan sikapnya yang taat kepada agama dan orang tua, pasti rezekinya akan terus melimpah ruah dan menjadi kesayangan ramai. Terutama dia sendiri sudah lama berhasrat memperbaiki kehidupan keluarganya di kampung.

Kehangatan jejaka yang juga digelar Lelaki Melayu Terakhir itu terbukti apabila pada hujung minggu lalu, dia terpaksa menghadiri dua acara besar sekali gus. Walaupun nampak Mawi kepenatan namun di atas sokongan peminat dia terus bersemangat menghiburkan penonton dengan lagu hitnya, Aduh Saliha.

Sebaik saja habis menyanyikan empat lagu kerana khabarnya penonton di sana juga tidak sabar hendak mendengar suara ‘machonya’ itu. Rupanya, janji Mawi dengan penganjur pertama tidak tamat pada empat lagu itu kerana dia perlu tampil dengan dua lagi artis jemputan pada malam itu dan mereka berpadu suara menyanyikan lagi penutup.

Jadi SS difahamkan, tamat tugasnya di lokasi kedua dia ‘berlari’ semula ke lokasi pertama. Bayangkan betapa sibuknya Mawi. Bukan senang hendak puaskan hati semua pihak. SS dapat rasakan yang pihak pengurusan Mawi pun serba salah hendak tolak tawaran yang datang untuk Juara AF3 itu tetapi dalam pada itu, Mawi kenalah jaga kesihatan. Makan makanan berkhasiat dan vitamin tambahan kerana perjalanan Mawi dalam bidang seni masih jauh lagi.

Itu belum lagi dia dilantik sebagai duta produk yang akan membuatkan Mawi berlipat ganda sibuk.

Sunday, August 28, 2005

Apabila tiga `aura' bertemu

(Utusan Malaysia - 28/08/2005)
Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

JARUM jam sudah menunjuk ke angka 12.05 minit malam. Bermakna sudah tiga setengah jam kami dibawa belayar ke alam penuh asyik itu.

Bukan tidak biasa menyaksikan pertunjukan hebat artis ternama dalam dan luar negara, tetapi untuk persembahan yang satu ini, lain benar perasaannya.

Terbuai dengan lagu-lagu indah, disampaikan oleh tiga pembawa `aura' yang nama mereka paling atas dalam direktori hiburan ketika ini, ada hati yang tidak mahu pulang ke rumah malam itu.



Mawi sempat potong pulut kuning tanda kesyukuran.

Kaki bagaikan terpijak kemas dan kejap di lantai Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak meski hari telah larut benar.

Tidak ada punggung yang panas, tidak ada hati yang malap dan tidak ada bibir lokek melempar senyum bahagia bila si pembawa aura, Mawi, Jamal Abdillah dan Siti Nurhaliza muncul di depan mata.

Menyaksikan tiga nama besar dunia seni suara, bila mereka berkolaborasi, sudah tentu aroma bahagia yang bukan sedikit hadir.

Malam 23 Ogos adalah malam milik mereka bersempena dengan sambutan Hari Wanita yang dianjurkan oleh Mahir Entertainment dan D' Saji.

Bagai diduga, dewan yang memuatkan hampir 2,000 penonton ini tidak cukup kerusi dan meja.

Sampai ke saat-saat akhir, masih ada penonton yang menerima hampa kerana tidak mampu untuk mendapatkan tiket menyaksikan persembahan ini.

Ini adalah persembahan pertama yang berjaya menggabungkan ketiga-tiga wira dunia seni suara yang menjadi kebanggaan orang Melayu itu.


Mawi - jangan fanatik

Mawi membuka gelanggang sekitar pukul 8.45 malam dengan Pergi Tak Kembali.

Sebelum meneruskannya dengan lagu-lagu pilihan lain, dan sudah pasti Aduh Saliha menjadi percaturan terbaik.

Pertama kali menyaksikan persembahan makan malam Mawi, saya memberikan markah penuh seratus peratus kepadanya.

Mawi lulus ujian dengan markah penuh meskipun pada awalnya saya sendiri tertanya-tanya mampukah Mawi berdiri sama tinggi dengan Siti dan Jamal? Akan menjadi `mangsakah' Mawi, bila diapit oleh dua nama yang memang sudah diakui sebagai `dahsyat' oleh khalayak?

Mawi bukan sahaja bijak mengawal vokalnya setiap kali menyampaikan lagu, tetapi dia mempunyai kelebihan yang tiada pada Jamal dan Siti.

Apa dia? Sikap selamba dan lawak jenaka spontannya, selain bijak mengusik dan mengenakan penonton yang dijemput ke pentas bersamanya.

Malah, Mawi juga pandai mengusik pengacara yang menggelarkan dirinya `Janda Eksklusif Malaya' Ogy Ahmad Daud.

Ini menjadikan persembahan Mawi hampir 40 minit ceria dan mesra.

Pentas acara ini juga dijadikan medan oleh Mawi untuk sekali lagi meluahkan perasaannya kepada peminat.

Melihat ratusan peminat berdiri di tepi pentas dan galak merakamkan wajahnya dengan kamera peribadi, Mawi sempat memberi nasihat.

``Kepada peminat, saya ingin ingatkan. Hendak minat boleh, tapi saya harap jangan fanatik sangat.

``Sebabnya saya hanya manusia biasa, tak boleh terlalu taksub kalau anda semua minat kepada saya,'' kata Mawi.

Terus terang saja bunyinya, tetapi semoga apa yang diluahkan Mawi berjaya dihayati oleh peminat yang memujanya.

Malam itu, bukan sahaja pengurusan beberapa pegawai Maestro Talent yang mengiringinya di belakang pentas, tetapi juga beberapa ahli keluarga Mawi dari Kulai, Johor turut kelihatan.


Jamal - kecil hati dengan peminat

Mencuri tumpuan khalayak daripada Mawi, Jamal muncul di tengah-tengah lagu Gadis Melayu.
Pastinya ini yang dinantikan kerana secara tidak langsung Gadis Melayu mempunyai kaitan yang rapat dengan kedua-duanya.

Malah, Mawi juga nampak lebih teruja apabila buat pertama kalinya berpeluang berduet dengan Jamal yang juga salah seorang idolanya dalam bidang seni suara.

Secara bergurau, Jamal Abdillah mengakui dia iri hati dengan Mawi yang kini digilai oleh lebih ramai peminat.

Malah Jamal dengan selamba mengatakan ada kalanya dia merajuk hati dengan peminat yang sejak akhir-akhir ini asyik memberi perhatian kepada Mawi sahaja.

``Tulah, kadang-kadang saya pun jadi kecil hati juga. Yalah, asyik-asyik Mawi saja yang disebut. Saya pun orang lupa,'' kata Jamal cuba berjenaka.

Gurau Jamal lagi, apa-apa hal pun dia lebih kacak daripada Mawi. Dan yang penting, dia masih solo, sedangkan Mawi sudah kepunyaan orang. Macam adik dan abang yang saling memberi sokongan, Jamal menepuk mesra bahu Mawi dan berkata, ``Tahniah, kami bangga dengan kehadiran orang baik-baik macam anda ke dunia seni.''

Malam itu Jamal kurang sihat. Demam dan selesema mengganggu pernafasannya, tetapi bila mikrofon di tangan, hilang segala masalah. Memang betullah, sangat jolokan Raja Pop berada di genggamannya.

Menghadiahkan rangkaian lagu-lagu popular P. Ramlee, Jamal tidak lupa mengalunkan lagu-lagu daripada album Raja Popnya, seperti Menaruh Harapan.

Ketika lagu wajibnya, Kekasih Awal dan Akhir mengambil tempat, Jamal memberitahu.

``Bila berkasih, kita akan ditinggalkan. Sayangkan manusia, akhirnya kita sendiri juga. Kalau kita sayangkan kekasih yang satu ini, (Allah) hanya Dia yang akan bersama kita untuk selama-lamanya,'' katanya.

Kekasih Awal dan Akhir menyentap ke jiwa apatah lagi dengan keadaan Jamal yang memberikan penuh emosi kepada lagu berkenaan.

Nostalgia masa lalu seolah-olah berada di depan mata, bila Jamal dan Ogy berduet menyampaikan lagu Sandarkan Pada Kenangan, lagu dari filem popular lakonan mereka, Azura.

Siti - kenapa berhenti berharap?

Siti Nurhaliza yang terakhir muncul. Detik pukul 10.30 malam, Siti membuka langkah dengan penuh gaya dan memilih melantunkan lagu Bukan Cinta Biasa.

Dengan gaun malam berwarna biru `turquoise' Siti `memukul' semua persembahan sebelumnya.

Dia nampak anggun walaupun dengan gaya solekan cukup sederhana di malam ini.

Dengan rambut yang hanya dilepaskan bebas, Siti mencuri perhatian, dengan Lagu Rindu, Widuri, Cindai dan Sonata Musim Salju.

Siti juga makin bijak dengan interaksinya walaupun sesekali kelihatan masih malu-malu terutamanya bila diusik peminat nakal dan Ogy sendiri.

Lagu Berhenti Berharap penutup persembahan Siti secara solo pada acara ini.

Ada suara nakal bertanya, kenapa lagu ini dipilih Siti?

Apakah sedikit sebanyak ada kaitan dengan luahan hati dan perasaannya pada ketika ini.

Benarkah bagai khabar yang tersebar, kononnya cinta Siti mendapat halangan keluarga?

Apabila merujuk kepada lirik lagu berkenaan, ia bagai ada kaitan dengan serba sedikit diri Siti ketika ini.

Ada sesuatukah sebenarnya? Apa kata kita lihat sebahagian lirik lagu ini sedalam-dalamnya.

Aku berhenti berharap
Dan menunggu datang gelap
Sampai nanti suatu saat
Tak ada cinta kudapat
Kenapa ada cerita
Bila bahagia tercipta
Kenapa ada sang hitam
Bila putih menerangkan?
Kau ajarkan aku bahagia
Kau ajarkan aku derita
Kau tunjukkan aku bahagia
Kau tunjukkan aku derita


Ada kaitankah? Hanya Siti yang tahu kenapa dan mengapa dia memilih untuk menyampaikan lagu berkenaan.

Apa pun, saya percaya kalau vokalis Sheila On 7, Duta tengok Siti persembahkan lagu ini, dia akan tabik habis.

Vokal dan penghayatan Siti untuk lagu ini yang paling istimewa di acara ini dan sekali gus menjadikan Berhenti Berharap macam lagu Siti sendiri jadinya.

Persembahan tiga pembawa `aura' ini berakhir dengan lagu yang kuat jiwa qasidahnya, Ghazal Untuk Rabiah.

Mawi duta produk herba Felda

(Harian Metro - 28/08/2005)
Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Personaliti dan perawakan Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani (Mawi) berterusan mencuri perhatian korporat apabila Felda Herbal Corporation Sdn Bhd (FHC) melantiknya sebagai duta produk herba keluaran syarikat itu.

Biarpun masih dalam perbincangan di antara FHC dan pihak pengurusan Mawi, Maestro Talent Management, pada dasarnya penyanyi Aduh Saliha itu bersetuju demi membantu masyarakat Felda seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif FHC, Hairuddin Md Bakri, berkata pemilihan Mawi sebagai duta produk herba mereka bukan bersandarkan populariti semata-mata, sebaliknya penampilan penyanyi itu bersesuaian dengan tema produk FHC.

“Mawi mempunyai latar belakang agama kuat dan menjalani kehidupan sihat, baik fizikal mahupun rohani. Herba adalah makanan tambahan. Jadi apa-apa saja yang Mawi ambil (makan) membentuk ke arah rohani sihat.

“Sebenarnya, idea ini timbul awal tahun lagi tetapi apabila kemunculan wakil Felda dalam AF3 makin menguatkan kami untuk meneruskan idea pengeluaran produk herba.

“Bukan soal dia juara, tetapi anak Felda. Kalau dia tidak juara sekalipun, kami menaruh harapan untuk membabitkan Mawi dalam hal ini. Kebetulan pula dia juara, kira lebih hebatlah,” katanya ketika dihubungi.

Hairuddin berkata, biarpun kadangkala kemunculan Mawi seperti pelawak, beliau percaya anak muda berusia 24 tahun itu penuh dengan kejujuran, bertenaga dan mendapat asuhan agama kuat daripada ibu bapanya.

“Mawi ada prinsip kuat dan didikan agama baik. Ini boleh menjadi teladan kepada ibu bapa kita hari ini yang kebanyakannya mengabaikan elemen kerohanian dalam membentuk institusi kekeluargaan.

“Jadi kita boleh mengambil iktibar daripada kemunculan Mawi sebagai selebriti hari ini,” katanya.

FHC menghasilkan 19 produk yang menggunakan ekstrak tumbuhan herba tradisional seperti tongkat ali, kacip fatimah, misai kucing, pegaga dan peria melalui kerjasama dengan bahagian Chemical Engineering Pilot Plant, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.

Hairuddin berkata, ekstrak herba ini tiada kesan sampingan.

“Banyak produk herba menggunakan kimia yang boleh mendatangkan kesan sampingan. Berapa banyak lagi yang tinggal tumbuhan itu kalau tidak dijaga dan dikawal?

“Lagipun kalau sebut saja tongkat ali, orang akan ingat untuk mengubat tenaga dalaman lelaki saja. Walhal ia bagus untuk membantu perjalanan darah. Sama juga dengan pegaga yang menyihatkan mata dan memori manusia. Minuman halia itu adalah minuman di syurga Jannah.

“Melalui kerjasama dengan UTM, kami hanya mengambil ekstrak atau pati menerusi proses ‘solven extractions’,” katanya.

Mengenai kontrak perlantikan Mawi, Hairuddin berkata, mereka masih berbincang mengenai terma bagi memuaskan hati kedua-dua pihak.

“Memang kami masih berbincang mengenai terma kontrak. Lagipun pada dasarnya Mawi bersetuju kerana ini jalan baik untuknya membantu masyarakat Felda. Sebagai duta, dengan sendirinya Mawi menolong peneroka Felda daripada aspek pendapatan.

“Felda ada dua juta ekar tanah yang kini ditanam dengan getah dan kelapa sawit. Penanaman tanaman herba ini akan dilakukan secara integrasi di antara dua tanaman utama negara itu,” katanya.

Lubuk jual VCD Mawi World

(Harian Metro - 28/08/2005)
Oleh MARY VICTORIA DASS
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Pasar malam di beberapa kawasan perumahan di sekitar bandar raya ini dikesan dijadikan ‘lubuk’ memasarkan cakera padat video (VCD) cetak rompak, terutama ‘Mawi World’ yang mendapat sambutan luar biasa sejak awal minggu ini.

Peniaga terbabit bukan saja berani mempamerkan koleksi VCD cetak rompak juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Asmawi Ani atau Mawi secara terbuka, tetapi turut menawarkannya dengan harga murah bagi menarik perhatian orang ramai.

Harga sebuah VCD cetak rompak dijual antara RM5 sehingga RM6, dan bagi setiap pembelian melebihi dua VCD, pelanggan turut ditawarkan potongan harga istimewa.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Adilah A Aziz, mengesahkan menerima banyak aduan dipercayai daripada peminat Mawi, bahawa VCD rakaman video konsert artis baru paling popular, Mawi, semakin berleluasa di bandar raya ini.

Beliau berkata, VCD itu yang ditawarkan dengan harga murah juga dikatakan berani dipamerkan secara terbuka kepada orang ramai oleh peniaga tidak bertanggungjawab, walaupun menyedari perbuatan itu bercanggah dengan undang-undang.

Sehubungan itu, pihaknya akan menjalankan pemantauan disusuli operasi besar-besaran berdasarkan aduan diterima daripada orang ramai mengenai kegiatan yang didakwa berleluasa di tapak pasar malam itu.

“Peniaga VCD pasar malam juga boleh dikenakan tindakan tegas jika masih meneruskan kegiatan menjual apa saja bahan cetak rompak, termasuk album ‘Mawi World’,” katanya.

VCD ‘Mawi World’ memuatkan klip video persembahan Mawi mulai konsert Prelude hingga ke pusingan akhir, termasuk cakera padat (CD) koleksi lagu terbaik ‘AF3-Best of Mawi World’ mengandungi 11 lagu nyanyian Mawi sepanjang konsert pertandingan realiti TV itu.

Adilah berkata, sehingga kini operasi dijalankan pegawai KPDNHEP di beberapa pasar raya sekitar bandar raya berjaya merampas sejumlah VCD cetak rompak itu, malah menangkap tiga lanun cetak rompak dalam serbuan di Pasar Besar Carrefour, kelmarin.

“Kami telus menjalankan operasi secara berterusan bagi memerangi kegiatan cetak rompak dan orang ramai yang ada maklumat mengenai jualan VCD cetak rompak ‘Mawi World’ boleh membuat aduan kepada KPDNHEP,” katanya.

Penangan Luar Biasa Mawi

(Harian Metro - 28/08/2005)

TABIB ucapkan tahniah kepada Mawi kerana albumnya Best Of Mawi World meletup di pasaran. Ketika Tabib menulis ruangan ini, lebih 80,000 unit terjual dalam tempoh kurang seminggu.

Ini hadiah istimewa hari jadi Mawi yang ke-24.

Ia mengejutkan pelbagai pihak, termasuk Pengarah Urusan Zeza Entertainment, Mohd Firhat Amat, yang menyifatkannya sebagai di luar dugaan.

“Sasaran awal kami terhadap keseluruhan album ini cuma 40,000 unit. Melihat perkembangan ini, saya percaya jualan keseluruhan boleh meningkat melebihi 100,000 unit.

“Dalam suasana industri yang ketika ini lembap, sambutan terhadap album Mawi disifatkan sebagai perkembangan menarik dan luar biasa,” katanya.

Apa pun, Tabib kasihan melihat Mawi yang baru bergelar artis tiga minggu dikatakan mengalami ‘kejutan glamor’ hingga menghadapi gangguan dalam tidur.

Marilah sama-sama kita doakan semoga kesihatannya dipelihara Allah. Insya-Allah bila dia dapat menyesuaikan diri sebagai artis, semua masalah dapat dihadapi dengan tenang.

Setakat ini, Tabib sanjung Mawi kerana masih mengekalkan sifat rendah diri dan diharap terus kekal sampai bila-bila kerana ia disenangi peminat.

Mawi sendiri mengakui dia hanya manusia biasa yang tidak sempurna.

Tabib ucapkan Selamat Hari Jadi kepada Mawi, semoga panjang umur dan murah rezeki.

Aduh Saliha nombor satu

(Harian Metro - 28/08/2005 - Cerita Artis Kita)

TSUNAMI Mawi masih bergegar! Selain konsert yang mendapat sambutan hangat, nama Mawi menjadi nombor satu di carta lagu popular Radio Era selepas lagunya, Aduh Saliha menduduki tangga teratas senarai berkenaan.

Aduh Saliha ciptaan M Nasir dan Loloq melonjak secara drastik ke atas sebagaimana populariti Mawi dalam industri muzik tanah air. Lagu berirama muzik sejagat itu memang bagus. Era memilih Aduh Saliha versi konsert sebagai siaran mereka.

Cuma CAK kurang pasti, sama ada lonjakan itu disebabkan lagu itu atau nama Mawi. Biasalah, macam-macam selera manusia. Namun, kombinasi irama itu dan Mawi memang bertepatan. Lagu ini juga menjadi lagu ‘cari makan’ Mawi pada setiap persembahannya

Mawi susul sinar Siti, Jamal

(Harian Metro - 28/08/2005)
Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

KETIKA artikel ini ditulis, album Asmawi Ani (Mawi) dijual melebihi 80,000 unit. Ternyata auranya menyengat. Aura yang memanggil seluruh masyarakat tanpa mengira pangkat atau usia untuk menatap wajah anak Kulai, Johor ini dari dekat.

Tidak mustahil dia menjadi antara tarikan Konsert Raikan Wanita di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Mungkin sebahagian daripada lebih 1,300 yang memenuhi dewan itu ingin merasai aura diciptakan Mawi.

Bagaikan magnet, sebaik Mawi muncul, rata-rata penonton meninggalkan makanan di meja dan meluru ke tepi pentas untuk merakam wajah anak muda yang menyambut ulang tahun ke-24 Khamis lalu.

Berkilau pentas dek pancaran ‘flash’, tetapi Mawi dengan selamba mengalunkan lagu ‘cari makannya’ — Pergi Tak Kembali, Oh Fatimah, Rindu Padamu dan Aduh Saliha. Vokalnya semakin meyakinkan. Pengalaman beberapa persembahan sebelum ini membuatkan Mawi lebih selesa di pentas.

“Kepada peminat fanatik, jangan terlalu taksub. Saya pun manusia biasa. Kalau asyik teringatkan, nanti susah tidur. Fobia,” pesan Mawi kepada penonton.

Mawi membuktikan kemenangannya bukan sekadar popular, tetapi kerana bakat diberikan Tuhan kepadanya. Diguna dan ditunjukkan tenaganya malam itu.

Tepukan dan sorakan peminat sudah diagak. Biarpun tidak segema Stadium Malawati Shah Alam, kubah Dewan Felda itu cukup menyaksikan sambutannya.

Tiba giliran orang berpengalaman, Jamal Abdillah. Di sini kita melihat perbezaan auranya. Orang lamalah katakan!

Sudah lebih 20 tahun menyanyi, pelbagai muka baru silih berganti, namun sinar Jamal tidak pernah pudar.

Syadu malam

Berbeza aura Mawi, kematangan vokal Jamal sukar dipertikaikan. Syahdu malam itu Jamal mengalunkan rangkaian lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Jamal meneruskan dengan Menaruh Harapan, Seroja, Kekasih Awal dan Akhir dan Kasihnya Ibu. Tidak lupa lagu duetnya bersama Mawi, Gadis Melayu.

“Saya cemburu sebab orang asyik sebut nama Mawi, tetapi saya rasa saya ada kelebihan kerana saya masih bujang,” kata Jamal disambut gelak penonton. Mawi tersipu-sipu lagi.

Selesai berlagu dan bergurau manja dengan peminat, muncul pula diva Malaysia, Siti Nurhaliza. Aura semakin meningkat. Kemerduan gadis Kuala Lipis ini terus menguasai dewan sehingga ruang itu senyap seketika, mungkin terpegun dengan nyanyian Siti untuk Berhenti Berharap.

Tidak dapat dipastikan, terpegun kerana suara atau liriknya yang mungkin boleh dikaitkan dengan perjalanan cerita manusia seperti Siti.

Jadi, aura siapa lebih kuat? Itu kena tanya peminat artis masing-masing. Ada yang menggelarkan mereka ikon tiga zaman! Siti malam itu cemerlang dengan Bukan Cinta Biasa, Seindah Biasa, Cindai, Widuri dan Sonata Musim Salju.

Bukan saja tiga aura, malam meraikan wanita oleh Mahir Entertainment & Productions itu juga mempunyai aura Fauziah Ahmad Daud (Ogy).

Selaku pengacara, suasana malam itu hidup dengan spontan dan ‘gurauan laser’ akak yang seorang ini.

Bukan saja Mawi yang junior menjadi ‘mangsa’ gurau senda Ogy, malah Jamal juga yang pernah menjadi pasangannya di dalam filem Azura.

Malam itu juga Ogy tidak ketinggalan berduet dengan Jamal, mengembalikan nostalgia melalui lagu Sandarkan Pada Kenangan.

Sebenarnya bukan aura siapa lebih kuat, tetapi menjadi medan untuk Mawi sebagai orang baru menimba pengalaman dengan mereka yang berpengalaman.

Perkataan tuah mungkin jelak untuk dilabelkan kepada Mawi, tetapi itulah untungnya dia kerana peluang keemasan ini.

Tidak hanya Mawi, sekalung tahniah kepada penganjur yang berjaya ‘mencuri’ Mawi untuk digabungkan dengan bintang besar. Satu hari nanti, Mawi akan tahu bagaimana laluan sebenar menjadi bintang besar.

Turut diraikan ulang tahun Mawi ke-24, kejayaan album Jamal dijual 35,000 unit dan 10 tahun Siti sebagai penyanyi. Mawi membaca doa, sekali lagi membuatkan hati tersentuh.

Saturday, August 27, 2005

Mawi miliki bakat melukis

(Berita Harian - 27/08/2005)
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

KETIKA berkunjung ke rumah bintang Akademi Fantasi Tiga (AF3) baru-baru ini, kelihatan bingkai potret menghiasi dinding kosong rumah keluarga Mawi. Salah satu gambar yang dilukis Mawi adalah wajah dirinya sendiri yang dilukis pada tahun 2002.

Kegiatan melukis dilakukan pada waktu senggang saja, namun hobinya mungkin tidak dapat lagi diteruskan berikutan jadual kerja yang padat. Antara lukisan yang pernah dilakarkan termasuklah wajah dua orang kakaknya.

Pernah juga dia cuba-cuba melukis gambar penyanyi jelita Siti Nurhaliza, kebolehan melukis itu turut diakui rakannya, Zulizman Zawilkeple. Membuktikan bakat Mawi, Zulizman dan rakannya Mohd Naszarudin Mohd Naszan mendapatkan Hip sekeping gambar ibu bapa teman mereka yang dilakar Mawi.

Biarpun belum layak digelar profesional, namun lakaran itu nampak cukup halus. Mawi tidak pernah menyertai mana-mana kelas lukisan tetapi bakat itu datang secara semula jadi.

“Setiap bakat yang ada dalam diri manusia adalah anugerah dari tuhan, mula-mula saya sekadar mencuba. Tapi cuba punya cuba menjadi pula, sudah lama saya tidak meneruskan hobi melukis kerana sibuk.

“Tambahan pula jadual sebagai artis semakin ketat dengan undangan di sana-sini, nampaknya terpaksalah saya lupakan seketika hobi itu,” katanya lagi.

Suka berkawan orang lebih berusia

LAZIMNYA bila mencari teman baik, pastilah mereka yang seusia atau jarak usia yang tidak terlalu berbeza menjadi pilihan. Namun, berbeza pula dengan Mawi kerana dia lebih selesa berkawan dengan mereka yang berusia.

Teman kampung yang paling rapat dengannya adalah Zainuddin Ibrahim kini berusia 42 tahun. Zainuddin yang dipanggil Bujang adalah salah seorang peneroka felda. Persahabatan mereka terjalin sejak Mawi berusia 12 tahun lagi, ketika itu Mawi menyertai kem motivasi yang dianjurkannya.

Sejak perkenalan itu, sebanyak lima kali Mawi di bawa Bujang menyertai program motivasi. Pelbagai perkara yang dilakukan Bujang terhadap Mawi, dia pernah ditinggalkan di kubur tengah malam dan pernah direndam dalam air kotor.

Menurut Bujang semua ini dilakukan supaya Mawi menjadi insan yang tabah, motivasi perlu supaya jiwanya tidak rapuh.

“Dia seorang remaja yang cekal dan minat belajar, semangat Mawi kuat serta tidak mudah menyerah kalah. Ilmu agama yang dimilikinya adalah satu sebab menyumbang kepada ketabahan jiwa Mawi, dia selalu datang pada saya minta nasihat.

“Saya sering beri nasihat padanya, tapi jika ia berkaitan keluarga saya biarkan dia selesaikan sendiri.

Saya tidak pernah campur hal keluarga Mawi, setiap kali pulang ke kampung dia akan cari saya dan bercerita pelbagai kisah mengenai apa yang ditempuhi ketika di Kuala Lumpur,” kata Bujang.

Ketika bersama, kata Bujang mereka kerap menghabiskan masa bermain dam mahu pun chess. Ada kalanya ia berlanjutan hingga Subuh, malah bapa Mawi sendiri akan mencarinya di rumah Bujang kerana dia paling rapat dengannya.

Mawi pendiam

Sementara itu seorang lagi rakan sekampungnya, Zulizman pula berkata, Mawi seorang yang pendiam.

Sejak dari sekolah rendah hingga menengah dia dan Mawi berada dalam kelas yang sama.

Mawi juga terkenal sebagai ‘pak lawak’ tetapi dia suka berlawak dengan teman rapat saja. Sikapnya itu turut digemari guru di sekolahnya, malah Mawi sering menjadi perhatian bukan saja guru malah diminati ramai.

Selain itu seolah-olah sudah ditetapkan setiap kali ada saja pertandingan musabaqah al quran atau nasyid, Mawi dipilih menjadi wakil sekolah dan banyak kali mengharumkan nama sekolah.

Tidak dinafikan selain potret, banyak pingat tersusun di tengah ruang tamu rumahnya. Pingat itu dimenanginya ketika menyertai pertandingan yang bercorak keagamaan.

Lalu Hip bertanya, kepada bapa Mawi, Ani apakah dia tidak gembira dengan kemenangan anak bujang tunggalnya dalam AF3.

“Saya gembira bercampur sedih, tapi saya tidak tahu hendak tunjukkan kegembiraan saya. Lagipun sudah banyak pertandingan dia masuk dari sekolah rendah hingga menengah, perkara ini biasa bagi saya.

“Bagi saya kalau hendak tepuk atau ucap tahniah saya lebih selesa mengucapkan di rumah, saya tidak biasa tunjuk di depan orang ramai,” katanya lagi.

Cerita sedih peminat Mawi

(Utusan Malaysia - 27/08/2005)

``Dah lama saya cari Kak Tim untuk kongsi cerita Misteri Mawi yang Kak Tim tulis dalam ruangan ini dua minggu lalu.''Begitu bicara seorang wanita pada Kak Tim melalui satu panggilan telefon beberapa hari lalu.

``Membaca tulisan Kak Tim itu, saya dapat rasakan, Kak Tim mungkin tidak dapat merasakan penderitaan hati seorang anak peneroka Felda seperti Mawi. Sebab itu, Kak Tim menganggapnya sebagai satu misteri bila melihat air mata mawi bertakung di saat Kak Tim tanyakan kisah keluarganya.

``Kak Tim, saya juga anak peneroka seperti Mawi. Kalau Felda Mawi di Kulai, Felda saya di Kahang Barat, Kluang, Johor. Felda Mawi lebih jauh pendalaman berbanding Felda saya. Tentu saja penderitaanya lebih parah daripada penderitaan yang pernah saya tanggung.

``Felda di tempat Mawi, sama dengan tempat saya... peneroka sawit yang tidak memberikan pendapatan lumayan.

``Memang tiap bulan abah dapat gaji. Tapi selepas ditolak hutang baja, upah potong pelepah, duit tanah, duit hutang kedai belanja barang dapur dan sebagainya, bakinya memang menyedihkan. Pernah abah terima gaji 50 sen selepas ditolak segala hutang piutang itu. Pernah juga terhutang pula lagi dengan Felda.

``Bayangkan bagaimana untuk makan dan minum seterusnya? Pengalaman ke sekolah pakai kasut koyak ni jangan cerita. Sudah lali kami lalui. Minta emak belikan kasut baru. Tapi kata emak, selagi tapak kaki tak luka, pakailah kasut tu.

``Bila tunjukkan pada emak, depan kasut dah ternganga, emak hulurkan tali tangsi suruh jahit koyak tu. Dan kami ke sekolah dengan kasut yang tapaknya sudah koyak dan di depannya berjahit dengan tali tangsi.

``Tiba musim raya. Kata abah, `Mari kita ke bandar beli kasut raya.' Gembiranya kami adik beradik tak tidur semalaman itu menanti siang. Kami bercerita sepanjang malam warna kasut yang akan kami pilih bila di kedai nanti. Esok pagi-pagi naik motor tiga beradik bersama abah.

``Tahu apa yang kami dapat? Sepasang selipar Jepun tiap seorang. Hanya itulah kemampuan anak Felda untuk bergaya dengan kasut raya.

``Bila Mawi kata nak tolong emak abah yang pernah mengalami musibah dan di pandang rendah... saya menangis. Saya faham benar maksudnya.

``Pernah kami beraya rumah pak cik di Cameron Hinglands. Waktu emak pelawa mereka datang rumah, kata mak cik, dia bukan tak mahu datang rumah kami. Tapi dia takut kereta dia rosak sebab laluan untuk kerumah kami itu teruk dan lecak becak.

``Beberapa hari kami bermalam di rumah itu, setiap kali nak mandi, kami rasa terseksa. Takut kalau keluarga mak cik terpandang tuala kami. Puas bersembunyi, tapi akhirnya pak cik terpandang juga kami bertuala.

``Kata pak cik pada abah, `tuala apa kau bagi budak-budak tu pakai. Dah tipis betul. Tak boleh serap air lagi dah. Rumah ni, kalau tuala macam tu dah kena buat lapik kaki.'

``Kami jadi bahan hinaan. Mereka mencaci tanpa membantu. Sedih Kak Tim!

``Bila saya ke Kuala Lumpur bekerja, kata jiran-jiran, saya jadi perempuan jahat. Gaji pertama, saya beri abah RM200. Abah tanya, `Bolehke aku makan dengan duit ni?' Kata-kata jiran, rupanya `termakan' oleh abah.

``Sampai sekarang ini kalau saya tengok kad pengenalan saya, mahu rasanya saya tukar alamat yang tercatit pada kad saya itu.

``Bukan rasa terhina jadi anak Felda. Saya bangga dibesarkan dengan jerih perih seorang peneroka Felda. Tapi saya ingin padam kenangan pahit di Felda, kalaulah ia boleh dipadamkan!

``Kak Tim, sebenarnya ramai anak Felda yang kecundang dari dalam diri kerana mengalami segala pengalaman itu.

``Waktu orang ketawakan Mawi tidak pandai Bahasa Inggeris, air mata saya meleleh. Hinaan itu saya rasa bukan lagi cubit paha kiri, paha kanan terasa. Tapi sebaliknya terkena hati dan jantung saya.

``Mereka tak faham, kami anak-anak Felda memang tidak terdedah dengan Bahasa Inggeris. Memang ada guru Bahasa Inggeris. Tapi caranya mengajar tidak sama dengan cara yang diajar oleh guru anak-anak saya yang kini dibesarkan di Kuala Lumpur.

``Tapi jangan pula ingat semua anak Felda gagal dalam hidup. Ramai yang berjaya. Bersama-sama dengan saya, ada empat lagi rakan saya yang terpilih meneruskan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara. Empat kawan-kawan saya itu melanjutkan pelajaran ke luar negara.''

KAK TIM: Tak sedar, sepanjang mendengar bicara wanita lewat 20an itu, air mata mengalir laju.

Hari ulang tahun seorang penyanyi

(Utusan Malaysia - 27/08/2005)

Tentu ramai yang sudah tahu, 25 Ogos lalu adalah hari ulang tahun Mawi yang ke-25. Kak Tim mulanya difahamkan penyanyi itu akan diraikan oleh ahli kelab peminatnya. Tapi kemudian diberitahu, rancangan itu terpaksa dibatalkan kerana jadual kerjaya Mawi terlalu padat untuk memberinya ruang bersama peminat pada hari istimewa itu.

Kak Tim sebenarnya tidak terkejut dengan perubahan itu. Begitulah kalau sudah bergelar bintang.

Mengembirakan, pada hari itu, album The Best of Mawi World diumumkan telah mencapai penjualan melebihi 80,000 unit.

Tahniah untuk Mawi dan Maestro Entertainment Group Sdn. Bhd., kerana berjaya mencatat kejayaan hebat pada hari keempat penjualan album itu.

KAK TIM: Tahniah kepada Datuk A.Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Mohamat di atas perkahwinan anaknya, pelakon Khir dengan penulis skrip dan novelis Siti Jasmin Ibrahim. Persandingan pasangan mempelai ini diadakan di Dewan Gemala Sari, Bangunan Risda, Kuala Lumpur, esok.

`Jangan taksub memuja saya'

(Utusan Malaysia - 27/08/2005)

MUAR 26 Ogos - Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi mengingatkan para peminat fanatiknya supaya tidak terlalu taksub memujanya sehingga menyebabkan beliau terlalu `takut' dengan harapan terlalu tinggi yang diletakkan ke atasnya.

Katanya, walaupun terharu dengan sambutan yang diterima oleh para peminat, beliau meminta mereka menganggapnya sebagai kawan dan jangan terlalu memuja beliau.

``Sebagai manusia biasa, saya takut dengan keadaan yang saya alami sekarang. Sokongan dan harapan anda semua menyebabkan saya dalam ketakutan dan tidak lena tidur,'' katanya.


MAWI dikerumuni peminatnya ketika tiba pada majlis perasmian Johorparks Ledang International Climbathon 2005 di Gunung Ledang Resort, Tangkak, Johor semalam. - Gambar SUFFIAN ABU BAKAR.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-24 semalam menyatakan demikian ketika diberi peluang berucap selama kira-kira lima minit semasa menghadiri Program `Johorparks Ledang International Climbathon 2005' yang dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Gunung Ledang Resort, Tangkak, di sini hari ini.

Sepanjang ucapannya itu, Mawi juga terus memberi nasihat kepada peminatnya dan kali ini nasihatnya ditujukan kepada mereka yang gemar berlumba haram atau Mat Rempit.

``Kepada Mat-Mat Rempit di luar sana, hentikan perbuatan anda, berhati-hatilah ketika di jalan raya,'' katanya.

Peserta AF3 yang popular itu sempat mengajak tetamu yang hadir termasuk Menteri Besar melaungkan `Johor World' sebanyak tiga kali sebelum mengakhiri ucapannya.

Pada majlis itu, Mawi turut dilantik sebagai Duta Konservasi Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) dan menjadi ahli taman negara itu seumur hidup.

Selain pelantikan itu, beliau turut menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 yang diberikan oleh Kerajaan Johor atas kejayaan beliau.

Ini merupakan anugerah ketiga yang diterima Mawi selepas beliau menjuarai AF3, baru-baru ini.

Majlis pelantikan dan penyampaian anugerah disempurnakan oleh Abdul Ghani yang turut menyifatkan Mawi mampu menjadi contoh terbaik belia yang berfikiran positif. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri, Freddie Long Hoo Hin berkata, Mawi dilantik sebagai duta konservasi kerana mengambil kira pencapaiannya yang sinonim dengan ikon remaja.

Katanya, PTNJ berharap Mawi dapat menyanyikan lagu yang berunsurkan konservasi bagi meniup semangat kepada generasi muda untuk menyintai alam semula jadi.

``Mawi dapat menjadi contoh kepada artis tanah air untuk menyampaikan dan mendendangkan lagu yang berunsurkan konservasi.

``Kami amat berharap pencipta lagu yang bakal mencipta lagu untuk Mawi dapat menghasilkan lagu yang bertemakan konservasi juga,'' katanya ketika berucap pada majlis itu.

Katanya, Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 kepada Mawi adalah sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan Mawi dalam bidang yang diceburinya sehingga diangkat sebagai contoh kepada anak muda.

``Sebagai juara AF3, Mawi mempunyai imej yang bersih dan mengharumkan nama Johor. Kejayaan yang dicipta Mawi harus dicontohi oleh semua lapisan masyarakat terutamanya yang dalam mengejar cita-cita,'' katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap Mawi sebaris dengan penyanyi yang membawa lagu berunsurkan konservasi terkenal seperti Zainal Abidin, Ramli Sarip dan Anggun C. Sasmi.

Terdahulu, Mawi bersama Abdul Ghani dan Freddie serta lebih 300 hadirin majlis pelancaran menyertai acara J-robik yang diadakan di Dataran Kompleks Gunung Ledang Resort selama hampir sejam.

Mawi juga tidak menghampakan permintaan peminat untuk mendendangkan lagu `Gadis Melayu' yang dinyanyikan secara duet dengan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM), Amy Mohammad.

Peniaga jual nama Mawi

(Harian Metro - 27/08/2005)
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Mawi atau Asmawi Ani terus menjadi bahan pihak tidak bertanggungjawab mengaut keuntungan terhadap popularitinya apabila mereka dikesan menggunakan jenama Mawi World terhadap produk keluaran syarikat terbabit.

Gelaran ‘Mawi World’ yang sudah sebati dengan pemuda berusia 24 tahun itu kini boleh dilihat secara meluas bukan sahaja di kemeja-T, malah pin kolar, topi, poster serta gelang tangan yang dijual di pusat beli-belah di seluruh negara.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, sesetengah peniaga tamak didapati mengambil kesempatan terhadap populariti orang baru dalam industri hiburan.

Beliau berkata, perbuatan seperti itu jelas apabila pelbagai barangan keluaran syarikat tertentu menggunakan panggilan atau imej penyanyi berkenaan kerana percaya ia mampu menarik perhatian ramai.

Menurutnya, tidak dinafikan populariti penyanyi terkenal yang mempunyai berpuluh ribu peminat di seluruh negara itu digunakan sebagai taktik mempromosi produk mereka.

Katanya, terdapat juga sesetengah peniaga menaikkan harga barangan yang mempunyai imej Mawi atau panggilan berkenaan sehingga mencecah nilai berlipat kali ganda.

“Walaupun mutu produk ditawarkan dengan harga tinggi berkenaan tidak seberapa, namun ia sama sekali tidak menghalang orang ramai terutamanya peminat setia Mawi untuk mendapatkannya.

“Malah, sesetengah peniaga juga sengaja memperalatkan pembeli dengan mendakwa semua barangan yang ditawarkan berkenaan terhad selain sukar didapati di lokasi lain, “ katanya.

Sementara itu, beliau berkata, harga barangan berkenaan ditawarkan dari RM5 sehingga mencecah RM30 bagaimanapun dipercayai akan meningkat mengikut permintaan serta bergantung kepada populariti penyanyi berkenaan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, misalnya, gelang tangan Mawi World ditawarkan pada harga RM5 ketika pusingan akhir AF3 melonjak kepada RM10 apabila penyanyi berkenaan menjuarai pertandingan berkenaan.

“Saya dan keluarga yang menjadi pelanggan tetap sebuah pasar raya di sekitar Tampoi, di sini terkejut apabila mendapati semua barangan yang mempunyai imej Mawi berkenaan sudah melonjak harga berlipat kali ganda berbanding sebelumnya,” katanya.

Mawi duta Taman Negara Johor

(Harian Metro - 27/08/2005)


LANTIK...Abdul Ghani menyerahkan sijil Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 dan pelantikan sebagai Duta Konservasi Taman Negara Johor kepada Mawi sambil diperhati Freddie (dua dari kanan).
— Gambar JUNITA MAT RASID


MUAR: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi dilantik sebagai Duta Konservasi Taman Negara Johor dan menjadi ahli taman negara itu seumur hidup.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai Johor yang baru menyambut hari lahirnya yang ke-24 pada 25 Ogos lalu itu turut menerima Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 yang disediakan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ).

Majlis pelantikan dan penyampaian anugerah disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, sempena perasmian Cabaran Antarabangsa Climbathon Taman Negara Gunung Ledang 2005, di Tangkak, dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Johor, Freddie Long, berkata Mawi dilantik sebagai duta konservasi mengambil kira pencapaiannya yang sinonim dengan ikon remaja kini.

Katanya, PTNJ berharap Mawi dapat menyanyikan lagu berunsurkan konservasi bagi meniup semangat kepada generasi muda untuk mencintai alam semula jadi.

“Mawi menjadi contoh kepada artis lain untuk mendendangkan lagu berunsurkan konservasi. Kami amat berharap pencipta lagu menghasilkan lagu bertemakan konservasi untuk dinyanyikan oleh Mawi,” katanya.

Katanya, Anugerah Pencapaian Terbaik Anak Johor 2005 kepada Mawi adalah sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan Mawi dalam bidang diceburinya sehingga diangkat sebagai contoh kepada anak muda.

Tak wajar bandingkan populariti PM, Mawi

(Berita Harian - 27/08/2005)

SAYA ingin menarik perhatian pembaca mengenai komen Datuk A Kadir Jasin yang disiarkan akhbar kelmarin yang berbunyi: “Wujud trend memperbodohkan pemikiran melalui media sehingga kegilaan Mawi mengatasi populariti PM.”

Berdasarkan kenyataan ini, ia cukup jelas menunjukkan betapa tidak rasional atau kurang bijak bagi seseorang yang saya kira arif dalam bidang kewartawanan serta sosiopolitik, mempersoalkan trend ini.

Trend media meletakkan populariti Mawi hanya pada lingkungan dunia hiburan, bukan dalam pentadbiran negara.

Populariti Mawi bagi masyarakat umum harus dihalusi dan dikaji dari perspektif positif dan apa yang kita semua peroleh untuk kebaikan bersama.

Kita tidak perlu gusar akan populariti Mawi ini akan menggugat populariti Perdana Menteri kerana mereka berdua berada dalam bidang berlainan. Satu dalam dunia hiburan dan yang satu lagi dalam politik.

Kita sepatutnya tidak perlu mencampur-adukkan hiburan dengan politik atau sebaliknya. Saya fikir dalam perkara ini media kita memang bijak dalam mengatur strategi dengan mengambil kira suasana semasa.

Kita melalui banyak perkara yang menyentuh perasaan dan hati masyarakat negara ini. Tragedi alam, politik, ekonomi dan agama, tetapi dalam hiburan kita agak lama menantikan sesuatu yang teruja, kali terakhir mungkin Siti Nurhaliza atau Raihan.

Kalau kita perhatikan, sejak kebelakangan ini kita digemparkan kerenah artis yang terjebak dengan kes dadah, moral dan kehancuran rumah tangga sehinggakan masyarakat hampir mual dengan dunia hiburan.

Mujur Mawi hadir tepat pada masa apabila dunia hiburan negara kian malap dan usaha kerajaan menangani gejala dadah serta moral belia. Keadaan ini seharusnya dilihat secara positif oleh A Kadir.

Kita tidak boleh menafikan sumbangan populariti Mawi. Paling ketara penjanaan ekonomi kepada industri muzik, telekomunikasi dan yang berkaitan untuk bernafas lega, manakala yang tidak ketara pula, masyarakat secara tidak langsung akan muhasabah diri apabila melihat ciri-ciri jati diri Mawi.

Akhirnya, saya berharap A Kadir dapat menerima realiti media hari ini sama ada mahu memegang teguh kepada moral, keuntungan perniagaan atau kedua-duanya sekali.

Kita sepatutnya akur dengan pilihan masyarakat walaupun sebahagian daripada kita berpendapat sebaliknya.

ISMAIL IBRAHIM,
Taman Seri Duyong,
Melaka.

Friday, August 26, 2005

Mawi terkejut album laris

(Berita Harian - 26/08/2005)

KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi atau Asmawi Ani mengaku terkejut dengan catatan jualan album kompilasi solonya yang mencecah 81,200 unit genap empat hari diedarkan di pasaran.

Sekali gus, ia menjadi berita paling menggembirakan bakat baru kelahiran Felda Taib Andak itu yang menyambut ulang tahun ke-24, semalam.

“Saya anggap semua ini rezeki dan berkat sokongan semua. Sebagai orang baru, ia menyuntik semangat untuk saya berusaha lebih gigih lagi.

“Cuma saya harap orang di luar sana jangan terlalu fanatik. Saya pun manusia biasa. Perhatian terlampau boleh menakutkan saya.

“Perlakuan yang melampau ketika saya pulang ke kampung tempoh hari membuatkan saya takut. Saya tertekan hingga mengigau dan sukar melelapkan mata. Alhamdulillah kini ia beransur pulih,” katanya pada majlis meraikan pemenang peraduan Vanilla Coke bersama bintang AF3, di sini semalam.

Sempena hari lahirnya, Mawi diraikan dengan acara memotong kek bersama rakan seperjuangan, Reza yang juga berkongsi tarikh lahir sama.

Sebagai kejutan, teman AF3 lain bersama tetamu menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi beramai-ramai hingga membuatkannya nampak begitu terharu.

“Saya tidak pernah menyambut hari jadi. Saya masih ingat, kali pertama dan terakhir saya meraikannya masa saya kecil dulu. Itu pun tanpa kek, cukup dengan bubur merah. Jadi terima kasihlah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Zezz Entertainment, Mohd Firhad Amat, berkata album Best of Mawi World terus mendapat tempahan di luar dugaan sejak dipasarkan Isnin lalu sama ada jualan kaset mahu pun cakera padat (CD).

“Sampai hari ini kami tidak menang tangan menerima tempahan. Bagi peminatnya, jangan risau kerana album Mawi berada di setiap kedai muzik di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu di Kota Bharu, penyanyi sensasi semasa, Mawi diundang Kerajaan Pas Kelantan untuk membuat persembahan pada sambutan pengisytiharan Kota Bharu Bandar Raya Islam di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini pada 1 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Takiyuddin Hassan memberitahu pemberita semalam, selain Mawi, kumpulan Hijjaz dan beberapa artis lain akan turut memeriahkan acara itu.

Beliau berkata, langkah kerajaan negeri menjemput Mawi mengadakan persembahan tidak bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan 1998.

Katanya, kerajaan negeri tidak mengharamkan persembahan nyanyian sama ada oleh artis lelaki atau perempuan tetapi menetapkan peraturan seperti tidak ada campuran lelaki dan perempuan dalam satu kawasan.

“Kalau mahu mengundang artis perempuan kita benarkan di dalam dewan yang ditontoni kaum wanita, manakala bagi artis lelaki, semua penonton lelaki dan perempuan boleh menyaksikannya dengan syarat duduk secara berasingan,” katanya.

Takiyuddin berkata, undang-undang sebelum ini iaitu Enakman Hiburan dan Panggung Wayang, tidak menyatakan dengan jelas mengenai percampuran antara lelaki dan perempuan dalam sesuatu persembahan kebudayaan.

Takiyuddin berkata, Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dijangka merasmikan majlis pengisytiharan itu.

Kelantan undang Mawi sekali lagi

(Utusan Malaysia - 26/08/2005)

KOTA BHARU 25 Ogos - Kerajaan negeri Kelantan sekali lagi mengundang juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagi Mawi untuk mengadakan persembahan di negeri Serambi Mekah itu.

Selepas berjaya `mendapatkan' Mawi untuk mengadakan persembahan pada Konsert Amal Tautan Kasih, 30 September ini, kerajaan negeri kali ini berhasrat mengundang penyanyi tersebut untuk menjayakan majlis perasmian Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam pada 1 Oktober.

Menurut Exco kerajaan negeri Kelantan, Takiyuddin Hassan, majlis perasmian tersebut akan disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra di Stadium Sultan Mohamed IV di sini pada sebelah malam.

Beliau berkata, ia turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kira-kira 15,000 orang penonton.

``Selain Mawi, kerajaan negeri juga telah mengundang kumpulan nasyid Hijaz dan beberapa artis popular tanah air,'' katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengundang Mawi untuk menjayakan Konsert Amal Tautan Kasih pada 30 September ini di Padang Perdana di sini yang dijangka akan dihadiri oleh kira-kira 20,000 pengunjung.

Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri berkata, perundingan antara wakil kerajaan negeri dan Mawi telah diadakan.

``Kita sedang menunggu surat pengesahan dari pihak Mawi kerana kumpulan Hijaz telah pun memberi persetujuan untuk mengadakan persembahan,'' katanya tanpa mendedahkan jumlah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri bagi mendapatkan juara AF3 itu.

Beliau berkata, langkah mengundang Mawi dibuat setelah mengambil kira latar belakang penyanyi terbabit yang disifatkan tidak bertentangan dengan Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat Hiburan Kelantan tahun 1998.

Jelasnya, di bawah enakmen tersebut, sebarang bentuk hiburan yang keterlaluan dan tidak mendatangkan faedah dari persepsi kerajaan negeri tidak akan dibenarkan.

Album Mawi dicetak rompak

(Utusan Malaysia - 26/08/2005)

JOHOR BAHRU 25 Ogos - Baru sahaja empat hari berada dalam pasaran, album kompilasi solo juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi telah dicetak rompak oleh pihak tertentu.

Lebih mengejutkan lagi apabila album The Best of Mawi World itu dipercayai telah dicetak rompak oleh syarikat pengeluar cakera padat (CD) berlesen atau kilang berlesen yang didaftarkan di bawah Akta Cakera Optik 2000.

Timbalan Pengarah Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Johor, Adilah Abdul Aziz berkata, pihaknya mendapati terdapat kesan kod pengenalan pengeluar (SID) yang telah dipadam pada CD berkenaan.

``Biasanya CD yang mempunyai kod SID hanya dikeluarkan oleh kilang berlesen dan setakat ini terdapat 41 buah kilang seperti itu di negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Menara Ansar di sini hari ini.

CD tersebut katanya, telah dirampas oleh Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) di sebuah premis perniagaan di sini semalam dan juga beberapa premis lain di Tampoi dan Kota Tinggi minggu lalu.

Menurutnya, sebanyak 58 keping CD Mawi termasuk yang melibatkan album Akademi Fantasia 2005 dari konsert satu hingga 10 telah dirampas dalam operasi-operasi berkenaan.

``Dalam operasi terbaru semalam, tiga jurujual telah ditahan bagi membantu siasatan,'' ujarnya

Riuh rendah - Bila tiga penyanyi popular digabungkan

(Utusan Malaysia - 26/08/2005)
Oleh ABD. AZIZ ITAR


GABUNGAN tiga penyanyi popular: Mawi, Siti Nurhaliza dan Jamal Abdillah pada Konsert Wanita Inspirasiku, di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur baru-baru ini.


SUKAR menafikan populariti Mawi selepas anak Felda ini muncul juara Akademi Fantasia 3 (AF3) baru-baru ini.Populariti Mawi semakin menyerlah apabila dia diberi peluang mengadakan konsert bersama Jamal Abdillah menerusi Konsert Terima Kasih di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu.

Malam berikutnya, Mawi sekali lagi tampil bersama Jamal Abdillah dan Siti Nurhaliza pada Konsert Wanita Inspirasiku, juga di tempat yang sama.

Persembahan Mawi bukan sahaja menarik perhatian para penonton tetapi aura Mawi secara tidak langsung dikatakan hampir mengatasi aura Siti dan Jamal.

Perkara itu dapat dilihat apabila para penonton berasak-asak ke depan pentas untuk mengambil gambar Mawi sewaktu persembahannya.

Tindakan para peminat Mawi yang fanatik itu menimbulkan rasa kurang senang para penonton yang duduk di meja-meja hadapan.

Ini kerana, tindakan berpuluh-puluh peminat Mawi yang bangun dan memenuhi ruang depan pentas menghalang penglihatan penonton yang duduk di meja bahagian depan pentas.

Sebaliknya, perkara itu tidak berlaku terhadap Jamal mahupun Siti apabila para penonton seakan kurang ghairah untuk mengambil gambar sewaktu mereka tampil di pentas.

Lebih kecoh lagi apabila para penonton menjerit dan riuh rendah sewaktu Mawi menyanyi apatah lagi lawak jenakanya yang secara spontan menggamatkan lagi dewan pada kedua-dua malam itu.

Adakah fenomena itu menunjukkan bahawa populariti Mawi kini melebihi Siti ataupun Jamal?

Tentu sekali tidak kerana Mawi ketika ditemui selepas Konsert Terima Kasih itu mengakui, ``Saya rasa saya yang tumpang populariti Siti. Saya penyanyi baru sedangkan dia sudah cukup popular berbanding saya.''

Malah Mawi juga tidak menganggap popularitinya selepas bergelar juara AF3 menenggelamkan nama Jamal.

``Sebaliknya saya merasa bangga kerana digandingkan dengan Raja Pop Malaysia (Jamal) di atas satu pentas. Bukan senang hendak buat konsert dengannya,'' ujar Mawi.

Walau apa pun perbandingan yang dibuat tetapi Raja Pop Malaysia itu sukar untuk menafikan sambutan para penonton terhadap Mawi.

Namun sebagai penyanyi profesional, Jamal tidak kisah dengan fenomena itu sebaliknya berseloroh dengan penonton;

``Wah! sejak ada Mawi ni, bukan main sakan lagi korang (peminat). Kata Mawi handsomelah, apalah. Saya sedar diri saya.

``Tapi saya solo dan belum bertunang lagi. Tak macam Mawi.''

Dan gurauan itu disambut hilai ketawa penonton dewan seramai 1,300 orang itu menjadikan suasana riuh rendah.

Pada konsert malam pertama, Mawi cuma sempat menyampaikan lima lagu berjudul Intifada, Oh! Fatimah, Mimpi Laila (berduet dengan Sahri), Beautiful Maria dan Aduh Saliha.

Malam itu, pentas dikuasai oleh Jamal yang menyampaikan tujuh buah lagu antaranya berjudul Aku Penghiburmu, Gadis Melayu, Tidurlah Wahai Permaisuri, Menaruh Harapan, Ku Cari Damai Di Hati dan Sandarkan Pada Kenangan (berduet dengan Ogy Ahmad Daud).

Konsert malam itu turut menyaksikan kemunculan bekas-bekas pelajar Akademi Fantasia seperti Idayu (AF3), Sahri (AF1) dan Amylea (AF3) menyampaikan beberapa buah lagu.

Sementara itu, pada konsert malam kedua pula Mawi hanya menyampaikan empat lagu berjudul Pergi Tak Kembali, Oh! Fatimah, Rindu Padamu dan Aduh Saliha.

Jamal pula menunjukkan `taringnya' apabila muncul dengan banyak seleksi lagu-lagu hebat seperti Kasihnya Ibu, Kekasih Awal dan Akhir, Malam Minggu Yang Mesra dan paling gamat tentulah sewaktu penyanyi ini mendendangkan lagu Seroja.

Siti juga memukau penonton dengan menyampaikan pelbagai lagu-lagu hits antaranya Bukan Cinta Biasa, Lagu Rindu, Widuri, Cindai, Sonata Musim Salju dan Berhenti Berharap.

Bagaimanapun, klimaks persembahan tiga penyanyi popular itu terserlah apabila mereka tampil di akhir Konsert Wanita Inspirasiku dengan menyampaikan lagu Ghazal Untuk Rabiah bersama-sama.

Gabungan vokal tiga penyanyi itu amat terserlah apabila masing-masing mempamerkan kebolehan masing-masing dalam menghayati lagu tersebut.

Pada konsert malam kedua, pihak penganjur turut meraikan hari lahir Mawi yang ke-25 yang jatuh pada 25 Ogos.

Pada majlis itu, Mawi membaca doa sebelum diberi peluang memotong pulut kuning sambil disaksikan oleh Siti yang turut diraikan sempena ulang tahun ke-10 pembabitannya sebagai penyanyi.

Jamal turut diraikan pada majlis yang sama apabila album kompilasi terbarunya berjudul Aku Penghibur berjaya dijual melebihi 35,000 unit.

Tidur Mawi tak lena

(Harian Metro - 26/08/2005 - Edisi KL)
Oleh Norhayati Nordin

KUALA LUMPUR: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 24, yang baru tiga minggu menjadi artis sepenuh masa dikatakan mengalami ‘kejutan glamour’.

Anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor, itu, kini menghadapi masalah gangguan dalam tidur.

“Justeru, saya berdoa kepada Tuhan supaya sentiasa melindungi diri ini. Saya akan terus jadi seperti diri saya sendiri, termasuk memantapkan lagi penguasaan vokal ke tahap lebih baik lagi,” katanya selepas meraikan hari jadinya ke-24 di Carcosa Seri Negara, di sini, semalam.

Mawi berkata, dia tidak menyesal menjadi artis kerana memang cita-citanya sejak kecil.

Katanya, jalan diambilnya itu betul, cuma dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

“Walaupun sudah mula ke arah itu sekarang tetapi tidak lagi sepenuhnya. Masih banyak yang perlu dipelajari untuk cekalkan diri kerana saya sudah puas menangis setakat ini.

“Selain itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana terus menyokong saya dan memberi pelbagai hadiah hari jadi kepada saya. Selama 24 tahun, ini adalah sambutan paling meriah.

“Saya tidak pernah meraikan sambutan hari jadi kecuali ketika masih kecil dan ia sudah lama berlalu. Itupun, ibu saya hanya menyediakan bubur tepung buat kami sekeluarga,” katanya.

Mawi turut meminta peminatnya supaya bersopan apabila menonton persembahannya.

“Jangan berasak-asak seperti yang berlaku ketika saya balik ke Kulai, baru-baru ini. Saya sedar, sokongan mereka amat penting pada kerjaya seni yang baru diceburi ini tetapi biarlah berpada.

“Saya hanya manusia biasa yang tidak sempurna,” katanya yang masih `tercari-cari’ faktor yang membuatkan dirinya hebat diminati tanpa pernah diduga,” katanya.

Mengulas hadiah hari jadi yang diberikan tunangnya, Nor Diana Mohd Naim, 21, Mawi berkata, dia tidak pernah menerima sebarang hadiah daripadanya kerana tidak pernah meminta.

Selain Mawi, seorang bekas pelajar AF3, Syaiful Reza Mohamed atau Reza turut diraikan hari jadinya ke-27.

Pemenang promosi ‘Menuju Puncak Bersama Vanilla Coke’ juga diumumkan iaitu Amalia Sabry, 24, dan Nazrulhairi Modin, 23, yang masing-masing memenangi empat tiket konsert khas pelajar AF3 pada 2 September depan.

Album Mawi cecah jualan 41,250 unit

(Berita Harian - 26/08/2005)
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

DEMAM Mawi World nampaknya kian menjadi apabila album yang memuatkan lagu nyanyian Mawi di Konsert Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) mencatat jualan mengejutkan walaupun baru beberapa hari di pasaran.

Album yang diberi judul Koleksi Lagu-Lagu Terbaik Konsert AF3 - Best of Mawi World mencipta sejarah tersendiri apabila sebanyak 41,250 unit album dijual dalam masa tiga hari.

Pada hari pertama jualan, 24,000 unit pesan diterima. Apabila pesanan dibuka 24 Ogos, sebanyak 41,250 unit dicatatkan dengan jualan cakera padat (CD) mengatasi kaset. CD album ini dijual pada harga RM21 mencatat pesanan 63 peratus mengatasi kaset berharga RM16.80 seunit.

Pengarah Urusan Zezz Entertainment Group, Mohd. Firhad Amat, berkata album berkenaan memuatkan 12 lagu nyanyian juara AF3 itu sepanjang persembahannya di konsert AF3 termasuk lagu baru, Aduh Saliha dan lagu yang dinyanyikan pada konsert prelude, Intifada.

“Buat waktu ini kami menerbitkan dulu album audionya saja. Insya-Allah, tidak lama lagi album VCD pula akan menyusul. Kami sendiri tidak sangka jualannya mencatat angka begitu tinggi dalam masa singkat. Jika diingat semula, bilakah kali terakhir artis tempatan berjaya mencatat jualan album tinggi jika bukan sekitar 1992 hingga 1997? Apa yang berlaku pada album Mawi sungguh di luar jangkaan. Dia memang ada keajaiban!

“Pada asalnya, kami hanya jangka jualan sekitar 50,000 hingga 60,000 unit, melihat pada corak pembelian album yang kurang memberangsangkan waktu ini. Saya sendiri amat berharap, fenomena tsuMawi akan kembalikan kehangatan sambutan terhadap album artis tempatan sebagaimana beberapa tahun dulu. Reaksi baik ini juga banyak bergantung pada penurunan harga CD dan kaset oleh Zezz dan Maestro Records.

Difahamkan, selepas album Mawi, koleksi lagu nyanyian Felix sewaktu konsert AF3 pula akan dipasarkan dalam masa terdekat, diikuti album Amylea, Marsha dan Yazer, manakala siri album Evo AF3 akan menyusul bulan depan. Album studio Mawi pertama pula bakal menemui peminat bermula 18 Oktober ini.

Koleksi Lagu-Lagu Terbaik Konsert AF3 - Best of Mawi World memuatkan lagu Intifada, Kekasih Awal dan Akhir, Dari Kekasih Untuk Kekasih, Gadis Melayu, Nour El Ain, Beautiful Maria, Memori Cinta Luka, Oh Fatimah!, Pupus, Pergi Tak Kembali, Seroja dan Aduh Saliha.

Thursday, August 25, 2005

Malam Puisi Utusan ke-11 - Gabungkan penyair dan artis

(Utusan malaysia - 25/08/2005)
Oleh ANI AWANG

MALAM Puisi Utusan (MPU) ke-11 yang akan diadakan hari ini dan esok di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja bakal menemukan para sasterawan, penyair, artis dan tokoh korporat untuk menyemarakkan kesenian negara.

Ia bertemakan Malam Puisi Merdeka sebagai satu usaha Kumpulan Utusan ke arah memartabatkan puisi kepada khalayak.

Antara penyair terkenal yang akan mengambil bahagian ialah Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, Shukri Abdullah, Khalid Salleh dan Siti Zaleha Hashim.

Datuk Johan Jaafar, Prof. Rahman Shaari, Datuk Dr. Firdaus Abdullah, Ku Amirul Faiz dengan Yang Tumpah Mengalir (Dharmawijaya) dan Lt. Kol. Mohd Radzi Abdul Hamid turut menjayakan malam puisi ini.

Ia dianjurkan bersama Kumpulan Utusan, ExxonMobil dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Hashim Ahmad Makaruddin akan mendeklamasikan puisi Pamplet Anak Merdeka karya Zainal Rashid Ahmad.

Dua tokoh korporat dari ExxonMobil pula akan tampil dengan puisi patriotik iaitu Ini Tugas Baru Wang Dunia karya A. Rahim Abdullah dan Kita Telah Tinggalkan Jauh Di Dalam Sejarah karya Abdul Aziz HM.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak ketinggalan untuk merealisasikan puisi apabila Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ruslin Hassan dan Ketua Pengarah DBKL, Salleh Yusuf dijangka membaca puisi seperti Kuala Lumpur Sebuah Citra karya Lim Swee Tin, Sajak Ayah Kepada Anak karya Alipah Jambuan dan Segalanya Menuntut Keringatmu karya Gunawan Mahmood.

Datuk Johan Jaafar dengan Gurindam Merdeka dan Prof. Rahman Saari dengan Bakti.

Selain itu, barisan artis yang mengambil bahagian ialah Fauziah Latiff dengan puisi Di Wajahmu Bonda karya Hasidah Disan.

Artis lain ialah Ras Adiba Radzi dengan Perjuangan Belum Selesai, Kopratasa, Dang Suria dengan puisi Sajak Teja Kepada Tuah karya Zurinah Hassan dan Baby Erin (Res'2) dengan Merdeka Seorang Aku karya Tengku Khalidah Tengku Bidin.

Empat penyanyi bintang Akademi Fantasia musim kedua dan ketiga iaitu, Mawi dengan puisi Tok Janggut (Rahimidin Zahari), Farah dengan Sajak Anak Kepada Ayah (Alipah Jambuan), Kaer dengan Istana Kemerdekaan (Raihani Mohd Said) dan Bob dengan Suara Anak Merdeka (Zaidin Abadi) turut mengambil bahagian.

Majlis itu akan dikendalikan oleh pelawak serba boleh Sabri Yunus.

Majlis diadakan secara percuma. Maklumat lanjut boleh menghubungi 03-92217055.

Orang istana beri Mawi BMW

(Harian Metro - 25/08/2005 - Soseh-soseh)

SELEPAS hampir sebulan, Mawi masih menjadi tajuk utama akhbar dan terus menjadi bahan bualan ramai baik di kalangan masyarakat yang tua mahupun muda.

Ramai bertanya apa kelebihan anak Felda itu sehingga disayangi semua orang. Entahlah, SS sendiri tiada jawapannya. Bagi SS, sudah rezeki dia hendak buat macam mana.

Yang menariknya, anak Pak Atan itu bukan saja diminati oleh golongan biasa tetapi juga menjadi kesayangan pihak istana. Mawi memang bertuah, kerana SS dapat tahu dia bakal memandu kereta mewah. Kalau tak salah SS sebuah kereta BMW pemberian orang istana. Istana mana, biarlah SS rahsiakan.

Jadi, Mawi kena cepat-cepat ambil lesen memandu. Kerana kalau betullah apa yang SS dengar maknanya dalam sebulan Mawi dapat dua kereta, Suzuki Swift iaitu hadiah kerana berjaya menjadi juara AF3 dan BMW.

Wow! Bertuah betul si Mawi. Kalau tak sempat hendak memandu kedua-duanya, berilah pada tunang tersayang satu. Inilah masa terbaik untuk Mawi membuktikan yang cintanya tidak pernah berubah walaupun kini menjadi pujaan ramai.

Gabungan Mantap!

(Harian Metro - 25/08/2005)
Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Siti, Jamal, Mawi gegar Dewan Perdana Felda

TIGA bintang popular dari generasi berbeza, Jamal Abdillah, Siti Nurhaliza dan juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi, berjaya membuai perasaan peminat mereka dengan gaya masing-masing di Konsert Raikan Wanita di Dewan Perdana Felda, malam kelmarin.

Konsert anjuran Mahir Entertaiment & Production (Mahir Event) dan Felda D’Saji itu nyata meriah apabila ketiga-tiga penyanyi tersebut tampil mendendangkan hampir 20 lagu popular yang begitu meruntun jiwa.

Lebih menghangatkan suasana apabila mereka bergabung suara mendendangkan lagu Ghazal Untuk Rabiah yang penuh syahdu menjadi kemuncak persembahan malam itu.

Alunan lunak vokal Jamal dan Mawi sambil diselang-selikan suara merdu Siti Nurhaliza berjaya menarik perhatian ramai sehingga menusuk kalbu. Malah ia membuatkan penonton teruja dengan turut sama menyanyikan lagu itu.

Paduan suara yang menampilkan tiga penyanyi pujaan ramai itu ternyata mendapat sambutan hebat dengan dihadiri lebih 1,500 penonton. Malah tiket berharga antara RM200 hingga RM500 dijual hanya dalam masa enam hari saja iaitu dua minggu sebelum persembahan.

Persembahan yang menggandingkan tiga penyanyi unggul tanah air itu pertama kali diadakan dan ternyata mendapat sambutan hangat.

Tirai persembahan dimulai dengan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy) yang juga pengacara malam itu mengalunkan suaranya menyanyikan lagu My Way dan Bila Bulan Bicara. Kemudian disusuli klip video Mawi di Akademi Fantasia sebelum bintang baru itu menyanyikan lagu Pergi Tak Kembali dendangan Rabbani.

Seterusnya, Mawi menghangatkan lagi suasana dengan mengalunkan lagu Oh Fatimah (A Ramlie), Rindu Padamu (Yasin) dan Aduh Saleha. Penonton cukup terpesona apabila gandingan dua penyanyi lelaki popular, Mawi dan Jamal, mendendangkan lagu Gadis Melayu.

Gaya pengacara serba boleh, Ogy, nyata menghidupkan suasana dengan jenaka spontan dan usik mengusiknya kepada Mawi dan Jamal. Malah acap kali Ogy memanggil Mawi dengan panggilan Anja dan Ayang yang mengundang gelak tawa penonton.

Persembahan diteruskan dengan medley lagu P Ramlee oleh Jamal sebelum disusuli rangkaian lagu daripada album Aku Penghibur, antaranya Menaruh Harapan, Seroja, Kekasih Awal dan Akhir serta Kasihnya Ibu.

Sejurus kemudian Jamal dan Ogy sama-sama menggamit memori penonton dengan mendendangkan lagu yang menaikkan nama mereka berdua iaitu Sandarkan Pada Kenangan menerusi filem Azura.

Siti Nurhaliza pula tampil bersemangat mendendangkan pelbagai lagu seperti Bukan Cinta Biasa, Cindai, Widuri, Sonata Musim Salju dan Berhenti Berharap.

Penonton yang menghadiri konsert itu turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menyediakan pelbagai hadiah menarik seperti komputer, telefon bimbit 3G dan set mutiara.

Mereka bertiga seterusnya diraikan dengan pulut kuning oleh pengurusan Mahir Event dan Felda D’Saji serta bacaan doa selamat yang diketuai Mawi sendiri. Mawi diraikan sehari lebih awal sempena hari jadinya yang jatuh pada hari ini (25 Ogos).

Siti Nurhaliza pula diraikan sempena 10 tahun pembabitannya dalam seni suara, manakala Jamal sempena kejayaan album terbarunya yang dijual sebanyak 35,000 unit.

Sementara itu, Mawi sekali lagi merayu peminatnya jangan terlalu taksub dengannya kerana dia hanya insan biasa seperti orang lain.

“Saya menganggap anda semua seperti kawan dan penyokong saya serta bukannya peminat saya,” katanya.

Jamal Abdillah dan Siti Nurhaliza pula nyata berpuas hati dengan sambutan diberikan dan kagum dengan kebolehan Mawi yang kini menjadi idola baru muda mudi.

Menurut Pengarah Urusan Mahir Event, Normahiran Yusoff, dia sudah membayangkan hasrat mengundang Mawi sejak konsert Prelude Akademi Fantasia lagi.

“Ini kali kedua saya mengundang Siti Nurhaliza menjayakan persembahan bersama Mahir Event, manakala Jamal pula ia adalah yang keempat saya menjemputnya,” katanya.

41,250 unit album dijual dalam tiga hari

(Harian Metro - 25/08/2005 - Edisi KL)
Oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tiga hari di pasaran mulai Isnin lalu, album Juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3), Asmawi Ani atau Mawi, 25, Best Of Mawi World, sudah dijual sebanyak 41,250 unit.

Sambutan luar biasa terhadap album Mawi itu sekali gus membuktikan bahawa peminat anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor, itu, tidak sekadar menyokongnya menerusi undian SMS saja, tetapi juga membeli albumnya yang tulen.

Album kompilasi solo terbitan Maestro Records dan Zezz Entertainment serta edaran Life Records itu menampilkan 12 koleksi lagu terbaik Mawi sepanjang sembilan minggu berada dalam konsert AF3, termasuk ketika beraksi di Konsert Prelude.

Lagu terbabit ialah Intifada, Kekasih Awal Dan Akhir, Dari Kekasih Untuk Kekasih, Gadis Melayu, Nour’El Ain, Beautiful Maria, Memori Cinta Luka, Oh Fatimah!, Pupus, Pergi Tak Kembali, Seroja dan Aduh Saliha.

Pengarah Urusan Zezz Entertainment, Mohd Firhad Amat, memberitahu Harian Metro bahawa pihaknya sama sekali tidak menyangka album Best Of Mawi World itu akan mendapat sambutan hebat.

“Ia memang sama sekali di luar jangkaan kami. Malah, kami juga tidak menyangka bahawa ia akan dijual sebanyak itu dalam tempoh tiga hari saja.

“Kalau hendak diikutkan, sasaran awal kami terhadap jualan keseluruhan album ini cuma 40,000 unit saja, Namun, ia jauh melepasi apa yang kami sasarkan dan kami percaya jualan keseluruhan mampu mencapai 80,000 unit dalam masa terdekat.

“Begitupun dengan sambutan cukup menggalakkan ini, tidak mustahil ia mampu dijual lebih daripada itu,” katanya.

Menurut Firhad lagi, dalam suasana industri yang ketika ini masih tenat serta jualan album cukup lembab, sambutan terhadap album Mawi itu memang disifatkan sebagai suatu perkembangan cukup menarik dan luar biasa.

Apatah lagi dengan kedudukan Mawi sendiri yang masih belum ranum serta cukup setahun bergelar artis rakaman.

“Menerusi pengalaman bertahun dalam bidang ini, situasi sebegini hanya pernah berlaku dalam industri muzik tempatan pada sekitar pertengahan 90-an saja.

“Pada sekitar era itu, album artis yang terkenal senang-senang dijual sekitar 50,000 atau 60,000 unit dalam tempoh seminggu. Contohnya seperti apa yang diperolehi kumpulan nasyid Raihan serta U.K’s.

“Nampaknya, Mawi berjaya mengulangi semula sejarah ini dan saya rasa ini satu petanda yang cukup baik buat industri muzik kita.

“Apatah lagi dalam usaha pihak kami membuktikan bahawa album yang dijual pada harga yang murah seperti Best OF Mawi World iaitu dengan nilai RM21.00 untuk cakera padat serta RM16.80 (kaset) mampu mendorong ramai masyarakat untuk membelinya,” katanya.

Jelas Firhad, pihaknya juga kagum dengan sokongan yang diberikan peminat terhadap juara AF3 itu.

“Sekalipun Best OF Mawi World menjadi mangsa cetak rompak, namun peminatnya masih teguh membeli album yang original.

“Ini adalah satu sikap terpuji yang harus dikekalkan peminatnya sekiranya mereka benar-benar sayang kepada artis idola mereka itu,” katanya.

Terdahulu, Mawi pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia kecewa apabila albumnya menjadi mangsa lanun cetak rompak.

Mawi yang turut menyambut hari ulang tahun kelahirannya ke-25 hari ini juga meminta supaya peminatnya membeli album yang original.