Saturday, February 18, 2006

Mawi terasa ‘power’ pakai tuxedo

(Berita harian - 18/02/2006)
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

NAMUN sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005 bintang yang lahir daripada program realiti televisyen popular Akademi Fantasia (AF) ini akan mengenakan sepasang tuxedo hadiah Spark Manshop. Pastinya, banyak mata yang akan melirik ke arahnya terutama peminat wanita.

Dengan tema Gemilang Bersama Bintang, selebriti diwajibkan memakai tuxedo untuk lelaki dan wanita pula dikenakan memakai busana yang glamor dan bergemerlapan. Syarat ini adalah mandatori untuk semua artis tidak kira sama ada mereka tercalon atau hanya sekadar tetamu jemputan.

Ujar Mawi, tidak pernah langsung terlintas di fikirannya bahawa satu hari nanti bakal mengenakan pakaian yang cukup segak itu. Dia hanya pernah melihat tuxedo menerusi filem, lalu apabila berpeluang memakai tuxedo secara berseloroh bintang AF itu berkata dia terasa ‘power’!

Sebagai bintang baru, Mawi menganggap usaha yang dilakukan Berita Harian demi memartabatkan anugerah anjuran akhbar perdana itu sesuatu yang baik. Jelasnya, ini juga pengalaman pertama menyertai anugerah yang penuh gemilang ini.

“Usaha Berita Harian wajar diberikan pujian kerana bersungguh-sungguh mewajibkan tema untuk artis. Ini dapat meningkatkan taraf anugerah ini yang sudah masuk tahun ke-19.

“Sebelum ini saya tidak pernah memiliki tuxedo, mungkin selepas ini saya akan menambahkan lagi koleksi supaya mudah untuk ke majlis formal,” katanya.

Biarpun masih hijau dalam industri seni, Mawi sudah boleh berbangga dengan beberapa anugerah yang sudah diraihnya. Namun, dia tidak lekas mendabik dada mahupun beranggapan kedudukannya kini berada dalam zon selamat.

Mawi yang tercalon dalam dua kategori iaitu Artis Baru Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular meletakkan segala-galanya pada takdir. Dia tidak berharap bakal menggondol kedua-dua anugerah itu ataupun salah satu daripadanya.

Malah banyak juga cakap-cakap kosong yang singgah di telinganya terutama apabila sesebuah pertandingan itu membabitkan khidmat pesanan ringkas (SMS) atau undian pasti peluang meraih kemenangan tinggi.

“Kata-kata menyatakan bahawa saya bakal menang sebenarnya menambahkan tekanan ke atas diri saya. Saya bukan takut menghadapi kekalahan tetapi saya bimbang persembahan akan terjejas kerana terlalu memikirkan harapan yang diletakkan peminat.

“Semua ini rezeki, bagi saya menang atau kalah tidak penting. Sebagai bintang baru seperti saya sudah tercalon ke peringkat Top 5 pun sudah memadai. Lagipun artis lain juga mempunyai peminat mereka yang tersendiri apatah lagi mereka juga sudah lama bertapak dalam arena ini,” katanya.

Sekiranya bergelar Bintang Paling Popular artis bertuah itu bakal membawa pulang kereta Kia Optima dan barang kemas daripada Rafflesia The Pearl Centre. Kala ditanya, seandainya dia adalah insan bertuah yang dimaksudkan kepada siapa ingin dihadiahkan set barang kemas bernilai RM 150,000.

Mawi dengan yakin menjawab dia mahu menghadiahkan set itu kepada wanita yang paling disayangi dalam hidupnya iaitu ibu tercinta. Bagaimanapun, Mawi berkata tidak mungkin dia dapat pergi sejauh itu.

“Saya tidak mampu mengenepikan artis yang sudah lama memegang takhta ini. Walau apa saja keputusannya saya bersedia dan bersyukur dengan kurniaan rezeki yang melimpah ruah. Semua ini juga adalah berkat sokongan dan doa peminat juga,” katanya menutup bicara.